Wednesday, August 24, 2011

KARI KAMBING TANPA SANTAN



Assalamualaikum dan selamat petang semua. Kari kambing tanpa santan lagi. Biasanya saya kalau masak kari memang jarang menggunakan santan sebab suami kata sudah sedap begitu saja. Bila masak kari untuk hari raya saja saya gunakan santan dan kadang-kadang memasukkan sekali kerisik di dalam kuah kari tersebut. Alang-alang sudah ada kari kambing inilah saya membuat roti jala. Anak-anak memang suka tetapi macam biasalah ayahnya kurang gemar. Hehe...
Saya kongsikan resepinya di bawah ini...

500 gram daging kambing - potong dan perap sekejap dengan jus dan hirisan lemon kemudian cuci bersih
9 tangkai cili kering dikisar
3 biji bawang besar dikisar
1 ulas bawang putih dikisar
sedikit halia dikisar
7 biji bawang merah dihiris
rempah tumis
1 paket kecil rempah kari daging Babas
1/2 paket kecil rempah kari ikan Babas
3 biji kentang - potong 4
sedikit air asam jawa
garam, gula secukupnya
air secukupnya

Cara-caranya:

1. Tumis hirisan bawang bersama rempah tumis hingga naik bau.
2.Masukkan bahan-bahan kisar bersama rempah kari (dicampur dan jadikan pes), kacau sebati.
3. Bila bahan-bahan tadi sudah pecah minyak, masukkan sedikit air asam dan kacau lagi.
4. Tambahkan garam dan gula secukupnya. Kacau lagi.
5. Bila sudah naik bau, masukkan daging kambing. Gaulkan bersama bahan-bahan tumis dan masukkan air. Masak hingga kuah mendidih dan masukkan kentang ke dalamnya. Bila kentang dan daging kambing empuk bolehlah dihidangkan.
6. Kuantiti air yang diperlukan bergantung pada kepekatan kuah yang dikehendaki. Ikut suka tukang masaklah ya.

Selamat mencuba pada yang sudi.:)


ROTI JALA SUSU


r
Assalamualaikum dan selamat petang semua. Roti jala ini saya beri nama roti jala susu kerana saya banyak menggunakan susu semasa membancuh tepungnya. Saja hendak menghabiskan susu segar di dalam peti sejuk. Dari dibiarkan menjadi basi dan masam sebaiknya saya gunakan sahaja. Hehe... Lagi pun rasa roti jala ini menjadi lemak berkrim, gurau saja. Hehe... Jom kita lihat resepinya:

2 cawan tepung gandum
1/2 cawan santan
3 cawan susu segar
air - sekiranya adunan masih pekat
secubit garam
1 sb minyak jagung
1 biji telur
pewarna kuning
sedikit minyak masak
simpulan daun pandan

Cara-caranya:

1. Masukkan semua bahan-bahan dalam mangkuk besar kecuali air, minyak masak dan daun pandan, gaul sebati. Sekiranya adunan tepung masih pekat tambahkan air sedikit demi sedikit hingga adunan cair seperti yang dikehendaki.
2. Masukkan adunan ke dalam jug pengisar. Kisar adunan hingga halus.
3. Panaskan kuali, oles sedikit minyak masak menggunakan daun pandan dan jalalah adunan tepung tadi.
4. Bila permukaan roti jala sudah agak garing, angkat dan gulung atau lipat ikut kreativiti masing-masing.
5. Buat hingga adunan tepung habis dan bolehlah dihidangkan bersama kuah dal dan kari. Saya makan bersama kari kambing tanpa santan.


Tuesday, August 23, 2011

BUBUR CANDIL TEPUNG PULUT



Assalamualaikum dan selamat pagi semua. Bubur candil hasil dari mencari resepi di internet dan belajar dari arwah emak. Arwah emak jarang menggunakan tepung pulut untuk membuat bubur candil, biasanya arwah akan gunakan tepung gandum. Rasanya lebih kenyal dan enak. Arwah akan campurkan candil yang pucat warnanya bersama pengat ubi yang kami panggil kolak. Saya dan adik perempuan biasanya akan berlumba-lumba menggentel candil secepatnya. Hehe...
Manisnya kenangan lalu bersama arwah emak yang kulitnya putih kemerahan, berambut panjang ikal yang sering disanggul, yang teramat manis senyumannya (arwah emak seorang yang sangat serius), yang rajin dan pandai memasak, yang sebelum subuh sudah sedia bersimpuh di atas sejadah menanti azan sambil mengaji al Quran, yang solat di awal waktunya, yang hanya ketawa kecil (belum pernah mendengar emak ketawa besar sepanjang hayatnya), dan sentiasa menjamu bapak dengan menu-menu yang bapak suka tanpa memikirkan selera arwah sendiri... Banyak lagilah, tidak mampu saya uraikan satu persatu....
Sebak pula rasanya. Aduhai, beginilah hidup. Saya pun pasti akan mengikut jejak arwah emak cuma entah bila...
Baiklah kita kongsi pula resepi bubur candil ini, perlu diingatkan bukan resepi saya sebab saya cedok sana-sini di internet dan belajar dari pemerhatian bersama arwah emak.

Bahan-bahannya:

2 cawan tepung pulut
1 sudu kecil air kapur
air secukupnya untuk menguli
7 helai daun pandan - disiat dan disimpul
2 cawan santan pekat
air secukupnya
1 cawan gula
pewarna merah, hijau dan kuning

Cara-caranya:

1. Uli tepung pulut bersama air kapur dan air hingga menjadi seperti doh, tidak melekat pada jejari tangan.
2. Bahagikan tepung pulut kepada 3 bahagian dan warnakan setiap bahagian dengan merah, hijau dan kuning.
3. Rebus hingga mendidih air dalam periuk dan masukkan candil berwarna sebahagian-sebahagian.
4. Bila candil telah timbul, tapis dan masukkan dalam bekas yang berisi air masak sejuk. Buat hingga habis.
5. Dalam periuk lain masak gula bersama air secukupnya. Masukkan daun pandan. Bila gula telah hancur dan air mendidih, masukkan pula santan. Perlahankan api dan kacau selalu hingga kuah ini mendidih sekali lagi.
6. Tapiskan candil tadi dan masukkan dalam kuah, biar mendidih sekali lagi barulah tutupkan api. Pastikan api sentiasa kecil ke sederhana dan hendaklah sentiasa dikacau agar santan tidak berketul-ketul.

UDANG GORENG TEPUNG



Assalamualaikum dan selamat pagi semua. Kelmarin kami ke pasaraya dan suami ada membeli udang saiz besar. Saya memang kurang gemar makan udang. Dari udang baiklah sotong. Hehe... Fikir punya fikir, saya goreng tepung sahajalah udang ini. Syuhadah dan Hamimah pun suka. Walaupun anak-anak akan mengadu, mak susahlah kupas kulit udang ini. Akhirnya sayalah yang akan mengupaskan kulit udang untuk mereka. Lagi pun kalau dimasak gulai, lemak dan lainnya pasti tidak habis.
Jomlah kita kongsikan bersama resepinya, resepi biasa-biasa sahaja yang penting suami dan anak-anak suka...

Bahan-bahannya:

500 gram udang saiz besar - dibersihkan
5 biji bawang merah
3 ulas bawang putih
sedikit halia
sedikit kunyit hidup
garam
secubit gula
secubit serbuk perasa
1 biji telur
2-3 sudu besar tepung beras Babas

Cara-caranya:

1. Tumbuk bawang merah, bawang putih, halia dan kunyit hingga agak lumat.
2. Tambahkan garam, gula dan serbuk perasa. Gaul sebati.
3. Gaul bahan-bahan tadi secara merata pada udang dan perapkan seketika.
4. Masukkan telur dalam perapan udang tadi bersama tepung beras. Gaul merata.
5. Panaskan minyak dan goreng udang hingga garing dalam minyak terendam.




Monday, August 22, 2011

DAGING MASAK HITAM



Assalamualaikum dan selamat pagi semua. Menu daging masak hitam hasil skodeng facebook suami. Resepi dari 1001 Resepi, tidak rugi mencubanya. Memang sedap. Ada rasa pedas, masin, manis dan lemak. Anak-anak suka, saya pun suka cuma suami kurang suka. Suami lebih suka daging masak kicap. Hehe....
Mula-mula saya hendak masak daging masak hitam Sarawak tetapi rempah kurma dan buah keras tiada dalam stok jadi saya masaklah yang ini.
Ok, saya panjang-panjang resepi. Terima kasih kepada penyumbang resepi, kalau tidak silap namanya Kak Ida. Tiada sukatan yang tepat untuk bahan-bahan yang digunakan, pandai-pandailah kita hendak mengagaknya.

Bahan-bahannya:

500 gram daging - potong dan rebus terlebih dahulu, ketepikan
2-3 senduk kecil cili kisar
250 gram bawang merah - dihiris, digoreng dan dikisar
kicap masin
kicap manis
minyak masak

Cara-caranya:

1. Panaskan minyak dan tumis cili kisar hingga pecah minyak. Masukkan bawang goreng kisar dan kacau sebati.
2. Bila bahan-bahan tadi telah mesra, masukkan kicap masin dan kicap manis secukupnya. Diikuti dengan daging dan air rebusannya.
3. Masak hingga daging empuk dan mesra dengan bahan-bahan lain.
4. Rasakan masin dan manisnya dengan kicap sahaja.


ROTI NAIK MANIS LAGI...



Assalamualaikum dan selamat pagi semua. Oleh kerana sambutan yang hangat dari anak-anak saya pun menguli roti lagi. Jemputlah En Daun, ambil beberapa ketul yang diinginkan. Hehe... Kali ini seusai keluar dari ketuhar dan siap-siap di sapu margerin dan ditabur gula halus, sessi 'pengambaran' pun bermula. Kebetulan waktu berbuka siapnya, anak-anak sudah memanjangkan tangan hendak mengambilnya.

Resepinya ada dalam entri yang lepas baru-baru ini, cuma saya gantikan water roux dengan bread softner. Hentam sajalah labu janji siap, sedap dan anak-anak suka....


Friday, August 19, 2011

AYAM BAKAR MADU BEREMPAH



Assalamualaikum dan selamat pagi. Entri terakhir pagi ini. Ayam bakar madu berempah. Memang wangi bau ayam ini walaupun sebelum dibakar, apatah lagi bila sedang dibakar. Ya Rabbi, sedapnya bau. Saya memang suka bau-bau harum rempah ni. Hehe...
Ayam bakar madu ini bukan hanya sedap dijadikan lauk malahan sedap juga jika diratah begitu sahaja.
Jom kita kongsikan resepinya. Bahan-bahan perapan ini lebih sedap jika hanya ditumbuk tetapi oleh sebab saya ini hendak cepat dan tangan cepat lenguh, kisar adalah jalan penyelesaiannya. Hehe...

Bahan-bahannya:

3 bahagian peha ayam - kelar setiap bahagian
5 biji bawang merah kisar
3 ulas bawang putih kisar
sedikit halia kisar
sedikit kunyit hidup kisar
3 batang serai kisar
sedikit lengkuas kisar
1-2 sudu besar ketumbar kisar
1/2 sudu besar jintan halus kisar
1/2 sudu besar jintan kasar kisar
madu - saya tak sukat
1 sudu besar serbuk cukup rasa
sedikit garam
mentega secukupnya

Cara-caranya:

1. Gaulkan bahan-bahan di atas kecuali mentega secara merata pada ayam.
2. Perapkan ayam tadi selama mana yang anda mahu.
3. Lenserkan dulang pembakar dengan marjerin, susun ayam yang telah diperap di atasnya dan letakkan mentega yang telah dipatah-patah di atas setiap keping ayam itu.
4. Bakar dalam ketuhar dengan suhu 190C hingga masak dan garing.

* untuk ketumbar, jintan halus dan jintan manis, saya telah siap-siapkan cuci, tos dan goreng tanpa minyak. kemudian kisarkan. lagi harum berbanding rempah kisar yang telah siap sedia dijual. kena rajinlah sikit. hehe... lagi pun bila-bila masa nak guna bukankah mudah.:))


PAU



Assalamualaikum dan selamat pagi semua. Antara juadah berbuka puasa dari air tangan saya adalah pau. Memanglah kadang-kadang tidak menang tangan dengan terkejar-kejar buat kerja. Mana dengan anak lelaki bongsu dengan karenahnya, ambil anak-anak pulang dari sekolah, mengemas rumah dan memasak semua harus dibereskan sendiri. Saya pula memang jenis yang lambat buat kerja tetapi alhamdulillah setakat ini urusan saya lancar semuanya.
Pau ini pun saya hanya main campak-campak saja. Suami tidak suka pau yang menggebu-gebu jadi ianya memudahkan kerja saya. Hehe... jom kita lihat resepinya.

Bahan-bahannya:

500 gm tepung
1 paket yis kering
3 sudu besar majerin
secubit garam
3 sudu besar gula
air suam secukupnya untuk menguli

Cara-caranya:

1. Dalam mangkuk besar masukkan kesemua bahan-bahan di atas kecuali air suam. Gaul sebati.
2. Kemudian barulah masukkan air sedikit demi sedikit dan mulalah menguli hingga terbentuk doh yang cantik dan tidak melekat pada jejari tangan.
3. Rehatkan doh. Tutup dengan tuala lembab. Bila doh sudah naik sekali ganda, tumbuk-tumbuk dan uli semula.
4. Bahagikan kepada beberapa bahagian dan bulat-bulatkan. Setiap bebola diisikan inti yang disukai. Saya masukkan inti kacang merah untuk suami dan inti kari ayam dan kentang untuk anak-anak.
5. Letakkan pau tadi di atas sekeping kecil kertas minyak, nak guna daun pisang pun boleh. Buat hingga habis.
6. Rehatkan lagi hingga doh pau tadi naik dan kukuslah selama 15 minit dalam kukusan yang telah dipanaskan terlebih dahulu.
7. Balut tutup pengukus dengan kain jarang supaya air tidak menitis di atas pau.


SAMBAL TEMPE, KENTANG, IKAN BILIS HALUS


Assalamualaikum dan selamat pagi semua. Sambal tempe ini saya buat dua tiga hari lepas rasanya. Memang lauk kegemaran saya, cukuplah hanya dimakan dengan nasi hangat sahaja. Saya memang tidak berapa cerewet pasal makanan janji perut terisi sudah. Hehe...
Sambal ini tahan dua tiga hari tetapi hendaklah sentiasa dipanaskan. Makin lama makin sedap rasanya. Seakan-akan sambal goreng jadinya. Apa pun terserah pada selera masing-masing sebab ada yang suka dan ada pula tidak.
Untuk resepi sambal ini ada saya letakkan di entri terdahulu dengan tajuk yang sama dalam label lauk pauk. Sekiranya ada yang berminat hendak mencuba sila-silalah mencarinya.

Tuesday, August 16, 2011

ROTI NAIK MANIS



Assalamualaikum dan selamat sejahtera semua. Maaf sebab hanya dapat ambil gambar seketul bun roti naik manis ini saja. Lepas terawih tengok-tengok roti naik manis ini sudah hampir lenyap kewujudannya. Hehe... Suka betul anak-anak makan sampai sanggup tidak menjamah nasi. Aduhai... Jom kita lihat resepinya:

Bahan-bahannya:

500 gram tepung
1/2 cawan gula
secubit garam
1/4 buku butter
3 sudu makan susu tepung
1 paket ibu roti
2 sudu besar gula
air suam secukupnya
3 sudu besar water roux

Cara-caranya:

1. dalam mangkuk besar, satukan tepung, gula, mentega, garam, susu tepung dan water roux. Gaul sebati.
2. Larutkan 2 sudu besar gula dengan air panas, kemudian campurkan sedikit air sejuk dan masukkan ibu roti. Kacau larut dan biar naik berbuih.
3. Bila larutan ibu roti sudah naik masukkan ke dalam campuran tepung tadi. Gaul sebati.
4. Masukkan air suam sedikit demi sedikit sambil menguli hingga menjadi doh yang cantik dan tidak melekat pada jejari tangan.
5. Rehatkan doh hingga naik sekali ganda, tutup doh tadi dengan tuala dapur lembab.
6. Bila doh telah naik, tumbuk-tumbuk dan uli semula dengan lembut.
7. Bahagikan beberapa bahagian dan bulat-bulatkan cantik. Susun di atas acuan loyang yang telah dilenserkan terlebih dahulu dengan butter.
8. Apabila doh telah naik sekali ganda bakar dalam oven pada suhu 190C selama 45 minit atau hingga masak.
9. Apabila roti telah masak sapu dengan butter dan tabur dengan gula halus di atas permukaannya.


Monday, August 15, 2011

BAWAL MASAM MANIS



Assalamualaikum dan selamat pagi semua. Lama saya tidak membuka blog, lihat-lihat sudah berubah penampilannya. Anak yang sulung bertanya, cantik tak mak? Cantik... Ingatkan tersalah masuk rumah tadi. Hehe... Rupa-rupanya anak yang sulung yang make upkan, maklumlah emaknya tidak berapa pandai mendandan. Disuruh belajar sebab hendak PMR tidak lama lagi tetapi menggodeh blog emaknya yang dah agak lama terbiar ini. Apa-apa pun terima kasih kak.
Ok, berbalik pada masakan bawal masam manis ini, saya buat ikut stail sayalah. Masak-masak ini bukan boleh sangat sukat-sukat. Rasanya lebih sedap sekiranya 'campak-campak' saja lagi semulajadi. Hehe... Tetapi untuk memudahkan sesiapa yang hendak merujuk resepi saya berikan seperti di bawah ini...

Bahannya:

1 ekor ikan bawal saiz besar
3 batang lada merah*
9 tangkai lada kering*
1 biji bawang besar*
1 biji bawang besar dipotong bulat
air asam jawa secukupnya*
sedikit halia*
1 ulas bawang putih*
sedikit serbuk kunyit
sos tomato secukupnya
garam, gula dan perasa jika suka

Cara-caranya:

1. Panaskan minyak. Ikan bawal dikelar dan lumurkan dengan garam dan serbuk kunyit. Goreng dan ketepikan.
2. Kisar bahan-bahan bertanda * hingga hancur dan tumis hingga naik bau dengan minyak lebihan gorengan ikan tadi.
3. Masukkan sos tomato dan kacau sebati. Rasakan dengan garam, gula dan perasa.
4. Masukkan ikan yang telah digoreng tadi diikuti dengan hirisan bawang. Gaul hingga mesra dan bolehlah dihidangkan.


Friday, August 12, 2011

KEK HATI PAREK@PARI



Assalamualaikum dan selamat pagi semua. Sudah lama saya hendak berkongsi resepi kek dari Bumi Kenyalang ini namun asyik tertangguh sahaja. Kek ini saya belajar dari kelas masakan. Warnanya yang hitam pekat, rasanya yang manis dan sedap serta teksturnya yang agak likat, mengingatkan saya dengan dodol arwah emak. Hehe... Namun rasanya bukanlah seperti dodol. Kek ini tahan berbulan lamanya tanpa disimpan dalam peti ais. Mari kita kongsikan resepinya bersama...

Bahan-bahannya:

5oo gram mentega
5 biji telur
5 biji kuning telur
1 paket gula merah
91/2 gelas tepung gandum
1 kg kismis hitam dikisar
3 gelas gula pasir
2 gelas gula dijadikan gula hangus dengan menambahkan 1/2 gelas air
2 sudu makan soda bicarbonat
1/2 botol gula hitam (cair)
1 paket kecil horlick
1 keping coklat masakan dicairkan

Cara-caranya:

1. Pukul gula merah dengan mentega hingga kembang. Masukkan telur, horlick. Kacau sebati.
2. Masukkan tepung, soda bicarbonat, kismis yang dikisar dan kacau lagi. Waktu ini perlu menggunakan tenaga yang kuat sebab adunannya terlalu likat.
3. Akhir sekali masukkan coklat masakan dan gaul sebati.
4. Tuang di dalam acuan yang telah dialaskan dengan kertas minyak dan dilenser dengan mentega. Sebaiknya tutup acuan dengan aluminium foil.
5. Kukus dalam pengukus yang telah dipanaskan terlebih dahulu selama 8 jam. Jenuh menunggu.

* gelas sukatan yang digunakan ialah jenis standard lama. kek ini semakin lama usianya semakin sedap rasanya. hehe...


Wednesday, August 3, 2011

KRISPY MEE KUAH



Assalamualaikum semua. Masakan mee yang saya belajar di kelas masakan baru-baru ini. Mari kita kongsikan resepinya.

Bahan A

1 kg mee kolok
1/2 kg minyak masak

Bahan B

1 botol kecil sos tomato
1 botol kecil sos cili
1/2 cawan sos tiram
2 batang serai dititik
2 inci halia tumbuk kasar
4 ulas bawang putih dikisar
4 biji bawang merah dikisar
2 liter air

Bahan C

20 ekor sotong saiz sederhana - dibersih dan dipotong
20 ekor udang dikupas kulit
1 mangkuk kecil isi ayam - dipotong kecil
8 biji cili padi dihiris bulat
1 biji bawang besar dipotong 6
1 ikat sawi
1 batang lobak - dipotong
1 tin cendawan butang - dihiris

garam, gula secukupnya
bancuhan tepung kanji@jagung

Cara-caranya:

1. Mee kolok dibentukkan sanggol (seperti menyanggol spageti untuk laksa johor). Buat hingga habis.
2. Panaskan minyak dan gorenglah mee tadi satu persatu hingga habis dan ketepikan.
3. Bahan-bahan B dimasak hingga mendidih, kemudian masukkan bahan-bahan C pula. Masak lagi hingga mendidih dan tambahkan dengan bancuhan tepung kanji supaya kuah menjadi pekat.
4. Masukkan mee kolok yang telah digoreng tadi dan curahkan kuah panas di atasnya. Sedia untuk dimakan.

AGAR-AGAR COKLAT



Bahan-bahannya:

20 gram agar-agar tali
5 cawan air
1 tin susu pekat manis
1/2 cawan gula
1/2 cawan koko - bancuh dengan sedikit air panas

Cara-caranya:

1. Rendam agar-agar 1 jam atau lebih.
2. Cuci bersih agar-agar dan toskan.
3. Masak agar-agar dengan 5 cawan air hingga larut.
4. Masukkan gula dan susu pekat manis. Kacau hingga larut. Pastikan api yang digunakan tidak terlalu besar.
5. Tambahkan larutan koko. Kacau sebati.
6. Masak hingga mendidih dan tuang ke dalam acuan yang digemari.
7. Sejuk beku sebelum dihidangkan.

TONGKOL GORENG BERLADA



Bahan-bahannya:

1 ekor ikan tongkol - potong ikut suka
9 tangkai cili kering dikisar
3 batang lada merah dikisar
3 biji bawang merah dikisar
1 ulas bawang putih dikisar
1 biji bawang besar dihiris bulat
sedikit belacan dikisar
sedikit serbuk kunyit
garam dan gula secukupnya
sedikit air asam

Cara-caranya:

1. Lumurkan ikan dengan serbuk kunyit dan sedikit kunyit. Goreng dan ketepikan.
2. Dengan minyak lebihan gorengan ikan tadi tumiskan bahan-bahan kisar hingga naik bau.
3. Masukkan air asam jawa. Kacau sebati.
4. Rasakan dengan garam dan gula secukup rasa.
5. Masukkan ikan yang sudah digoreng tadi dan gaulkan dengan sambal hingga mesra.
6. Masukkan hirisan bawang besar dan gaul sebati.
7. Biar bawang sederhana layu bolehlah dimatikan apinya.