Showing posts with label pencuci mulut. Show all posts
Showing posts with label pencuci mulut. Show all posts

Friday, December 14, 2012

PUDING HORLICKS KOKTAIL



Assalamualaikum dan selamat pagi semua. Puding horlicks berkoktail ini terhasil untuk menghabiskan stok horlicks di rumah. Beli kerana teringin hendak minum tetapi bila sudah dibeli adalah sekali dua saya membancuhnya, macam kurang enak bila mengalir di anak tekak. Hendak menghabiskan segelas pun bercinta. Jadi dari terbiar menjadi luput tarikh lebih baik saya campurkan bersama puding koktail ini. Alhamdulillah, enak rasanya. Apatah lagi dimakan dalam cuaca panas seusai dikeluarkan dari peti sejuk.




Untuk resepinya saya berikan di bawah. Bolehlah dikongsikan bersama yang berminat hendak mencuba. Mudah sahaja resepinya. Memang menjadi kebiasaan saya. Saya lebih suka resepi yang mudah-mudah untuk dicuba. Yang penting menjadi dan sedap. 

Bahan-bahannya:

20 gm agar-agar tali
5 cawan air
1 cawan horlicks
1 tin susu cair
1/4 cawan tepung kastard
1/4 cawan gula - kalau suka manis boleh tambah
1 tin koktail - asingkan sirap dan buah2annya

Cara-caranya:

1. Cuci agar-agar tali. Rendam bersama 5 cawan air seketika.
2. Masak agar-agar tadi hingga larut dan mendidih. Tambahkan sirap dari buah-buahan koktail tadi.
3. Masukkan susu cair dan gula. Kacau hingga gula larut dan sebati. Perlahankan api.
4. Bancuh horlicks dengan sedikit air dan curah dalam larutan agar-agar tadi. Kacau rata.
5. Bancuh tepung kastard dengan sedikit air dan masukkan dalam adunan agar-agar tadi. Kacau sebati.
6. Basahkan acuan dengan air, taburkan buah-buahan koktail yang telah ditoskan dari sirapnya tadi dan curahkan larutan agar-agar di atasnya.
7. Masukkan dalam peti sejuk dan bila sudah membeku sejuk bolehlah dipotong-potong untuk dinikmati.


Friday, September 28, 2012

PUDING ROTI KARAMEL




Assalamualaikum dan salam sejahtera semua ini. Di kesempatan ini saya hendak kongsikan pula pencuci mulut yang memang sudah ramai rakan blogger membuatnya. Saya pula barulah hendak mencubanya. InsyaAllah rasanya memang sedap. Lebih-lebih lagi bila dimakan waktu cuaca panas.

Resepinya saya ambil dari blog Yatie. Terima kasih Yatie. Puding ini pun sebenarnya sudah lama saya tetapi oleh kerana kekangan masa hendak menulis di blog saya simpan dahulu dalam kad memori kamera.
Resepinya saya terus salin dan tampal dari blog Yatie.:))


Bahan-bahan
  • 3 sudu besar gula untuk dijadikan gula hangus
  • 4 keping roti gardenia
  • 3 biji telur A @ 4 biji gred B - di pukul manja dan di tapis
  • 1 cawan air suam
  • 1 cawan susu cair
  • 1/2 cawan susu pekat - Yatie letak 3/4 cawan susu pekat
  • 1 sudu kecil esen vanilla
Cara-cara
  1. Cara membuat gula hangus , masukkan gula ke dalam kuali, masak hingga gula jd perang (guna api kecil takut hangit). Kemudian masukkan 1 sudu besar air panas, (berhati2 gula panas). kacau hingga sebati dan matikan api. Tuang terus dalam loyang. Ketepikan.
  2. Panaskan pengukus.Carik2kan roti kemudian blender bersama air suam dan susu.
  3. Selepas itu masukkan telur yang sudah ditapis itu dan masukkan esen vanilla. Blend sekejap agar sebati. Tuang adunan tadi kedalam loyang gula hangus dan kukus sehingga masak.(40min-1jam) - Yatie kukus 30minit je.
  4. Sejukkan dahulu barulah di potong dan hidangkan.

Sunday, July 8, 2012

PENGAT LABU MANIS + CANDIL GANDUM




Assalamualaikum dan selamat petang semua. Entri hari ini lahir dari perbualan bersama emak mertua beberapa hari yang lalu. Semuanya berkisar tentang rancangan pertandingan masakan di Astro Prima iaitu Jaguh Kampung dan mengambil tempat di perkampungan di Kota Bharu, Kelantan. Mertua terpandang peserta memasak bubur biji nangka lantas menelefon saya, maklumlah saya pernah tinggal di KB lebih kurang 4 tahun lamanya jadi beliau bertanyalah.
Perbualan kami berdua akhirkan menyentuh tentang bubur candil yang lebih kurang sama sahaja dengan bubur butir@biji nangka cuma dalam kuah bubur butir nangka ada dicampurkan dengan halba. Bubur candil gandum ini ilham arwah emak saya yang alah memakan pulut dan yang sewaktu dengannya. Melihatkan labu manis yang terbiar saya pun teruslah membuat pengatnya bersama candil gandum ini.
Resepinya seperti di bawah...

Bahan-bahan:

1/2 biji labu saiz sederhana besar - kupas kulit dan potong dadu
2 cawan santan pekat
2 keping manisan + gula secukup manis - masak dengan 1 cawan air hingga larut
5 helai daun pandan - siat dan simpulkan
Air biasa secukupnya

Untuk candil gandum:

1 cawan tepung gandum
Air secukupnya untuk menguli

Cara-caranya:

1. Uli tepung bersama air hingga menjadi doh dan tidak melekat dengan jari-jari tangan. 
2. Ambil sebesar duit 10 sen dan gentel bulat.
3. Buat hingga doh habis. Jangan letak bertingkat-tingkat, biarlah tepung yang digentel bulat ini tidak bertindih antara satu sama lain supaya tidak melekat.
4. Ketepikan.
5. Dalam periuk masukkan potongan labu manis, air hingga labu manis tenggelam dan simpulan daun pandan.
6. Bila kuah mendidih masukkan candil gandum tadi dengan hati-hati jika tidak terpaksa digentel lagi.
7. Kacau rata dan masukkan santan pekat bila labu manis hampir empuk. 
8. Masukkan manisan + gula yang telah dicairkan dan ditapis terlebih dulu.
9. Bila kuah mendidih, labu manis empuk dan candil gandum masak bolehlah ditutup api.
10. Boleh dihidang panas-panas atau pun ketika sejuk.

Friday, July 6, 2012

KASTARD SUSU LAPIS JELI BERKOKTAIL

Assalamualaikum dan selamat petang semua. Pencuci mulut yang sangat senang disediakan dan enak pula rasanya. Sesuai dimakan waktu panas dan sewaktu berbuka puasa. Lebih kurang seperti triffle tetapi saya ubah sedikit jadi lebih mudah dan tidak semanis triffle. Bila umur sudah meningkat ini rasanya tidak lalu hendak makan makanan yang manis-manis.

Bahan-bahannya:

1 cawan tepung kastard
1 cawan gula
4 cawan susu segar
1 cawan air biasa
1 kotak jeli segera perasa strawberry
1 tin buah-buahan koktail

Cara-caranya:

1. Toskan buah-buahan koktail dari sirapnya. Ketepikan.
2. Dalam periuk bancuh hingga larut tepung kastard bersama susu segar dan air.
3. Tambahkan gula.
4. Masak campuran ini hingga likat.
5. Masukkan kastard yang telah likat di dalam bekas lutsinar yang disukai.
6. Masak jeli segera mengikut arahan sepertimana di kotak.
7. Taburkan buah-buahan koktail atas kastard tadi dan curahkan jeli secara merata di atasnya.
8. Sejukkan dan hidangkan.

Thursday, July 5, 2012

LENGKUNG KENANGAN...




Assalamualaikum dan salam sejahtera semua. Pagi sudah pun menginjak tengahari. Rasanya ini entri terakhir saya dan selepas ini tidak tahu bila dapat mengemaskini blog saya lagi. Sebenarnya ini agar-agar biasa yang paling sempoi namun penuh kenangan buat saya dan adik beradik yang lain.

Arwah emak biasanya buat agar-agar ini yang dipanggil kami semua sebagai lengkung setiap kali ada majlis bacaan yasin kumpulan lelaki atau wanita dan juga majlis-majlis kenduri lain. Rasanya manis dan aromanya wangi haruman daun pandan. Rupanya cantik jelita kemerah-merahan. Hehehe... Lengkung ini banyak meninggalkan kenangan manis saya bersama arwah emak yang sungguh rajin memasak walaupun sedang sakit teruk.
Moga Allah sentiasa mencucuri rahmat ke atas roh arwah emak, moga arwah emak lebih-lebih berbahagia di alam barzakh. Aaminnn...

Untuk membuat agar-agar ini kita perlukan:

20 gm agar-agar tali - cuci dan rendam seketika
1 cawan gula
7 cawan air biasa
5 helai daun pandan - siat tengah dan simpulkan
sedikit pewarna merah

 masak agar-agar bersama air dan daun pandan hingga agar-agar hancur
tambahkan gula dan sedikit pewarna merah
biarkan mendidih dan menggelegak
padamkan api dan keluarkan daun pandai
basahkan loyang dengan air
tuangkan agar-agar tadi dalam loyang dengan berhati-hati
sejukkan sebelum dipotong

Memang sangat mudah membuat agar-agar yang penuh kenangan ini.....

Thursday, September 22, 2011

PUDING KUAH YATIE



Assalamualaikum dan selamat pagi semua. Hampir sebulan saya tidak membuat entri baru di sini. Maklumlah blog ini pun dihadirkan sekadar suka-suka. Bila ada masa terluang, dikurniakan kerajinan dan ilham saya menulislah.
Ramadhan lepas saya ada meminta keizinan dari Yatie blogger 'Sinar Kehidupanku' untuk mencuba resepi puding beliau. Saya amat tertarik dengan puding kuah hasil dari air tangan beliau. Nampak cantik sahaja sepertimana tuan yang membuatnya. Terima kasih Yatie. Memang sedap sepertimana rupanya.
Saya biasa membuat puding kuah ini sebab memang pencuci mulut kegemaran saya dan selalunya saya campurkan kisaran halus jagung dalam tin di dalam adunan kastardnya.
Jom kita lihat resepinya. Yatie, izinkan akak c&p di sini pula ya. Terima kasih daun keladi, hehehe.


Bahan2 Utk Puding
  • 1 cwn tepung kastard
  • 4 1/2 cwn air
  • 1/2 cwn susu cair
  • 1/2 cwn gula
Cara-Cara
  1. Satukan tepung kastard bersama gula, susu cair dan air. Gaul semuanya.
  2. Masak di atas api sederhana sehingga agak pekat dan kacau sentiasa. Biasanya dlm anggaran 20 minit. Setelah agak pekat, matikan api dan tuang dlm bekas2 kecil atau loyang.
  3. Biarkan sejuk sebentar dan simpan dlm peti sejuk. Setelah beku barulah boleh di hidangkan.
Bahan Utk Kuah

  • 1 tin buah-buahan dalam tin
  • 1 tin susu cair
  • 1 tin air biasa (air masak)
  • 1 cwn gula( terpulang pd masing2 ya..)
  • ketulan ais secukupnya
Cara-Cara
  1. Masak gula bersama air(sekadar gula hancur je..). Setelah itu biarkan sejuk.
  2. Setelah air gula sejuk, bolehlah tuang buah-buahan dalam tin dan susu.
  3. Ambil puding tadi dan masukkan kedlm mangkuk...tuangkan kuah yg bercampur buah-buahan dalam tin.
  4. Sedap di makan ketika sejuk. Boleh juga di letak ketulan ais.
**Biasanya saya guna air masak biasa campur dngn susu cair dan gula saja. Lepas tu tuangkan buah laici.Gaul sebati dan letak sedikit ketulan ais. Barulah di hidangkan bersama puding kastard.


Tuesday, August 23, 2011

BUBUR CANDIL TEPUNG PULUT



Assalamualaikum dan selamat pagi semua. Bubur candil hasil dari mencari resepi di internet dan belajar dari arwah emak. Arwah emak jarang menggunakan tepung pulut untuk membuat bubur candil, biasanya arwah akan gunakan tepung gandum. Rasanya lebih kenyal dan enak. Arwah akan campurkan candil yang pucat warnanya bersama pengat ubi yang kami panggil kolak. Saya dan adik perempuan biasanya akan berlumba-lumba menggentel candil secepatnya. Hehe...
Manisnya kenangan lalu bersama arwah emak yang kulitnya putih kemerahan, berambut panjang ikal yang sering disanggul, yang teramat manis senyumannya (arwah emak seorang yang sangat serius), yang rajin dan pandai memasak, yang sebelum subuh sudah sedia bersimpuh di atas sejadah menanti azan sambil mengaji al Quran, yang solat di awal waktunya, yang hanya ketawa kecil (belum pernah mendengar emak ketawa besar sepanjang hayatnya), dan sentiasa menjamu bapak dengan menu-menu yang bapak suka tanpa memikirkan selera arwah sendiri... Banyak lagilah, tidak mampu saya uraikan satu persatu....
Sebak pula rasanya. Aduhai, beginilah hidup. Saya pun pasti akan mengikut jejak arwah emak cuma entah bila...
Baiklah kita kongsi pula resepi bubur candil ini, perlu diingatkan bukan resepi saya sebab saya cedok sana-sini di internet dan belajar dari pemerhatian bersama arwah emak.

Bahan-bahannya:

2 cawan tepung pulut
1 sudu kecil air kapur
air secukupnya untuk menguli
7 helai daun pandan - disiat dan disimpul
2 cawan santan pekat
air secukupnya
1 cawan gula
pewarna merah, hijau dan kuning

Cara-caranya:

1. Uli tepung pulut bersama air kapur dan air hingga menjadi seperti doh, tidak melekat pada jejari tangan.
2. Bahagikan tepung pulut kepada 3 bahagian dan warnakan setiap bahagian dengan merah, hijau dan kuning.
3. Rebus hingga mendidih air dalam periuk dan masukkan candil berwarna sebahagian-sebahagian.
4. Bila candil telah timbul, tapis dan masukkan dalam bekas yang berisi air masak sejuk. Buat hingga habis.
5. Dalam periuk lain masak gula bersama air secukupnya. Masukkan daun pandan. Bila gula telah hancur dan air mendidih, masukkan pula santan. Perlahankan api dan kacau selalu hingga kuah ini mendidih sekali lagi.
6. Tapiskan candil tadi dan masukkan dalam kuah, biar mendidih sekali lagi barulah tutupkan api. Pastikan api sentiasa kecil ke sederhana dan hendaklah sentiasa dikacau agar santan tidak berketul-ketul.

Wednesday, August 3, 2011

AGAR-AGAR COKLAT



Bahan-bahannya:

20 gram agar-agar tali
5 cawan air
1 tin susu pekat manis
1/2 cawan gula
1/2 cawan koko - bancuh dengan sedikit air panas

Cara-caranya:

1. Rendam agar-agar 1 jam atau lebih.
2. Cuci bersih agar-agar dan toskan.
3. Masak agar-agar dengan 5 cawan air hingga larut.
4. Masukkan gula dan susu pekat manis. Kacau hingga larut. Pastikan api yang digunakan tidak terlalu besar.
5. Tambahkan larutan koko. Kacau sebati.
6. Masak hingga mendidih dan tuang ke dalam acuan yang digemari.
7. Sejuk beku sebelum dihidangkan.

Monday, July 25, 2011

AGAR-AGAR BANDUNG ROS



Assalamualaikum. Agar-agar ini sesuai dimakan sewaktu musim panas dan masa berbuka. Maklumlah hanya tinggal beberapa hari sahaja kita akan menyambut bulan Ramadhan. Sekarang ini pun rasanya ramai yang berpuasa sunat mahupun menghabiskan hutang berpuasa yang lalu. Cara penyediaannya sangat mudah dan yang paling penting 'nyaman' kata orang Sarawak. Hehe... Jom sama-sama kita intai-intai resepinya...

Bahan-bahannya:

20 gm agar-agar tali
1 cawan gula pasir
5 cawan air
1 tin susu cair
beberapa titik pewarna merah
beberapan titik esen ros

Cara-caranya:

1. Rendam agar-agar sejam atau lebih. Cuci bersih, toskan dan masukkan dalam periuk.
2. Tambahkan 5 cawan air dan masak agar-agar tadi hingga hancur.
3. Masukkan gula dan masak lagi hingga gula hancur. Gunakan api sederhana.
4. Masukkan susu cair, pewarna merah dan esen ros. Kacau sebati.
5. Biarkan hingga mendidih dan tuangkan ke dalam acuan yang disukai.
6. Sejuk bekukan sebelum dimakan. Selamat mencuba...


Sunday, April 10, 2011

AGAR-AGAR KOKTAIL TROPIKA





Assalamualaikum dan selamat petang semua. Agar-agar penyejuk dan penyedap tekak waktu cuaca panas menggila ini. Sebenarnya sudah lama agar-agar tali dan koktail tropika saya ini menganggur dalam almari barang tetapi rasa malas hendak membuatnya. Akhirnya menjadi juga agar-agar ini. Hehe... Jom kita kongsi resepi mudah ala campak-campak saya. Yang penting sedap...

Bahan-bahannya:

1 paket agar-agar tali
1/2 cawan gula
1 tin susu cair
1 tin koktail tropika - asingkan sirap dan buahnya
5 cawan air

Cara-caranya:

1. Masak agar-agar dengan air hingga larut dan mendidih.
2. Masukkan sirap koktail, gula dan susu cair. Masak lagi hingga mendidih.
3. Basahkan acuan dengan air biasa kemudian masukkan buah-buahan koktail tadi di dalamnya.
4. Tuangkan agar-agar tadi ke dalam acuan.
5. Sejukkan di dalam peti sejuk dan bolehlah dipotong-potong.


Sunday, April 3, 2011

PUDING ROTI MARBLE HANA



Assalamualaikum dan selamat tengahmalam semua. Puding ini saya buatkan untuk anak-anak. Memang enak dimakan semasa cuaca panas terik pulang dari sekolah. Sekarang cuaca memang kurang menentu. Resepi saya ambil dari blog Hana. Terima kasih dan izinkan kakak c&p di blog kakak pula. Mata pun sudah naik kelat, jom layan...


Bahan-bahan
  • 4 keping roti
  • 2 biji telur
  • 1/2 cawan susu pekat
  • 170ml susu cair
  • 8gram serbuk agar2
  • 1/2 cawan gula - bleh kurangkn
  • 2 sudu besar butter/marjerin (cairkan)
  • 31/2 cawan air= hana gune cwn biasa 230ml
  • 2 sudu besar serbuk koko (bleh juga guna choc emulco)
Cara-cara
  1. Didihkan 3 cwn air,serbuk agar2 n gula ke dalam periuk.
  2. Blend roti,telur,susu pekat, susu cair dan balance air tadi (1/2 cwn). Kemudian masukkan dalam periuk agar2 yg sudah didih td.
  3. Masukkan butter/marjerin dan kacau rata sampai mendidih. matikan api.
  4. Bahagi kepada 2. satu adunan biarkan warna asal. dan satu adunan masukkan serbuk koko@choc emulco. kacau cepat2!
  5. Tuang ke dalam loyang secara berselang seli. sesenduk adunan asal kemudian sesenduk lagi adunan coklat. ulang hingga habis! ketika melapis@me'marble'kan hendaklah dengan CEPAT sbb puding@agar2 nih mudah sejuk@membeku.
  6. Dah siap bolehlah di simpan di dalam peti sejuk sekurang2nya sejam. Enak dmakan ketika sejuk

Tuesday, August 17, 2010

PUDING COKLAT LAGI...


Assalamualaikum dan selamat petang. Puding coklat sebagai pencuci mulut untuk suami dan anak-anak berbuka. Mula-mula berniat hendak buat puding laici atau puding buah-buahan koktail tetapi awal-awal Hamimah menolaknya.



Mula-mula masukkan cairan puding ke dalam acuan ini tetapi bakinya masih ada jadi saya masukkan pula ke dalam acuan kecil-kecil yang biasanya saya gunakan untuk mengukus apam. Kemudian masukkan pula dalam peti sejuk. Bila sudah beku dan sejuk memang sedap dimakan. Teksturnya sangat lembut menurut saya la. Hehe... Kita kongsi pula resepi mudahnya...



Bahan-bahannya:

30 gram agar-agar tali - saya lebih mesra menggunakannya
3 senduk gula pasir
1 tin susu cair
11/2 kole air
1 cawan koko - 1/4 daripadanya milo, dibancuh dengan sedikit air panas

Cara-caranya:

1. Cuci agar-agar dan toskan airnya. Masak agar-agar dengan air hingga larut.
2. Tambahkan gula dan kacau hingga larut. Tambahkan dengan susu cair dan larutan kokomilo tadi. Kacau sebati.
3. Masak hingga adunan agar-agar mendidih dan kelihatan berkilat.
4. Masukkan dalam acuan dan bekukan.

Wednesday, July 28, 2010

PUDING ROTI MARBLE


Assalamualaikum dan salam tengahari buat pengunjung dapur kecil saya ini. Semalam saya cerita tentang puding roti rasa coklat, hari ini kita sembang tentang puding roti marble pula. Hehe... Puding roti marble ini dipopularkan oleh ibu muda, Hana yang pakar memasak nun di Jepun sana. Di rumah Izah (pakar muffin) pun ada, di rumah Chik Mimi (wanita berkerjaya) dan di rumah Yatie yang cantik manis serta suka memasak pun ada. Sekarang ada pula di dapur saya pula. Rasanya memang sedap, tidak sempat saya hendak snap gambar puding yang telah di potong. Jom jamu mata...



Saya letakkan resepi puding roti marble ini seberapa ringkas di bawah, bagi sesiapa yang teringin mencuba dan mahukan resepi yang lebih terperinci bolehlah ziarah dapur-dapur hebat Hana, Izahdaut, Chik Mimi dan Yatie....

Bahan-bahannya:

4 keping roti*
2 biji telur*
1/2 cawan susu pekat*
170 ml susu cair*
8 gram agar-agar serbuk
1/2 cawan gula
2 sudu besar mentega cair
31/2 cawan air
2 sudu besar koko

Cara-caranya:

1. Rebus 3 cawan air dan serbuk agar-agar hingga larut dan mendidih. Tambahkan dengan 1/2 cawan gula. Kacau lagi.
2. Kisar bahan-bahan bertanda * dengan baki 1/2 cawan air tadi hingga hingga halus.
3. Masukkan bahan-bahan kisar ke dalam adunan agar-agar dan kacau sebati.
4. Bahagikan kepada 2 bahagian. Sebahagian dibiarkan dengan warna original dan sebahagian lagi dicampurkan dengan koko.
5. Marbekan agar-agar tadi berselang seli sudu demi sesudu dengan kadar pantas sebab adunan agar-agar ini cepat beku.
6. Sejukkan dalam peti sejuk, dipotong-potong dan nikmatilah kesedapannya. Hehe...

Tuesday, July 27, 2010

PUDING ROTI RASA COKLAT


Assalamualaikum dan selamat petang teman memasak semua. Puding roti ini memang rasa coklat sebab saya gunakan susu segar perasa coklat untuk membuatnya. Bukan apa saja hendak menghabiskan stok susu segar coklat dan roti yang kian menghampiri tarikh luput. Sesekali inginkan kelainan apa salahnya. Hehe... Puding roti saya ini garing di bahagian atas tetapi lembab di bahagian bawahnya. Sepatutnya saya menggunakan api bawah 10 minit terakhir sewaktu membakarnya tetapi malas pula hendak menunggu. Cepat siap, cepat sejuk dan cepatlah juga masuk mulut anak-anak.





Bahagian atas puding yang garing dan enak. Macam rasa kuih bingka roti sewaktu menjamahnya. Saya dan anak-anak memang suka bahagian yang garing ini. Suami memang tidak gemar makan apa-apa jenis puding, lagi pun beliau berada nun di Penang bermesyuarat.




Kalau teringin mencuba resepi ini bolehlah jenguk entri lama saya lewat lebel pencuci mulut. Cuma saya gantikan susu segar biasa dengan berperisa coklat. Saya juga tambahkan kurma yang dicincang di dalamnya. Terlebih dahulu saya juga ingin memohon maaf sekiranya sesiapa yang mencuba resepi saya tetapi tidak serasi dengan selera. Biasanya apa yang saya masak mengikut citarasa suami dan anak-anak.:))) Harap jangan berkecil hati dan serik untuk mencuba ya.

Saturday, July 24, 2010

PUDING GULA HANGUS


Assalamualaikum dan selamat malam semua. Khamis lepas anak gadis saya yang ke dua tidak sihat kerana selsema, demam dan batuk-batuk. Selera makan pun tiada. Dia teringin hendak makan puding gula hangus ini tetapi saya tidak sempat hendak membuatnya. Alhamdulillah hari ini dapat juga saya tunaikan permintaan Hamimah. Esok saya mungkin menyediakan pizza seperti yang diingini 2, 3 hari ini. Suami pun tiada di rumah hingga malam Jumaat ini, bolehlah saya mengisi masa dengan memasak makanan yang disukai oleh anak-anak tetapi tidak digemari suami.



Oleh kerana anak-anak sudah tidak sabar hendak menikmati puding ini terpaksalah saya keluarkan puding ini dari acuan secara paksa dan ketika masih panas. Sebab itulah rupanya kurang licin. Hehe... Jom kita kongsi resepi lagi....

Bahan-bahannya:

5 biji telur gred A
1 sudu besar tepung kastard
1/2 cawan susu cair
1/2 cawan susu pekat
1 sudu kecil esen vanilla
secubit garam
1/2 cawan gula pasir - dijadikan gula hangus

Cara-caranya:

1. Panaskan kukusan.
2. Sediakan gula hangus dan tuang ke dalam acuan yang digunakan.
3. Masukkan semua bahan dalam jug pengisar dan kisar sebati.
4. Masukkan bahan-bahan kisar tadi ke dalam acuan yang telah sedia dengan gula hangus di dalamnya.
5. Tutup acuan dengan aluminium foil.
6. Kukus puding tadi selama 45 minit dengan api sederhana kuat.
7. Sejukkan dan keluarkan dari acuan.

Friday, July 2, 2010

PUDING CENDOL


Assalamualaikum dan selamat petang. Puding cendol paling mudah dan sempoi saya buat. Hehe... Resepi ambil dari internet tetapi saya tambah sedikit ikut kesesuaian selera dan bahan-bahan mentah yang ada. Cendol pun pemberian seseorang. Hehe...



Enak dimakan bersama cairan manisan kerana puding yang tersedia agak kurang manis.


Enak juga dimakan bersama cairan manisan dan susu cair. Ikut kreativiti masing-masinglah...


Bahan-bahannya:

11/2 cawan cendol
1 cawan cairan manisan
1 cawan santan pekat
1 cawan susu cair
5 sudu besar gula
3 sudu kecil tepung kastard dibancuh dengan sedikit air
2 kole kecil air
20 gram agar-agar(1 paket)

Cara-caranya:

1. Masak agar-agar dengan air hingga larut.
2. Tambahkan dengan gula pasir, bancuhan tepung kastard, cairan manisan, santan dan susu cair. Kacau sebati. Pastikan api sederhana.
3. Bila sudah mendidih dan likat, padamkan api.
4. Bila didihan telah reda masukkan cendol dan kacau sebati.
5. Basahkan acuan dan tuangkan puding tadi.
6. Seperti biasa sejukkan dahulu sebelum dipotong. Sedap dihidangkan sejuk-sejuk bersama cairan manisan dan susu cair.

Wednesday, June 9, 2010

BUBUR KACANG HIJAU DENGAN NANGKA


Assalamualaikum dan selamat malam semua. Bubur kacang dengan nangka ni pertama kali saya jumpa dan rasa. Lewat petang tadi suami balik dari pejabat dengan membawa sama bubur kacang ini. Menurut beliau, staff yang masak. Jom layan gambar. Hehe...

Friday, June 4, 2010

PUDING KASTARD JAGUNG BERKUAH




Assalamualaikum dan selamat malam semua. Tadi tidak sempat hendak menulis panjang dan berkongsi resepi sebab suami ajak minum di Kopitiam Moon, Jln Long Yunus. Jadi saya pun post sahajalah entri gambarnya dahulu. Hehe... Buat blogger Dedaun Alam itulah sebabnya kakak tidak menulis apa-apa tentang entri kali ini. Puding ini memang sesuai dimakan sewaktu cuaca panas dan lebih sedap sekiranya dibiarkan lama dalam peti sejuk. Jom kita kongsi resepi lagi....

Bahan-bahannya:

1 cawan tepung kastard
3 cawan air
1 cawan susu cair
1 tin jagung manis dikisar halus
3/4 cawan gula pasir
secubit garam
1 tin buahan campuran dalam tin (asingkan buahan dan sirapnya)
1 tin susu cair
11/2 tin air
1 sudu besar tepung kastard
gula pasir secukup rasa

Cara-cara membuat puding kastard:

1. Campurkan tepung kastard, air, susu cair, gula, garam dan jagung manis yang dikisar. Kacau hingga sebati.
2. Masak di atas api sederhana dan hendaklah sentiasa dikacau hingga puding menjadi likat.
3. Masukkan puding tadi di dalam bekas-bekas kecil dan sejukkan.

Untuk kuahnya:

1. Masukkan sirap buahan campuran, susu cair, gula, tepung kastad dan air. Bancuh kesemua campuran ini hingga sebati.
2. Panaskan di atas api hingga mendidih dan hendaklah sentiasa dikacau.
3. Sejukkan.

Cara-cara menghidang:

-Ambil beberapa biji puding yang telah sejuk dan beku. Masukkan ke dalam mangkuk. Taburkan sedikit buahan campuran dan curahkan kuah yang telah sejuk tadi. Sedia untuk dimakan.

Monday, May 31, 2010

DADIH PERASA BUAH-BUAHAN CAMPURAN




Assalamualaikum dan selamat malam semua. Minggu lepas semasa jalan-jalan dengan suami di Mydin Mall, saya terpandang bungkusan serbuk dadih segera ini. Macam-macam perasa ada, akhirnya saya memilih perasa buah-buahan campuran. Memang sedap masa cuaca panas ini kalau menyejukkan tekak dengan dadih. Senang menyediakannnya dan lazat pula. Jom jamu mata, kalau teringin boleh cuba...

Wednesday, April 7, 2010

BUBUR KACANG MERAH DENGAN DURIAN



Assalamualaikum dan selamat malam semua. Bubur kacang merah dengan durian ini adalah entri terakhir saya untuk hari ini. Semalam ternampak bubur kacang merah dengan durian ini di rumah am (flora), saya macam orang mengidam teringin sangat hendak merasanya. Tekak orang belum sihat agaknya. Bezanya cuma kacang merah saya bersaiz kecil lebihan buat inti untuk pau tempoh hari. Daripada menganggur lebih baik saya buburkan. Durian ini cadangnya hendak buat serawa untuk dicicah dengan serabai (teringin cuba buat). Akhir-akhirnya serabai ke mana, serawa pula ke mana. Hehe... Berbaloi juga sebab respon dari suami amat menyenangkan. Bubur kacang merah saya ini tidaklah secantik bubur am. Hehe... Terlebih empuk agaknya tetapi alhamdulillah rasanya tetap sedap. Sesiapa yang teringin jemputlah makan, banyak lagi dalam periuk tu. Hehe...