Friday, September 11, 2009

TELEKUNG NONI, CAKOI DAN SHOPPING LAGI



Cuma tinggal seminggu lebih lagi saja kita menjalani ibadah puasa. Hari ini pun dah masuk malam ke 22 Ramadhan. Suami saya kelihatan resah sekali apabila sudah tiba hari ke 10 terakhir Ramadhan. Saya tahu beliau sedih untuk meninggalkan segala aktiviti yang dijalani sepanjang bulan puasa ini. Betapa menjalani ibadah puasa telah menghilangkan penyakit anginnya. Seawal 5 pagi bangun untuk sahur, berjemaah solat subuh di masjid berhampiran dan menanti waktu untuk menghantar anak-anak ke sekolah dan pergi berkerja, beliau tidak tidur. Kagum juga saya sebab jika tidak pantang baring terlelaplah beliau. Maghribnya selesai berbuka dan solat, beliau akan berjemaah solat isya' dan bertarawih pula di masjid. Pulangnya beliau akan mengaji pula. Doa saya selepas Ramadhan ini beliau istiqamah dengan apa yang dilakukan. Alhamdulillah setelah berkali-kali mengunjungi Pasar Borong Wakaf Che Yeh dapat juga saya membelikan telekung yang dikirim oleh adik saya Noni. Noni kata ditempatnya telekung yang sama harganya dua kali ganda dari telekung yang dijual di sini. Kalau hendak beli telekung di sini jangan panggil telekung tetapi kain sembahyang. Baru-baru pindah dulu saya selalu salah faham. He he... Sempat juga saya menyambar tudung bawal kerawang hijau lumut untuk mertua saya yang menurutnya pakai tudung tahun lepas yang saya belikan (sebenarnya suami) untuk beraya. Dapatlah beliau beraya dengan tudung baru. He he... Baju-baju yang ditempah telah pun siap dan sebahagiannya telah saya cuci, lipat dan masukkan dalam beg. Anak-anak sudah tidak sabar-sabar hendak pulang ke kampung apatah lagi hari raya boleh bergaya dengan baju, tudung dan kasut baru serta berjumpa dengan sepupu-sepupunya. Lupa seketika naik sekolah lepas cuti raya nanti ada peperiksaan akhir tahun yang menanti. Khamis lalu saya mencuba resepi cakoi dari mamafami. Hasilnya menjadi tetapi rupanya tidak cantik, manakan tidak saya tidak mengikut sukatan sebenar yang diberi. He he... Hari ini urusan membeli belah untuk Syawal telah selesai sepenuhnya, syukur. Serunding daging yang dikirim biras pun telah suami beli. Tinggal lagi mengemas pakaian untuk pulang ke kampung. Ahad ini suami ke Kuala Lumpur lagi untuk bermesyuarat...

Monday, September 7, 2009

TUDUNG BAWAL SYUHADAH


Malam tadi saya ke pasar borong Wakaf Che Yeh lagi. Kebetulan esoknya Kelantan cuti sebab hari Nuzul Quran. Suasana tidak banyak beza dari malam Sabtu yang lalu. Akhirnya setelah membuat satu pusingan kami pun balik. Punyalah banyak kereta dan ramainya manusia. Petang tadi setelah solat asar suami mengajak saya ke Pasar Wakaf Che Yeh lagi. Kali ini suasana lengang, almaklum banyak permis perniagaan yang baru hendak dibuka. Alhamdulillah dapat juga saya membeli sehelai tudung bawal untuk dipakai Syuhadah di pagi raya nanti. Namun saya agak kecewa juga sebab kedai menjual telekung tetap tidak dibuka, malam tutup begitu juga dengan siangnya. Nampak gayanya tidak dapatlah saya mencarikan telekung untuk adik saya Noni. Suami kata boleh cuba lagi pagi Jumaat nanti. Tengoklah macam mana, bosan jugak jadinya. Hari ini dua-dua anak gadis saya demam, kepanasannya mencecah 39 si adik dan 38 si kakak. Selepas ke klinik dan makan ubat, alhamdulillah si adik mulai segar, peliknya si kakak pula yang tumbang dan merengek sakit kepala. Tadi sewaktu disuruh makan muntah-muntah pula di meja makan. Walaubagaimanapun dapat juga mereka makan sekadar mengalas perut sebab hendak makan ubat lagi. Saya pula tidak sempat ke dapur petang tadi. Bahan-bahan mentah yang telah saya keluarkan dari peti sejuk terpaksa dimasukkan kembali. Selepas membeli kain tudung saya menemani suami berjumpa mekanik dan membeli barang kereta. Akhirnya sampai di rumah sudah hampir waktu berbuka. Nasi memang sudah saya masak sebelum keluar jadi tinggal menghidang lauk pauk yang dibeli dan membuat minuman panas sahaja. Nampaknya hari ini tiada karipap inti sardin lah. He he.. Hujung minggu ini saya berhasrat membuat pizza untuk anak-anak, bersemangat pula apabila melihat blog Nannie. Tengoklah macam mana nanti....

Saturday, September 5, 2009

BAWAL OH BAWAL

Malam tadi saya dan keluarga pergi ke Pasar Wakaf Che Yeh. Niat dihati hendak membeli tudung bawal untuk Syuhadah di samping kain telekung yang dikirim oleh adik saya Noni. Sesampai di pasar borong, malang sungguh tidak ada tempat letak kereta yang kosong. Para pengunjung meletakkan kereta mereka sesuka hati tanpa memikirkan kesulitan pengunjung lain. Bukan sahaja kedudukan kereta yang bersimpang siur malahan berlapis-lapis. Kesal dan geram sungguh saya. Ramadhan lalu pun keadaan yang sama berlaku. Bayangkan 3 kali saya pergi, 3 kali tidak dapat meletak kereta. Suami pula orangnya teliti dan bertimbang rasa. Hendak pergi selesai solat Maghrib, suami sayang meninggalkan ibadah tarawihnya. Malam tadi pun sama. Sebelum pasar ini di tapak yang ada sekarang, sama ada Ramadhan atau tidak, tiada masalah hendak meletak kereta. Sesetengah pengunjung sanggup berpusing berkali-kali untuk mencari tempat parking tetapi suami saya tidak gemar berbuat begitu. Akhirnya kami pulang dengan tangan kosong. Suami kata malam Isnin nanti boleh cuba lagi. He he.. Sebenarnya selain pasar borong ini di Pasar Buluh Kubu dan Pasar Khadijah ada juga banyak menjual tudung bawal ini dan harganya ada yang mencecah ratusan ringgit. Malangnya kedudukan ke dua-dua pasar ini terletak di bandar Kota Bharu yang sinonim dengan masalah jemnya. Suami lagilah tidak mahu pergi. Suami akhirnya mencadangkan agar petang ini kami ke pasar malam Pengkalan Chepa sahaja untuk mencari tudung anak di samping itu bolehlah membeli juadah untuk berbuka puasa. Nampaknya tidak berasap lagi dapur saya petang ini tunggu waktu untuk bersahur sahaja nanti...

Friday, September 4, 2009

KARIPAP SARDIN LAGI


Nampaknya karipap inti sardin buatan saya sudah menjadi hidangan wajib setiap kali berbuka puasa. Melihat anak-anak dan suami menggemarinya memberi semangat kepada saya untuk terus menyediakannya setiap hari mungkin hingga Ramadhan berakhir. Selalunya kalau hujung minggu sahaja saya bercuti ke dapur jadi tidak dapatlah saya membuatnya. Mudah sahaja membuat karipap ini jika intinya telah kita sediakan terlebih dahulu. Selalunya untuk 2 tin kecil sardin saya boleh menyediakan sekurang-kurangnya 40 biji karipap comel. Saya tidaklah mengoreng semua karipap ini, selalunya saya bahagikan 2 ke 3 hari. Suami saya pula tidak suka gorengan karipap yang perang, beliau lebih suka yang ke arah hangus. He he... Bukan setakat karipap sahaja, kalau hendak membeli apa-apa kuih pun mesti yang kelihatan agak hangus. Ketika ke bazar Ramadhan tempoh hari beliau siap berpesan pada penjual kuih akok supaya carikan kuih yang hitam-hitam. Makcik itu pun macam hendak tergelak, ialah mungkin selama ini pelanggan beliau lebih memilih kuih akok yang dibakar cantik. Begitu juga sekiranya hendak membeli pisang goreng, yang gelap lah pilihannya. Saya selalu memperli beliau cari isteri hendak putih melepak pulak. He he.. Di Kota Bharu ini saya menemui berbagai spesis kuih yang tidak pernah saya jumpa sepanjang tinggal di Johor dan Pahang. Kuih-kuihnya sedap-sedap belaka dan banyak berasaskan pulut. Manis memang sinonim dengan kuih muih di sini. Oleh kerana itu bila suami beli karipap di sini intinya mesti manis. He he... Jadi kurang berseleralah dia. Hari ini saya juga menyediakan juadah ikan bakar yang saya balut dengan aluminium foil serta udang masak serai. Resepi udang ini saya pernah buat sebelum bulan puasa dahulu dan suami kata sedap jadi saya buat lagilah. Pada mulanya saya hendak masak sambal goreng sahaja tetapi sayang pula sebab saiz udang itu agak besar jadi menu pun ditukar. Anak gadis saya yang sulung tidak sukar memenuhi seleranya tetapi anak gadis saya yang kedua, dari hari pertama berpuasa kicap manis menjadi hidangan utama. Makan sayur lemak pun dengan kicap. Mudahnya anak ke dua saya ini kalau terasa hendak makan apa-apa, beliau akan bersuara sementara si kakak, ikut emaklah, ikut ayahlah, ikut adiklah. He he... Kadang-kadang kita pun pening memikirkan kehendak beliau.

Wednesday, September 2, 2009

KABINET TV BARU

Semalam ketika saya sedang sibuk menyediakan juadah berbuka di dapur, anak gadis sulung saya kelam kabut ke dapur memberitahu,'' mak,mak, ada orang lelaki ketuk pintu". Saya pun suspen la sebab sejak tinggal di KB ni jarang kami dikunjungi tetamu. Saya pun mencapai tudung dan menguak sedikit pintu. Alahai, rupa-rupanya ada orang hendak menghantar kabinet tv. Saya pun jadi serba tak kena sebab suami belum balik dari kerja. Suami pun tidak memberitahu saya terlebih dahulu. Lega rasanya sebab ketika urusan angkat mengangkat kabinet tersebut suami pun sampai di rumah. Kabinet dari kayu solid ini walaupun nampak comel tetapi beratnya masyaallah. Suami saya ni memang minat membeli perabut. Sejak pindah ke KB ni, banyak juga perabut yang beliau beli. Alasannya hendak cantikkan rumah. He he... Malangnya rumah sewa, kalau rumah sendiri saya berlebih lagi ringan tangan hendak menghias rumah. Memang suami berhajat hendak membeli rumah sendiri di Kelantan ini tetapi disebabkan taraf kami orang luar payah le sedikit. Paling tidak yang boleh dibeli apartment yang menghadap Sungai Kelantan dan berdekatan dengan Hotel Ridel. Saya ni pula sejak pindah ke sini macam tertutup nafsu hendak menghias rumah. Rumah saya ni terletak betul-betul di tepi jalan. Walaupun jalannya sempit tetapi sibuk digunakan orang lalulalang sama ada berkenderaan atau tidak. Jadi kalau pagi mengelap lantai tidak sampai petang sudah berhabuk. Sedih, sedih... Berbalik pada suami yang suka menghias ini, selain daripada itu beliau juga gemar mengalih-alihkan perabut. Itu pun kalau beliau tidak sibuk dan stress dengan kerja la. Suami sibuk mengendeng saya agar membeli pasu besar dengan bunga untuk di letak di tepi kabinet baru ini. InsyaAllah selagi ada pitihnya dan tidak berlebih-lebihan. Hujung minggu ni ingat hendak ajak suami mengintai-intai di SSF. SSF ni dekat dengan rumah saya tetapi kalau jalan kaki mahu sengal kaki dan basah ketiak. Ialah umur pun makin meningkat stamina pun kurang. He he...Justify Full

Tuesday, September 1, 2009

SHOPPING RAYA


Semalam selepas menunaikan solat zohor suami bertanya nak beli baju dan kasut anak-anak kat mana. Saya kata senang beli dekat Billion aje. Billion ini letaknya dekat sahaja dengan rumah saya. Sesampai di Billion, kami terus menuju ke tingkat 2 yang menempatkan pakaian kanak-kanak. Ramainya keluarga yang datang dengan tujuan yang sama, lebih-lebih lagi semalam cuti Hari Kemerdekaan Malaysia yang ke 52. Di dalam kesesakkan itu, alhamdulillah dapat juga membeli pakaian dan kasut anak-anak. Adham siap nak beli cap snails and sons sekali. Belikan lah juga sebab masih ada budget. Dulu memang ada belikan Adham cap semasa hendak bercuti ke Pulau Perhentian tetapi entah macam mana boleh tertanggal talinya. Sementara anak-anak gadis saya memilih kasut idaman hati saya teringat masa kecil-kecil dahulu. Dulu kalau nak raya bapak saya pun sibuk hendak belikan kasut tetapi kami tidak pernah mengikut bapak ke bandar untuk membelinya. Untuk mengukur saiz cukuplah hanya dengan menggunakan lidi atau tali dan diletakkan di atas telapak kaki mengikut kepanjangannya. Pakaian pula selalunya emak membeli kain kapas berbunga beberapa ela untuk dibuat sama ada baju maxi, gaun atau kurung. Kerja jahit menjahit diserahkan pada kakak saya yang ke dua iaitu kak Ipah ( sampai sekarang beliau masih menjahit dan menerima tempahan terutama menjelang Syawal). Hasilnya cukup memuaskan hati saya waktu itu. Bila saya sudah bersekolah menengah berhari raya dengan baju kurung sahaja lah. Emak pula tidak lagi membelikan kain ela dari jenis kapas. Namun beraya zaman budak-budak masih terasa kemanisannya. Berbalik pasal kisah shopping tadi, suami juga sempat membeli sehelai kemeja kain linen dan 2 helai t.shirt. Saya suruh beliau membeli seluar panjang sekali tetapi beliau menolak pula. Saya pun dapat membeli sehelai t.shirt Brittannia untuk adik lelaki saya. Untuk kakak-kakak dan adik perempuan, bapak, mak da dan mak mertua sudah awal-awal saya sediakan cenderahatinya. Begitu juga buat biras yang tidak pernah lupa menghadiahkan saya ole-ole setiap kali menjelang Syawal. Walaubagaimana pun urusan shopping ni tak selesai lagi, insyaAllah hujung minggu ini akan dibereskan. Kalau sudah selesai lapang sikit kepala. Sepanjang tinggal di Kota Bharu ini saya tidak pernah membuat kuih raya kerana selalunya setelah seminggu beraya di kampung dan pulang ke sini suasana Aidil Fitri sudah tidak terasa. Tetamu pun satu ke dua keluarga sahaja yang berziarah ke rumah. Selalunya kami dapat kuih raya percuma dengan tidak diduga dan ada yang dibeli sendiri. Kakak saya Inna pun selalu memberi kuih raya, sampai malu pulak nak menerima. Anak-anak gadis saya le suka sebab mereka kata kuih-kuih raya dekat rumah mak Inna sedap-sedap. Jiran-jiran pun ada yang memberitahu di sini raya seminggu sahaja. Jadi bila balik dari kampung terasa malu untuk berkunjung ke rumah mereka. Apa pun pada saya, Syawal tetap meriah di mana-mana dan hati berbunga bila melihat anak-anak bahagia..