Monday, December 17, 2012

TIRAMISU



Assalamualaikum dan selamat pagi semua. Tiramisu ini merupakan kali ke dua saya membuatnya. Kali pertama salah pilih krim putar tetapi tetap menjadi sebab saya tambah dengan krim putar yang lain dan sedikit gula. Rasanya masih sedap dengan teksturnya seakan-akan aiskrim cuma kurang mantap apabila dipotong.
Untuk tiramisu ini pula saya secara tidak langsung diajar oleh seorang suri seorang polis semasa sama-sama membeli bahan mentah di kedai bakery. Pesannya jangan gunakan bancuhan nescafe sebab anak-anak kemungkinan besar tidak suka rasanya. Gantikan dengan susu segar sahaja. Dan inilah hasilnya. Saya pun suka, rasanya lebih enak dari kek keju.




Bahan-bahan:

1/2 bungkus biskut tiramisu
1/2 kotak susu rendah lemak
serbuk koko secukupnya
250 gm krim keju
200 ml krim putar
1/2 cawan gula

Cara-caranya:

1. Putar gula dan krim keju hingga kembang. Masukkan krim putar dan pukul lagi. Ketepikan.
2. Celup biskut tiramisu seketika di dalam susu segar dan susun selapis dalam bekas yang disediakan.
3. Ratakan atas lapisan biskut itu dengan campuran krim keju dan ayakan serbuk koko di atasnya.
4. Buat seperti langkah 2 lagi dan diikuti langkah 3.
5. Masukkan di dalam peti sejuk semalaman ataupun sehingga cukup sejuk dan nikmatilah keenakkannya.



 

Friday, December 14, 2012

SIAKAP TIGA RASA



Assalamualaikum dan salam sejahtera semua. Entri kali ini tentang masakan siakap 3 rasa pula. Sudah lama saya menyimpan hasrat hendak menyediakannya tetapi suami tidak gemar makan ikan siakap lebih-lebih lagi dimasak tiga rasa, masam manis dan yang sewaktu dengannya. Bila suami 'outstation' saya pun mencubanya.
Kadang-kadang dalam hal masak-memasak ini bukanlah makan menjadi pekara utama saya. Bagi saya bila sudah mencuba dan merasai hasil masakan bersama anak-anak walaupun sekali adalah memadai. Saya lebih suka memasak makanan yang disukai suami dan anak-anak pula alhamdulillah tidak banyak soal. Apa yang dimasak emaknya semua dimakan dan memanjang kata sedap. Hehe... Selera suami lebih pada masakan kampung dan anak-anak pula suka makanan barat tetapi kerana ayahnya, makan juga apa yang ayah makan.:D




 Untuk resepi ini saya ambil dari  blog Sajian Dapur Bonda. Terima kasih banyak diucapkan. Izinkan saya kongsikan resepi puan di sini pula ya.:)

Bahan-bahannya.
Untuk Ikan:
2 ekor ikan siakap - saya guna 1 ekor saiz sederhana besar
Tepung jagung untuk dilumur pada ikan
Serbuk Pasti Sedap Knoor
Minyak untuk menggoreng ikan

Untuk Kuah:
2 biji bawang besar - dipotong dadu
6 biji bawang putih - dititik
10 biji cili padi - dipotong kecil
1 inci halia - dihiris halus
1 biji tomato - dipotong dadu
1/2 biji cili benggala - dipotong dadu - takde dlm stok
Kiub nanas - Kak Noor beli yang siap ditinkan; kiub nanas dalam jus nanas jenama Ayam Brand (Snacky Nanas) - 280 gm
4 sudu besar sos tomato
4 sudu besar sos cili thai - guna sos cili biasa
2 sudu besar sos tiram
2 sudu besar sos ikan - guna garam je
2 batang serai - dititik
Beberapa helai daun limau purut - saya tak guna sebab anak-anak tak suka baunya
Daun sup/daun bawang untuk hiasan
Garam secukup rasa
Ajinomoto secukup rasa - tak guna
Gula secukup rasa
Minyak untuk menumis

Cara membuatnya:
1.  Ikan dibersihkan dan ditoskan
2.  Lumurkan ikan dengan serbuk pasti sedap knoor. Pastikan semua bahagian dilumur rata. Kemudian, lumurkan pula dengan tepung jagung. Lumur kedua-dua belah bahagian ikan termasuk bahagian dalam.
3.  Panaskan minyak yang banyak di dalam kuali. Pastikan minyak betul-betul panas barulah dimasukkan ikan tadi. Goreng terendam ikan tersebut. Setelah ikan garing, angkat dan ketepikan
4.  Panaskan minyak dalam kuali yang lain. Tumiskan cili padi, halia, serai,  dan bawang putih.
5.  Setelah bawang agak layu, masukkan sos cili, sos tomato, sos tiram,  sos ikan, dan 3 sudu jus nanas di dalam tin. Kacau sebentar.
6.  Masukkan bawang besar, tomato, nenas, dan cili benggala.
7.  Masukkan air sedikit. Tambahkan garam, gula dan ajinomoto.
8.  Biarkan kuah mereneh seketika. Setelah kuah agak pekat, angkat dan curahkan di atas ikan yang telah digoreng tadi.  Taburkan daun sup/daun bawang. 

PUDING HORLICKS KOKTAIL



Assalamualaikum dan selamat pagi semua. Puding horlicks berkoktail ini terhasil untuk menghabiskan stok horlicks di rumah. Beli kerana teringin hendak minum tetapi bila sudah dibeli adalah sekali dua saya membancuhnya, macam kurang enak bila mengalir di anak tekak. Hendak menghabiskan segelas pun bercinta. Jadi dari terbiar menjadi luput tarikh lebih baik saya campurkan bersama puding koktail ini. Alhamdulillah, enak rasanya. Apatah lagi dimakan dalam cuaca panas seusai dikeluarkan dari peti sejuk.




Untuk resepinya saya berikan di bawah. Bolehlah dikongsikan bersama yang berminat hendak mencuba. Mudah sahaja resepinya. Memang menjadi kebiasaan saya. Saya lebih suka resepi yang mudah-mudah untuk dicuba. Yang penting menjadi dan sedap. 

Bahan-bahannya:

20 gm agar-agar tali
5 cawan air
1 cawan horlicks
1 tin susu cair
1/4 cawan tepung kastard
1/4 cawan gula - kalau suka manis boleh tambah
1 tin koktail - asingkan sirap dan buah2annya

Cara-caranya:

1. Cuci agar-agar tali. Rendam bersama 5 cawan air seketika.
2. Masak agar-agar tadi hingga larut dan mendidih. Tambahkan sirap dari buah-buahan koktail tadi.
3. Masukkan susu cair dan gula. Kacau hingga gula larut dan sebati. Perlahankan api.
4. Bancuh horlicks dengan sedikit air dan curah dalam larutan agar-agar tadi. Kacau rata.
5. Bancuh tepung kastard dengan sedikit air dan masukkan dalam adunan agar-agar tadi. Kacau sebati.
6. Basahkan acuan dengan air, taburkan buah-buahan koktail yang telah ditoskan dari sirapnya tadi dan curahkan larutan agar-agar di atasnya.
7. Masukkan dalam peti sejuk dan bila sudah membeku sejuk bolehlah dipotong-potong untuk dinikmati.


Thursday, December 13, 2012

SIMPLE LINGUINIE CARBONARA




Assalamualaikum dan selamat pagi semua. Untuk pengetahuan semua yang sudi datang ke dapur alam maya saya ini, pasta ini sudah lama saya buat cuma baru hari ini saya dapat kongsikan resepi mudahnya di sini. Memasaknya cukup senang dan amat sesuai bagi memenuhi selera penggemar pasta dan makanan barat.

Bahan-bahannya:

1 paket pasta linguine - rebus ikut arahan pada paket
2 tin kecil sos carbonara prego
1 tin cendawan butang - hiris ikut suka
6 batang sosej saiz besar - potong ikut suka
2 biji bawang besar holand - potong dadu kecil
2 sb lada hitam - kisar kasar
1 cawan susu segar
garam secukup rasa
minyak jagung untuk menumis

Cara-caranya:

1. Rebus pasta ikut arahan pada paket dan ketepikan.
2. Panaskan minyak jagung, tumis bawang besar dan lada hitam hingga agak layu.
3. Masukkan sos prego. Kacau rata.
4. Tambahkan susu segar dan kacau lagi.
5. Bila mendidih, masukkan hirisan cendawan butang dan sosej tadi. Gaul sebati. 
6. Tambahkan garam secukup rasa.

Untuk menghidang, masukkan sedikit pasta linguine dalam pinggan dan curahkan sos carbonara di atasnya. Selamat mencuba.


PISANG GORENG KEJU



Assalamualaikum dan salam sejahtera semua. Hidangan pisang goreng keju ini agak asing bagi saya dan keluarga semasa tinggal di semenanjung. Namun kudapan ini amat popular di Kuching dan diperkenalkan oleh orang-orang Indonesia di sini. Selain hidangan ini nasi ayam penyet, nasi lelapan dan berbagai jenis pecel yang merupakan masakan Indonesia juga berjaya memenuhi selera penduduk sini.



Untuk resepi pisang goreng keju ini saya rujuk di blog DaPurku Berasap Lagi kepunyaan rakan blogger yang tinggal di bumi kenyalang ini. Berbanyak terima kasih diucapkan.


Bahan-bahannya:

7 biji pisang kepuk - kupas dan belah 2 memanjang
6 sb tepung gandum
3 sb tepung beras
1 biji telur
1 sb mentega
sedikit pewarna kuning
air untuk bancuhan secukupnya
Selain itu kita juga perlukan keju yang diparut, 2 sb susu pekat manis dan 2 sb mentega

Cara-caranya:

1. Bancuh tepung gandum, tepung beras, telur, garam dan mentega bersama air hingga sebati dan tidak berketul-ketul.
2. Tambahkan sedikit pewarna kuning dan kacau sebati. Rehatkan bancuhan tepung ini sekejap.
3. Panaskan minyak dan celupkan pisang dalam tepung tadi dan goreng secara terendam hingga garing. Angkat dan toskan minyaknya. Buat langkah 3 ini hingga habis.
4. Dalam kuali yang lain pula panaskan mentega hingga cair, masukkan susu pekat. Kacau sebati.
5. Masukkan sedikit keju parut dan kacau lagi. Kemudian gaulkan dengan pisang tadi.
6. Angkat pisang dan letakkan di bekas yang sesuai dan taburkan lebihan keju parut tadi. Sedia untuk dihidangkan.


MEE GORENG LADA HITAM



Assalamualaikum dan selamat pagi semua. Mudah-mudahan kita semua sentiasa dalam rahmat dan kasih sayang Allah. Mee goreng lada hitam ini tercetus dari idea sendiri. Cukup mudah hendak memasaknya dan bahan-bahan yang digunakan pun tidaklah banyak mana. Namun yang penting, insyaAllah rasanya sedap. 




Untuk resepi mudahnya saya kongsikan di bawah. Jemputlah mencuba pada yang sudi, mudah-mudahan hasilnya memenuhi selera anda...

Bahan-bahannya:

500 gm mee kuning - basuh dan toskan 
500 gm udang saiz sederhana kecil - kupas kulit
450 gm daging - potong kecil, rebus empuk
1 ikat sawi - kerat ikut suka
1 biji tomato - belah dua dan hiris nipis
5 ulas bawang putih - parut/cincang halus
1/2 inci halia muda - parut/cincang halus
2 sb sos tiram
kicap pekat - banyak mana ikut suka, kalau suka mee hitam lebihkan
1-2 sb lada hitam - kisar kasar
1 sk serbuk knorr
secubit garam

Cara-caranya:

1. Panaskan sedikit minyak, tumis bawang putih dan lada hitam. Bila naik bau masukkan daging. Kacau, kemudian masukkan udang pula.
2. Bila udang sudah kemerahan, masukkan kicap pekat, sos tiram, serbuk knorr dan garam secukup rasa.
3. Bila sudah sebati, masukkan mee kuning, diikuti tomato dan sawi. Gaul kacau secara merata.
4. Bila sudah mesra bolehlah dihidangkan bersama lada jeruk.

Sunday, December 2, 2012

PARU GORENG REMPAH


Assalamualaikum, selamat pagi semua. Lama juga saya tidak menjenguk dapur maya saya ini. Sangkanya jika cuti sekolah dapatlah saya bersantai-santai depan pc sambil berkongsi resepi yang ringkas-ringkas tetapi anak-anak pula yang mengambil kesempatan mengadap komputer lepas seorang, seorang pula. Bila komputer berehat saya pula hilang 'mood' hendak menggunakannya. Hehehe...

Oklah, kali ini saya kongsikan pula resepi paru lembu goreng rempah. Sedap dimakan bersama nasi panas, mahu pun nasi lemak. Dimakan begitu sahaja pun sedap. Resepinya saya lampirkan di bawah. Sila-silalah ya.




Bahan-bahannya:

500 gm paru lembu
2 biji bawang besar kisar
3 ulas bawang putih kisar
1 inci halia muda kisar
1 inci kunyit hidup kisar
1 inci lengkuas kisar
2 batang serai kisar
2 sk ketumbar kisar
1/2 sk jintan halus kisar
1/2 sk jintan kasar kisar
1 sk serbuk knorr
garam secukup rasa
secubit gula
3 biji limau kasturi

Cara-caranya:

1. Potong paru beberapa bahagian dan rendam dengan perahan limau kasturi sebentar.
2. Basuh bersih paru dan rebus dengan air hingga agak empuk.
3. Toskan paru tadi dan hiris nipis pula.
4. Panaskan minyak agak banyak dan goreng paru tadi agak garing atau ikut citarasa masing-masing.
5. Goreng paru tadi sampai habis dan ketepikan.
6. Panaskan minyak baru tumis bahan-bahan kisar hingga naik bau. Masukkan garam secukup rasa, gula dan serbuk knorr. Kacau sebati.
7. Masukkan pula hirisan paru goreng tadi dan gaul secara merata.
8. Bila paru dan tumisan bahan-bahan kisar tadi telah bercampur mesra bolehlah dihidangkan.

*untuk ketumbar biji, jintan kasar dan jintan halus biasanya saya akan basuh bersih, toskan kemudian goreng tanpa minyak hingga terbit bau dan garing. sejukkan dahulu barulah dikisar. saya memang sediakan siap-siap bahan-bahan ini secara berasingan jadi mudah bila hendak digunakan. jika beli yang sudah siap dikisar rasanya tidaklah berapa sedap dan baunya tidak seharum bila digoreng tanpa minyak*