Friday, October 30, 2009

DADAR GULUNG DAN SAMBAL GORENG JAWA





Dadar gulung ini saya sediakan pada minggu lepas untuk hidangan minum petang. Oleh kerana tiada daun pandan, saya gunakan sedikit pewarna kuning sahaja. Bancuhan dadarnya saya campur sedikit pati santan kerana saya tidak menggunakan telur. Bukan apa saya takut rasa hanyir telur sebab saya buat dalam kuantiti yang sedikit. Malangnya suami dan anak-anak tidak suka. Mereka hanya menjamah sedikit sahaja. Sementara sambal goreng jawa ini pula memang digemari anak-anak dan suami. Sedap mereka kata. Cara penyediaannya sama seperti sambal goreng biasa cuma saya gantikan kicap dengan santan pekat. Ini percubaan pertama saya dan saya juga menyukainya. Paru lembu itu selepas saya rebus, saya potong kecil dan goreng agak garing. Di dalamnya ada udang basah, tempe dan juga kentang. Macam biasalah. Saya juga hiriskan cili padi biar rasanya pedas sedikit. Alhamdulillah menjadi. Hehehe....

Thursday, October 29, 2009

ASAM PEDAS AYAM DAN KUIH KERIA





Untuk hidangan tengahari tadi saya masak asam pedas ayam. Saya cuba masak macam yang dijual di restoran Mamak Spicy (suami saya gemar betul memakannya). Adalah 2 ke 3 kali beliau membelinya ketika Ramadhan yang lalu. Tidak tahulah rasanya sama atau tidak sebab quality controlnya tiada (suami saya outstation lagi). He he he... Tetapi menurut rasa lidah saya boleh dikatakan sama. Kuih keria ini pula hidangan untuk minum petang. Mulanya hendak buat cek mek molek tetapi rasa malas pula. Keria ini juga tidak saya sira seperti biasa sebab saya kurang mahir dalam bab sira menyira. Cukuplah saya gelekkan dengan gula pasir yang saya kisar halus jadi kurang sikit manisnya.

Wednesday, October 28, 2009

BEG COMEL BERMANIK DAN BEG SYILING





Beg biru bermanik ini saya belikan untuk anak gadis saya Hamimah penghujung tahun lepas. Waktu itu harijadi kakaknya Syuhadah. Syuhadah pula saya belikan beg tangan berwarna merah samar sesuai sebagai hadiah. Saya tertarik dengan beg manik comel ini kerana kerjatangan pembuatnya sangat halus, manakala manik-manik yang digunakan sangat cantik dan berwarna warni. Apa yang lebih membuatkan saya membeli beg ini ialah kerana ianya berwarna biru, warna kesukaan Hamimah. Namun beg ini tidaklah selasak mana sebab maniknya mudah tanggal. Akhirnya saya belikan Hamimah beg lain, beg manik ini pula saya simpan sebagai kenangan. Beg syiling ini pula adalah pemberian dari staf suami semasa kami tinggal di Kuantan. Kebetulan beliau melancong ke China jadi beliau belikan beg-beg itu untuk ke dua-dua anak perempuan saya. Beg ini juga tidak kurang menariknya kerana dihiasi dengan sulaman yang cantik pada pandangan mata saya. Apa lagi, layan....

Tuesday, October 27, 2009

ULAM ULAMAN







Tengahari tadi ketika saya menemani anak bermain ps2, kakak yang selalu mencuci rumah saya datang menziarah. Bual punya bual terkeluarlah cerita yang beliau telah memetik beberapa jenis daun yang boleh dibuat ulam dari rumah majikannya. Beliau menawarkan sebahagian dari daun-daun itu kepada saya tetapi saya menolak dengan baik. Saya cuma biasa makan ulam raja dan pengaga sahaja. Hehe... Saya cuma mengambil gambar ulam-ulam tersebut. Antara ulam-ulam tersebut ialah daun kaduk, daun salam(biasanya di masukkan ke dalam sayur masak lemak juga), daun ginseng cina, daun 7 warna (menurut kakak ini boleh dibuat ubat barah), daun seribu nyawa dan daun kemangi. Menurut beliau majikan beliau memang minat menanam pelbagai jenis ulam. Daun yang beliau petik pula muda-muda belaka.

Monday, October 26, 2009

KARI AYAM VS KARI IKAN






Agak lama saya tidak menulis dalam ruangan blog ini. Kali ini saya hendak cerita sedikit tentang 2 jenis masakan kari ini. Kari ayam menjadi kegemaran anak-anak saya tetapi tidak dengan suami. Beliau lebih suka makan nasi berlaukkan kari ikan. Beliau siap berpesan dengan saya agar jangan masak ayam dengan menu kari. Jadi sewaktu beliau outstation minggu lepas saya masaklah untuk anak-anak. Setelah siap saya bahagi 2 dengan jiran sebelah. Kari ikan ini pula saya tambahkan nenas di dalamnya. Anak-anak tidak menggemarinya, suami pula sebaliknya. Hehe... Suami pula suka jika dimakan bersama sambal belacan. Mula-mula saya rasa pelik juga, rupa-rupanya keluarga sebelah suami kalau makan nasi berlauk kari ikan mesti ada sambal belacan sebagai sampingan. Kuah ke dua-dua kari ini jika dicicah dengan roti pun sedap. Hehe...

Wednesday, October 21, 2009

CUCUR IKAN BILIS DAN SOTONG MASAK KICAP



Masuk hari ini sudah 3 hari suami saya tiada di rumah. Outstation lagi. Tinggallah kami 4 beranak di rumah. Suami tiada pun saya kena ke dapur juga. Anak-anak pulang dari sekolah tentunya lapar. Kelmarin saya masak ungkep daging, semalam masak paru goreng berlada (orang Kelantan panggil pelempong, hehehe... kalau tak silap saya la). Hari ini masak kicap sotong, petangnya Mimah mengadu lapar jadi saya gorengkan cucur bilis. Adunan cucur ini saya masukkan nasi yang dikisar bersama bawang dan ikan bilis. Adik saya Noni yang mengajarnya. Hasilnya cucur ini lebih lembut dan enak dari biasa walaupun setelah sejuk. Ingatkan tadi hendak buat roti goreng simple tetapi rasa malas pula.

Friday, October 16, 2009

27 SYAWAL emak dalam kenangan...


Hari ini 27 Syawal genap 6 tahun pemergian arwah emak ke alam barzakh. Mudah-mudahan emak damai di sana. Al fatihah.

Sunday, October 11, 2009

ADHAM DAN PENGAT PISANG

Pengat pisang dengan sagu biji


Adham yang hampir pulih dari demam dengan baju singlet baru Ben 10


Dari petang Khamis lepas anak lelaki bongsu saya mengalami demam. Kepanasannya mencecah 39 darjah celcius. Hati emak manalah yang tidak bimbang dan gusar. Malamnya hampir jam 1 pagi suhu badannya naik lagi jadi terketar-ketarlah beliau. Sedih benar hati saya hingga airmata mengalir laju. Setelah saya masukkan ubat ke dalam duburnya dan jelum kepala dan badannya, saya dan suami serta anak-anak gadis menemani Adham ke klinik berdekatan. Doktor yang bertugas memberi ubat demam sirap dan antibiotik. Sepanjang Adham demam kali ini sebanyak 3 kali beliau demam tinggi. Saya pun tidur tidak lena malamnya. Badan Adham akan panas selang 4 jam selepas saya memberi ubat. Malam tadi saya ke klinik lagi, bukan hanya membawa Adham tetapi diri sendiri dan 2 anak gadis saya tidak sihat. Menurut doktor tonsil Adham sudah membengkak dan merah di samping ada putih-putih di tekaknya. Patutlah air liur Adham dibiarkannya mengalir dan beliau selalu mengadu sakit-sakit serta kadang-kadang batuk. Suaranya pun sudah mula serak. Bunyi batuk yang dikeluarkannya amat kesat sekali. Setiap kali mendengar Adham batuk seperti tersiat hati saya. Doktor memberikan ubat titis mulut, antibiotik dan ubat demam. Malam tadi badan Adham panas lagi namun alhamdulillah sudah tidak terketar-ketar lagi. Sukar benar hendak memberi Adham makan ubat. Bukan hanya ubat , makanan dan air juga beliau tidak mahu telan. Bila menelan beliau menangis kesakitan. Menjelang pukul 3 pagi beliau sedar dari tidur dan minta air. Bila saya suakan gelas ke mulut kelam kabut beliau meminumnya, mungkin terlalu dahaga tetapi saat ditelan beliau menutup mulut kesakitan. Sedih betul hati saya. Pagi tadi suami berkemas-kemas kerana perlu menghadiri kursus 'Brain Storming' di JWMarriot di Bangi. Berat betul hati saya hendak melepaskan suami pergi di saat Adham tengah sakit ini namun kerana tuntutan kerja suami terpaksa pergi juga. Pagi tadi pasrah betul saya bila menyuakan gelas air ke mulut Adham dalam hati merintih "Ya Allah, dengan berkat doa Ustaz Lah, Kau sembuhkanlah anak aku". Alhamdulillah Adham beransur pulih, sudah mula hendak minum air, menjamah sedikit nestum dan makan biskut. Ustaz Abdullah merupakan pengasas pengajian pondok di Tal Tujuh. Walaupun badannya kadang-kadang panas tetapi beliau sudah mula boleh bergurau dengan Hamimah. Cuma kadang-kadang sahaja beliau bersuara kerana masih serak dan tekaknya masih sakit. Badannya susut mendadak. Tidak apalah yang penting Adham sihat dan sudah boleh tersenyum. Hari ini kerana badan kurang sihat, tidak cukup rehat dan tidur saya tidak memasak. Anak gadis saya dua-dua dapat cuti sakit 2 hari (mata mereka kena tembel dan si adik dah mula demam). Petangnya saya hanya menyediakan pengat pisang dan menggoreng tempura untuk mengalas perut saya dan anak-anak. Malam nanti saya belum tahu hendak masak apa.

Saturday, October 10, 2009

DAGING GORENG KUNYIT DAN PISANG REBUS

Pisang rebus dengan kelapa parut




Daging goreng kunyit



Tempoh hari saya menyediakan lauk daging goreng kunyit untuk makan tengahari. Sebenarnya saya sudah bosan masak daging dengan menu biasa jadi cubalah masak resepi ini untuk memancing selera suami dan anak-anak. Malang sungguh, rupa-rupanya suami dan anak saya Hamimah tidak menggemarinya (mereka ni suka daging masak kicap). Jadi saya dengan anak yang sulung sahajalah yang menikmatinya. He he he... Minggu lepas dan hari ini saya menyediakan pisang rebus untuk minum petang. Kali ini saya sediakan dengan kelapa parut yang digaul dengan gula halus. Hanya Syuhadah sahaja yang tidak mahu menjamahnya kerana tidak gemar kelapa parut. Menurut makcik yang menjual pisang ini namanya pisang batu, minggu lepas saya menggunakan pisang asam. Apa-apa pun rasanya tetap sedap dan kenyal bila dikunyah. Sepanjang tinggal di Kota Bharu ini, saya mencari pisang kepuk atau nipah (panggilan di Johor) tetapi tidak berjumpa. Pisang ini dibuat makanan apa-apa pun sedap.

Monday, October 5, 2009

KENANGAN SYAWAL 3


Mee jawa yang telah disediakan untuk menjamu selera.


Kerapu tauchu untuk suami.


Khamis lepas pejabat suami mengadakan majlis jamuan hari raya seperti tahun-tahun sebelumnya. Saya diminta menyediakan juadah mee jawa sebagai hidangan sampingan. Mula-mula tu keberatan juga hendak menyediakan kerana penat balik dari kampung rasanya masih belum hilang tetapi atas permintaan staf suami saya tunaikan juga. Oleh kerana tidak sempat ke pasar, kami berbelanja di Tesco sahaja. Sambar apa yang ada, malangnya udang bersaiz sederhana sahaja yang ada (udang ni bila masuk dalam kuah saiznya tambah mengecil. Sedih, sedih...). Tahun lepas dapat beli udang yang besar-besar tetapi di pasar Berek 12 la. Pada hari yang sama suami minta saya masakkan lauk ikan kerapu masak tauchu. Katanya sudah lama tidak makan lauk tauchu, mungkin beliau lupa sebab saya ada masakkan untuk beliau sewaktu berbuka Ramadhan yang lalu. Saya dan anak-anak tidak gemar lauk ini, macam kureng aje...

Saturday, October 3, 2009

KENANGAN SYAWAL 2

Balang kaca berwarna hadiah dari Inna.
Gambar kenangan ketika menginap di Hotel MS Garden, Kuantan.


Terkenang saya sewaktu Syawal ke 2 semasa hendak ke rumah paman seterusnya ke rumah Inna. Jalan dari Ulu Tiram sehingga ke simpang ke Kulai sesak teruk. Adakalanya kenderaan seperti tidak bergerak langsung. Perjalanan yang selalunya hanya lebih kurang 45 minit menjadi 2 jam lebih. Suami sudah mula gelisah, untuk berpatah balik terasa rugi pula sebab sudah separuh jalan. Selepas mengisi perut di restoran 24 jam ( perut jadi lapar bila kereta berjalan tersengguk-sengguk), kami pun meneruskan perjalanan. Sampai di rumah paman, abang dan kakak-kakak serta paman sekeluarga sedang menunggu kami di anjung rumah. Selepas menjamu selera dengan ketupat, rendang dan kuah lodeh, kami pun meneruskan perjalanan ke rumah Inna pula di bandar KT. Setiba di sana Noni dan keluarga telah sedia menunggu di depan pagar. He he... Awal 6 minit. Inna menjamu kami dengan sup ayam kampung 1 periuk besar, ketupat,sambal kicap, babat ungkep, rendang daging siat dan macam-macam lagilah. Cantik betul rumah Inna dihias cantik ala Inggeris. Serba putih, tahun lepas serba pink (Syuhadah suka betul setiap kali melangkah dia akan berkata cantiknya mak, cantiknya mak). He he.. Ketika menyediakan bergedil tauhu saya lihat Usop suami Ina turut sama ringan tangan membantu isterinya. Bahagia sungguh pasangan ini. He he... Selesai solat isya' kami pulang semula ke JB. Alhamdulillah kali ini jalan clear. Ina menghadiahkan kami adik beradik perempuannya sebiji balang kaca besar (saya sudah gunakan untuk mengisi kuah soto) yang cantik. Setiap tahun kami menerima cenderahati dari Ina. Noni pula bagi duit raya. Kelakar pula tua-tua dapat duit raya. He he... Syawal ke 3, saya bersama keluarga suami ke rumah mak su beliau di Kulai. Malamnya saya telah mendapat sms dari Ina yang kak mas buat majlis makan-makan untuk adik beradik pada hari itu. Saya tidak berhasrat memberitahu suami tetapi suami tahu juga sewaktu hendak bertolak ke rumah mak su. Bila suami tahu kak Mas masak siput sedut masak lemak, beliau teruja hendak ke Kluang. Saya pelawa adik ipar, biras, ayah dan emak mertua tetapi mereka enggan pergi kecuali biras yang setuju jadi tidak dapatlah beliau join sama. Dari Kulai saya terus ke Kluang. Kak Mas memang rajin memasak dan apa juga makanan yang terhasil dari air tangannya memang sedap. Hari itu kami dijamu dengan mee goreng, masak lemak siput sedut, sambal tumis sotong kembang, ayam goreng, sayur campur dan asam pedas cili api ikan baung masakan Ina. Petangnya kak Mas masak sambal tumis cili api sardin pula. Sedap betul, kecur bila teringatkannya. Syawal ke 4 saya menziarahi kak Ara di Penggeli Timur. Alhamdulillah suaminya beransur sihat dari sakit yang dihidapinya. Izam, Iza dan Haikal pun ada. Cuma Izi sudah pulang ke rumahnya. Rumah Ita di Skudai dan rumah Noni di Nitar tidak dapat saya ziarah kerana kesuntukkan masa. Namun saya tetap bersyukur kerana Syawal ini Allah menemukan saya dengan bapak dan 8 adik beradik saya dalam suasana yang cukup gembira dan harmoni. Hilang juga rasa rindu walaupun rasanya memang tidak puas berjumpa, bersembang dan bergurau senda. Apatah lagi di antara mereka saya yang paling jauh tinggal. Dalam perjalanan pulang ke Kota Bharu kami singgah 2 malam di Kuantan. Di samping melepaskan lelah dapat juga saya menziarahi jiran lama dan bekas staf suami di sini. Syawal ke 8 kami kembali semula di Kota Bharu. Anak gadis saya masing-masing melahirkan rasa malas hendak balik rumah. Alhamdulillah kami selamat sampai selepas isya'.

Friday, October 2, 2009

KENANGAN SYAWAL 1

Hampir sebulan saya tidak mengupdate blog. Kedatangan Syawal benar-benar membuat saya sibuk. Seminggu sebelum pulang ke kampung saya sudah mula mengemas mana yang patut. Rumah kalau ditinggal lama pasti berhabuk. Pakaian-pakaian ada yang sudah dimasukkan ke dalam beg roda. Kerja mengemas rumah dan pakaian, semua saya lakukan sendiri. Malam sebelum pulang ke kampung saya tidur jam 1.30 pagi. Pukul 4.15 pagi saya sudah bangun menyediakan sahur. Selesai bersahur saya terus membersihkan dapur dan menyusun pinggan mangkuk. Lega rasanya melihat dapur kembali tersusun. Oleh kerana pagi Ramadhan ke 27 hujan lebat kami terpaksa bertolak hampir jam 9 pagi. Tiba di Kuantan selepas waktu zohor. Seperti biasa kami menginap semalam di sini sebelum bertolak ke Johor Bahru keesokkan harinya. Sepanjang perjalanan ke JB, alhamdulillah semuanya lancar berkat doa ibubapa dan adik beradik. Anak-anak gadis saya tidak sabar-sabar lagi hendak sampai ke kampung. Namun sebelum sampai ke Kota Tinggi hujan turun dengan lebat hingga tidak nampak jalan, dalam rasa bimbang saya terus berselawat (inilah pesan bapak saya, banyak-banyak selawat ya). Saya mengingatkan anak-anak agar berselawat sama. Kami bertemu dengan dua kemalangan. Satu kereta dah terbalik masuk dalam parit, kecut perut saya. Yang kedua kereta bertembung depan dengan belakang tapi alhamdulillah tidak apa-apa. Tahun lepas saya bertembung dengan kemalangan yang menggerikan. Betul-betul berlaku di depan mata, bagaimana kereta berpusing-pusing kemudian bertembung dan akhirnya pintu kereta terkopak dan kelihatan kaki pemandu terkulai layu. Saya cukup terperanjat dan sebak. Waktu itu hujan lebat dan semua kereta dipandu perlahan, jalan licin barangkali dan memang takdir Allah untuk hambaNya. Setelah lebih kurang 6 jam perjalanan kami pun sampai ke kampung suami. Beginilah rutin harian saya sepanjang 6 tahun tinggal di tempat orang. Masa memang banyak dihabiskan di kampung suami. Kalau 7 malam di JB, hanya 1 malam di Kulai. Paling lama pun 2 malam. Setelah 15 tahun berumahtangga barulah pertama kali saya dapat merasai malam raya di tempat kelahiran saya. Gembira dalam sayu. Gembira sebab dapat jumpa bapak, kakak-kakak dan adik lelaki. Kalau suami adik perempuan saya tidak ke Mekah mengerjakan umrah pasti beliau join sama. Seronok benar dapat berbual dan bergelak ketawa dengan kak ipah, kak mas dan ita hingga tak sedar jam sudah 2 pagi. Sayu pula bila menggenangkan emak yang telah tiada... Pagi raya setelah selesai solat sunat Aidilfitri suami bergegas mengajak kami balik ke JB. Setelah mohon maaf dengan bapak dan mak da, kami pun bertolak semula ke JB. Kami bermalam di JB hinggalah pulang semula Ke Kota Bharu. Syawal ke 2 saya ke rumah paman (adik lelaki arwah emak di Sg Telur) dan rumah Inna di KT. Syawal ke 3 saya ke rumah pakcik sebelah suami dan kak mas di Kulai dan Kluang. Syawal ke 4, saya ke rumah bapak semula dengan biras dan adik ipar. Mak da bekalkan saya rempeyek dan kuih goyang. He he... Pulangnya kami berpecah sebab saya hendak menziarahi kak ara dan keluarganya. Syawal ke 5, saya dan keluarga mertua beraya ke rumah keluarga belah suami pula, malangnya rumah yang dituju banyak yang tiada penghuninya. Mak mertua saya sudah mula mengeluh tak puas beraya... Syawal ke 6, kami pulang semula ke sarang. Syuhadah, anak sulung saya sudah berjurai-jurai airmata sebab sedih, Hamimah cool sahaja. Saya, entahlah mungkin kalau arwah mak masih ada saya akan berperasaan serupa. Suami pula kelihatan sebak ketika bersalaman, berpelukkan dan berciuman dengan mak dan ayahnya. Mak mertua menangis, menangisi suami saya agaknya... Syawal bagi saya... biarlah rahsia...