Thursday, June 14, 2012

CINNAMON BANANA BREAD CHOCOLATE CHIPS

Assalamualaikum dan selamat petang semua. Resepi roti pisang yang tidak rugi untuk dicuba. Senang hendak dibuat dan cepat pula siapnya. Sedap juga dimakan. Mudah  seperti memasak mee maggi caranya.:D Resepi asal saya ambil di sini. Banyak yang saya ubah mengikut kesesuaian bahan-bahan mentah yang saya ada. Jom kita jamu mata dulu....

Bahan-bahannya:

11/3 cawan tepung roti
5 biji pisang lemak manis
2/3 gula pasir
1/2 sk serbuk baking soda
1/2 sk baking powder
2 biji telur
5 sb minyak jagung
3/4 sk garam halus
1/2 sk serbuk kulit kayu manis
1/2 cawan cip coklat

Cara-caranya:

1. Lenyek pisang bersama gula hingga hancur.
2. Pukul telur sekadar sebati sahaja dan masukkan ke dalam campuran pisang. Kacau sebati,
3. Masukkan minyak jagung dan kacau lagi.
4. Ayak tepung roti bersama baking soda, baking powder, serbuk kulit kayu manis dan garam halus.
5. Masukkan bahan-bahan tadi ke dalam campuran pisang lenyek dan gaul sebati. Akhir sekali masukkan cip coklat. Gaul sebati.
Lenserkan acuan dengan minyak jagung dan masukkan adunan roti ke dalamnya.
6. Bakar dengan suhu 180C hingga roti keperangan coklat dan masak.
7. Sejukkan dahulu barulah dipotong.

Selamat mencuba buat yang sudi.:D

Wednesday, June 13, 2012

KERAPU STIM LIMAU MADU

Assalamualaikum dan selamat malam semua. Resepi mudah dari saya untuk sesiapa sahaja yang sudi berkunjung ke blog saya yang suam-suam kuku ini. Hehehe... Sebelum melihat resepinya elok kita jamu mata dengan gambar masakan ini dahulu, jom...



Ada rasa masam, manis, masin dan lemak pada ikan kerapu stim limau madu ini. Resepi sempoinya adalah seperti di bawah ini...

Bahan-bahannya:

1 ekor ikan kerapu - siang dan dikelar
1 biji bawang besar - didadu kecil
2 ulas bawang putih - dicincang halus
1 batang serai - dihiris nipis
5 biji cili api - dipotong kecil
11/2 inci halia muda - dimayang halus
1/2 batang lobak merah - dihiris halus memanjang
1 biji tomato - didadu kecil
5 biji limau kasturi - diambil jusnya
1 sk serbuk pasti sedap knorr
1 sk madu
garam secukup rasa

Cara-caranya:

1. Didihkan air dalam kukusan.
2. Dalam mangkuk satukan bawang besar, bawang putih, serai, cili api, halia muda, jus limau kasturi, serbuk pasti sedap knorr dan madu. Gaul sebati. Ketepikan.
3. Lumurkan garam pada ikan secara merata.
4. Letakkan ikan dalam pinggan tahan panas dan curahkan bahan-bahan perapan secara merata. Tabur hirisan lobak merah dan tomato yang didadu tadi.
5. Masukkan ikan dalam kukusan dan kukus lebih kurang 15 hingga 30 minit atau sehingga ikan masak.
6. Hidangkan panas-panas dengan nasi putih.

ROTI NAIK

Assalamualaikum dan selamat malam semua. Jom kita cuci mata dengan roti naik-roti naik ini. Resepi saya ambil dari sini. Terima kasih buat Mamazieza dan Tok Mak yang saya kenali melalui group masakan di muka buku. Resepinya saya pun terus copy dan paste terus dari blog beliau.:D


ROTI NAIK PAHANG......resipi Tok Mak.....
...
1 BIJI TELUR.
2 SUDU BESAR SUSU PEKAT MANIS.
3/4CWN GULA.
2 SUDU KECIL IBU ROTI@MAURIPAN .
2 SUDU BESAR MARJERIN.
1 SUDU KECIL SORTENING.
500 GM TEPUNG GANDUM CAP SAUH.mama guna cap Lily
300 ML AIR ..AIR NI DH DI CAMPUR SEKALI TELUR N SUSU MANIS JADI 300 ML AIR.
1 SUDU BESAR SUSU TEPUNG SEBARANG JER

Mama guna mixer biasa.. tak guna Bread Maker..
Masukkan semua bahan2 kecuali marjering dan shortening tu..
Uli sehingga agak-agak sebati masukkan majerin dan shortening.
Uli lagi sehingga nampak dia tak melekat di mangkok .. tp melekat juga di jari... hehehe

Bahagi doh pada 30 gm dan bulat2kan atau ikut laa nak buat macam mana pun.. Mama ni Che Las.. hehehe

Wednesday, June 6, 2012

DAGING MASAK KICAP ALA SARAWAK, AYAM CINCANG GORENG KUNYIT+KETUMBAR

Assalamualaikum dan selamat petang semua. Sebenarnya gambar daging masak kicap ala Sarawak dan ayam cincang goreng kunyit dengan ketumbar ini sudah lama berada dalam kamera. Jadi ada masa terluang ini saya buatlah entri tentangnya. Bukan apa, untuk simpanan sendiri dan kenangan anak cucu bagi rujukkan mereka satu hari nanti insyaAllah.:D



Untuk resepi daging masak kicap ala Sarawak ini sila rujuk di bawah ya.
Bahan-bahannya:

500 gram daging - hiris ikut suka }
2-3 sudu besar kicap pekat         }
2-3 sudu besar gula apong          } gaul mesra dan perap seketika

15 tangkai cili kering - dikisar
7 biji bawang kecil - dikisar
2 ulas bawang putih - dikisar
1 inci halia - dikisar
5 kuntum bunga cengkih
11/2 inci kulit kayu manis
3 biji buah pelaga
2 kuntum bunga lawang
2-3 batang serai - dititik
2 sudu besar jus asam jawa
kicap masin secukupnya

Cara-caranya:

1. Panaskan minyak dan tumis bunga cengkih, kulit kayu manis, buah pelaga dan bunga lawang hingga naik bau.
2. Masukkan bahan-bahan kisar bersama serai yang dititik dan kacau sebati. Masak hingga hingga pecah minyak dan berbau wangi.
3. Masukkan daging yang telah diperap tadi. Jika daging jenis yang sukar empuk tambahkan air dan masak hingga empuk.
4. Bila daging sudah empuk tambahkan air asam dan kicap masin secukupnya. Gaul sebati.
5. Masak hingga daging benar-benar empuk dan cukup rasa masam, manis dan masinnya.
6. Jika masakan kurang manis boleh tambahkan lagi gula apong atau gula pasir.
7. Sedia untuk dihidang bersama nasi panas. 



Untuk ayam cincang goreng kunyit dan ketumbar pula, resepinya seperti di bawah:

Bahan-bahannya:

2-3 keping bahagian peha yam - dicincang
1 inci halia
1 inci kunyit hidup
3 ulas bawang putih
sedikit garam
1 sudu kecil serbuk cukup rasa
1 sudu besar ketumbar kisar
minyak 

Cara-caranya:

1. Dalam lesung batu, tumbuk halia, kunyit hidup dan bawang putih. Anggaran sebesar ibu jari. Tumbuk lumat.
2. Lumur bahan-bahan kisar bersama ketumbar kisar, garam dan serbuk cukup rasa secara merata pada ayam yang dicincang. Perap selama 15-30 minit.
3. Panaskan minyak dan goreng ayam hingga garing.