Tuesday, June 29, 2010

ROTI BAWANG PUTIH


Assalamualaikum dan selamat pagi semua. Roti bawang putih ini saya buat untuk sarapan pagi hujung minggu lalu. Resepinya seperti biasa saya ambil dari internet dan kali ini kepunyaan blogger yang tinggal di luar negeri. Tidak silap saya 'perutkenyang'. Terima kasih diucapkan. Cuma adalah yang saya tambah dan kurangkan serba sedikit mengikut apa yang ada di dalam dapur kering saya. Rasanya memang sedap, lembut dan sangat sesuai dicicah dengan sup cendawan (tidak sempat hendak snap).



Setelah dipotong-potong, sesuai sangat dicicah dengan apa juga jenis sup. Kalau rajin potongan roti ini bolehlah dipanggang sekejap di kedua belah. MasyaAllah, memang sedap kalau kena dengan selera kita.



Cara-cara hendak membuat roti bawang putih ini adalah seperti berikut...

Bahan-bahannya:

150 gm tepung roti
50 gm tepung naik sendiri
15 gm gula halus
1/2 sudu teh yis
1/2 sudu teh bread improver
130 gm air suam dicampur dengan 2 sudu besar susu tepung
15 gm mentega
sedkit bijan
1/2 biji telur dipukul untuk glaze
sedikit sapuan mentega dan bawang putih

Cara-caranya:

1. Masukkan kesemua bahan-bahan ke dalam mangkuk kecuali bijan, sapuan mentega bawang putih dan campuran air suam dengan susu tepung. Gaul sebati.
2. Masukkan bancuhan susu dan air suam sedikit demi sedikit dan mula menguli hingga adunan menjadi doh.
3. Rehatkan adunan hingga naik sekali ganda. Tumbuk-tumbuk dan uli sekali lagi.
4. Bentukkan doh secara memanjang dan rehatkan sekali lagi hingga naik sekali ganda dalam acuan yang telah dilenser dengan mentega.
5. Apabila adunan telah naik, potong dengan pisau yang tajam di tengahnya. Sapukan dengan sapuan mentega dan bawang putih.
6. Sapu keliling doh tadi dengan telur dan taburkan bijan.
7. Bakar pada suhu 200C selama lebih kurang 15 minit atau hingga masak.
8. Keluarkan dari acuan dan sapukan dengan mentega semasa panas. Potong-potong sebelum dihidang.

Sunday, June 27, 2010

PRETZEL


Assalamualaikum dan selamat petang semua. Pertzel ini saya buat minggu lepas tetapi oleh sebab saya bermalas-malasan hendak menjenguk blog barulah saya buat entrinya hari ini. Syuhadah memang suka makan pretzel sejak pertama kali dia merasainya.
Masa anak-anak masih kecil dan belum berusia belasan tahun memang saya kerap mengikut suami outstation dan biasanya bila di Kuala Lumpur kami menginap di Hotel Legend yang bersebelahan dengan pusat membelibelah The Mall. Di sinilah ada permis menjual pretzel. Sekarang ini bukan suami tidak mengajaknya tetapi bila mengenangkan anak-anak terpaksa ponteng sekolah adalah lebih baik kami tidak mengikut beliau. Lagi pun jarak yang jauh antara KB dan KL lebih elok suami naik flight daripada terpaksa memandu jauh. Saya pun tidak berapa suka berlama-lama dalam kereta. Hehe...
Resepi pretzel ini saya ambil dari internet, selain ditabur gula saya juga buatkan dalam perisa cinnamon tetapi tidak sempat diambil gambarnya. Mula-mula memang terasa putus asa kerana saya tidak pandai mengentel doh menjadi tali, alhamdulillah Allah bagi ilham akhirnya bolehlah juga. Memang kalau dibandingkan dengan pretzel yang ada di The Mall, bentuknya lebih kurus berbanding pretzel saya. Hehe.... apa-apa pun syukur sebab rasanya sedap dan lembut.


Saturday, June 26, 2010

BALIK JOHOR.....

Lauk lemak cili api masakan emak mertua. Kali ini rajin pula beliau ke dapur menyediakan hidangan makan tengahari. Selalunya sesekali pulang ke kampung sayalah yang mengambil alih tugas di dapur. Namun kali ini badan terasa penat sangat ditambah dengan aktiviti jalan-jalan.


Sedap. Hati dan daging lembu masak ungkep. Ratah pun sedap.


Sambal goreng. Memang kegemaran suami dan emak mertua tidak pernah 'miss' memasak jika sesekali anak-anak beliau pulang ke kampung. Alhamdulillah, saya pun sudah expert menyediakannya. Suami sukakan...


Pisang goreng Sg Sebulung. Sesekali balik kampung suami memang tidak pernah 'miss' membelinya. Suka benar suami makan pisang goreng ini...


Malam selepas majlis reunion itu kami bermalam di hotel supaya mudah menguruskan karenah Adham.



City Squre. Ngeri hendak jalan-jalan di sini sebab muda-mudi melayu semakin layu. Terlalu terikut-ikut budaya barat atas nama moden kononnya. Nauzubillah...


Bangunan Kotaraya dan Menara Al Ansar. Kalau suami ada rezeki transfer ke Johor, di Menara Al Ansar inilah insyaAllah tempat suami mencari rezeki...


Pemandangan dari tingkat 9 menerusi jendela bilik kami. Adham suka dengan swimming pool tetapi tidak berkesempatan hendak mandi manda. Kakak-kakaknya sudah baligh jadi payah sedikit hendak menjaga aurat di kolam renang ini...


Majlis reunion suami di Pan Pacific. Gembira melihat suami happy berjumpa teman-teman sekolah yang hampir 27 tahun tidak berjumpa. Hebat-hebat semuanya...



Otak-otak menjadi pilihan anak sulung saya. Hamimah memilih fish and chips di Merrybrown kepunyaan sepupu suami. Terlupa hendak snap gambar kerana sibuk melayan Adham.


Hari ke dua di Johor, kami ke Plaza Angsana. Ronda-ronda cari makan. Mee rebus Hj Wahid yang saya rindui rasanya menjadi pilihan saya dan suami...

Thursday, June 24, 2010

AWARD DRP CEKWA



Assalamualaikum semula. Sudah agak lama saya tidak mengemaskinikan blog saya. Sekembalinya dari kampung rasanya hilang semua ilham hendak berblogging. Alhamdulillah, bila teringat award daripada CekWa yang belum sempat saya ambil saya pun mulalah menulis semula...


1. Copy badge 'beautiful blogger' award ini.
- dah buat seperti yang dikehendaki

2. Ucap terima kasih dan letak link entri pemberi award tersebut.
- Terima kasih banyak buat CekWa yang sudi memberi award ini kepada saya. Saya amat menghargainya dn mudah-mudahan dengan keizinan Allah SWT kita dapat berjumpa dan mengeratkan silaturrahim yang terjalin di alam maya ini. Link blog CekWa ialah http://9w2waa.blogspot.com/.

Monday, June 14, 2010

MENU LAMA

SAMBAL DAGING




KEMBUNG MASAK KICAP


APAM BALIK




AYAM LEMAK CILI API DENGAN NENAS




EPOK-EPOK INTI KARI DAGING DAN KENTANG

INTI KARI DAGING DAN KENTANG


Assalamualaikum dan selamat pagi. Hari ini saya buat entri terbaru hanya dengan meletakkan gambar-gambar hasil masakan saya yang ringkas. Beberapa hari ini saya tidak dapat mengupdate blog disebabkan kesuntukkan masa. Ada di antara menu di atas yang sudah 2, 3 hari saya masak. Jamu mata sahajalah ya.
Malam ini insyaAllah, saya dan keluarga akan bertolak ke Johor Bahru dengan menaiki bas. Pakaian pun belum selesai dikemas. Kebetulan suami ada majlis reunion bersama rakan-rakan sekolah semasa di MSAB dahulu. Mungkin sepanjang masa di Johor saya tidak dapat mengupdate blog juga. Hehe... Doakan perjalanan kami pergi dan pulang ya. Terima kasih...

Sunday, June 13, 2010

AWARD DAN TAG DRP MAMAHAWA S'PORE

Assalamualaikum dan selamat pagi. Kali ini saya menerima award dan tag daripada mamahawa, s'pore pula. Ada masa ini saya siapkanlah tagnya. Terima kasih mamahawa....


Tag
1. Apa yang bermain di fikiran kamu sekarang?
..masalah anak di sekolahnya.

2. Nama samaran kamu?
- saya tiada nama samaran, lagi pun nama saya pun ringkas sangat. hehe...

3. Berikan tiga orang kamu sayang
- suami, anak-anak dan yang pastinya arwah emak dan bapak.

4. Panggilan utk si dia
- abang
- kadang-kadang ayah

5. Hadiah yang korang impikan dari orang tersayang
- saya tidak pernah mengimpikan hadiah dari suami dan anak-anak, cukuplah dengan perhatian dan kasih sayang. suami yang soleh dan anak-anak yang soleh dan solehah. sekiranya birthday, hari ibu atau ulangtahun perkahwinan saya cukuplah dengan sekadar ucapan tanda ingatan....

6. Blog mana yang korang suka follow
- semua blog yang boleh menambah ilmu, tidak kiralah ilmu agama, ilmu memasak dan lainnya...

7. Bagi award ni kat 15 blogger lain dgn pernuh penghormatan:
- ramai sebenarnya, oleh kerana malam telah larut dan mata pun hampir tertutup saya tangguhkan dulu menaipnya jadi tunggu......:))

Thursday, June 10, 2010

TAG DARI SWEETIE II


Assalamualaikum dan selamat malam. Tadi dah cuba c&p tag ni dari blog sweetie tapi tak boleh.
Nampaknya kena cuba lagi...


1. Thank and link the person that tagged you

Terima kasih buat blogger http://sweetie2010.blogspot.com yang mengetag saya.


2. Tag 15 bloggers you've recently discovered and think fantastic

Ramai dalam perkiraan. Ada masa nanti saya cuba senaraikan satu persatu.


3. Contact that blogs and let them know they've been tagged.

InsyaAllah kalau dah confirm nanti saya beritahu setiap seorang secara berperingkat.

TAG DARI SWEETIE

Assalamualaikum. Beberapa hari lepas adik sweetie kita telah meninggalkan pesanan di chat box saya dengan mengatakan kak anis, anda telah ditag. Lebih kurang begitulah, ada masa ini saya cuba siapkan. Bukan satu tetapi dua. Hehe...

Ada kerja ada Gaji,
jawab Tag dapatlah award Mr happy

Akak cubalah jawab sweetie semampu yang boleh, kalau tidak sempurna janganlah berkecil hati ya.:))


1) adakah anda happy sekarang?

Hari ini emosi agak berserabut sedikit memikirkan masalah anak dengan kawan-kawannya di sekolah. Tensionnnnn....


2) kenapa anda happy?

Kalau masalah ini dapat diselesaikan alhamdulillah, sayalah yang paling happy. Syukran Ya Allah...


3) Apakah benda yang boleh membuatkan anda happy?

Benda ni subjektif la, salah satu bila bersama family


4) pernahkah anda menerima tag?

Apa pula tidak pernah, tetapi sudah lupa berapa kali. Hehe...


5) Apakah warna kegemaran anda?

Warna-warna alam, terutama hijau....


6) beritahu 9 orang yang anda mahu tag.

Masih dalam pertimbangan, jadi tunggu....


7) tuliskan sesuatu mengenai orang yang anda tag. panjang berjela pon takpe

Masih dalam pertimbangan tetapi mestilah teman-teman yang sehati sejiwa dan ikhlas dalam persahabatan.:))


8) adakah anda happy dengan apa yang ada?

Alhamdulillah. Mudah-mudahan saya akan sentiasa menjadi hamba Allah yang bersyukur....


SAMBAL GORENG UDANG BASAH



Assalamualaikum dan selamat pagi semua. Semalam setelah teragak-agak hendak dibuat apa dengan udang 500 gram ini, saya pun masaklah sambal goreng dengan bahan-bahan yang ada sahaja. Sedap juga, sudah namanya sambal goreng. Kalau ada petai dan hati ayam lagi sedap agaknya. Petai? Sensitif, mahu saya kena halau suami suruh duduk jauh-jauh kalau makan sebab baunya yang tidak enak tu. Hehe... Hari itu pun sudah kena 'sound' sebab letak petai dalam sambal goreng. Jom kita kongsi resepi lagi...

Bahan-bahannya:

500 gram udang dikupas kulitnya dan tinggalkan bahagian ekor sahaja
5 biji cili merah dihiris
5 biji bawang kecil dihiris
2 biji bawang merah dihiris
sedikit belacan
secekak suhun direndam
secekak fucuk direndam dan dipotong-potong
1 keping tempe plastik dipotong dadu dan digoreng lembab
3 biji kentang dipotong dadu dan digoreng lembab
1/2 sudu kecil pati asam adabi
garam, gula dan perasa secukupnya

Cara-caranya:

1. Tumis bahan-bahan hiris dan belacan hingga bahan-bahan hiris layu.
2. Tambahkan pati asam jawa, gula, garam dan perasa secukupnya. Kacau sebati.
3. Tambahkan udang dan kacau lagi. Bila udang sudah bertukar warna tambahkan dengan suhun dan fucuk. Gaul sebati dan tambahkan air sedikit. Kacau lagi.
4. Tambahkan kentang dan tempe. Kacau lagi. Bila masakan telah mesra dan sebati tutup api dan sedia untuk dihidangkan.

Wednesday, June 9, 2010

MENU DARI PISANG KAPAS


Assalamualaikum dan selamat malam semua. Semalam saya menyediakan kuih lapis pisang dan jemput-jemput pisang sebagai minum petang. Malangnya kurang mendapat sambutan sebab anak-anak dan suami tidak berapa gemar makan kuih-kuih lembut dan kukus-kukus macam ini walaupun rasanya sedap dan seakan-akan kuih lepat pisang. Resepinya saya ambil dari rumah Yatie US. Rasanya rakan-rakan lain pun sudah ramai mencubanya. Saya terpaksa gunakan pewarna hijau sebab pewarna merah terlupa pula letak di mana. Jika ingin mencuba bolehlah rajinkan diri menjenguk blog Yatie ya.




Lebihan pisang lenyek yang saya gunakan untuk membuat kuih lapis ada lagi lebih kurang 3/4 cawan. Hendak dibuang sayang pula. Jadi saya campurkan dengan tepung gandum, gula sedikit, soda bicarbonat sedikit dan kacau rata. Lupa saya tambahkan juga garam secubit. Hehe... Kemudian digoreng dan siap untuk dimakan. Jom jamu mata....


BUBUR KACANG HIJAU DENGAN NANGKA


Assalamualaikum dan selamat malam semua. Bubur kacang dengan nangka ni pertama kali saya jumpa dan rasa. Lewat petang tadi suami balik dari pejabat dengan membawa sama bubur kacang ini. Menurut beliau, staff yang masak. Jom layan gambar. Hehe...

Tuesday, June 8, 2010

ROTI PAUN





Assalamualaikum dan selamat pagi semua. Dah lama mengidam nak buat roti paun ni, sejak ziarah rumah kak ummi 'home sweet home' lagi. Alhamdulillah, terlaksanalah sudah yang diangan-angankan. Resepi saya ambil dari rumah kak ummi tetapi saya buat dalam kuantiti 500gm tepung jadi bahan-bahan yang lain saya tambahkan juga kuantitinya. Buat kak ummi, terima kasih banyak ya. Moga dilimpahkan rezeki dan dikurniakan kesihatan oleh Allah. Roti ini memang sedap, gebu dan lembut. Jom kita kongsi resepi....

Bahan-bahannya:

500 gm tepung gandum
1 biji telur (saya pukul sedikit)
100 gm gula pasir
40 gram susu tepung
11 gm ibu roti
1 sudu teh bread improver
2 sudu besar margerin
4 sudu besar water roux
air suam secukupnya untuk menguli

Cara-caranya:

1. Masukkan tepung, gula pasir, susu tepung, ibu roti, bread improver dan gaul sebati.
2. Buat lubang di tengah-tengah campuran tadi dan masukkan telur, gaul sebati.
3. Tambahkan dengan water roux dan gaul lagi.
4. Masukkan air sedikit demi sedikit dan uli hingga terbentuk doh. Kemudian tambahkan margerin sedikit demi sedikit dan uli hingga terbentuk doh yang cantik dan licin.
5. Rehatkan hingga doh naik sekali ganda. Tutup dengan tuala dapur.
6. Apabila doh naik sekali ganda, tumbuk-tumbuk doh tadi dengan lembut dan uli sekali lagi.
7. Bahagi-bahagikan sama saiz dan bulat-bulatkan.
8. Susun doh di dalam loyang yang telah dilenser dengan margerin. Rehatkan lagi hingga naik 3/4 tinggi loyang.
9. Bubuh sedikit margerin di atas tiap doh tadi dan bakar pada suhu 180C selama 20 minit.

p/s: sebenarnya roti paun yang kak ummi buat cantik naiknya dan kembang macam bunga mekar tapi roti paun saya naik macam roti naik je. hehe...

Monday, June 7, 2010

PAU INTI KARI DAGING DAN KENTANG



Assalamualaikum dan selamat pagi rakan-rakan semua. Hari ini baru sempat saya hendak mengupdate entri pau inti kari daging yang saya buat beberapa hari lalu. Alhamdulillah, sedap sungguh pau yang saya buat kali ini. Anak-anak tidak putus-putus memujinya. Hehe... Suami pula lebih suka inti kacang merah tetapi bila buat banyak yang terbuang. Huhu... Pau yang saya buat kali ini lebih lembut dan gebu walaupun hanya menggunakan 100 percent tepung gandum. Syukur alhamdulillah. Jom kita kongsi resepi pau ini....

Bahan-bahannya:

500 gram tepung gandum
2 sudu besar margerin
4 sudu besar water roux
1 paket yis
1 sudu besar minyak zaitun
2 sudu besar gula
1 sudu kecil bread improver
secubit garam
air suam secukupnya untuk menguli
inti kari daging dan kentang secukupnya

Cara-caranya:

1. Dalam mangkuk besar campurkan tepung, margerin, water roux, yis, minyak zaitun, gula, bread improver dan garam.
2. Gaul dengan tangan hingga sebati.
3. Tambahkan air sedikit demi sedikit untuk menguli hingga doh terbentuk cantik dan tidak melekat pada tangan.
4. Tutup doh tadi dan rehatkan hingga naik sekali ganda.
5. Apabila doh sudah naik, tumbuk-tumbuk lembut untuk membuang anginnya. Uli dengan lembut dan bahagi-bahagikan mengikut saiz yang dikehendaki.
6. Bulatkan doh tadi dan isikan inti kari di dalamnya. Buat hingga habis.
7. Rehatkan doh berisi inti tadi hingga naik sekali ganda dan kukuslah selama 15 minit dengan api besar.


Saturday, June 5, 2010

SAMBAL TUMIS SOTONG



Assalamualaikum dan selamat petang rakan-rakan blogger, juga sesiapa sahaja yang sudi singgah dapur kecil ungu saya ini. Hehe... Sotong masak sambal tumis ini permintaan dari suami saya. Alhamdulillah, kerja memasak saya jadi mudah bila sudah ada permintaan. Kalau tidak pening hendak sediakan menu dan sedih bila suami tidak suka hidangan yang disediakan. Jom kita kongsi resepi lagi....

Bahan-bahannya:

500-900 gram sotong (dicuci bersih dan dihiris bulat)
20-30 tangkai cili kering dikisar
5-7 biji bawang merah dikisar
1-3 biji bawang putih dikisar
sedikit belacan
air asam jawa secukupnya untuk mengisar
garam, gula dan perasa secukupnya

Cara-caranya:

1. Panaskan minyak hingga pijar dan tumis bahan-bahan kisar hingga garing. Kacau sekejap-sekejap supaya tidak hangit.
2. Tambahkan garam, gula dan perasa secukupnya dan kacau sebati.
3. Masukkan sotong yang siap dihiris tadi dan gaulkan dengan sambal secara merata.
4. Tutup sekejap kuali dan kacau lagi.
5. Masak hingga sotong lembut dan mengeluarkan air sendiri.

Friday, June 4, 2010

PUDING KASTARD JAGUNG BERKUAH




Assalamualaikum dan selamat malam semua. Tadi tidak sempat hendak menulis panjang dan berkongsi resepi sebab suami ajak minum di Kopitiam Moon, Jln Long Yunus. Jadi saya pun post sahajalah entri gambarnya dahulu. Hehe... Buat blogger Dedaun Alam itulah sebabnya kakak tidak menulis apa-apa tentang entri kali ini. Puding ini memang sesuai dimakan sewaktu cuaca panas dan lebih sedap sekiranya dibiarkan lama dalam peti sejuk. Jom kita kongsi resepi lagi....

Bahan-bahannya:

1 cawan tepung kastard
3 cawan air
1 cawan susu cair
1 tin jagung manis dikisar halus
3/4 cawan gula pasir
secubit garam
1 tin buahan campuran dalam tin (asingkan buahan dan sirapnya)
1 tin susu cair
11/2 tin air
1 sudu besar tepung kastard
gula pasir secukup rasa

Cara-cara membuat puding kastard:

1. Campurkan tepung kastard, air, susu cair, gula, garam dan jagung manis yang dikisar. Kacau hingga sebati.
2. Masak di atas api sederhana dan hendaklah sentiasa dikacau hingga puding menjadi likat.
3. Masukkan puding tadi di dalam bekas-bekas kecil dan sejukkan.

Untuk kuahnya:

1. Masukkan sirap buahan campuran, susu cair, gula, tepung kastad dan air. Bancuh kesemua campuran ini hingga sebati.
2. Panaskan di atas api hingga mendidih dan hendaklah sentiasa dikacau.
3. Sejukkan.

Cara-cara menghidang:

-Ambil beberapa biji puding yang telah sejuk dan beku. Masukkan ke dalam mangkuk. Taburkan sedikit buahan campuran dan curahkan kuah yang telah sejuk tadi. Sedia untuk dimakan.