Saturday, November 10, 2012

ASAM PEDAS IKAN MERAH DGN TERUNG UNGU DAN TERUNG ASAM

Assalamualaikum dan selamat tengahari semua. Sabtu yang cerah di Kuching ini kita layan gambar asam pedas sahajalah. Satu saya masak asam pedas ikan merah dengan terung ungu dan satu lagi asam pedas ikan merah dengan terung asam. Di semenanjung kita sudah biasa dengan terung ungu sementara terung asam yang berwarna kuning ini pula amat popular di Sarawak. 
Apa yang saya tahu selain dimasukkan terung asam ini di dalam asam pedas, ianya juga boleh dibuat kerabu. Untuk dicampur dalam asam pedas, terung asam yang rasanya agak masam dan sedikit pahit dengan teksturnya yang agak kenyal perlulah dikupas kulit dan dibuang bijinya. Sekiranya untuk dibuat kerabu, terung asam ini hendaklah dipanggang dan dilurut kulitnya serta dibuang bijinya. Unik bukan.
Jom kita layan dan jamu mata sahaja dengan gambar-gambar yang saya ambil ini...

asam pedas ikan merah dengan terung ungu                      










inilah rupa buah terung asam dan di bawah ini pula gambar asam pedas campur dengan terung asam tersebut, sedap.:))

Friday, November 9, 2012

KUIH BAKAR KENTANG SIMPLE


Assalamualaikum dan selamat malam semua. Satu lagi entri tertunda saya adalah kuih bakar kentang yang simple. Resepi kepunyaan kenalan bernama Ibu Zai dari satu group masak-masak di internet. InsyaAllah, memang sedap dan tidak rugi mencuba. Sukatannya yang sedikit juga amat sesuai kerana hanya saya sahaja yang suka makan kuih bakar ini di rumah.




Bahan-bahannya adalah:

1 cawan tepung
1 cawan gula - boleh kurangkan jika tidak suka manis
1 cawan pati santan 
1 cawan air
1-2 sudu besar minyak sapi cair
1 cawan kentang lenyek
sedikit bijan

Cara-caranya:

1. Masukkan semua bahan kecuali bijan dalam mangkuk besar dan kacau sebati.
2. Kemudian masukkan ke dalam pengisar dan kisar hingga halus.
3. Lenserkan loyang pembakar dengan minyak dan masukkan adunan tadi. Taburkan bijan.
4. Bakar dengan suhu 190C sehingga masak dan agak garing.
5. Biar sejuk barulah dipotong.

BELACAN GORENG BINTULU


Assalamualaikum dan salam sejahtera semua. Salah satu lauk yang saya belajar sejak tinggal di bumi Kuching ini adalah belacan goreng. Cara memasaknya lebih kurang memasak sambal tumis tetapi menggunakan kuantiti belacan yang banyak. Belacan buatan Bintulu pula agak terkenal di sini selain belacan Miri dan dari tempat yang lain. Macam-macam jenis ada. Belacan Bintulu ini agak kuat baunya jadi saya jarang gunakan untuk memasak jadi daripada dibiarkan beku di peti sejuk saya buatlah belacan goreng.



Resepi saya ambil di MyR. Cuma saya tambahkan cili api sebab cili kering yang saya guna jenis yang tidak pedas. Saya juga tambahkan udang kering. Terima kasih buat askrole. Izinkan saya salin dan terus letakkan di sini ya.

Bahan-bahan ( tahan sampai 2 minggu )

  • 4 ulas bawang merah
  • 3 ulas bawang putih 
  • 7 tangkai cili kering 
  • 10 biji cili api
  • Satu genggam ikan bilis (dibuang perut & tulangnya) 
  • 1/2 genggam udang kering (rendam, cuci, tos)
  • Air asam secukupnya
  • Gula & garam secukupnya
  • 4 inci belacan Bintulu
  • Minyak untuk menggoreng

Cara-cara

  1. Belacan, bawang merah, bawang putih, cili kering, cili api, udang kering & ikan bilis dikisar bersama.
  2. Masukkan sedikit minyak di dalam kuali. Pastikan minyak benar2 panas dan barulah dimasukkan bahan yang sudah dikisar tadi.
  3. Goreng bahan tadi sehingga naik bau.
  4. Masukkan sedikit air asam, gula dan akhir sekali garam sesedap rasa.
  5. Goreng sehingga masak kehitaman. Paling senang nak tau dia masak, minyak akan timbul seperti gambar kat atas.
  6. Selamat mencuba resepi ini. Paling sedap dimakan bersama ulam-ulaman. 

SUP DAGING ALA MAMAK



Assalamualaikum dan selamat malam semua. Kali ini kita kongsikan pula resepi sup daging ala mamak. InsyaAllah tidak rugi mencuba hasil gabungan beberapa resepi yang saya tinjau dari internet. Selain dilawankan dengan nasi panas bersama sambal kicap, enak juga dicicah dengan roti mahu pun dimakan dengan mee dan bihun.



Bahan-bahan yang diperlukan adalah:

500 gram daging - hirip nipis
3 biji bawang sederhana besar kisar
3 ulas bawang putih kisar
11/2 inci halia kisar
2 batang serai kisar
1 batang kulit kayu manis
2 kuntum bunga lawang
3 biji buah pelaga
5 kuntum bunga cengkih
1/2 paket kecil rempah sup adabi
1/2 paket kecil rempah kurma faiza
2 biji kentang - potong ikut suka
1 batang lobak merah - potong ikut suka
2 biji tomato - potong ikut suka
garam
serbuk perasa knorr
air secukupnya
hirisan daun sup
bawang goreng secukupnya

Cara-caranya:

1. Panaskan sedikit minyak dan tumis rempah 4 sekawan hingga berbau harum. Masukkan bahan-bahan kisar. Tumis hingga pecah minyak.
2. Masukkan daging dan tambah air secukupnya.
3. Campurkan rempah sup dan rempah kurma bersama sedikit air dan jadikan pes. Ketepikan.
4. Bila kuah sudah mendidih, masukkan pes rempah tadi dan kacau mesra.
5. Masak hingga daging empuk.
6. Masukkan kentang dan lobak merah - jika kedua2 bahan ini dimasak sehabis lembut lagi sedap rasa kuah sup tu.
7. Rasakan dengan garam dan serbuk knorr.
8. Masukkan potongan tomato, bila kuah menggelegak tutup api.
9. Hidangkan bersama hirisan daun sup dan bawang goreng.

Friday, November 2, 2012

ROTI - dari doh cinnamon pull apart bread



Assalamualaikum dan salam sejahtera buat semua. Pagi Jumaat yang serba lembab, sejuk, nyaman dan berkat. Hujan renyai-renyai dengan matahari malu-malu bersinar diliputi gelap awan. Hehehe... Ok, entri tentang roti pula. Anak-anak memang suka roti yang berserbuk kayu manis ini. Untuk dohnya saya ambil dari resepi 'cinnamon pull apart bread'. Resepi asal saya ambil di Joy the Baker.

Rasanya memang sedap dan teksturnya amat lembut dengan aroma kulit kayu manis yang sangat harum.


Bahan-bahannya:

3 cawan tepung gandum
1/4 cawan gula
2 1/4 sudu kecil yis
1/2 sudu kecil garam
4 sudu besar butter
1/3 cawan susu segar
1/4 cawan air
2 biji telur
1 sudu kecil esen vanila

Untuk inti:
1/2 cawan gula halus
2 sudu kecil serbuk kulit kayu manis

Cara-caranya:

1. Saya gunakan breadmaker jadi saya masukkan semua bahan-bahan di atas. Bahan-bahan cecair di bahagian bawah sekali, kemudian masukkan tepung, gula dan yis. Untuk garam jarakkan dari yis semasa menuangnya di dalam bekas pengadun. Tekan 'on' dan biarkan mesin membuat segala kerja hingga 'off' sendiri.
2. Keluarkan doh, gelek rata dan taburkan gula halus yang telah digaul bersama serbuk kayu manis terlebih dahulu tadi.
3. Gulung rapi dan bentukkan ikut suka. Biarkan doh naik dalam setengah jam.
4. Bakar pada suhu 180C sehingga masak.
5. Sapukan mentega pada atas roti  sejurus roti masak dan keluar dari ketuhar.
6. Biarkan suam barulah dihiris.