Wednesday, March 31, 2010

HATI LEMBU MASAK UNGKEP BERKERISIK



Assalamualaikum dan berjumpa lagi. Tempohari ke pasar basah terpandang pula hati lembu ini di gerai kakak penjual daging. Tiba-tiba teringin pula hendak makan lauk hati lembu yang dimasak ungkep. Apa lagi saya pun minta izin suami untuk membelinya. Suami beri lampu hijau. Sebenarnya suami tidak galakkan saya dan anak-anak makan organ dalaman haiwan tetapi sekali sekala tidak mengapa rasanya. Saya beli hati lembu 500 gram, daging batang pinang 500 gram dan paru lembu 500 gram juga. Semua sekali RM23. Hehe.... Saya belanja pasar memang seminggu sekali bersama suami.
Esok saya mungkin ke Pahang sebab suami ajak bercuti bersama anak-anak. Sambil itu beliau hendak menziarahi suami bekas staff semasa di SSM Pahang yang baru sembuh dari sakit misteri. Mungkin saya di Pahang 3 hari 2 malam. Mudah-mudahan percutian ini memberi manfaat dan menggembirakan kami sekeluarga. Rindunya hendak makan keropok lekor sagu Pak Soh di Tanjung Lumpur. Rasanya memang sedap sangat. Dahulu hujung minggu kami sekeluarga selalu makan-makan di sini sebelum membeli lauk basah pada waktu petang.
Jom kita kongsi resepi...

Bahan-bahannya:

500 gram hati lembu dipotong ikut suka
3 biji bawang besar dikisar
1 biji bawang putih dikisar
1 inci halia dikisar
1 inci kunyit hidup dikisar
3 batang serai dikisar
1/2 lengkuas dikisar
1 sudu besar ketumbar dikisar
1/2 sudu kecil jintan kasar dikisar
1/2 sudu kecil jintan halus dikisar
air asam jawa secukupnya
garam dan manisan secukupnya
11/2 sudu besar kerisik
5 helai daun limau purut (saya suka-suka letak)
15 biji cili api sebiji-sebiji

Cara-caranya:

1. Gaulkan bahan-bahan yang dikisar, air asam, garam dan manisan pada hirisan hati lembu tadi. Perap selama mana yang diingini.
2. Panaskan minyak dan tumiskan perapan hati. Kacau. Masukkan daun limau purut dan cili api.
3. Kacau lagi dan masukkan kerisik ketika hati hampir masak. Gaul sebati.
4. Angkat dan hidangkan.

2 comments:

  1. salam kak anis,
    pandainya kak masak hati lembu ni. teringat mama saya, kalu hati lembu slalu masak gulai/kari tu. teringin nak rasa hati ungkep ni...:)

    ReplyDelete
  2. salam indah. maaf hari ni baru dpt bls komen dr indah. mudah aje masaknya indah, cubalah. akk masak biasa2 blh lah selari dgn peningkatan usia. hehe...

    ReplyDelete