Showing posts with label Kudapan. Show all posts
Showing posts with label Kudapan. Show all posts

Saturday, September 14, 2013

BISKUT LAPIS KEJU





Assalamualaikum, apa khabar semua. Rasanya hampir setahun saya tidak membuat post terbaru. Malah saya juga sudah lama tidak menjenguk dapur alam maya saya ini. Alhamdulillah, walaupun tiada post terbaru masih ada pengunjung yang sudi singgah di sini. Berbanyak terima kasih saya ucapkan.

Untuk post terbaru ini resepinya saya ambil dari blog Hana. Hampir kesemua bahan-bahan yang saya gunakan adalah sama, kecuali biskut marie saya gantikan dengan biskut keju nipis dan nestum saya gantikan dengan serbuk koko.

Untuk resepinya adalah seperti di bawah.

Bahan-bahannya:

2 bungkus biskut keju
500 gm krim keju
1 cawan susu segar
3/4 cawan susu pekat manis
1 sb jus lemon
serbuk koko secukupnya

Cara-caranya:

1. Putar krim keju (dalam suhu bilik) bersama susu pekat dan jus lemon hingga sebati. Ketepikan.
2. Celup biskut keju nipis dalam susu segar sebentar dan susu dalam bekas/loyang.
3. Ratakan krim keju yang diputar tadi dan ayakkan serbuk koko di atasnya.
4. Buat langkan 2 dan 3 hingga habis dan ayakkan bahagian atas dengan serbuk koko.
5. Simpan di dalam peti sejuk, sebaikknya semalaman barulah dipotong-potong dan dihidangkan.

Selamat mencuba.


Thursday, December 13, 2012

PISANG GORENG KEJU



Assalamualaikum dan salam sejahtera semua. Hidangan pisang goreng keju ini agak asing bagi saya dan keluarga semasa tinggal di semenanjung. Namun kudapan ini amat popular di Kuching dan diperkenalkan oleh orang-orang Indonesia di sini. Selain hidangan ini nasi ayam penyet, nasi lelapan dan berbagai jenis pecel yang merupakan masakan Indonesia juga berjaya memenuhi selera penduduk sini.



Untuk resepi pisang goreng keju ini saya rujuk di blog DaPurku Berasap Lagi kepunyaan rakan blogger yang tinggal di bumi kenyalang ini. Berbanyak terima kasih diucapkan.


Bahan-bahannya:

7 biji pisang kepuk - kupas dan belah 2 memanjang
6 sb tepung gandum
3 sb tepung beras
1 biji telur
1 sb mentega
sedikit pewarna kuning
air untuk bancuhan secukupnya
Selain itu kita juga perlukan keju yang diparut, 2 sb susu pekat manis dan 2 sb mentega

Cara-caranya:

1. Bancuh tepung gandum, tepung beras, telur, garam dan mentega bersama air hingga sebati dan tidak berketul-ketul.
2. Tambahkan sedikit pewarna kuning dan kacau sebati. Rehatkan bancuhan tepung ini sekejap.
3. Panaskan minyak dan celupkan pisang dalam tepung tadi dan goreng secara terendam hingga garing. Angkat dan toskan minyaknya. Buat langkah 3 ini hingga habis.
4. Dalam kuali yang lain pula panaskan mentega hingga cair, masukkan susu pekat. Kacau sebati.
5. Masukkan sedikit keju parut dan kacau lagi. Kemudian gaulkan dengan pisang tadi.
6. Angkat pisang dan letakkan di bekas yang sesuai dan taburkan lebihan keju parut tadi. Sedia untuk dihidangkan.


Friday, March 30, 2012

UNGKEP UBI


Assalamualaikum dan selamat petang semua. Sedap betul bila ubi kayu dibuat ungkep rupanya. Lebih-lebih lagi sambil mengunyah diselang menghirup kopi panas. Selalunya saya goreng kunyit, garam bersama bawang putih atau rebus untuk dicicah sambal tumis atau dimakan bersama ikan masin. Pernah juga saya buat pengat bersama butiran tepung. Kali ini saya buat ungkep pula. Resepi saya ambil di blog adik yang manis dan baik hati iaitu Suhana yang tinggal di Mersing.
Untuk resepi saya c&p terus dari blog beliau. Terima kasih daun keladi Su, ada resepi ringkas, mudah, dan sedap kongsilah lagi. Hehehe...

Bahan2
1 kg ubi - potong spt nak merebus n bersihkan..
4 sb ketumbar*
3 biji bwg merah*
3 ulas bwg putih*
segengam ikan bilis*- lagi byk lagi best..

sedikit kunyit/serbuk
garam secukup rasa.
Sedikit minyak untuk menumis


Cara2.
1. Tumbuk bahan*.
2. Tumiskan bahan* dalam kuali hingga berbau harum..dan masukkan garam
3. Masukan ubi dan gaul rata
4. Masukkan air hingga paras ubi/menutupi ubi
5. Tutup kuali, dan biarkan sehingga ubi empuk.
6. Apabila air ubi hampir kering, buka tutup kuali dan kacau rata supaya tidak hangit.
7. Kacau perlahan sehingga air ubi kering.. tutup api.. Angkat, masuk pinggan, makanlah...

Tuesday, March 6, 2012

CUCUR LEMAK MANIS LABU KUNING



Assalamualaikum dan selamat petang semua. Cucur lemak manis labu kuning ini sesuai dimakan untuk minum petang. Kalau kawan-kawan semua ada labu kuning yang dah tak tahu hendak dibuat apa, rajin-rajinkanlah diri kukus dalam microwave, lenyek, masuk tepung, masuk yis kering, masuk gula sedikit dan garam secubit. Hehehe... Sedap, resepi asalnya dapat dari staff suami masa menetap di Kelantan dulu. Saya tambahkan yis kering supaya lebih lembut dan gebu.

Untuk resepinya adalah seperti berikut;

Bahan-bahannya:

1 mangkuk potongan labu kuning
10 sudu sup membumbung tepung gandum
secubit garam
2 sudu kecil yis kering
1/2 cawan gula - kalau suka manis boleh ditambah sukatannya
air suam - jika adunan agak keras
minyak untuk menggoreng

Cara-caranya:

1. Kukus labu kuning dalam microwave selama 5 minit dengan kepanasan sederhana.
2. Lenyek halus labu dan tambahkan tepung, garam,gula dan yis. Gaul sebati.
3. Sekiranya adunan agak keras dan sukar disudu semasa hendak menggoreng tambahkan air suam sedikit demi sedikit hingga mendapat kelembutan adunan yang dikehendaki.
4. Rehatkan adunan dalam 15-30 minit dan gorenglah sesudu demi sesudu hingga habis.
5. Pastikan api jangan terlalu kuat sebab cucur ini mudah hangus.

Friday, October 28, 2011

JEMPUT-JEMPUT PISANG BERSUSU



Assalamualaikum dan selamat petang semua. Jemput-jemput pisang ini saya buat menggunakan resepi kenalan di internet. Saya hanya tambahkan secubit garam dan susu tepung di dalam adunannya. yang lain-lain saya ikut resepi tersebut cuma untuk adunan jemput-jemput pisang ini saya tidak menggunakan sukatan yang tertentu. Pakai campak-campak saja.

Bahan-bahan yang diperlukan sudah tentulah pisang yang dilenyek, sedikit gula, secubit garam, sedikit serbuk penaik, sedikit baking soda, tepung gandum secukupnya dan yang pasti saya masukkan susu tepung untuk rasa yang lebih sedap.

Cara-cara menyediakannya ialah masukkan semua bahan dalam mangkuk kecuali tepung. Kacau sebati dan masukkan tepung sedikit demi sedikit hingga adunan agak pekat dan kental. Goreng dengan api sederhana panas sesudu demi sesudu hingga gelap keperangan. Sesuai untuk minum petang.

Sunday, August 29, 2010

PANKEK MAYONIS



Assalamualaikum dan salam tengahari semua. Pankek mayonis ini juga merupakan edisi tertunda. Melihat anak-anak bersungguh-sungguh makan pankek yang saya buat tempoh hari membuatkan saya bersemangat membuat pankek lagi tetapi kali ini saya gunakan mayonis dalam pembuatannya. Resepi saya ambil dari dapur Yatie US. Terima kasih banyak Yatie. Sebenarnya resepi ini telah lama berada dalam simpanan saya dan ini merupakan kali ke dua saya mencubanya.

Bahan-bahannya:

11/2 cawan tepung naik sendiri *
1 sudu teh baking powder * - diayak bersama
3 sudu besar gula castor
secubit garam
60 gram butter cair - saya guna minyak jagung
1 cawan susu segar
2 biji telur
2 sudu besar mayonis

Cara-caranya:

1. Pukul telur, gula dan garam hingga sebati.
2. Tambahkan mayonis dan kacau lagi hingga sebati.
3. Masukkan susu segar berselang seli dengan tepung dan gaullah hingga adunan menjadi tidak bergentel-gentel.
4. Panaskan kuali non stik dan masukkan 1/3 cawan adunan pankek. Biarkan hingga timbul lubang-lubang kecil udara di atasnya dan terbalikkan. Buat hingga habis.
5. Sedap dihidangkan bersama madu dan mentega atau mengikut cita rasa masing-masing.


Wednesday, August 18, 2010

PANCAKE


Assalamualaikum dan selamat tengahari. Semalam saya buatkan pankek untuk anak-anak sebagai hidangan sampingan untuk berbuka. Saya masih belum lulus buat pankek, kena ambil kursus dengan Yatie yang pankek dari hasil air tangannya cantik dilihat. Apa pun selepas anak-anak berterawih dan baca yasin, pankek yang tinggi susunannya tinggal 4 keping berbaki. Alhamdulillah.



Anak-anak gemar makan pankek bersama madu asli HPA. Suami memang tidak menyentuh langsung pankek ini sebab beliau memang tidak gemar makanan-makanan 'mat saleh' ini, seleranya lebih kepada kuih-kuih melayu lama.



Jom kita panjang-panjangkan resepi pankek yang sudah ada lama dalam simpanan saya. Sumber tentulah dari Yatie, terima kasih banyak ya Yatie. Izinkan kakak salin semula di sini.

Bahan-bahannya:

11/2 cawan tepung gandum *
1 sudu teh baking powder *
1 sudu teh soda bicarbonat * - bahan-bahan ini diayak
1 biji telur gred A
1/2 cawan gula
1/2 cawan minyak - saya guna minyak jagung
1 cawan susu segar

Cara-caranya:

1. Pukul telur dan gula hingga sebati. Masukkan minyak masak. Pukul lagi hingga mesra.
2. Tambahkan adunan tadi dengan tepung yang diayak berselang seli dengan susu segar. Kacau rata dan buat hingga habis bahan-bahan tadi.
3. Rehatkan selama 20 minit.
4. Panaskan kuali non stik dan masukkan sesenduk adunan pankek tadi. Bila timbul rongga-rongga udara di permukaan atas pankek tadi barulah diterbalikkan.
5. Buat langkah 4 hingga habis. Bolehlah dihidangkan pankek ini bersama mentega dan madu.

Tuesday, July 13, 2010

JEMPUT-JEMPUT GULA MERAH


Assalamualaikum dan selamat tengahari semua. Jemput-jemput gula merah ini merupakan adunan untuk apam gula merah yang saya gorengkan. Teringat dulu-dulu masa masih tinggal bersama arwah emak, arwah selalu mengoreng adunan apam gula merah ini selain dikukuskan. Rasanya tetap sedap, manis dan ada aroma yang tersendiri. Ketika panas kulit jemput-jemput ini akan rangup sementara bahagian dalamnya lembut. Ketika sejuk pula teksturnya lembut dan berbau sedap. Hehe...



Untuk membuatnya tidak sesukar mana. Hanya perlukan tepung, yis kering, air gula merah dan air untuk mengadun sehingga adunan menjadi seperti kita hendak membuat jemput-jemput biasa. Rehatkan seketika hingga adunan menjadi ringan dan likat barulah digoreng sesudu-sesudu kecil supaya dapat membentuk jemput-jemput yang comel. Maaf sebab tiada sukatan yang diberi sebab waktu saya membuatnya 'pakai campak-campak je'. Jom jamu mata....

Friday, April 30, 2010

JEMPUT-JEMPUT LABU MANIS




Assalamualaikum. Entri ini telah saya buat semalam tetapi tiba-tiba boleh hilang begitu sahaja. Pelik pun ada. Jemput-jemput labu manis ini sesuai dibuat minum petang. Resepinya diajarkan oleh staff suami. Kali ini saya gunakan tepung naik sendiri kerana hendak menghabiskan stok yang ada. Jomlah kita panjang-panjangkan resepi yang mudah dan sedap ini....

Bahan-bahan:

1 cawan labu manis yang dilenyek
3 sudu besar gula - kalau hendak manis boleh tambah lagi
3/4 cawan tepung kek

Cara-caranya:

1. Rebus labu manis hingga empuk dan lenyek dengan gula.
2. Tambahkan dengan tepung kek dan gaul sebati. Sekiranya adunan agak keras tambahkan sedikit air.
3. Panaskan minyak, lalukan hujung sudu pada minyak panas dan sudukan adunan. Goreng hingga keperangan. Seeloknya gunakan sudu kecil supaya jemput-jemput ini comel bentuknya.
4. Buat macam sehingga habis.

Sunday, January 31, 2010

UBI KAYU GORENG



Assalamualaikum dan selamat petang. Ubi kayu goreng ini saya sediakan untuk minum petang. Banyak jugalah yang saya goreng dan mendapat sambutan hangat dari suami dan anak-anak. Selepas menggoreng saya tinggalkan untuk menunaikan solat, selesai solat ubi goreng pun 'selesai' juga. Hehe... Ubi ini saya tumbukkan kunyit hidup, bawang putih dan sedikit garam. Kemudian saya gaulkan bahan-bahan tumbuk ini dengan ubi sehingga sebati dan goreng garing. Memang sedap dan lemak, rasanya seakan-akan kentang goreng pula.

Monday, January 11, 2010

KUIH SIPUT

Di tengah keletihan menguruskan rumahtangga tadi, teringinlah pula hendak buat kuih siput. Lagi pula anak-anak pun suka. Bolehlah dikunyah ketika menonton tv, jika tidak pun sewaktu anak-anak buat kerja sekolah atau mengulangkaji pelajaran. Ramuannya saya buat ikut resepi sendiri.

Wednesday, December 16, 2009

CEMPEDAK GORENG



Assalamualaikum semua. Cempedak goreng ini amat sesuai dimakan waktu minum petang dengan minuman panas yang digemari. Cempedak ranum ini suami saya beli ketika kami keluar untuk membuang sampah. Almaklumlah di tempat tinggal kami tiada perkhidmatan pungutan sampah dari rumah ke rumah. Cempedak goreng ini merupakan makanan kegemaran suami dan anak kedua saya tetapi yang sulung lebih suka makan cempedak ranum yang segar. Cara penyediaan dan bahan-bahan yang diperlukan untuk menggorengnya pun mudah sahaja. Rasanya sedap dan berbau harum apatah lagi ketika digoreng.

Tuesday, November 17, 2009

KUIH SIPUT



Salam semua. Hari ini saya hendak bercerita sikit tentang kuih siput. Sebenarnya sudah lama saya teringin hendak membuat kuih siput ini tetapi kurang arif bagaimana cara hendak menghasilkannya. Bila saya cari di internet, banyak versi rupanya. Alamak, keliru la pulak nak ikut resepi yang mana satu. Kemudian hello mak dara@mak mertua (actually mak yok, saja je panggil mak dara, glamer sikit). Hehe.... Lagi le tak meyakinkan cos macam dah ingat-ingat lupa. Saya ingat di awal perkahwinan (3 tahun saya tinggal bersama keluarga suami) beliau ada menguli dohnya sementara saya dan suami melenyek atas papan kuih siput tu. Asyik kena sound je, terbesarlah, nanti goreng tak cantiklah, bla bla bla... ikut macam nuar (suami) buat cantik comel-comel aje, macam-macamlah. Hehe... Bila time menggoreng lagi sedap. Kurang garinglah, berminyaklah, so apa-apa just refer dekat beliau sahajalah. Akhirnya saya buat ceduk mana-mana resepi yang patut bertepatan dengan bahan-bahan mentah yang saya ada iaitu tepung, telur, rempah kari, gula, garam, udang kering, marjerin dan bawang besar. Saya perhatikan anak-anak suka makan, selama ini saya beli sahaja tetapi biasalah kadang-kadang rasanya tidak kena dengan tekak mereka. Bab lenyek-melenyek ini saya bereskan dengan anak ke 2. Bukan main comel lote hasil lenyekkan beliau. Saya, hentam sahajalah. Cantik juga. Si kakak melayan adiknya yang kecil bermain ps2. Bila dah siap digoreng saya tanya, sedap tak. Sedaplah mak. Hehe... Cuti sekolah ni boleh buat lagi...

Friday, October 30, 2009

DADAR GULUNG DAN SAMBAL GORENG JAWA





Dadar gulung ini saya sediakan pada minggu lepas untuk hidangan minum petang. Oleh kerana tiada daun pandan, saya gunakan sedikit pewarna kuning sahaja. Bancuhan dadarnya saya campur sedikit pati santan kerana saya tidak menggunakan telur. Bukan apa saya takut rasa hanyir telur sebab saya buat dalam kuantiti yang sedikit. Malangnya suami dan anak-anak tidak suka. Mereka hanya menjamah sedikit sahaja. Sementara sambal goreng jawa ini pula memang digemari anak-anak dan suami. Sedap mereka kata. Cara penyediaannya sama seperti sambal goreng biasa cuma saya gantikan kicap dengan santan pekat. Ini percubaan pertama saya dan saya juga menyukainya. Paru lembu itu selepas saya rebus, saya potong kecil dan goreng agak garing. Di dalamnya ada udang basah, tempe dan juga kentang. Macam biasalah. Saya juga hiriskan cili padi biar rasanya pedas sedikit. Alhamdulillah menjadi. Hehehe....

Wednesday, October 21, 2009

CUCUR IKAN BILIS DAN SOTONG MASAK KICAP



Masuk hari ini sudah 3 hari suami saya tiada di rumah. Outstation lagi. Tinggallah kami 4 beranak di rumah. Suami tiada pun saya kena ke dapur juga. Anak-anak pulang dari sekolah tentunya lapar. Kelmarin saya masak ungkep daging, semalam masak paru goreng berlada (orang Kelantan panggil pelempong, hehehe... kalau tak silap saya la). Hari ini masak kicap sotong, petangnya Mimah mengadu lapar jadi saya gorengkan cucur bilis. Adunan cucur ini saya masukkan nasi yang dikisar bersama bawang dan ikan bilis. Adik saya Noni yang mengajarnya. Hasilnya cucur ini lebih lembut dan enak dari biasa walaupun setelah sejuk. Ingatkan tadi hendak buat roti goreng simple tetapi rasa malas pula.