Friday, April 30, 2010

SAMBAL TUMIS UDANG LAGI ...




Assalamualaikum dan selamat malam semua. Siang tadi saya masak sambal tumis udang dan ayam cincang goreng rempah. Kebetulan suami pun hendak pulang dari outstation. Sambal udang memang lauk kegemaran beliau. Kalau hendak tumpang makan pun boleh sebab banyak lagi lebih sambal tumis udang tu. Anak-anak lebih suka makan ayam cincang goreng rempah. Huhu.. Makan pun sekali sehari sahaja. Mungkin kekenyangan makan sandwich telur yang saya buat sebelum masak tengahari tadi. Jom kita kongsi resepi sambal tumis ini....

Bahan-bahannya:

500 gram udang sederhana besar
2-3 senduk cili kering kisar
sedikit belacan dikisar
6 biji bawang merah dikisar
1 biji bawang putih dikisar
garam, gula dan perasa secukupnya
1/2 cawan air asam jawa ( jangan pekat sangat )

Cara-caranya:

1. Bersihkan udang dan buang sesungutnya.
2. Panaskan minyak dan goreng udang hingga bertukar warna. Angkat dan toskan minyaknya.
3. Lebihan minyak tadi tumiskan dengan cili kisar, diikuti bahan-bahan kisar ( kisar bersama air asam) hingga pecah minyak. Lagi lama lagi sedap tetapi api hendaklah sentiasa dijaga dan dikacau sekejap-sekejap.
4. Rasakan dengan garam, gula dan perasa. Kacau lagi.
5. Bila sambal telah mesra masukkan udang yang telah digoreng tadi. Kacau rata. Biarkan seketika atas api dan boleh dihidangkan.


JEMPUT-JEMPUT LABU MANIS




Assalamualaikum. Entri ini telah saya buat semalam tetapi tiba-tiba boleh hilang begitu sahaja. Pelik pun ada. Jemput-jemput labu manis ini sesuai dibuat minum petang. Resepinya diajarkan oleh staff suami. Kali ini saya gunakan tepung naik sendiri kerana hendak menghabiskan stok yang ada. Jomlah kita panjang-panjangkan resepi yang mudah dan sedap ini....

Bahan-bahan:

1 cawan labu manis yang dilenyek
3 sudu besar gula - kalau hendak manis boleh tambah lagi
3/4 cawan tepung kek

Cara-caranya:

1. Rebus labu manis hingga empuk dan lenyek dengan gula.
2. Tambahkan dengan tepung kek dan gaul sebati. Sekiranya adunan agak keras tambahkan sedikit air.
3. Panaskan minyak, lalukan hujung sudu pada minyak panas dan sudukan adunan. Goreng hingga keperangan. Seeloknya gunakan sudu kecil supaya jemput-jemput ini comel bentuknya.
4. Buat macam sehingga habis.

AWARD DARIPADA YATIE US DAN SU MERSING


1. Thank and link the person that give you the award

- Terima kasih yang tidak terhingga buat kedua adik yang sudi memberikan award ini kepada saya iaitu Yatie Cun dan Su Cantik.

2. Pass this award to 10/20/30/all bloggers you've recently discover

- Insya Allah, yang ini perlu difikirkan dahulu. Hehe.....

3. Contact said blogs and let them know they've won this award

-InsyaAllah, bila sudah ada senarai nama akan diberitahu.


4. State 7 things about yourself

1- Suka membaca apa juga bahan bacaan tetapi selalunya sekerat jalan kecuali novel, kalau boleh hendak dihabiskan hari yang sama. hehe..
2- Suka mendengar siaran radio klasik nasional sebab suka sangat dengar lagu-lagu lama.
3- Bila sudah melakukan sesuatu kerja penat macamana sekali pun mesti siap.
4- Suka memasak dan mencuba resepi baru.
5- Suka dengan persahabatan yang jujur dan ikhlas.
6- Suka mendengar gurauan selagi tidak melampaui batas.
7- Suka mendengar pujian dari suami dan berasa tersangat malu jika dipuji oleh orang lain.


Alhamdulillah, selesai sudah tugasan yang diberikan oleh adik berdua ini. Terima kasih diucapkan sebab tidak jemu-jemu memberi award kepada saya. Mudah-mudahan silaturrahim yang terjalin antara kita akan bertambah erat dan berkekalan. AMIN...

Thursday, April 29, 2010

SOTONG GORENG KUNYIT



Assalamualaikum dan selamat petang. Entri kali ini merupakan edisi tertunda. Dah tak tahu nak buat apa dengan sotong yang ada jadi saya cuba masak goreng kunyit. Cuba-cuba saja tetapi alhamdulillah sedap pula. Sekali lagi menu simple dari saya, sesiapa yang baru hendak belajar memasak memang sesuai sangat mencuba. Jom kongsi resepi...

Bahan-bahannya:

500 gram sotong
1 biji bawang besar dihiris bulat-bulat
5 biji lada merah dihiris
1/2 sudu kecil serbuk kunyit
sedikit air asam jawa
garam, gula dan perasa secukupnya

Cara-caranya:

1. Sotong dibersihkan, dipotong membulat dan dibuang pundi hitamnya.
2. Gaulkan sotong tadi dengan serbuk kunyit dan garam secukupnya.
3. Panaskan minyak dan tumiskan sotong tadi. Gaul seketika dan tutup kuali.
4. Bila air sotong hampir kering, masukkan air asam, perasa dan gula secukupnya. Kacau lagi.
5. Masukkan hirisan lada merah dan bawang besar, kacau dan biarkan seketika atas api hingga bahan-bahan yang dihiris agak layu.
6. Siap untuk dihidangkan.

Wednesday, April 28, 2010

GULAI IKAN AYA @ TONGKOL



Assalamualaikum semua. Gulai ikan tongkol ini lauk semalam. Sibuk berfacebook sampai terlalai mengupdate blog. Ikan aya ini selain digoreng, dimasak asam pedas, masak kicap, masak sambal dan masak singgang, digulai pun sedap. Lauk ini saya kenal setelah menetap di Kota Bharu inilah. Di sini rata-rata masyarakatnya bersarapan nasi berlauk. Pagi-pagi sudah makan nasi. Mula-mula pelik juga tetapi bak kata pepatah alah bisa tegal biasa. Kadang-kadang saya dan keluarga pun layan sama pagi-pagi makan nasi berlauk ini. Hehe... Orang kata di mana bumi di pijak di situ langit dijunjung tetapi kampung halaman tetap tersemat kukuh di sanubari...
Resepi ini Kak Zah tukang urut dan Kak Yah tukang cuci rumah yang ajarkan. Jom layan...

Bahan-bahannya:

1 ekor ikan aya saiz besar dipotong
5 tangkai cili kering dikisar
3 keping asam keping
3 biji bawang merah dikisar
1 biji bawang putih dikisar
sedikit lengkuas dikisar
sedikit kunyit hidup dikisar
1 cawan santan pekat
timun }
kacang panjang }
lada hijau } semua tiada dalam stok. huhu...
garam dan gula secukupnya

Cara-caranya:

1. Rebus ikan aya dahulu dengan cara masukkan potongan ikan dalam periuk, tambah air paras-paras ikan. Masukkan garam, sedikit manisan, sedikit hirisan lengkuas dan beberapa kepingan asam.
Masak dengan api kecil hingga air rebusan ikan tadi hampir kering. Ketepikan.
2. Masukkan santan, asam keping, garam, gula dan air. Agak-agak tenggelam ikan dalam periuk.
3. Masak hingga mendidih dengan api sederhana dan hendaklah dikacau selalu. Lagi lama atas api lagi sedap kuah itu.
4. Setelah kuah mendidih masukkan pula ikan aya rebus tadi dan masak lagi hingga ikan dan kuah mesra.
5. Jika ada timun (hiris dahulu) atau kacang panjang dan lada hijau bolehlah dimasukkan sejurus sebelum api dimatikan.
6. Siap untuk dihidangkan. Tambah sedap kalau dimakan bersama budu dan tempoyak. Hehe..

Tuesday, April 27, 2010

AWARD DAN TAG DARIPADA YATIE US




1) COPY AWARD INI MACAM DAPAT GRAMMY AWARD....

Saya dah salin sepertimana yang dikehendaki.
Terima kasih banyak ya Yatie hadiahkan akak award ini.


2)BERI TAU SAPA DAN LINK PEMBERI AWARD INI....


Siapa lagi yang nak seksa kakak dia yang tak pandai ni klu bukan yatie us. hehe..


3)TAJUK POS KORANG MESTI ADA 5-FIVE-KHAMSAH? KENA JAWAB 10 SOALAN DAN SETIAP 1, DENGAN 5 JAWAPAN...WOWWW!!!!!)....

insyaAllah akak akan jawab sejujurnya


4)FIVE NAME THAT PEOPLE CALL YOU....

1. Kak Anis
2. Mak Anis
3. Cik Anis
4. Anes
5. Auntie Anis


5)FIVE IMPORTANT DATES IN YOUR LIFE....

1. Januari 1 @ 27 Syawal ( arwah emak pergi meninggalkan kami. huhu...)
2. Ogos 21 @ 13 Rabiulawal ( tarikh pernikahan saya dengan suami )
3. Februari 19 @ 17 Syawal ( birthday suami )
4. November 7 @ 25 Jamadilakhir ( birthday Noor Syuhadah )
April 25 @ 28 Zulhijjah ( birthday Noor Hamimah )
Januari 23 @ 12 Zulhijjah ( birthday Muhammad Adham )

5. September 24 @ ... Rejab ( my birthday )


6)FIVE THING YOU DONE YESTERDAY....

Kalau dah surirumah sepenuh masa tu apa lagi mestilah memasak, mengemas rumah, membasuh kain baju, mendengar radio klasik nasional ( tangkap syahdu zaman anak-anak dulu ), dan menangis sebab sedih.


7)FIVE WAYS TO BE HAPPY....

Didik hati supaya bersyukur, redha, tidak cemburu, bersangka baik dan sentiasa kasih sayang. Part cemburu ni yang selalu tewas. Hehe...


8)FIVE FAVOURITE MOVIES...


-Filem klasik Bawang Putih Bawang Merah, suami kata saya macam Latifah Omar mudah sangat menangis. Hehe... Nasib baik bukan Neng Yatimah.
-All About Eve cerita korea. Kalau tengok heronya memang sempurna habis sampai saya terjatuh cinta dengan wataknya dan heronya Jang Dong Gun. Hehe... (dalam cerita ini aje la, lain2 tak minat). Kalau tak percaya tontonlah sendiri. Hehe...
-Filem2 kungfu lakonan Jet Li ( minat sangat sebab berlakun tak miang macam pelakon lain, akak ni memang alahan dengan pelakon lelaki yang gatal )
-Muhammad The Last Messenger ( cerita animasi ni )
- Cerita2 cartoon Barbie ( suka tonton dengan anak-anak )


6 - FIVE FAVOURITE HOBBIES....

Membaca, memasak, mencuba resepi baru, makan angin dengan anak-anak dan melayari internet ( berblogging dan sekarang berFB pulak )

7 - FIVE FAVOURITE PEOPLE....

-Anak2. Noor Syuhadah, Noor Hamimah dan Muhammad Adham
-Suami. Hairul Anuar
-Arwah emak Hajah Napsia
-Bapak Haji Sidon
-Adik beradik. Kak ara, kak ipah, kak mas, abang, ita, ina, saya, noni dan yan.


8 - FIVE FAVOURITE PLACES FOR VACATION....

Di mana-mana pun seronok sekiranya bersama keluarga. Paling best di D Riyaz Heritage.


9 - FIVE REASON YOU ANSWER THE SERVEY....

1. Kalau namanya tugasan jadi satu amanah untuk dilangsaikan. Hehe...
2. Kongsi cerita dengan rakan-rakan blogger yang sejiwa.
3. Mencairkan otak yang semakin membeku (bila dah berumur ni)
4. Mengisi masa lapang dari memikirkan perkara yang bukan-bukan...
5. Tentunya menghargai nilai satu persahabatan yang walaupun jauh di mata tetapi terasa dekat di hati.



10 - FIVE PERSON TO TAG....PASTINYA AKAN ADA PENYAMBUNGNYEEE...hihi...

- Part yang ini tidak dapatlah akak nak merealisasikannya, sebabnya biarlah rahsia. Kalau nak tahu kena dengar lagu Siti Nurhaliza tu. Hehe... Gurau aje. Nanti-nanti sebab kena fikir dulu giliran siapa yang sedia didera. Hehe...






Saturday, April 24, 2010

DAGING GORENG KETUMBAR



Assalamualaikum dan selamat pagi semua. Menu daging goreng ketumbar ini saya warisi dari arwah emak. Selain menggunakan daging arwah emak yang saya sayangi dan rindui ini juga menggunakan babat atau perut lembu untuk dimasak resepi yang sama. Masakan yang simple tetapi sedap, tetapi saya tambahkan dengan lengkuas dan serai sebab hendak menghabiskan stok yang ada. Arwah emak dahulu selalu masak menu yang simple dan mengikut selera suaminya. Hehe... Nama masakan ini pun saya yang beri sebab seingat saya arwah tidak pernah pula menyebutnya. Jom kita kongsi resepi....

Bahan-bahannya:

500 gram daging lembu dihiris ikut suka
7 biji bawang merah dikisar
2 biji bawang putih dikisar
sedikit halia dikisar
sedikit kunyit hidup dikisar
sedikit lengkuas dikisar - ini saya tambah
5 batang serai dikisar - ini saya tambah
sedikit air asam jawa ( campur dengan bahan kisar - arwah emak gunakan asam jawa terus )
2 sudu besar ketumbar dikisar ( arwah emak, cuci, tos dan ditumbuk )
garam, gula dan serbuk perasa secukupnya.

Cara-caranya:

1. Gaulkan bahan kisar, ketumbar dan air asam jawa rata-rata pada hirisan daging.
2. Masukkan garam, gula dan serbuk perasa. Agak-agaklah. Gaul lagi.
3. Panaskan sedikit minyak dan tumiskan daging tadi. Tutup kuali.
4. Bila air daging telah kering tambahkan lagi air secukupnya. Masak dengan api perlahan hingga kuah pekat atau garing dengan api perlahan. Kacau sekejap-sekejap.

p/s: kebanyakkan masakan arwah emak adalah dengan cara menumbuk menggunakan lesung batu. Arwah jarang menggunakan pengisar. Saya kagum dengan kudrat arwah emak yang punya anak 9 ini. Moga Allah sentiasa mencucuri rahmat ke atas roh beliau dan di tempatkan di kalangan orang-orang yang beriman dan soleh. AMIN...

Friday, April 23, 2010

AWARD DARIPADA AZATIE


Assalamualaikum dan selamat pagi semua. Dapat award lagi dari teman blogger, azatie. Cantik sungguh jambangan bunga mawar ini. Warnannya terang, merah menyala umpama biji saga. Terima kasih azatie atas tanda ingatan ini. Moga silaturrahim yang terjalin antara kita terus membara hingga bila-bila...

AWARD DARIPADA E-NA ZARINA


Assalamualaikum dan selamat petang semua. Award Tulip ini saya terima dari blogger E-na Zarina dari Lovely Kitchen. Cantik sungguh bunga-bunga tulip kuning dan merah yang sedang berkembang ini. Buat E-na, terima kasih kakak ucapkan di atas tanda ingatan ini. Mudah-mudahan ikatan silaturrahim ini akan terus mekar dan berpanjangan.

Wednesday, April 21, 2010

HATI LEMBU GORENG KUNYIT BERKICAP



Assalamualaikum dan selamat malam semua. Masa chat dengan Yatie US siang tadi rasa malas hendak memasak hari ini sebab lauk semalam masih banyak jadi hendak recycle saja tetapi bila masuk dapur lain pula jadinya. Memasaklah jawabnya. Memasak adalah satu terapi juga bagi saya di samping menulis dan membaca. Melihat wajah Adham yang tidak berdosa juga boleh membuatkan hati saya berbunga bahagia... Sebab kadang-kadang musibah yang berlaku pada orang lain juga menyentap hati dan membelenggu fikiran saya... Oklah, jom kita kongsi resepi mudah ini....

Bahan-bahannya:

500 gram hati lembu dihiris ikut suka
5 biji cili merah dihiris
1 biji bawang besar dihiris
sedikit kunyit serbuk
secubit garam
gula secukup rasa
1/4 cawan air asam jawa
1/4 cawan kicap masin
1 sudu besar kicap pekat

Cara-caranya:

1. Panaskan sedikit minyak dan tumiskan hati lembu yang telah digaul dengan garam dan kunyit.
2. Tutup kuali. Apabila hati lembu tadi sudah mengeluarkan air dan mendidih buka tudung kuali tadi dan kacau rata.
3. Masukkan air asam jawa, diikuti dengan kicap masin, kicap pekat dan gula secukupnya.
4. Tambahkan dengan hirisan lada merah dan bawang besar. Kacau sebati.
5. Biar atas api hingga hati lembu masak.

KERABU MANGGA



Assalamualaikum dan selamat malam. Kerabu mangga percubaan pertama saya. Guna bahan-bahan mentah yang ada dalam stok sahaja. Kebetulan suami beli mangga muda untuk dicicah dengan kuah colek ready made. Saya pun curi sebiji untuk dicuba buat kerabu. Alhamdulilah, hasilnya menjadi juga.

Bahan-bahannya:

1 biji mangga muda saiz besar
2 sudu besar udang kering
1 biji bawang besar
15 biji cili api
sos ikan dan gula secukupnya
5 keping nugget ikan (saya tambah sendiri)

Cara-caranya:

1. Mangga muda dikupas dan dihiris nipis memanjang.
2. Udang kering digoreng garing, ditoskan minyaknya dan ditumbuk lumat.
3. Cili api dan bawang besar dihiris nipis-nipis. Campurkan dengan udang kering lumat. Gaul sebati. Rasakan dengan sos ikan dan gula.
4. Tambahkan dengan hirisan mangga muda dan gaul lagi dengan sebati.
5. Ketika hendak menghidang kerabu mangga tadi taburkan dengan hirisan nugget ikan yang telah digoreng terlebih dahulu. Sepatutnya kacang tanah goreng tetapi saya kurang suka. Sotong kering pula tiada. Hehe...

Tuesday, April 20, 2010

ROTI GULUNG INTI SARDIN



Siap-siap menunggu untuk digoreng.


Assalamualaikum dan selamat malam semua. Petang tadi saya menyediakan roti gulung sardin untuk Hamimah dan rakan-rakannya yang datang belajar. Malangnya sampai ke petang rakan-rakannya tidak datang. Makan sendirilah nampaknya selain diberi anak-anak sebelah. Jom kita kongsi resepi mudah ini...


Inti sardin

Bahan-bahannya:

10-12 keping roti gardenia dibuang tepi dan digelek nipis
1 tin sardin marina dibuang sos, dicucur air panas, dihancurkan dengan garfu
1 biji bawang besar dicincang halus
2 biji cili merah dibelah 2 dan dihiris kecil-kecil
1 biji limau kasturi diambil airnya
sedikit garam
2 biji telur dipukul sedikit

Cara-caranya:

1. Masukkan sardin, bawang besar cincang, cili merah hiris, air limau kasturi dan garam dalam mangkuk dan gaul sebati.
2. Letakkan inti sardin atas sekeping roti yang telah digelek nipis. Gulung kemas.
3. Celupkan gulungan roti tadi ke dalam telur dan goreng hingga keperangan.

APAM BERAS ENO




Asam tumis ikan pari ku nak enterframe gak. Lauk tengahari tadi. Dalam seminggu mesti ada menu kegemaran suami ni. Kali ini kurangkan kepekatan kuah sebab cuaca teramatlah panasnya. Hehe...

Assalamualaikum dan selamat malam semua. Semalam saya kukus apam beras yang dicampur eno untuk anak-anak yang mengulangkaji pelajaran di rumah. Malangnya tiada kelapa parut. Salah seorang kawan anak bertanya, kenapa nyior takde makcik. Hehe... Hamimah yang jawab sebab dia tak suka. Resepinya saya ambil dari rumah ros@jintan manis. Terima kasih banyak ya ros. Hari itu cuba tinggalkan pesanan tak dapat-dapat jadi sekiranya ros terbaca entri ini maaf dipohon dan izinkan letak resepi apam beras ini di sini.

Bahan-bahannya:

1 cawan nasi
11/4 cawan air
1 cawan gula pasir
2 cawan tepung beras
1 sudu kecil yis kering
1 paket kecil eno

Cara-caranya:

1. Blend nasi dan air hingga hancur. Tambahkan gula, tepung beras dan yis. Blend sekali lagi hingga sebati.
2. Perapkan adunan tadi 4-5 jam.
3. Tambahkan pewarna jika suka, kacau perlahan.
4. Tambahkan eno dan gaul sebati secara perlahan-lahan.
5. Masukkan dalam acuan kuih lompang dan kukus selama lebih kurang 15 minit dengan api kuat.

Monday, April 19, 2010

KARI IKAN BERSAMA TERUNG



Assalamualaikum dan selamat malam. Lauk untuk makan tengahari tadi. Ikan ini namanya ikan belitong menurut makcik yang menjualnya. Menurutnya lagi ikan belitong ini sedap dimasak kari. Oleh kerana tidak banyak pilihan ikan hari itu saya pun beli sahajalah. Lagipun hendak cepat waktu itu sebab bawa Adham. Marilah kita kongsikan resepi kari ikan belitong bersama terung ungu ini.

Bahan-bahannya:

3 potong isi ikan bahagian ekor
3 biji terung ungu saiz kecil dibelah dua
5 biji bawang merah dihiris
2 biji bawang putih dihiris
1/2 sudu kecil halba
3 tangkai daun kari dilurutkan
3 biji bawang besar dikisar
1/2 inci halia dikisar
2 sudu besar rempah kari ikan (digaul dengan bahan kisar)
sedikit air asam untuk mengisar
1 cawan santan
sedikit garam dan gula jika suka

Cara-caranya:

1. Tumiskan bahan-bahan hiris, halba dan daun kari hingga keperangan.
2. Masukkan campuran bawang besar kisar dan serbuk kari. Gaul rata dan biarkan hingga pecah minyak.
3. Masukkan garam dan gula secukup rasa.
4. Setelah sebati rasa dan bahan-bahan tumis tadi, masukkan ikan dan gaul lagi.
5. Masukkan sedikit air agak-agak tenggelam ikan tadi. Bila mendidih tambahkan dengan santan dan terung.
6. Masak dengan dikacau sekali-sekala hingga kuah mendidih dan terung empuk.
7. Boleh disediakan untuk santapan...

ROTI NAIK MANIS

Gambar anak lelaki kesayangan saya dan keluarga. Saja letak buat penyejuk mata kami. Bila lihat anak tersenyum rasa bahagia sangat. Terbang segala masalah dan rasa penat. Alhamdulillah....



Maaflah, roti naik saya kali ini tidak seperti yang saya harapkan. Namun anak-anak suka sebab rasanya lebih manis. Hehe.....



Assalamualaikum dan selamat petang semalam. Roti ini saya buat semalam sebab kawan sekolah Hamimah datang hendak belajar sama-sama. Malangnya semasa mengadun saya letak terlebih gula jadi adunan menjadi berat dan memakan masa yang lama hendak naik. Sampailah anak-anak tadi selesai belajar dan pulang ke rumah masing-masing.
Itu bab mengadun. Bab membakar satu hal sebab saya belum mesra dengan ketuhar yang ini. Semasa membakar saya asyik menemani suami makan sambil berbual-bual. Sedar-sedar roti saya ini sudah tergaring di atasnya. Alhamdulillah tidak hangus. Cepat-cepat saya tukar api bawah pula. Hehe...
Malam sebelum anak ke kelas malam saya bekalkan roti ini untuk diberikan kepada kawan-kawannya tadi. Alhamdulilah tercapai juga niat saya... Resepinya ada saya letak pada entri terdahulu. Jomlah jamu mata.....

Sunday, April 18, 2010

SAMBAL TUMIS TELUR PUYUH



Assalamualaikum dan selamat malam. Hari itu masa singgah ke rumah Nur saya nampak sambal tumis telur puyuh, sedapnya. Lebih-lebih lagi melihatkan nasi lemak beliau. Hehe... Kali ini saya masak pula tetapi makan dengan nasi putih sahaja sebab Hamimah tidak minat makan nasi lemak. Sambal tumis ini semua orang tahu menyediakannya bukan. Cuma membezakannya sedap atau tidak sahaja. Macam biasa bila masak sambal tumis telur mesti dimasak lama agar telur tadi menjadi keras dan menyerap rasa sambal mengikut selera suami. Silalah jamu mata dengan sambal tumis telur puyuh saya yang sedap ini ( kata suamilah ) hehe...

UDANG GORENG TEPUNG RANGUP LAGI....



Assalamualaikum dan selamat malam semua. Tengahari tadi goreng udang salut tepung rangup lagi. Kali ini guna udang saiz sederhana warna biru pula. Telurnya pula saya pukul dengan agak kembang dengan garfu dahulu. Jemputlah jamu mata....

Thursday, April 15, 2010

BAHULU MEKAR KUKUS




Assalamualaikum dan selamat malam semua. Bahulu mekar kukus ini untuk minum petang tadi. Resepi ambil dari rumah 'mokwok'. Tergoda pula hendak mencubanya bila ternampak keayuan bahulu mekar ini bila singgah ke rumah mokwok semalam. Terima kasih mokwok ya. Hehe... Anak-anak nampaknya lebih suka makan apam beras dari bahulu mekar ini. Tidak mengapalah sambil masak sambil test selera anak-anak. Mana yang anak-anak suka, itulah yang semangat kita hendak buat. Jomlah tengok resepinya tetapi saya tulis caranya lebih kurang sahaja, bahan-bahannya yang penting ditulis dengan detail.

Bahan-bahannya:

125 gram tepung
1 st double acting baking powder
1 st ovallete
120 gula halus
1 sb pes coklat
1 biji telur
70 ml air suam
70 ml susu segar/cair
sedikit esen vanilla

Cara-caranya:

1. Masukkan semua bahan-bahan di atas kecuali pes coklat dalam mangkuk besar dan gaul sebati.
2. Kemudian dipukul hingga kembang dan gebu macam adunan hendak buat bahulu.
3. Bahagi dua adunan tadi. Satu diwarnakan dengan pes coklat dan satu lagi dibiarkan warna asal.
4. Masukkan adunan tadi berselang-seli di dalam acuan kuih lompang.
5. Kukus dengan api kuat selama 15 minit.

Teman-teman semua kalau inginkan resepi yang lebih detail rajin-rajinlah jengok blog mokwok ya, 'semanis madu selaut ilmu'. Hehe...

LEMAK CILI API AYAM ORGANIK



Assalamualaikum dan selamat malam semua. Lemak cili api ayam ini merupakan permintaan Noor Hamimah dua hari lepas. Hari ini baru saya dapat menunaikan permintaannya. Ayam organik ini pula saya beli dari stokis HPA. Lebih mudah mengempukkan ayam organik dari ayam kampung, rasanya pun lebih kurang dan dagingnya juga kenyal. Bersungguh anak saya makan. Suami pun bertambah nasi. Syuhadah sahaja yang masih kekenyangan kerana makan kuetiaw di sekolah dan bahulu mekar kukus yang saya buat usai memasak untuk tengahari tadi.
Bahan-bahan yang saya gunakan tidak sama dengan lemak cili api orang negeri (kadang-kadang ingin juga hendak mencuba resepi orang negeri), maklumlah lidah dan perut suami dan anak-anak tidak tahan pedas. Rasanya resepi untuk masakan ini telah saya letak untuk entri yang terdahulu. Jomlah jamu mata dengan lauk lemak cili api saya...

Wednesday, April 14, 2010

BINGKA @ KUIH BAKAR DURIAN



Assalamualaikum dan selamat malam. Bingka durian ini saya buat setelah selesai memasak untuk tengahari. Memang menjadi kelaziman saya kalau membuat sesuatu kerja itu bila sudah dimulakan mesti disiapkan. Cuma kadang-kadang kelemahan saya bila hendak memulakan sesuatu kerja itu yang 'kureng' sedikit. Hehe... Selalunya suami kurang gemar melihat cara saya melakukan sesuatu kerja, kerap juga saya ditegur oleh beliau 'work smart, don't work hard' bila melihat saya kepenatan tetapi tetap mahu menyiapkan kerja yang dibuat.
Bingka durian ini saya buat supaya durian segar yang kurang manis dibeli suami tidak terbuang begitu sahaja. Hendak dibuat tempoyak pun rasanya tidak sedap. Dimasak dengan bubur sudah, dibuat serawa pun sudah. Jadi buatlah bingka ini. Jom kita kongsi resepi yang saya tambah sana sini ini.....

Bahan-bahannya:

1 mangkuk lauk isi durian (hehe... banyak ikut suka, maaflah gunakan mangkuk lauk untuk menyukat)
3 biji telur
2 cawan tepung
2 cawan santan
2 cawan susu cair
2 sudu besar minyak jagung ( cairan minyak sapi@margerin@mentega@minyak sayuran pun boleh)
11/4 cawan gula
2 sudu besar tepung jagung

Cara-caranya:

1. Masukkan semua bahan dalam mangkuk besar dan gaul mesra. Tambahkan durian.
2. Masukkan bancuhan tepung dan durian ini ke dalam jug pengisar dan kisar hingga halus.
3. Lenserkan loyang dengan mentega dan curahkan bancuhan bingka tadi.
4. Bakar dengan kepanasan 200C selama 1 jam atau lebih ikut ketuhar masing-masing.
5. Biarkah kuih bingka tadi benar-benar sejuk baru dipotong-potong, saya tidak dapat menunggu lama sebab perlu diberikan kepada anak-anak di sebelah kerana hari mulai malam. Hehe....

DAGING MASAK KICAP PENGANTIN



Assalamualaikum dan selamat petang semua. Daging masak kicap pengantin ini merupakan juadah yang diajarkan oleh kakak saya yang sulung sewaktu kami sama-sama menjaga arwah emak yang sedang sakit di kampung. Ketika ini kakak, abang ipar dan anak saudara sedang mengerjakan umrah. Mudah-mudahan dipermudahkan Allah segala urusan mereka di sana. Biasanya hidangan ini dimasak untuk sesi pengantin makan beradap.
Jom kita kongsikan bersama resepi daging masak kicap pengantin yang sedap ini.....

Bahan-bahannya:

500 gram daging batang pinang
1/2 cawan pati santan
13 tangkai cili kering dikisar
5 biji bawang merah dikisar
2 biji bawang putih dikisar
3 batang serai dititik (yang ini saya tambah sendiri)
1/2 sudu teh jintan kasar disangrai dan dikisar
1/2 sudu teh jintan halus disangrai dan dikisar
1 sudu teh tinggi ketumbar disangrai dan dikisar
1 inci halia dikisar
2 batang kayu manis
3 kuntum bunga lawang
3 biji buah pelaga
5 kuntum bunga cengkih
gula secukup rasa
kicap masin secukupnya
sedikit kicap pekat
air asam jawa untuk mengisar

Cara-caranya:

1. Panaskan minyak. Tumiskan rempah 4 sekawan, bahan-bahan kisar dan serai yang dititik hingga pecah minyak.
2. Masukkan gula, kicap masin dan kicap pekat secukupnya.
3. Masukkan daging dan kacau sebati. Tambahkan sedikit air supaya daging cepat empuk.
4. Bila daging mulai empuk dan mesra dengan bahan-bahan tumisannya tadi tambahkan santan pekat. Kacau lagi.
5. Biarkan di atas api hingga daging benar-benar empuk dan mesra serta kuah menjadi pekat.

Tuesday, April 13, 2010

OH! CINNAMON ROLL, HUHU...



Assalamualaikum dan selamat malam semua. Petang tadi saya cuba buat cinnamon roll ini, tetapi cubalah tengok rupanya. Huhu... Inilah padahnya bila saya tengok resepi sekali lalu sahaja. Sedih betul sebab gulungannya tidak menjadi. Sepatutnya saya canai doh tadi dengan lebih nipis tetapi tebal jadi bila digulung jadilah cinnamon roll yang obesiti. Bila dibakar makinlah menjadi-jadi gemuknya itu. Hodoh bukan bermakna tidak sedap, alhamdulillah anak-anak suka memakannya. Lain kali saya hendak cuba lagi dengan mencanai dengan lebih tipis lagi. Walaupun tidak menjadi cinnamon roll ini saya tetap hendak kongsi dengan rakan-rakan semua. Jomlah jamu mata jangan muntah sudah. Hehe...

IKAN MASAK ASAM TUMIS



Assalamualaikum dan selamat malam semua. Hari ini saya cuba resepi yang sama dengan asam pedas iaitu asam tumis ikan. Bezanya cuma dimasukkan serai yang dititik sahaja. Yang lain-lain hampir sama. Asam pedas atau asam tumis memang sedap dan memenuhi selera saya dan keluarga. Resepi ini saya ambil dari internet, sumbernya dari blog "RESEPI RAIDAH'. Sekiranya tuan empunya blog ini terbaca entri saya, terima kasih diucapkan. Memang sedap and tidak rugi mencuba. Izinkan saya kongsikan resepi asam tumis ini di sini tetapi mengikut sukatan bahan-bahan yang biasa saya gunakan.

Bahan-bahannya:

500 gram isi ikan 'denuk'
21/2 senduk cili kering yang dikisar
5 biji bawang merah dikisar
2 biji bawang putih dikisar
sedikit halia dikisar
sedikit kunyit hidup dikisar
2 batang serai dititik
sedikit belacan dikisar
air asam jawa secukupnya
secekak daun kesum dilerai dari tangkainya
2 kuntum bunga kantan dibelah dua
RM1 kacang bendi
garam dan gula secukupnya

Cara-caranya:

1. Tumiskan bahan yang dikisar bersama serai hingga naik bau. Tambahkan garam dan gula secukupnya. Kacau sebati.
2. Masukkan potongan isi ikan tadi dan gaulkan bersama bahan tumis. Tambah sedikit air. Tunggu hingga agak mendidih untuk ditambah air asam pula.
3. Bila kuah telah mendidih sepenuhnya, masukkan daun kesum, kacang bendi dan bunga kantan.
4. Biarkan seketika di atas api dan sedia untuk dihidangkan.