Friday, July 30, 2010

BIHUN GORENG TAUCHU


Assalamualaikum dan selamat malam kepada semua pengunjung blog suka-suka saya. Bihun goreng tauchu ini emak mertua saya yang ajarkan bagaimana cara membuatnya. Kadang-kadang disertakan dengan kuah tauchu sekali. Kali ini bumbunya saya ikut mertua tetapi rencah-rencahnya kena ikut selera Hamimah. Tanpa taugeh, tanpa daun kucai, tanpa tauhu goreng dan tanpa kuah tauchu. Sawi dan tomato pula saja saya letak untuk menambah rasa. Hehe...




Resepi yang saya letakkan di sini adalah resepi asal emak mertua saya. Jom kita panjang-panjangkan resepi yang ringkas ini namun hasilnya amat menyelerakan, insyaAllah...

Bahan-bahannya:

1/2 bungkus bihun - dicelur dengan air panas dan ditoskan
7 tangkai cili kering kisar
3 biji bawang sederhana besar kisar
2 biji bawang putih kisar
segenggam kecil udang kering kisar
2 sudu besar tauchu - dibilas dengan air, ditoskan dan ditumbuk
udang basah
daun kucai
taugeh
2 keping tauhu - dipotong kecil-kecil dan digoreng
daging ayam dihiris kecil-kecil
fishball - ikut suka
tomato - ikut suka
garam, gula dan perasa

Cara-caranya:

1. Tumiskan bahan-bahan yang dikisar hingga naik bau. Tambahkan tauchu, kacau sebati.
2. Masukkan garam, gula dan perasa secukup rasa.
3. Masukkan hirisan daging ayam, udang basah dan fishball. Kacau lagi.
4. Masukkan bihun dan gaul dengan bumbu dan rencah-rencah yang lain.
5. Tambahkan dengan daun kucai, taugeh dan tomato yang dihiris. Saya tambahkan dengan sawi sebab daun kucai dan taugeh tiada. Kacau hingga mesra dan bolehlah dihidangkan.

Thursday, July 29, 2010

ROTI BENGGALI

potong dengan pisau sayur ni kurang cantik dan kemas la, mana nak cari pisau potong roti di kota bharu ni ya.:))

Assalamualaikum dan salam tengahari semua. Malam tadi saya menguli tepung untuk buat roti benggali ini. Cadangannya hendak dijadikan sarapan Hamimah sebelum ke sekolah, dan alhamdulillah sudah terlaksana. Saya menonton CSI Miami, CSI New York dan CSI Vegas sambil mencuri-curi menguli tepung. Mana boleh ketinggalan siri yang amat saya minati ini. Hehe...



Seperti biasa resepinya saya ambil dari internet. Saya lupa sumbernya tetapi ribuan terima kasih saya ucapkan kerana kesediaan tuan punya resepi berkongsi dan ini merupakan salah satu amal jariah juga yang ditinggalkan nanti. Jom kita panjang-panjangkan resepi ini...

Bahan-bahannya:

350 tepung berprotein tinggi
1 sudu besar margerin/mentega dicairkan
1 sudu besar yis kering
secubit garam
2 sudu gula castor
air suam secukupnya untuk menguli

Cara-caranya:

1. Masukkan semua bahan-bahan dalam mangkuk besar dan gaul rata.
2. Masukkan air sedikit demi sedikit dan uli tepung hingga menjadi doh yang licin.
3. Rehatkan doh sehingga naik sekali ganda iaitu lebih kurang 30 minit. Tumbuk-tumbuk doh tadi, uli sekali lagi dan bentukkan memanjang. Masukkan dalam acuan yang telah digris dengan margerin/mentega.
4. Rehatkan sekali lagi hingga doh naik 3/4 acuan.
5. Bakar dengan suhu 200C selama 15-20 minit atau sehingga masak (boleh menggunakan cake tester untuk mengetahui sudah masak ke belum)


Wednesday, July 28, 2010

JOM PIZZA


Assalamualaikum dan selamat petang semua. Pizza ni dah habis ya. Saya buat Isnin lepas untuk anak no 2. Saya buat 5 cawan tepung gandum biasa saja. Memang sengaja buat 2 loyang besar supaya anak-anak kenyang makan. Syuhadah siap pukul canang dekat kawan-kawannya di sekolah yang balik sekolah dah tersedia pizza untuk dimakan hingga kawannya jeles. Bestnya awak, mak awak masak macam-macam. Hehe.... Syuhadah tiada di rumah ni sebab mengikut rombongan sekolah ke USM, Penang dan Langkawi. Semalam pergi, Sabtu baru balik. Semalam sepanjang hari hati saya sebak teringatkannya. Saya memang tidak boleh berjauhan dengan anak-anak. Sedihnya tidak dapat saya gambarkan...



Pizza loyang ke dua. Saya guna loyang bulat. Pizza pertama bentuk empatsegi. Hehe... Hamimah lebih gemar pizza tuna mayonis tetapi saya lupa nak beli ikan tuna masa ke pasaraya hari itu. Jadi guna bahan yang ada sahaja. Lain kali boleh buat lagi...



Resepi untuk pizza ini saya tidak sempat hendak letakkan di sini. Sesiapa yang berminat untuk mencuba boleh cari dalam entri saya yang terdahulu dengan label pizza. Jom jamu mata, sedap tau. Hehe...

PUDING ROTI MARBLE


Assalamualaikum dan salam tengahari buat pengunjung dapur kecil saya ini. Semalam saya cerita tentang puding roti rasa coklat, hari ini kita sembang tentang puding roti marble pula. Hehe... Puding roti marble ini dipopularkan oleh ibu muda, Hana yang pakar memasak nun di Jepun sana. Di rumah Izah (pakar muffin) pun ada, di rumah Chik Mimi (wanita berkerjaya) dan di rumah Yatie yang cantik manis serta suka memasak pun ada. Sekarang ada pula di dapur saya pula. Rasanya memang sedap, tidak sempat saya hendak snap gambar puding yang telah di potong. Jom jamu mata...



Saya letakkan resepi puding roti marble ini seberapa ringkas di bawah, bagi sesiapa yang teringin mencuba dan mahukan resepi yang lebih terperinci bolehlah ziarah dapur-dapur hebat Hana, Izahdaut, Chik Mimi dan Yatie....

Bahan-bahannya:

4 keping roti*
2 biji telur*
1/2 cawan susu pekat*
170 ml susu cair*
8 gram agar-agar serbuk
1/2 cawan gula
2 sudu besar mentega cair
31/2 cawan air
2 sudu besar koko

Cara-caranya:

1. Rebus 3 cawan air dan serbuk agar-agar hingga larut dan mendidih. Tambahkan dengan 1/2 cawan gula. Kacau lagi.
2. Kisar bahan-bahan bertanda * dengan baki 1/2 cawan air tadi hingga hingga halus.
3. Masukkan bahan-bahan kisar ke dalam adunan agar-agar dan kacau sebati.
4. Bahagikan kepada 2 bahagian. Sebahagian dibiarkan dengan warna original dan sebahagian lagi dicampurkan dengan koko.
5. Marbekan agar-agar tadi berselang seli sudu demi sesudu dengan kadar pantas sebab adunan agar-agar ini cepat beku.
6. Sejukkan dalam peti sejuk, dipotong-potong dan nikmatilah kesedapannya. Hehe...

Tuesday, July 27, 2010

PUDING ROTI RASA COKLAT


Assalamualaikum dan selamat petang teman memasak semua. Puding roti ini memang rasa coklat sebab saya gunakan susu segar perasa coklat untuk membuatnya. Bukan apa saja hendak menghabiskan stok susu segar coklat dan roti yang kian menghampiri tarikh luput. Sesekali inginkan kelainan apa salahnya. Hehe... Puding roti saya ini garing di bahagian atas tetapi lembab di bahagian bawahnya. Sepatutnya saya menggunakan api bawah 10 minit terakhir sewaktu membakarnya tetapi malas pula hendak menunggu. Cepat siap, cepat sejuk dan cepatlah juga masuk mulut anak-anak.





Bahagian atas puding yang garing dan enak. Macam rasa kuih bingka roti sewaktu menjamahnya. Saya dan anak-anak memang suka bahagian yang garing ini. Suami memang tidak gemar makan apa-apa jenis puding, lagi pun beliau berada nun di Penang bermesyuarat.




Kalau teringin mencuba resepi ini bolehlah jenguk entri lama saya lewat lebel pencuci mulut. Cuma saya gantikan susu segar biasa dengan berperisa coklat. Saya juga tambahkan kurma yang dicincang di dalamnya. Terlebih dahulu saya juga ingin memohon maaf sekiranya sesiapa yang mencuba resepi saya tetapi tidak serasi dengan selera. Biasanya apa yang saya masak mengikut citarasa suami dan anak-anak.:))) Harap jangan berkecil hati dan serik untuk mencuba ya.

Monday, July 26, 2010

SAMBAL TEMPOYAK ARWAH EMAK..


Assalamualaikum dan selamat pagi semua. Hari ini saya hendak berkongsi resepi sambal tempoyak yang sangat mudah dari arwah emak saya. Suami saya juga suka makan tempoyak sejak tinggal di Kota Bharu ini sejak menikmati hidangan di salah satu kedai makan di Wakaf Che Yeh. Antara hidangan yang kami sekeluarga gemari ialah kulat goreng tepung, sup ayam kampung dan ayam kampung goreng. Di sini ada juga budu, sambal belacan dan tempoyak bersama ulam-ulaman. Biasanya suami akan makan tempoyak dengan sambal belacan.



Ketika hamilkan Noor Syuhadah dahulu saya tidak lalu makan dan hanya lauk ini yang jadi pembuka selera. Tinggal bersama mertua menjadikan saya seorang yang tidak boleh bermanja-manja ketika hamil walaupun bersama suami. Jadi jika saya teringin makan sesuatu saya akan berusaha memasaknya dengan ilmu memasak yang terbatas. Bagi saya pengalaman hidup mematangkan diri, saya anak ke 7 dari 9 orang adik beradik yang punya ramai kakak dan emak yang mahir dan rajin memasak. Hehe... Bayangkanlah, saya tidak berapa kenal dengan suami, apatah lagi bercinta sebelum berkahwin dan kemudian kena tinggal bersama mertua... Jom kita kongsi resepi mudah ini....

Bahan-bahannya:

10-15 biji cili api dihiris dua
segenggam bilis halus dicuci bersih dan ditoskan
3 biji bawang merah dimayang
2-3 sudu besar tempoyak

Cara-caranya:

1. Panaskan minyak dan goreng ikan bilis hingga hampir garing, masukkan hirisan cili dan bawang merah yang dimayang. Kacau sebati hingga cili dan bawang tadi juga hampir garing.
2. Masukkan tempoyak dan kacau sebati.
3. Biarkan seketika di atas api dan bolehlah dihidangkan bersama nasi panas bersama ikan goreng dan ulam-ulaman.

*tempoyak ini memang telah sedia masin, masam, lemak dan manis, jadi tidak perlu tambah gula, garam dan perasa.

Sunday, July 25, 2010

MAKARONI GORENG RINGKAS


Assalamualaikum dan selamat malam semua. Semalam saya dan anak-anak hanya makan makaroni goreng untuk mengalas perut. Bahan-bahan yang digunakan untuk penyediaan makaroni ini hanya apa yang ada dalam stok sahaja. Saya goreng pun style menggoreng mee biasa sahaja. Rasanya saya lebih suka makan bihun berbanding makaroni atau mee kuning. Hehe...

Jom kita kongsi resepi ringkas ini pada yang sudi...

Bahan-bahannya:

500 gram makaroni direbus dan ditoskan
5 tangkai cili kering dikisar
5 biji bawang merah dikisar
2 ulas bawang putih dikisar
sedikit sos tomato
sedikit kicap masin
sedikit garam
secubit gula
sawi dipotong-potong
udang
bebola ikan
daging ayam dihiris

Cara-caranya:

1. Tumis bahan-bahan kisar hingga pecah minyak. Tambahkan dengan sos tomato, kicap masin, garam dan gula. Kacau sebati.
2. Masukkan ayam, udang dan bebola daging. Kacau lagi.
3. Masukkan makaroni rebus dan kacau sebati.
4. Akhir sekali masukkan sawi yang dipotong tadi dan gaul sebati.

Saturday, July 24, 2010

PUDING GULA HANGUS


Assalamualaikum dan selamat malam semua. Khamis lepas anak gadis saya yang ke dua tidak sihat kerana selsema, demam dan batuk-batuk. Selera makan pun tiada. Dia teringin hendak makan puding gula hangus ini tetapi saya tidak sempat hendak membuatnya. Alhamdulillah hari ini dapat juga saya tunaikan permintaan Hamimah. Esok saya mungkin menyediakan pizza seperti yang diingini 2, 3 hari ini. Suami pun tiada di rumah hingga malam Jumaat ini, bolehlah saya mengisi masa dengan memasak makanan yang disukai oleh anak-anak tetapi tidak digemari suami.



Oleh kerana anak-anak sudah tidak sabar hendak menikmati puding ini terpaksalah saya keluarkan puding ini dari acuan secara paksa dan ketika masih panas. Sebab itulah rupanya kurang licin. Hehe... Jom kita kongsi resepi lagi....

Bahan-bahannya:

5 biji telur gred A
1 sudu besar tepung kastard
1/2 cawan susu cair
1/2 cawan susu pekat
1 sudu kecil esen vanilla
secubit garam
1/2 cawan gula pasir - dijadikan gula hangus

Cara-caranya:

1. Panaskan kukusan.
2. Sediakan gula hangus dan tuang ke dalam acuan yang digunakan.
3. Masukkan semua bahan dalam jug pengisar dan kisar sebati.
4. Masukkan bahan-bahan kisar tadi ke dalam acuan yang telah sedia dengan gula hangus di dalamnya.
5. Tutup acuan dengan aluminium foil.
6. Kukus puding tadi selama 45 minit dengan api sederhana kuat.
7. Sejukkan dan keluarkan dari acuan.

MENU KHAMIS LALU...

ikan mata uji rashid bakar


Assalamualaikum dan selamat pagi semula. Lauk-lauk simple ini saya masak Khamis lepas tetapi baru hari ini dapat dikongsi ceritanya bersama. Masa ke pasar hujung minggu lalu ada seorang kakak memberitahu saya yang ikan ini sedap dibakar. Beliau ada menyebut nama lain (panggilan di Kelantan) untuk ikan ini tetapi saya terlupa tetapi memang sedaplah. Hehe...


sambal kicap ringkas

Kalau saya dan keluarga di kampung tidak pernah cicah ikan bakar dengan sambal kicap seumpama ini tetapi keluarga belah suami memang inilah pencicah ikan bakar. Selain itu budu juga termasuk dalam senarai pencicahnya. Hehe... Arwah mak biasanya akan menyediakan sambal asam yang pedasnya berdesing sampai ke telinga namun rasanya masyaAllah enak sekali. Air tangan emak lah katakan....


asam rebus kacang panjang

Memang sihat hidangan kami hari itu sebab cara penyediaannya hanya bakar dan merebus. Hehe... Cuaca yang panas dua tiga hari lepas membuatkan saya masak secara ringkas sahaja. Saya suka meratah kacang panjang ini dan menghirup kuahnya yang masam-masam pedas.


sambal tumis ikan bilis


Hanya inilah masakan yang berminyak tempohari. Konon-kononnya hendak saya cicahkan dengan lempeng melayu tetapi sampai kesudah saya tidak dapat membuatnya. Akhirnya cicah dengan roti canai HPA yang lembut dan gebu. Hehe... Anak-anak pula lebih gemar cicah dengan roti keping yang dibakar.

Wednesday, July 21, 2010

PRETZEL LEMBUT

pretzel perasa kulit kayu manis

Assalamualaikum dan selamat malam semua. Pretzel lembut ini sudah tinggal kenangan. Ada yang pahit dan ada yang manis. Huhu.... Rasa malas benar hendak membuat entri tentang pretzel lembut ini tetapi nanti tiada pula cerita yang hendak dikongsi. Yang pahit dan yang manis biarlah tersimpan kemas di hati...


pretzel lembut tabur bijan

Pertama kali membuat pretzel dulu saya ada kesulitan hendak menggentel doh menjadi tali. Jadi saya teruja hendak melatih jari-jari menggentel doh sekali lagi. Nah, inilah hasilnya tetap sama. Huhu... Pretzel kali ini resepinya saya ambil dari MyR, terima kasih banyak Alma kerana pretzel ini membuatkan anak gadis sunti saya tidak berhenti mengunyah. Jom kita kongsi resepi pretzel lembut Alma ini...


pretzel lembut tabur gula

Bahan-bahannya:

11/4 cawan air
1 biji telur kuning
2 sudu besar gula
1 sudu kecil garam
1/8 sudu kecil serbuk lada sulah
31/2 cawan tepung roti
1 sudu besar yis

Untuk glaze:
1 biji putih telur + 1 sudu besar air

Untuk topping:
sedikit bijan
sedikit campuran serbuk kayu manis dan gula halus*
sedikit gula halus*
sedikit margerin* saya tambah

Cara-caranya:

1. Masukkan tepung, kuning telur, gula, garam, serbuk lada sulah dan yis ke dalam mangkuk besar dan gaul sebati.
2. Tambahkan air sedikit demi sedikit dan ulilah adunan tadi hingga menjadi doh.
3. Rehatkan doh hingga naik sekali ganda.
4. Tumbuk-tumbuk doh tadi dan uli sekali lagi.
5. Ambil sedikit doh dan gentel menjadi tali kemudian simpulkan. Buat hingga habis.
6. Sapukan putih telur di atas pretzel tadi dan taburkan bijan, campuran gula halus dan kulit kayu manis atau gula halus sahaja.
7. Bakar selama 20 minit dalam suhu 200C.
8. Sapukan pretzel tadi dengan margerin sebaik keluar dari oven supaya cantik berkilat.

* saya hanya gunakan tepung gandum, tambahkan 3 sudu besar susu tepung dan 2 sudu besar water roux. alhamdulillah memang sedap dan lembut...

Tuesday, July 20, 2010

IKAN CENCARU GORENG SUMBAT SAMBAL



Assalamualaikum dan selamat petang kepada pengunjung blog suka-suka saya. Semalam saya masak hidangan yang cukup ringkas untuk keluarga. Kes masak kerap terbuang la ni. Membazir rasanya. Kalau setiap kali masak lauk pauk yang dihidang licin, lega sangat. Anak-anak bila bersekolah kurang sedikit selera makannya. Makan pun kena paksa dan sekali sehari. Masak nasi dua cawan pun banyak bersisa, yang sulung pulangnya hampir jam 6 petang dan biasanya sudah makan berat di kantin sekolah.



Menu simple kali ini juga resepinya telah saya titipkan di entri yang terdahulu, kiranya edisi ulang tayanglah ni. Sesiapa yang berhajat hendak memasak ikan cencaru goreng sumbat sambal ini bolehlah melihat entri saya yang terdahulu di bawah lebel lauk pauk. Jemput makan semua, hehe....

MUFFIN CIP COKLAT



Assalamualaikum dan selamat malam semua. Muffin cip coklat untuk hidangan minum petang. Sedap dan kaya dengan rasa coklat. Alhamdulillah kali ini saya buat muffin menjadi ketika dibakar tidak melimpah ke luar. Terima kasih buat Yatie dan Shiela yang tidak lokek berkongsi ilmu. Jom kita kongsi resepi bagaimana membuat muffin chip coklat yang kaya dengan rasa coklat ini...



Bahan-bahannya:

1/2 cawan mentega lembut
1/2 cawan minyak jagung
11/4 cawan gula perang
3 biji telur gred A
21/2 cawan tepung*
1 sudu kecil baking powder*
1 sudu teh soda bikarbonat* - diayak bersama seelok-eloknya 2 kali
3 sudu besar serbuk koko*
200 ml susu segar perasa coklat
cip coklat secukupnya

Cara-caranya:

1. Pukul mentega, gula dan minyak jagung hingga sebati dan agak kembang.
2. Masukkan telur sebiji-sebiji dan pukul lagi.
3. Tambahkan tepung yang telah diayak bersama bahan-bahan lain berselang seli dengan susu segar. Gaul sebati.
4. Tambahkan dengan cip coklat dan gaul lagi.
5. Masukkan adunan 3/4 ke dalam cawan kertas. Bakar selama lebih kurang 15 - 20 minit dengan suhu 180C.

Sunday, July 18, 2010

SUP TULANG RUSUK KAMBING


Assalamualaikum semua. Hidangan ringkas saya untuk keluarga hari ini. Sup tulang rusuk kambing, sambal kicap dengan telur dadar. Cukup sangat untuk mengalas perut kami. Makan untuk hidup bukan hidup untuk makan. Hehe...



Bahan-bahannya:

500 gram tulang rusuk kambing dipotong
7 biji bawang merah dikisar
3 ulas bawang putih dikisar
1 inci halia dikisar
sedikit lada putih ditumbuk lumat
1 batang lobak dipotong
3 biji kentang dipotong 4
2 biji tomato dipotong 4
3 batang serai dititik
sedikit daun bawang dihiris
sedikit daun sup dihiris
sedikit bawang goreng
1 bungkus rempah sup bunjut tulang
2 sudu besar rempah sup dibancuh dengan sedikit air

Cara-caranya:

1. Panaskan sedikit minyak dan tumiskan bahan-bahan kisar bersama serai hingga naik bau.
2. Masukkan tulang rusuk dan tambahkan air secukupnya.
3. Bila mendidih, masukkan rempah sup yang dibancuh tadi bersama rempah sup bunjut tulang. Kacau sebati.
4. Bila tulang sudah empuk tambahkan dengan potongan ubi kentang dan lobak merah.
5. Masukkan garam dan perasa secukupnya.
6. Bila ubi kentang dan lobak merah telah empuk, masukkan tomato. Tutup api.
7. Hidangkan bersama hirisan daun sup, daun bawang dan bawang goreng.



Tidak lengkap hidangan sup tulang ini sekiranya tiada sambal kicap dan telur dadar juga berkicap. Jom jamu mata....

Saturday, July 17, 2010

AYAM MASAK RENDANG PINDANG DAN TEMPE GORENG


Assalamualaikum dan salam sejahtera semua. Banyak kali nampak juadah rendang pindang ini. Kalau tidak silap di rumah Shiela ada, di rumah Wanieyra ada, di rumah Izzah ada dan yang buat saya teringin hendak membuatnya bila singgah di dapur Noorma tempoh hari. Nampak macam sedap dan tidak rumit hendak menyediakannya. Alhamdulillah, inilah hasilnya...




Untuk resepinya saya ambil dari rumah Noorma. Terima kasih daun keladi buat beliau. Hehe...

Bahan-bahannya:

Ayam dibelah, dicuci dan ditoskan
5 batang serai dikisar
6 biji bawang merah dikisar
6 biji bawang putih dikisar
1 inci halia dikisar
1/2 inci lengkuas dikisar
1/2 inci kunyit hidup dikisar
4 biji cili api dikisar
1 cawan santan
2 keping asam keping
beberapa helai daun limau purut
garam, gula, perasa
5 sudu besar minyak masak

Cara-caranya:

1. Tumiskan bahan kisar hingga naik bau dan garing.
2. Masukkan santan.
3. Masukkan ayam.
4. Tambahkan dengan garam, gula dan perasa.
5. Masak hingga kuah pekat.



Tempe goreng ini pula khas untuk suami. Selain sedap dimakan bersama nasi, ianya sedap juga dimakan begitu sahaja. Menyediakannya pun senang sahaja. Kelar-kelar tempe tersebut dan potong ikut suka. Tumbukkan kunyit hidup bersama garam dan bawang putih. Tambah sedikit air. Celupkan tempe tadi satu persatu dan goreng hingga garing. Enak juga dicicah dengan sambal kicap.

Thursday, July 15, 2010

DAGING MASAK SATE GORENG DAN PERIA TUMIS KERING


Assalamualaikum. Tengahari semua. Tentu ramai yang berpuasa hari ini, tidak kiralah yang menghabiskan sisa-sisa puasa yang belum dibayar dan berpuasa sunat. Daging masak sate goreng dan peria tumis kering ini adalah lauk yang saya masak semalam. Rasanya alhamdulillah memang sedap. Suami dan anak-anak pun suka. Cuma lauk peria itu macam biasalah saya seorang sahaja yang makan sebab pahit. Bagi saya pahit itulah yang menjadikannya sedap dan ubat. Hehe... Jom kita kongsi resepi daging...




Bahan-bahannya:

500 gram daging batang pinang dipotong ikut suka
5 biji bawang merah dikisar
1 biji bawang putih dikisar
sedikit lengkuas dikisar
sedikit halia dikisar
sedikit kunyit hidup dikisar
3 batang serai dikisar
2 sudu kecil ketumbar}
1 sudu kecil jintan halus} dicuci, ditos, disangai dan dikisar
gula melaka, garam dan perasa secukupnya
sedikit minyak zaitun
minyak masak

Cara-caranya:

1. Gaul bahan-bahan kisar bersama daging, gula melaka, garam dan perasa. Perap selama mana yang dikehendaki. Lagi lama lagi sedap.
2. Panaskan minyak zaitun dan minyak masak bersama. Tumiskan daging yang telah diperap bersama rempah tadi dan kacau rata.
3. Masak hingga air daging keluar dan kering sendiri. Sekiranya daging kurang empuk tambahkan sedikit air dan tutup kuali. Daging hendaklah dikacau sekejap-sekejap supaya tidak hangus.
4. Apabila daging telah empuk dan garing bolehlah tutupkan api dan dihidangkan.

Semalam suami tanya, hari ini masak apa? Jawap saya daging. Bila suami suap lauk ini ke mulut dan mula mengunyah beliau terhenti dan bertanya. Sate ke? Ya, jawab saya dan diakhiri dengan anggukkan oleh beliau. Sedap le tu, alhamdulillah...



Sebenarnya ada petua hendak mengurangkan pahit pada peria ini. Kalau mengikut cara arwah emak saya sebelum dimasak dan selepas dipotong-potong hendaklah direndam dengan air garam terlebih dahulu. Sebelum dimasak hendaklah dicuci bersih dan ditoskan airnya.
Jikalau mengikut mertua pula potongan peria ini hendaklah digaul dengan garam halus, dibiarkan sebentar, dicuci bersih dan ditoskan sebelum memasaknya. Pastikah hanya meletakkan secubit garam sahaja dalam masakan agar tidak termasin. Cubalah walaupun saya hanya cuci dan toskan sahaja. Pahit makanan tidak mengapa bukan. Boleh jadi ubat. Hehe...

Wednesday, July 14, 2010

BIHUN TOMYAM


Assalamualaikum. Petang semua. Terlanjur sudah ada kuah tomyam ini saya pun celur bihun. Teringin pula hendak makan bihun tomyam. Cuma saya dengan Syuhadah sahaja yang menikmati keenakan bihun tomyam ini. Huhu... Suami kata mana sedap tomyam makan dengan bihun, sedap lagi makan dengan nasi. Petang seusai pulang dari kerja suami sudah makan nasi berlauk sardin masak sambal. Malamnya selepas solat isya' suami makan nasi dengan tomyam pula. Hehe... Tambah bulat la suamiku. Hehe...



Sebenarnya tomyam saya ini kalau tidak ditambah pes pun tidak mengapa rasanya. Bila ditambah pes, kuah tomyam saya bertambah pekat, berminyak dan kelihatan pedas (tidak pedas pun). Walaubagaimana pun, alhamdulillah sedap. Jom jamu mata...

TOMYAM CAMPUR


Assalamualaikum, selamat petang semua. Hari ini entri tentang tomyam campur pula. Sudah berminggu teringin hendak masak tetapi biasalah kalau saya seorang yang teringin memang lambat hendak menyediakannya. Keutamaan mestilah selera suami dan anak-anak. Saya juga menyediakan telur dadar sama seperti kalau kami makan di luar. Sekiranya memesan tomyam, mesti ada telur dadar sama. Hehe...



Bahan-bahannya:

350 gram ayam - dipotong kecil-kecil
350 gram udang sederhana besar
7 tangkai cili kering dikisar
5 biji bawang merah dikisar
1 biji bawang putih dikisar
sedikit halia dikisar
sedikit lengkuas dikisar
5 batang serai dititik
7 biji cili api
3 biji limau nipis - diambil jusnya
7 helai daun limau purut - disiat sedikit
200 gram cendawan shitake - dihiris
3 biji tomato - dipotong
jagung muda - dipotong
segenggam bunga kobis - dipotong
1 batang lobak merah - dipotong
2 sudu besar pes tomyam (ikut suka)

Cara-caranya:

1. Tumiskan bahan-bahan yang dikisar bersama serai yang dititik hingga naik bau.
2. Masukkan dengan garam, sedikit gula dan sedikit perasa. Kacau hingga sebati.
3. Masukkan pula ayam, gaul bersama bahan-bahan tumisan tadi dan tambahkan air secukupnya.
4. Bila kuah telah mendidih, masukkan pes tomyam dan kacau hingga larut. Masukkan daun limau purut dan jus limau nipis.
5. Masukkan hirisan jagung muda, lobak merah, bunga kobis dan cendawan shitake. Diikuti pula dengan udang. Akhir sekali masukkan tomato.
6. Biar seketika di atas api dan bolehlah dihidangkan.

Tuesday, July 13, 2010

MEE BANDUNG MUAR


Assalamualaikum semua. Mee bandung lagi. Kali ini saya hanya menggunakan pes jenama HPA yang memang tidak mengecewakan rasanya. Juadah untuk berbuka puasa yang ringkas Sabtu lalu.




Hanya perlu tambahkan udang basah, sotong kering ( yang ini saya tiada dan saya gantikan dengan daging cincang), tauhu goreng yang dipotong, sawi dan telur. Memang sedap. Sesiapa yang teringin bolehlah pergi ke permis menjual HPA dan membelinya. Untuk 1 pes ini boleh mengenyangkan perut 8 orang insyaAllah.
Kalau ada sesiapa yang ingin membuat rencahnya sendiri bolehlah lihat entri saya yang terdahulu melalui label mee sebab saya pun pernah membuatnya.

JEMPUT-JEMPUT GULA MERAH


Assalamualaikum dan selamat tengahari semua. Jemput-jemput gula merah ini merupakan adunan untuk apam gula merah yang saya gorengkan. Teringat dulu-dulu masa masih tinggal bersama arwah emak, arwah selalu mengoreng adunan apam gula merah ini selain dikukuskan. Rasanya tetap sedap, manis dan ada aroma yang tersendiri. Ketika panas kulit jemput-jemput ini akan rangup sementara bahagian dalamnya lembut. Ketika sejuk pula teksturnya lembut dan berbau sedap. Hehe...



Untuk membuatnya tidak sesukar mana. Hanya perlukan tepung, yis kering, air gula merah dan air untuk mengadun sehingga adunan menjadi seperti kita hendak membuat jemput-jemput biasa. Rehatkan seketika hingga adunan menjadi ringan dan likat barulah digoreng sesudu-sesudu kecil supaya dapat membentuk jemput-jemput yang comel. Maaf sebab tiada sukatan yang diberi sebab waktu saya membuatnya 'pakai campak-campak je'. Jom jamu mata....

TAG DRP ALMYA

S: 3 nama samaran kamu?
J: nama samaran tiada tapi biasa dengan panggilan anis or anes

S: 5 tarikh penting dalam hidup kamu?
J: - tarikh nikah
- birthday suami
- birthday sendiri
- birthday anak-anak
- tarikh kembalinya arwah mak ke rahmatullah

S: 5 perkara yang buat kamu gembira
J: - di samping suami dan anak-anak
- bila suami dan anak-anak gembira
- bila hariraya dan berkumpul dengan adik-beradik yang 9 orang tu
- jalan-jalan dengan famili
- window shopping pinggan mangkuk

S: 5 sebab kamu jawab tag ni..
J: - menerima
- menghargai
- ada kelapangan
- salah satu cara merapatkan silaturrahim
- berterimakasih

S: 5 orang yang nak di TAG...
J: maaf la, saya belum ada idea hendak tag sesiapa.


Assalamualaikum dan selamat pagi (jam sudah menunjukkan pukul 1 am). Tag di atas merupakan tugasan dari Almya. Kasihan beliau sebab sudah lama memberinya tetapi baru sekarang dapat saya selesaikan. Pertama kerana line internet yang agak lembab dan kedua laptop yang biasa saya gunakan baru siap diperbaiki.
Moga Almya berpuashati dengan jawapan yang diberi. Maaf juga sebab tag yang disiapkan tidak lengkap. Terima kasih di atas tanda ingatan ini, moga hubungan persahabatan ini terus harum dan berpanjangan....

Sunday, July 11, 2010

UDANG, TEMPE, DAN SOTONG


Assalamualaikum dan selamat pagi semua. Lauk-pauk di sini semuanya merupakan menu kitar semula. Entri sekadar memenuhi aktiviti harian sahaja. Bagi sesiapa yang teringin mencuba resepi-resepinya ada pada entri-entri yang terdahulu. Jom jamu mata....



Udang goreng tepung rangup dan garing. Kali ini saya cuma ubah sedikit resepi dengan menambah tepung naik sendiri 1 sudu besar, telur kuning dan sedikit 'cukup rasa'.



Sambal tempe, kentang dan bilis halus merupakan kegemaran saya. Kalau makan nasi panas cukup berlaukkan ini sahaja.




Sotong masak kicap sempoi. Suami suka kalau diperhangatkan banyak kali sebab rasa sotong yang meresap dengan kuah dan bahan-bahan tumisannya membangkitkan selera sebab sotong lebih lembut dan rasanya tambah sedap. Yang kurang saiz sotong yang semakin comel. Hehe...