Thursday, September 29, 2011

TOMYAM PUTIH CAMPUR



Assalamualaikum dan selamat petang semua. Sementara menanti suami pulang dari Kuala Lumpur dan Adham leka bermain permainan barunya, bolehlah saya membuat entri tentang masakan tomyam putih saya ini. Pertama kali mencubanya, alhamdulillah kena dengan selera. Betapa segar dan enak menghirup kuahnya yang masam, masin, lemak, manis dan beraroma serai dan daun limau purut. Syuhadah pula berkali-kali mengulang makan tomyam ini.
Untuk resepinya saya sertakan di bawah...

Bahan-bahannya:

1/2 ekor ayam saiz kecil - dicincang kasar
5 batang serai dititik
3 biji bawang besar dipotong 8
3 ulas bawang putih diketuk
11/2 inci lengkuas diketuk
cili padi dititik - kuantiti ikut suka
jus limau nipis semasam rasa
5 helai daun limau purut disiat
1 liter air rebusan ayam
sedikit sotong basah
sedikit udang basah
2 paket cendawan tiram - disiat
1 paket putik jagung - dipotong ikut suka
1 batang lobak merah - dipotong ikut suka
1 genggam brokoli - dipotong
1 genggam bunga kobis - dipotong
2 biji tomato saiz besar - potong baji
sedikit daun ketumbar - dihiris
garam dan gula secukupnya
sedikit perasa

Cara-caranya:

1. Rebus ayam bersama bawang besar, bawang putih, cili api, serai, lengkuas bersama air rebusan ayam secukupnya.
2. Apabila kuah mendidih dan ayam mulai empuk, tambahkan dengan sotong dan udang. Masukkan daun limau purut dan jus limau nipis secukupnya.
3. Masukkan brokoli, putik jagung, lobak dan kubis bunga.
4. Apabila sayuran agak layu masukkan cendawan tiram dan tomato.
5. Masukkan garam, perasa dan gula secukup rasa.
6. Biarkan seketika di atas api bolehlah dihidangkan panas-panas bersama hirisan daun ketumbar.

*untuk mendapatkan lebih kuah tomyam bolehlah dicampur dengan air biasa semasa memasaknya*


Untuk yang ini, saya celurkan bihun dan jadilah bihun tomyam putih campur.


Wednesday, September 28, 2011

IKAN MASAK STIM



Assalamualaikum dan selamat malam semua. Pertama kali mencuba masakan ikan kukus ini. Memandangkan suami 'outstation' saya pun cubalah mana-mana resepi yang suami tidak sukai. Resepi saya ambil dari MyR, ilham masakan dari Mat Gebu. Terima kasih buat Mat atas resepi ikan masak stimnya. Mudah dan sedap juga.
Resepinya saya salin dan lampirkan di sini terus dari MyR...

Bahan-bahannya:
  • 1 ekor ikan siakap (ikan merah/kerapu atau ikan bawal putih pun ok)
  • 1/2 camca teh garam
  • 1/2 camca teh tepung jagung
  • 1/2 camca teh lada sulah
  • 3 camca besar jus limau kasturi*
  • 1 1/2 camca besar minyak masak*
  • 1 1/2 camca teh gula*
  • 1/2 camca teh garam*
  • 5 – 10 biji cili padi, dihiris*
  • 2 batang serai, dihiris halus*
  • 1/2 kuntum bunga kantan, dihiris*
  • 1 helai daun limau purut, dihiris halus*
  • 1/2 inci halia muda. dihiris halus*
  • 2 ulas bawang putih, dihiris halus*
  • 1/2 camca teh tepung jagung*
  • 1/2 camca teh serbuk pati ikan bilis atau 1/2 kiub pati ikan bilis maggi*
Cara-caranya:

  1. Ikan dicuci bersih dan lumurkan dgn garam, tepung jagung dan serbuk lada sulah. Ketepikan sementara membuat sosnya.
  2. Dalam satu bekas satukan kesemua bahan sos (yang bertanda ‘*”) hingga sebati. Ketepikan.
  3. Panaskan kukusan dan sediakan bekas tahan panas. Letak ikan tadi ke dalam bekas tahan panas dan tuangkan sosnya rata termasuk bahagian dalam belahan perutnya. Kukus kurang lebih 10 minit bergantung pada saiz ikan atau apa bila daging ikan bertukar menjadi putih. Siap untuk dihidangkan dgn nasi hangat.
  4. Selok-eloknya dimakan segera selepas proses mengukus.
*Bunga kantan tiada dalam stok, lupa hendak beli masa ke pasar hari itu jadi saya tambahkan dengan hirisan lobak merah dan daun bawang*



Tuesday, September 27, 2011

DAGING MASAK HITAM - RESEPI II



Assalamualaikum dan selamat malam semua. Daging masak hitam versi ke 2 saya. Kali ini saya tambahkan dengan rempah tumis yang dikisar bersama kismis hitam yang ditumbuk lumat. Saya tambahkan juga dengan sedikit air asam jawa jadi rasanya lengkap dengan pedas, masam, manis, masin dan aroma rempah tumis yang dikisar.
Jom kita kongsi bersama resepi daging masak hitam versi ke 2, stail saya...

Bahan-bahannya:

600 gram daging dihiris ikut suka
15 tangkai cili kering
3 biji bawang besar
2 ulas bawang putih
sedikit halia
kulit kayu manis
buah pelaga
bunga cengkih
bunga lawang
air asam jawa secukupnya
kicap pekat
gula apong/manisan
segenggam kismis - rendam, tumbuk lumat
kicap masin secukup rasa

Cara-caranya:

1. Kulit kayu manis, buah pelaga, bunga cengkih dan bunga lawang dicuci, ditoskan dan digoreng tanpa minyak. Tumbuk agak lumat.
2. Kisar bahan-bahan tumbuk ini bersama cili kering, bawang merah, bawang putih, halia bersama-sama air asam jawa hingga hancur.
3. Gaulkan hirisan daging bersama gula apong dan kicap pekat. Perap seketika.
4. Panaskan minyak dan tumis bahan-bahan kisar hingga naik bau. Masukkan daging yang telah diperap tadi dan kacau sebati.
5. Tambahkan sedikit air air dan kicap masin secukupnya. Masak hingga daging empuk dan kuah memekat.
6. Masukkan kismis yang ditumbuk tadi dan gaul sebati. Biarkan seketika di atas api dengan dikacau sekali sekala.
7. Sedia dimakan bersama nasi impit, ketupat, nasi putih atau nasi minyak.


Monday, September 26, 2011

MEE SANGGUL GORENG



Assalamualaikum dan selamat petang semua. Sedang menanti gambar diupload, anak lelaki saya Adham meminta izin hendak bermain game pula. Tergendalalah untuk beberapa jam. Hehehe... Sebelum azan Maghrib datang menyapa saya akan menyiapkan entri kali ini secepat yang mungkin.
Mee sanggul dalam bentuk kering ini dibeli oleh suami di Kedah sewaktu bermesyuarat di sana. Mee sanggul melayu keluaran bumiputera ini adalah dari jenama 'Iman'. Sesiapa yang berhajat hendak masak mee sanggul ini bolehlah mencarinya di mana-mana pasaraya di Semenanjung Malaysia sebab di Kuching, Sarawak memang tiada.
Jom kita lihat cara-cara memasak mee sanggul goreng ini....

Bahan-bahannya:

1 paket mee sanggul - celur ikut arahan pada paket
1 cekak sawi - potong ikut suka
1 biji telur
sedikit hirisan ayam
sedikit udang hidup
sedikit sotong basah
2 biji tomato saiz kecil - potong bulat nipis
sedikit kicap masin
sedikit sos tomato
5 batang cili merah
3 biji bawang sederhana besar
1 ulas bawang putih
1 mangkuk kecil air rebusan kulit udang
garam secukup rasa

Cara-caranya:

1. Kisar lada merah, bawang dan bawang putih.
2. Panaskan minyak dan tumis bahan-bahan kisar tadi hingga naik bau. Tambahkan sedikit garam.
3. Masukkan hirisan ayam, sotong dan udang. Kacau dan masukkan air rebusan kulit udang.
4. Tambahkan dengan sos tomato dan kicap masin secukup rasa. Kacau sebati.
5. Bila kuah telah mendidih dan agak pekat masukkan pula mee sanggul tadi dan gaul sebati.
6. Ketepikan mee sanggul dan pecahkan telur. Gaul dan kacau telur tadi hingga sebati dengan mee dan bahan-bahan lain.
7. Akhir sekali tambahkan dengan hirisan sawi dan potongan tomato. Kacau sebati dan sedia untuk dihidangkan.:)


Sunday, September 25, 2011

KENANGAN 1 SYAWAL...

Bersama ayah dan emak mertua di pagi raya seusai sessi bermaaf-maafan. Adham tidak pernah mahu bergambar dengan gaya sempurna. Beginilah keadaannya setiap kali bergambar. Hehe...



Muka lepas menangis macam inilah, entah kenapa tidak dapat menahan air mata ketika bermaafan dengan suami dan Syuhadah. Allah juga yang Maha Mengetahui apa yang tersirat di hati saya...


Inilah anak-anak gadis saya. Syuhadah dan Hamimah...


24 SEPTEMBER ...

Adham tak sihat. Demam, selsema dan batuk. Saya pun turut tidak senang hati dengan keadaannya..



Hidangan kami petang semalam tomyam seafood, sayur campur, telur dadar dan butter prawn. Rasa tomyamnya lebih sedap di Restoren Ritz Boutique, Kota Bharu begitu juga dengan butter prawnnya.


Ikan jenahak bakar sambal memang sedap. Kalau boleh saya hendak cuba resepi sebegini. Suami dan anak-anak pun suka...


Assalamualaikum dan selamat petang semua. Semalam 24 September hadir lagi, bertambahlah umur saya setahun lagi. Alhamdulillah, Allah SWT mengurniakan kesihatan dan keluarga yang bahagia. Rezeki juga sentiasa ada walaupun saya seorang surirumah. Hehe...
Semalam suami mengajak saya dan anak-anak ke Top Spot, tempat yang menyediakan makanan laut untuk meraikan harijadi saya yang ke 42 tahun. Sebelum itu suami sudah awal-awal menghadiahkan saya handphone baru iaitu HTC Salsa dengan line internet sekali. Alhamdulillah dan terima kasih buat suami.

Thursday, September 22, 2011

PUDING KUAH YATIE



Assalamualaikum dan selamat pagi semua. Hampir sebulan saya tidak membuat entri baru di sini. Maklumlah blog ini pun dihadirkan sekadar suka-suka. Bila ada masa terluang, dikurniakan kerajinan dan ilham saya menulislah.
Ramadhan lepas saya ada meminta keizinan dari Yatie blogger 'Sinar Kehidupanku' untuk mencuba resepi puding beliau. Saya amat tertarik dengan puding kuah hasil dari air tangan beliau. Nampak cantik sahaja sepertimana tuan yang membuatnya. Terima kasih Yatie. Memang sedap sepertimana rupanya.
Saya biasa membuat puding kuah ini sebab memang pencuci mulut kegemaran saya dan selalunya saya campurkan kisaran halus jagung dalam tin di dalam adunan kastardnya.
Jom kita lihat resepinya. Yatie, izinkan akak c&p di sini pula ya. Terima kasih daun keladi, hehehe.


Bahan2 Utk Puding
  • 1 cwn tepung kastard
  • 4 1/2 cwn air
  • 1/2 cwn susu cair
  • 1/2 cwn gula
Cara-Cara
  1. Satukan tepung kastard bersama gula, susu cair dan air. Gaul semuanya.
  2. Masak di atas api sederhana sehingga agak pekat dan kacau sentiasa. Biasanya dlm anggaran 20 minit. Setelah agak pekat, matikan api dan tuang dlm bekas2 kecil atau loyang.
  3. Biarkan sejuk sebentar dan simpan dlm peti sejuk. Setelah beku barulah boleh di hidangkan.
Bahan Utk Kuah

  • 1 tin buah-buahan dalam tin
  • 1 tin susu cair
  • 1 tin air biasa (air masak)
  • 1 cwn gula( terpulang pd masing2 ya..)
  • ketulan ais secukupnya
Cara-Cara
  1. Masak gula bersama air(sekadar gula hancur je..). Setelah itu biarkan sejuk.
  2. Setelah air gula sejuk, bolehlah tuang buah-buahan dalam tin dan susu.
  3. Ambil puding tadi dan masukkan kedlm mangkuk...tuangkan kuah yg bercampur buah-buahan dalam tin.
  4. Sedap di makan ketika sejuk. Boleh juga di letak ketulan ais.
**Biasanya saya guna air masak biasa campur dngn susu cair dan gula saja. Lepas tu tuangkan buah laici.Gaul sebati dan letak sedikit ketulan ais. Barulah di hidangkan bersama puding kastard.