Wednesday, March 31, 2010

HATI LEMBU MASAK UNGKEP BERKERISIK



Assalamualaikum dan berjumpa lagi. Tempohari ke pasar basah terpandang pula hati lembu ini di gerai kakak penjual daging. Tiba-tiba teringin pula hendak makan lauk hati lembu yang dimasak ungkep. Apa lagi saya pun minta izin suami untuk membelinya. Suami beri lampu hijau. Sebenarnya suami tidak galakkan saya dan anak-anak makan organ dalaman haiwan tetapi sekali sekala tidak mengapa rasanya. Saya beli hati lembu 500 gram, daging batang pinang 500 gram dan paru lembu 500 gram juga. Semua sekali RM23. Hehe.... Saya belanja pasar memang seminggu sekali bersama suami.
Esok saya mungkin ke Pahang sebab suami ajak bercuti bersama anak-anak. Sambil itu beliau hendak menziarahi suami bekas staff semasa di SSM Pahang yang baru sembuh dari sakit misteri. Mungkin saya di Pahang 3 hari 2 malam. Mudah-mudahan percutian ini memberi manfaat dan menggembirakan kami sekeluarga. Rindunya hendak makan keropok lekor sagu Pak Soh di Tanjung Lumpur. Rasanya memang sedap sangat. Dahulu hujung minggu kami sekeluarga selalu makan-makan di sini sebelum membeli lauk basah pada waktu petang.
Jom kita kongsi resepi...

Bahan-bahannya:

500 gram hati lembu dipotong ikut suka
3 biji bawang besar dikisar
1 biji bawang putih dikisar
1 inci halia dikisar
1 inci kunyit hidup dikisar
3 batang serai dikisar
1/2 lengkuas dikisar
1 sudu besar ketumbar dikisar
1/2 sudu kecil jintan kasar dikisar
1/2 sudu kecil jintan halus dikisar
air asam jawa secukupnya
garam dan manisan secukupnya
11/2 sudu besar kerisik
5 helai daun limau purut (saya suka-suka letak)
15 biji cili api sebiji-sebiji

Cara-caranya:

1. Gaulkan bahan-bahan yang dikisar, air asam, garam dan manisan pada hirisan hati lembu tadi. Perap selama mana yang diingini.
2. Panaskan minyak dan tumiskan perapan hati. Kacau. Masukkan daun limau purut dan cili api.
3. Kacau lagi dan masukkan kerisik ketika hati hampir masak. Gaul sebati.
4. Angkat dan hidangkan.

Monday, March 29, 2010

MEE UDANG




Assalamualaikum. Entri tambahan untuk hari ini, mee udang edisi campak-campak dan tidak cukup bahan. Macam-macam ada dalam kepala mee yang sejemput ini hendak masak mee gorenglah, char meelah, mee hailamlah tetapi akhirnya termasak mee udang pula. Hehe... Maaflah, mee udang ini bukanlah resepi original. Terlupa hendak letak sos tomato dan sos cili. Hirisan tauhu goreng dan taugeh pun tiada. Udangnya pun saya masukkan dalam kuah masa kuah sudah mendidih. Stok ayam pun tiada sebab saya masukkan terus hirisan daging ayam ke dalam kuahnya. Bebola, kek ikan juga tiada. Huhu... Alhamdulilah respon anak-anak baik sahaja. Sedap mak... Suami pun suka. Seronok betul, kembang badan yang sudah sedia kembang ni. Hehe...Jom tengok gambar. Kalau teringin resepi oyaklah ya. Tidak rugi mencuba...

SOTONG MASAK HITAM BERKICAP




Assalamualaikum dan selamat malam. Esok dan lusa Kota Bharu bercuti kerana Hari Keputeraan Sultan Kelantan. Baginda masih gering lagi, mudah-mudahan Allah SWT mengurniakan apa yang terbaik buat baginda. Wallahua'lam. Anak-anak pula akan menyambung cuti hingga hari Khamis. Esok awal pagi suami akan bergegas ke istana memenuhi jemputan. Ada juga beliau mempelawa saya menemaninya. Saya terpaksa menolak dengan baik. Semasa di Pahang juga saya tidak pernah sekali pun mengikut beliau ke istana. Hehe... Saya seorang yang simple kena duduk sebaris dengan mak datin-mak datin. Minta maaf. Suami kata penampilan mak-mak datin ini kebanyakkannya lebih bergaya dari suami masing-masing, lebih sudu dari kuah. Hehe... Biasalah perempuan...
Berlebih-lebih pula saya, tidak semua datin-datin begitukan. Berbalik pada lauk sotong masak hitam ini, saya masak macam biasa cuma sebelum ditumis saya perap sekejap dengan bahan-bahan kisar dan tambahkan dengan kicap pekat supaya lauk ini lebih hitam. Suami memang suka sotong masak hitam yang hitam pekat. Tengok pun sudah berselera menurut beliau. Layan gambar ya....

Sunday, March 28, 2010

BAHULU GULUNG



Assalamualaikum dan selamat malam semua. Tadi selesai menyediakan hidangan untuk tengahari saya pun terus cuba membuat kuih bahulu gulung ini. Inti nenasnya awal-awal telah saya sediakan. Inilah hasil pertama air tangan saya menghasilkan kuih yang sangat digemari oleh suami. Suami saya ini minatnya lebih kepada kuih-muih tradisional seperti rempeyek, tumpi dan bahulu. Kalau kuih-muih moden apatah lagi yang ada keju memang sampai kiamat pun belum tentu beliau hendak merasa. Makanan barat pun beliau tidak suka. Kek-kek atau biskut-biskut moden memang langsung tidak masuk dalam senarai. Beliau juga suka makan karipap inti sadin tetapi janganlah dipusing-pusing karipap itu. Hehe...
Jom kita tengok resepi bahulu yang saya ambil dari internet ini. Maaf saya lupa dari sumber mana. Apa-apa pun saya ucapkan berbanyak terima kasih dan izinkan saya letakkan resepinya di sini.

Bahan-bahan untuk inti:

1 biji nenas saiz besar diparut dan ditoskan airnya
2 sudu besar margerin
gula secukupnya
sedikit pewarna kuning

Cara-caranya:

1. Masak parutan nenas tadi bersama gula dan pewarna kuning. Rasakan manis yang dikehendaki.
2. Agak-agak hampir masak inti tadi tambahkan dengan margerin biar berkilat.
3. Kacau sebati, angkat setelah inti masak.

Inti hendaklah disejukkan terlebih dahulu sebelum di sapu pada bahulu.

Bahan-bahan untuk bahulu:

3 biji telur gred A
90 gram gula halus
100 gram tepung gandum}
1/2 sudu kecil serbuk penaik} diayak
1/2 sudu teh esen vanilla

Cara-caranya:

1. Pukul telur dan gula hingga benar-benar kembang. Masukkan esen vanilla dan pukul lagi.
2. Masukkan bahan-bahan yang diayak dan gaul sebati.
3. Lenserkan kertas minyak yang di alas atas dulang pembakar saiz empat segi dengan margerin.
4. Tuang adunan tadi dan bakar pada suhu 180C selama 12 minit pada api atas sahaja. Saya bakar pakai hentam saja sebab saya belum mahir mengendalikan ketuhar saya walaupun sudah banyak kali menggunakannya. Itu sebabnya bahulu saya nampak garing sangat. Hehe....
5. Setelah masak keluarkan bahulu dari acuan dan sapu jem nenas secara merata. Gulung dengan lembut.
6. Potong bahulu sebelum dihidang.



MASAK APA HARI INI

Rendang daging garing ini menu yang saya hasilkan sendiri berpandukan resepi gulai darat kakfzi yang baik hati tu. Hehe... Terima kasih ya kak. Saya tambahkan kicap pekat supaya nampak lebih gelap dan masak dengan api perlahan hingga garing. Aromanya memenuhi ruang dapur, memang menyelerakan. Memang tidak muak sebab menggunakan santan yang sedikit dan kurang berempah. Rupanya sahaja kurang cantik.



Asam pedas lagi. Hehe... Tak kisah le, yang penting suami suka. Kali ini lada kisarnya tidak berapa lumat. Rasanya kisar macam biasa dan lada keringnya telah pun saya rebus terlebih dahulu. Saya gunakan kepala ikan haruan laut. Teringin juga hendak masak kari tetapi seisi rumah kurang menyukainya, tambahan dengan cuaca panas kaw kaw sekarang.



Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada semua pengunjung blog saya. Terima kasih diucapkan kerana sudi ke mari. Hari ini saya terlebih rajin memasak dua lauk untuk makan tengahari merangkap makan malam. Rendang daging garing dan asam pedas kepala ikan. Satu lauk kegemaran anak-anak, dan satu lauk lagi kesukaan suami. Seronok melihat kedua-dua anak gadis saya makan berulang-ulang. Sedap mak lauk daging, menurut Hamimah walaupun kuahnya tetap kicap manis. Tapi kalau makan dengan ketupat lagi sedap tambah dia lagi. Ketupat segera ada tetapi tidak teringat hendak merebusnya. Jom layan gambar.....

AWARD DARI YATIE USA



Assalamualaikum dan salam sejahtera semua. Saya dapat award lagi dari blogger yang cantik dan rajin sangat memasak ini, yatie memories. Terima kasih yatie di atas tanda ingatan dan penghargaan yang diberikan. Mudah-mudahan ikatan silaturrahim kita di alam maya ini akan berpanjangan di alam nyata pula. AMIN...

MAKAN-MAKAN DI RASA MAS, KB MALL

Yang ini tangan Hamimah yang kuat 'ngeteh', hehe... mee bandung yang dipilihnya sahaja yang sedap dan cukup rasa. Garlic bread dan sup cendawan macam ada yang kurang sahaja.....

Pilihan saya dan suami adalah nasi ayam panggang 'golden'. Kosong tanpa daun salad, timun dan tomato. Tidak seperti dulu-dulu....Sup ayamnya juga 'kosong'. Tidak tahu mengapa.

Ini pula Syuhadah. "Mak, sup dan rotinya tak sedap la, rasa lain macam je," menurut si kakak ni. Nak buat macam mana makan sajalah. Tak baik mengeluh depan rezekikan. Ada orang lain yang ingin makan di sini tetapi tak dapat. Kena bersyukur...

Assalamualaikum dan selamat malam semua. Beginilah rutin harian saya, suami dan anak-anak semenjak berkelana di bumi Kelantan yang hampir melewati usia 4 tahun. Setiap hujung minggu biasanya anak lelaki saya mesti meminta suami untuk 'naik kereta' bermakna jalan-jalan. Bila sudah jalan-jalan itu tentulah makan-makan pula. Anak-anak gadis saya ini peliknya mudah sangat terasa lapar bila di luar, ada sahaja permintaan untuk makan-makan terutama Hamimah. Kadang-kadang saya dan suami tergelak sesama sendiri. Namun kali ini saya yang berhajat hendak belanja keluarga makan. Hehe... Walaupun tidak bekerja setiap bulan saya akan menerima 'elaun' dari suami. Bulan ini 'elaun' saya ditambah sebab selain dapat naik gred setingkat lagi dalam jawatan, suami juga turut mendapat kenaikkan gaji. Alhamdulillah, mudah-mudahan kelebihan rezeki yang Allah bagi membuatkan kami lebih dekat padaNya dan dapat dikongsi juga pada yang kurang walau sedikit. AMIN...
Berbalik pada acara makan-makan ini sebenarnya anak-anak berhasrat ke kopitiam De Classic, tetapi memikirkan jalan ke Kubang Kerian yang asyik jam sejak pasaraya Mydin dibuka tidak dapatlah kami menunaikan permintaan anak-anak. Makan di Rasa Mas kini tidak sesedap ketika restoran ini baru-baru dibuka. Macam kureng aje. Memang kami pun sudah lama tidak menjamu selera di sini walaupun kerap jalan-jalan di KB Mall. Namun tetap syukur sebab walau bagaimana pun perut kami tetap terisi dan kenyang.

Saturday, March 27, 2010

AWARD DARI UMILLIYA


Assalamualaikum dan selamat malam. Award ke 3 ini saya terima dari blogger umiliya. Terima kasih diucapkan. Umiliya, maaf sebab kak anis hanya dapat ambil award ini sahaja tanpa dapat melengkapkan tugasan yang ada. Lain kali ada masa, insyaAllah akan cuba diselesaikan. Sudah agak lama umiliya meninggalkan pesanan agar mengambil award ini di blog beliau. Kasihan pula padanya yang telah bersusah payah menberi award ini dan saya pula berlama-lama mengambilnya. Apa-apa pun terima kasih sekali lagi atas tanda ingatan dan penghargaan ini.

SEPULUH.... TAG DARI KAKSU72

Cara-cara: Copy Tajuk entry “sepuluh” dan paste di post anda..

Assalamualaikum dan selamat malam. Sebenarnya payah sungguh saya hendak menyiapkan tag dari su ini. Selain dari kesibukkan sebagai surirumah, tag ini juga agak personal bagi saya. Apa-apa pun saya amat menghargainya sebab ini adalah tanda ingatan dari su.

Anda dikehendaki untuk menjawab sepuluh soalan di bawah dengan menggunakan bahasa melayu sepenuhnya.

Sila jawab dengan jujur..

[#1] Siapakah diri anda di rumah?
Jawapan: seorang surirumah, isteri dan ibu.

#2] Siapakah diri anda disamping rakan?
Jawapan: Kena tanya rakan-rakan sayalah, mana boleh jawap sendiri. Hehe... Harap-harap saya sentiasa menyenangkan mereka dalam segala hal.

[#3] 5 benda yang anda idamkan tetapi masih belum tercapai
Jawapan:
1. hendak mendapatkan lesen memandu
2. hendak tinggal dekat dengan bapa dan adik-beradik yang seramai 9 orang.
3. hendak buat kerja-kerja rumah seperti lipas kudung. hehe... saya agak slow sikit buat kerja.
4. hendak berbual-bual dengan anak yang ke 3 dan melihat dia makan nasi, lauk pauk dan apa juga makanan yang saya masak bersama-sama saya, suami dan kakak-kakaknya.
5. hendak menjadi anak, isteri dan emak yang solehah (terasa banyak sangat kekurangan diri. huhu..)


[#4] Siapakah nama pasangan anda?
Jawapan: Hairul Anuar b. Yasin

[#5] Ceritakan 5 perkara yang anda paling suka tentang pasangan anda
Jawapan:
1. bertanggungjawab
2. kelakar
3. sentiasa berada di depan mata saya ( tidak suka keluar rumah tanpa saya dan anak-anak, alhamdulillah)
4. rajin, komited dan amanah dalam menjalankan tugas (alhamdulillah)
5. simple

[#6] Bila tarikh anda couple?
Jawapan: mana ada couple-couple, dosa tau. hehe... berkenal dan bercinta selepas nikah, walau payah menyesuaikan diri pada mulanya, alhamdulillah rumahtangga kami sudah melewati 16 tahun.. mudah-mudahan sayalah ketua bidadari bagi suami di syurga. Amin...

[#7] Apakah kenangan pahit anda bersama pasangan anda?
Jawapan: di awal perkahwinan kerana ada pihak ketiga yang pastinya bukan dari saya yang menggunakan sihir untuk memisahkan kami berdua.

[#8] Lagu tema cinta anda?
Jawapan: lepas nikah kami suka dengar nasyid dari kumpulan Nada Murni dan saya pula suka dengar lagu Shima yang hit pada masa itu 'luka dilukai'.

[#9] Apa perubahan yang ingin anda lihat dari pasangan anda?
Jawapan: banyak yang sudah berubah kepada baik menjadi lebih baik. cuba menjadi isteri yang redha dan bersyukur, saya sendiri punya kelemahan yang banyak...

[#10] Tag 10 rakan ada yang lain
Jawapan: tag ini agak personal takut rakan-rakan lain kurang senang hendak menyiapkannya. lagi pun kebanyakkan rakan-rakan wp surirumah seperti saya masa penuh terisi mengalahkan wanita yang berkerjaya. hehe...

GULAI DARAT KAKFZI



Assalamualaikum dan selamat malam. Hidangan untuk tengahari ini saya ambil dari blog kakfzi iaitu fzimenu. Bila terlihat gambar juadah ini teringin pula hendak mencubanya. Lagi pun bahan-bahan mentah yang diperlukan ada dalam peti ais kecuali daun kesum yang saya gantikan dengan daun kunyit. Memang harum bau masakan ini, mungkin aroma dari kerisik, ketumbar, daun kunyit dan serai. Malangnya rupa gulai darat ini tidak sama dengan rupa gulai darat kakfzi. Huhu... Gulai darat kakfzi nampak lebih sedap. Hehe... Saya pun baru pertama kali memasak menu ini. Boleh dimaafkan kot. Terlupa saya, hari ini Kota Bharu jam teruk sebab ada Jom Heboh. Terpaku saya melihat begitu banyak kenderaan di jalanraya. Dari manalah datangnya manusia seramai ini dan kenderaan sebanyak ini. Oklah, jom kita lihat resepinya. Kakfzi saya minta izin letakkan di sini. Terima kasih....

Bahan-bahannya:

500 daging cincang
RM1 santan kelapa
1 batang serai dititik
sedikit hirisan lengkuas
7-8 lada sulah/hitam ditumbuk
4-5 tangaki cili kering ditumbuk
5 biji bawang merah ditumbuk
1 biji bawang putih ditumbuk
1 sudu besar ketumbar ditumbuk
kunyit hidup ditumbuk
halia ditumbuk
2 sudu besar kerisik
garam, manisan, asam keping
daun kesum

Cara-caranya:

1. Gaul bahan-bahan yang ditumbuk pada daging berserta lengkuas dan serai.
2. Masak sampai air kering.
3. Masukkan santan, asam keping dan rasakan dengan garam dan manisan.
4. Dekat nak angkat masukkan kerisik dan daun kesum.
5. Sedia dihidangkan.

Wednesday, March 24, 2010

APOM BERAS



Assalamualaikum dan selamat malam semua. Tadi selepas solat asar saya ke dapur lagi untuk menyediakan kuih apom beras ini. Kuih ini merupakan makanan orang India. Mula-mula teringin hendak membuat serabai tetapi mengenangkan sudah petang dan perlu membuat kuah sekali terpaksalah saya pendam niat itu dulu. Tunggu my darling balik dari KL untuk mencari durian dibuat serawa. Alhamdulillah, menjadi apom saya ini. Rasanya sedap dan Hamimah dalam gelak ketawa sebab didera saya suruh makan telah dapat menghabiskan 2 keping apom sebesar lempeng ini. Resepi saya ambil dari internet tetapi kalau mengikut bulat-bulat seperti yang ditulis memang tidak jadi. Kena tambahkan air seperti adunan membuat lempeng. Apa-apa pun terima kasih dari sumber masakan ini dan maafkan saya sebab mengolah sedikit resepi ini. Jom kita kongsi resepi dan pastikan sukatan air dan gula hendaklah ditambah.


Bahan-bahannya:

300 gram tepung beras
270 mi santan pekat
1 sudu kecil yis kering
60 gram gula
1/2 cawan nasi
secubit garam

Cara-caranya:

1. Masukkan semua bahan di dalam mangkuk besar. Kacau dengan spatula. Tambahkan air secukupnya dan kacau lagi.
2. Masukkan adunan tadi ke dalam jug pengisar dan kisar hingga halus. Rehatkan adunan ini selama 1 jam.
3. Panaskan kuali non-stik dan masukkan 11/2 senduk besar ke dalamnya. Lenggangkan merata di dalam kuali. Tutup kuali tersebut dan biar 2 hingga 3 minit.
4. Angkat apom dan lipat 2. Buat langkah 3 dan 4 hingga habis.

SAMBAL GORENG KICAP GARING



Ayam goreng kunyit. Hidangan sampingan untuk anak-anak.


Assalamualaikum dan selamat malam semua. Tengahari tadi saya menyediakan sambal goreng kicap garing resepi arwah emak dan ayam goreng kunyit yang ringkas serta ulam timun. Suami outstation lagi, tinggallah kami berempat malam ini. Pagi tadi saya menelefon kakak sulung bertanyakan resepi sambal goreng ini sebab saya tidak pernah membuatnya. Hehe... Kakak saya bersuara ceria di hujung talian. Jam 11 sudah siap menyediakan hidangan tengahari kerana menurut beliau hari ini cuti belajar mengaji sebab ustazah ke Putrajaya menambah ilmu jadi dapatlah cepat memasak. Seingat saya arwah emak selalunya menyediakan juadah sambal goreng ini sewaktu kenduri kendara dan majlis membaca yasin. Memasaknya ringkas dan tahan berhari-hari. Jom kita kongsi resepi pada yang sudi....

Bahan-bahannya:

2 keping tempe dipotong kecil-kecil dan digoreng garing
2 biji kentang saiz besar dipotong kecil-kecil dan digoreng garing
2 keping tauhu saiz sederhana dipotong kecil-kecil dan digoreng
secekak suhun direndam
secekak fucuk @ tauhu kering direndam dan dipotong ikut suka
3 biji bawang merah dihiris
1 biji bawang putih dihiris
3 biji cili merah dihiris
kicap masin secukupnya
sedikit gula

Cara-caranya:

1. Tumis bahan-bahan yang dihiris hingga agak garing, masukkan kicap masin dan gula. Kacau sebati.
2. Masukkan bahan-bahan yang digoreng dan kacau lagi.
3. Masukkan suhun dan fucuk dan gaul sebati.


Tuesday, March 23, 2010

ASAM PEDAS LAGI....

Asam pedas ikan gelama. Besar pula saiz ikan gelama ni, terpaksa dipotong dua. Saya masukkan daun kesum dan tomato untuk menambah aroma dan rasa....



Terlebih rajin sebab sudah ada ikan goreng, goreng lagi cencaru sumbat sambal. Cencaru seekor ini pemberian kakak penjual ikan gelama. Alang-alang dah didefrost, goreng sajalah. Sambal pun memang siap ada dalam simpanan. Lauk kegemaran anak pertama. Kalau ikan cencaru ni seekor saiz besar pun dia boleh habiskan. Pelik juga saya. Hehe....

Ikan gelama digoreng garing merupakan kesukaan anak ke 2 dan suami. Tiap-tiap hari mesti ada lauk ikan goreng. Kalau tidak, kasihan pula dengan Hamimah....

ASAM REBUS IKAN DAN NENAS


Assalamualaikum dan selamat malam. Semalam saya hanya masak asam rebus ikan kekek dengan nenas, sambal belacan dan ikan goreng. Cukuplah untuk sekadar mengisi perut. Cuaca panas memang sesuai sangat makan lauk rebus-rebus macam ini. Lagi pun ikan kekek ini selain dimasak singgang dan digoreng, masak asam rebus yang paling sesuai. Jom jamu mata hidangan ringkas saya....


Monday, March 22, 2010

UDANG GORENG TEPUNG RANGUP




Assalamualaikum dan selamat pagi. Malam tadi tidak sempat menyiapkan entri tentang udang goreng tepung rangup kerana perlu menyiapkan pakaian kerja suami dan sekolah anak-anak dan membersihkan ruang dapur. Memang rutin harian saya sebelum masuk tidur adalah memastikan ruang dapur sentiasa bersih dan kemas. Pukul 2 pagi pun saya sanggup tidak tidur jika sekiranya masih ada cawan dan pinggan-mangkuk yang tidak bercuci, kalau dibiarkan mahu tidur saya tidak lena. Hehe... Ini pun curi-curi masa sementara menanti suami yang sedang bersiap-siap hendak ke tempat kerja.
Sudah lama saya tidak menggoreng udang seperti ini. Jika dimasak sambal atau lainnya pasti tidak habis jadi saya goreng dengan tepung beras. Resepi asal dari emak mertua tetapi saya ubah dan tambah bahan tumbuknya sedikit supaya lebih sedap. Alhamdulillah licin... Jom kita kongsi resepi...

Bahan-bahannya:

500 gram udang sederhana besar
3 biji bawang merah ditumbuk
2 biji bawang putih ditumbuk
1 inci halia ditumbuk
1 inci kunyit hidup ditumbuk
1 biji telur
2 sudu besar tepung beras
secubit garam, gula dan serbuk lada putih

Cara-caranya:

1. Campurkan bahan-bahan tumbuk dengan garam, gula dan serbuk lada putih. Lumurkan dengan udang tadi.
2. Pecahkan telur dan kacau sedikit. Masukkan dalam udang dan digaul sebati.
3. Tambahkan dengan tepung beras dan gaul lagi.
4. Goreng hingga tepung garing dengan minyak terendam. Sebelum dihidang toskan dahulu minyak menggunakan tisu dapur.

Sunday, March 21, 2010

MASAK LEMAK NENAS BERSAMA IKAN MASIN



Assalamualaikum dan selamat malam semua. Menu saya tengahari tadi masak lemak nenas bersama ikan masin. Mula-mula hendak masak lemak udang dengan nenas tetapi ditukar saat-saat akhir. Udang saya goreng tepung rangup saja sebab bimbang anak-anak tidak mahu makan udang yang dimasak lemak terutama Hamimah, menu utama anak saya tiap-tiap hari ialah kicap manis. Mungkin mengikut selera saya dari kecil, anak dara hingga berumahtangga. Alhamdulillah, saya memang tidak cerewet pasal makan. Jom kita kongsi resepi....

Bahan-bahannya:

2 ekor ikan masin (jenis ikut suka) sederhana besar dipotong 2
200 ml santan pekat
air ikut kepekatan kuah yang disukai
2 keping asam keping
5 biji cili api hijau dikisar
sedikit udang kering dikisar
5 biji bawang merah dikisar
1 biji bawang putih dikisar
1 inci kunyit hidup dikisar
sedikit belacan dikisar
2 batang serai dititik
1 mangkuk bubur nenas dipotong ikut suka
gula dan garam secukup rasa

Cara-caranya:

1. Masukkan bahan-bahan yang dikisar, nenas yang dipotong, ikan masin, serai yang dititik, santan, asam keping dan air secukupnya.
2. Masak dengan api sederhana. Kacau sekali sekala hingga masak. Rasakan masin dan manisnya.

Saturday, March 20, 2010

BUBUR JAGUNG



Assalamualaikum dan selamat malam semua. Bubur jagung dari jagung mentah yang saya beli di gerai menjual jagung rebus di Pantai Cahaya Bulan semalam. Sudah lama teringin hendak makan bubur jagung ini. Bukan tiada di jual di gerai-gerai kuih tetapi teringin pula hendak buat sendiri. Kecil-kecil dulu selalu makan bubur jagung air tangan arwah emak yang manis dan lemak. Arwah memang suka sangat dengan jagung apatah lagi yang direbus. Jagungnya pula arwah tanam sendiri bersama kakak saya yang ke 3 dan ke 5. Saya dan adik Noni, masa itu buat menyibuk saja. Sebelum memasukkan benih jagung dalam lubang yang telah dikorek terlebih dahulu, arwah mesti berpesan jangan gelak-gelak, bercakap atau buka mulut semasa menanam benih jagung ini takut nanti jagungnya jarang-jarang isinya. Hehe... Selain menanam jagung, arwah juga menanam kacang tanah dan cili padi. Masih terasa seronoknya mengorek kacang tanah untuk direbus. Rasanya lebih sedap, manis dan lemak berbanding kacang tanah rebus yang dibeli. Bubur jagung ini saya masak tidak mengikut sukatan dan semua bahan-bahannya saya pakai agak-agak. Kurang air, santan dan gula saya tambah lagi bahan-bahan itu secukup rasa. Jom jamu mata....

HIDANGAN SIMPLE TENGAHARI

Terung masak sambal. Terung digoreng terlebih dahulu. Toskan minyaknya. Kisar lada merah, cili api, bawang merah, bawang putih, ikan bilis dan sedikit belacan bersama air asam. Tumis bahan kisar tadi dengan lebihan minyak gorengan terung hingga pecah minyak. Rasakan dengan garam dan gula. Masukkan terung yang digoreng tadi dan gaul rata.

Kerang bakar, mula-mula hendak masak ala-ala pindang dan letak daun kunyit tetapi anak-anak lebih suka bakar. Jadi bakar sahajalah, malangnya tergaringlah pula. Respon anak-anak, baik punya. Sedap sahaja. Hehe...

Sambal cuka untuk dicicah dengan isi kerang bakar. Terpaksa guna cili merah sebab kurang pedas. Kalau arwah emak selalunya tumbukkan cili api, bawang putih dan gula. Kemudian tambah dengan cuka. Memang berasap telinga sekiranya dicicah isi kerang rebus tetapi sedap sangat, masih terasa-rasa di lidah. Rindu sungguh dengan arwah emak yang cantik dan rajin memasak. Al Fatihah..


Assalamualaikum dan selamat petang semua. Jom lah jamu mata hidangan ringkas saya hari ini. Selera suami memang lebih pada hidangan ringkas dan lauk pauk kampung. Santan-santan dan rempah-rempah memang kurang sedikit tetapi saya pula suka mencuba memasak hidangan yang pelbagai.

Friday, March 19, 2010

MAKAN-MAKAN DI RADIX CHICKEN HOUSE DI KBTC

Adham langsung tidak mahu makan walaupun dipujuk. Susah hendak menangkap gambarnya sebab suka sangat berposing salah tempat. Hehe...


Pilihan anak-anak perempuan tentulah makanan barat. Banyak sangat, mereka pun tidak larat hendak menghabiskan. Suami pula memang anti makanan barat.

Makanan pilihan saya dan suami satay ayam. Gemuk-gemuk sataynya, makan satu, dua cucuk sudah mencukupi. Memang sedap sebab dagingnya lembut apatah lagi ianya ayam organik. Tidak terhabis kami berdua walaupun hanya 10 cucuk.

Assalamualaikum dan selamat malam semua. Petang tadi kami sekeluarga jalan-jalan ke kedai menjual pakaian berasaskan batik di Pantai Cahaya Bulan. Saya membeli sehelai kaftan, suami pula seluar pendek melepasi lutut untuk dipakai pada waktu senggang di rumah. Jumaat lepas ke sini juga kerana menghantar anak-anak menghadiri majlis harijadi kawan sekelas di Perdana Resort. Waktu itu saya, suami dan Adham sempat juga jalan-jalan ambil angin di pantai sebab cuaca redup dan berangin. Kali ini tidak dapatlah kami ronda-ronda sebab cuaca panas terik. Baliknya kami singgah di gerai menjual jagung rebus sebab saya hendak membeli jagung mentah. Teringin pula hendak membuat bubur jagung. Hehe...
Dalam perjalanan pulang kami singgah di Radix Chicken House milik sepenuhnya HPA sebab anak yang ke dua teringin hendak ke mari. Selain RCH, di bangunan Kota Bharu Trade Centre ini ada juga Parkson dan Giant. Gara-gara Mydin sudah membuka pasaraya di Kubang Kerian, nampak sepi sedikit hujung minggu ini. Kalau tidak memang sesak, lebih-lebih lagi hari Sabtu. Sedap juga makan-makan di sini. Harga pun amat murah berbanding KFC dan yang sewaktu dengannya. Istimewanya ayam yang digunakan ialah ayam organik dan produk HPA sendiri. Selain makan dapat juga 'point' sekiranya menjadi ahli HPA. Seronoknya saya melihat satu keluarga 9 orang yang anak-anak lelaki kecilnya berkopiah dan anak-anak perempuan kecilnya bertudung. Makan dengan tertib dan gembira. Saya memang 'salute' dengan ibubapa kanak-kanak ini. Pandai sungguh mereka mendidik anak. Bukan seorang tetapi 7 dan masih kecil-kecil lagi. Ada juga pasangan 'mat saleh' yang meratah ayam goreng hingga tinggal tulang. Tentu sedap sebab selain halal, organik pula. Hehe... Mereka pula terbiasa makan 'bangkai', maaf kasar sedikit perkataan ini tetapi memang benarkan.

DAGING MASAK SATAY



Assalamualaikum dan selamat petang semua. Resepi daging masak satay ini awalnya ialah resepi satay daging. Saya olah sedikit dan tambahkan dengan kentang dan lobak merah. Lagipun saya masak dalam kuali bukan dicucuk pada lidi dan dipanggang atas api. Alhamdulillah rasanya sedap dan menurut suami ( quality control ) lebih sedap dari sotong masak prune. Jom kita kongsi resepi mudah dan sihat ini....

Bahan-bahannya:

500 gram daging ( untuk satay )
10 tangkai cili kering dikisar
9 biji bawang merah saiz kecil dikisar
2 sudu besar ketumbar dikisar
1 sudu teh jintan putih dikisar
5 batang serai dikisar
1 inci halia dikisar
1 inci lengkuas dikisar
1 inci kunyit hidup dikisar
3 ulas bawang putih dikisar
air asam jawa secukupnya untuk mengisar
garam dan manisan secukupnya

Cara-caranya:

1. Campur semua bahan kisar dengan manisan dan garam. Gaul sebati. Lumurkan pada daging lembu yang siap dipotong mengikut saiz membuat satay tadi.
2. Perapkan sekurang-kurangnya 4 jam ( kalau sanggup tunggu la, hehe...)
3. Masukkan daging yang telah diperap tadi ke dalam kuali dan masak hingga agak empuk. Jika daging payah hendak empuk boleh tambah air dan masak lagi.
4. Masukkan kentang dan lobak merah. Tambah sedikit air supaya kentang dan lobak tadi cepat empuk.
5. Bila daging, lobak merah dan kentang telah empuk, tutup api.
6. Sebaik-baiknya tutup kuali ketika memasak, kacau sekejap-sekejap dan gunakan api sederhana.

Wednesday, March 17, 2010

APAM MARMAR



Assalamualaikum dan selamat pagi Khamis. Terasa sekejap benar masa berjalan, cuti sekolah hampir ke penghujung. Cuti sekolah kali ini hanya dihabiskan di rumah, suami sibuk bekerja dan Noor Hamimah pula sibuk dengan kelas tambahan serta seminar menjawab kertas peperiksaan UPSRnya.
Apam marmar ini memang telah lama masuk dalam list tetapi baru sekarang saya buat. Anak ke 2 saya memang gemar sangat-sangat makan apam. Paling dia suka apam beras Am (flora).
Oleh kerana resepi ini sudah lama dalam simpanan, saya terlupa siapa yang menyumbangkannya. Yang pasti dari internet. Apa-apa pun saya ucapkan ribuan terima kasih. Apam marmar saya ini tidak berapa cantik, mungkin kerana saya menggunakan loyang yang agak lebar. Rasanya sedap, gebu, sangat lembut dan berbau harum pandan walaupun tidak menggunakan daun pandan. Mungkin aroma dari santan kotak yang saya gunakan.
Jom tengok resepi....

Bahan-bahannya:

250 gram tepung naik sendiri
200 ml santan
200 gram gula halus
2 biji telur gred A
1 sudu teh esen vanilla
1 sudu besar ovallete
secubit garam (saya lupa letak)
pewarna merah dan hijau

Cara-caranya:

1. Satukan semua bahan di dalam mangkuk besar kecuali pewarna. Kacau perlahan dengan spatula. Bila adunan sudah sebati, gunakan pemutar elektrik dengan kelajuan tinggi hingga adunan benar-benar kembang dan gebu.
2. Bahagikan adunan kepada 3 bahagian dan warnakan dengan merah dan hijau. Sebahagian lagi dibiarkan dengan warna asal.
3. Lenser loyang dengan mentega dan masukkan adunan merah dan hijau berselang-seli. Akhir sekali masukkan adunan asal.
4. Gunakan spatula dan buat pusingan membulat 1 atau 2 kali.
5. Kukus selama 45 minit dalam kukusan yang telah dipanaskan terlebih dahulu.