Friday, September 11, 2009

TELEKUNG NONI, CAKOI DAN SHOPPING LAGI



Cuma tinggal seminggu lebih lagi saja kita menjalani ibadah puasa. Hari ini pun dah masuk malam ke 22 Ramadhan. Suami saya kelihatan resah sekali apabila sudah tiba hari ke 10 terakhir Ramadhan. Saya tahu beliau sedih untuk meninggalkan segala aktiviti yang dijalani sepanjang bulan puasa ini. Betapa menjalani ibadah puasa telah menghilangkan penyakit anginnya. Seawal 5 pagi bangun untuk sahur, berjemaah solat subuh di masjid berhampiran dan menanti waktu untuk menghantar anak-anak ke sekolah dan pergi berkerja, beliau tidak tidur. Kagum juga saya sebab jika tidak pantang baring terlelaplah beliau. Maghribnya selesai berbuka dan solat, beliau akan berjemaah solat isya' dan bertarawih pula di masjid. Pulangnya beliau akan mengaji pula. Doa saya selepas Ramadhan ini beliau istiqamah dengan apa yang dilakukan. Alhamdulillah setelah berkali-kali mengunjungi Pasar Borong Wakaf Che Yeh dapat juga saya membelikan telekung yang dikirim oleh adik saya Noni. Noni kata ditempatnya telekung yang sama harganya dua kali ganda dari telekung yang dijual di sini. Kalau hendak beli telekung di sini jangan panggil telekung tetapi kain sembahyang. Baru-baru pindah dulu saya selalu salah faham. He he... Sempat juga saya menyambar tudung bawal kerawang hijau lumut untuk mertua saya yang menurutnya pakai tudung tahun lepas yang saya belikan (sebenarnya suami) untuk beraya. Dapatlah beliau beraya dengan tudung baru. He he... Baju-baju yang ditempah telah pun siap dan sebahagiannya telah saya cuci, lipat dan masukkan dalam beg. Anak-anak sudah tidak sabar-sabar hendak pulang ke kampung apatah lagi hari raya boleh bergaya dengan baju, tudung dan kasut baru serta berjumpa dengan sepupu-sepupunya. Lupa seketika naik sekolah lepas cuti raya nanti ada peperiksaan akhir tahun yang menanti. Khamis lalu saya mencuba resepi cakoi dari mamafami. Hasilnya menjadi tetapi rupanya tidak cantik, manakan tidak saya tidak mengikut sukatan sebenar yang diberi. He he... Hari ini urusan membeli belah untuk Syawal telah selesai sepenuhnya, syukur. Serunding daging yang dikirim biras pun telah suami beli. Tinggal lagi mengemas pakaian untuk pulang ke kampung. Ahad ini suami ke Kuala Lumpur lagi untuk bermesyuarat...

No comments:

Post a Comment