Showing posts with label nasi. Show all posts
Showing posts with label nasi. Show all posts

Friday, March 30, 2012

NASI BERIYANI AYAM BUAT SUAMI...


Assalamualaikum dan selamat malam semua. Hidangan makan tenghari saya dan keluarga tengahari tadi khusus buat suami saya yang teringin makan nasi beryani Johor. Alhamdulillah dapat memenuhi selera suami. Hujung minggu lepas kami berpusing-pusing mencari restoran yang menyediakan nasi beriyani tetapi bila dimakan rasanya tidaklah seperti yang diharapkan. Jadi hari ini setelah banyak kali 'menggoogle' resepi nasi beriyani di internet dan buku masakan, untuk pertama kalinya saya masak nasi beriyani. Oleh sebab hanya ayam sahaja yang ada saya masak ayamlah. Suami sukanya kambing, insyaAllah lain kali daging kambing pula ya bang. Hehe..

Untuk nasi beriyani resepinya adalah seperti di bawah:

4 cawan beras basmati - dicuci bersih, ditoskan (sebaiknya guna beras basmati Faiza)
1/4 cawan susu cair
6 cawan air biasa
1 biji bawang besar dikisar
3 ulas bawang putih dikisar
1/2 inci halia tua dikisar
1 batang kulit kayu manis
2 kuntum bunga lawang
3 biji buah pelaga
5 kuntum bunga cengkih
2 sudu besar minyak sapi
>< 3 sudu besar minyak masak
1 pokok daun saderi - patah-patahkan
1 pokok daun bawang - patah-patahkan
1 tangkai daun pudina - patah-patahkan
1/4 cawan kismis - goreng dan toskan minyaknya
1/4 cawan gajus - goreng dan toskan minyaknya
segenggam bawang goreng
beberapa titik pewarna kuning

Cara-caranya:

1. Panaskan minyak sapi dan minyak masak. Tumiskan bahan-bahan kisar dan rempah tumis hingga naik bau.
2. Masukkan susu cair, air dan beras. Tambahkan sedikit garam. Kacau sebati.
3. Bila sudah mendidih kacau lagi dan tutup periuk.
4. Bila air nasi sudah kering buatkan lubang-lubang menggunakan chopstick dan titiskan beberapa titik pewarna kuning. Taburkan atasnya dengan gajus dan kismis yang digoreng tadi bersama daun saderi, daun bawang, bawang goreng dan daun pudina. Tutup periuk.
5. Agak-agak nasi hampir tanak, buka tudung periuk dan gaul sebati dengan bahan-bahan tadi.
6. Masak nasi hingga tanak dan sebelum dihidang buanglah segala macam dedaun tadi.



Untuk ayam masak beriyani, resepinya adalah seperti berikut:
Bahan-bahannya:

>< 1 kg ayam - potong ikut suka
sedikit serbuk kunyit
garam secukup rasa
1 biji bawang besar dadu kecil
3 ulas bawang putih tumbuk lumat
1/2 inci halia muda tumbuk lumat
1 paket kecil rempah beriyani faiza
2 biji tomato dadu kecil
2 biji kentang potong 8
1 batang lobak merah potong ikut suka
rempah tumis 4 sekawan
1 pokok daun pudina - ambil daunnya
1/4 cawan yougart
air secukupnya
1 kiub ayam
garam secukupnya

Cara-caranya:

1. Panaskan minyak. Lumurkan ayam dengan garam dan kunyit serbuk. Goreng separuh masak, ketepikan.
2. Dengan lebihan minyak tadi tumiskan rempah tumis, bawang besar, bawang putih dan halia hingga naik bau.
3. Masukkan tomato dan kacau sebati. Masak lagi.
4. Masukkan rempah beriyani dan kacau sebati. Bila naik bau masukkan yougart dan air.
5. Masukkan juga lobak dan kentang.
6. Bila lobak dan kentang mulai empuk masukkan kiub ayam dan ayam yang sudah digoreng tadi, kacau sebati. Tutup kuali dan perlahankan api supaya ayam dan lainnya masak dengan mesra.
7. Masukkan daun pudina, kacau lagi dan rasakan masinnya.
8. Biarkan seketika di atas api dan bolehlah dihidangkan.


Untuk acar mentah resepinya seperti di bawah:
Bahan-bahannya:

1/2 biji nenas - buang empulur, potong kecil
1 biji timun - buang empulur potong panjang
1 biji lobak merah - potong panjang halus
1 biji bawang merah - belah 4 dan hiris
2 batang lada merah - hiris
3 sb cuka - saya guna cuka kurma
garam
gula
sedikit air panas

Cara-caranya:
1. Masukkan lada merah dan bawang besar dalam mangkuk. Tambahkan garam, cuka kurma, garam dan gula. Masukkan juga air panas. Kacau sebati.
2. Masukkan nenas, timun dan lobak merah dan gaul merata dengan bahan-bahan tadi.
3. Rehatkan dahulu sebelum dihidang.

* untuk popodum, beli yang dah siap ada tanda halal Jakim dan goreng macam keropok.:))

Monday, April 25, 2011

NASI MINYAK HUJAN PANAS



Assalamualaikum dan selamat pagi semua. Bila suami outstation ada sahaja resepi yang saya cuba. Hehe... Sebabnya suami tidak gemar makan jenis-jenis makanan begini. Resepi saya ambil dari blog Raihan Shaari. Mudah dan bahan-bahan yang digunakan tidak rumit menyediakannya. Sesekali bertukar selera memang seronok, tidaklah saya jemu menyediakan menu yang saban hari sama sahaja.
Buat Raihan, izinkan kakak salin dan letakkan resepinya di sini pula supaya mudah hendak dibuat rujukkan sekiranya ingin memasak lagi. Ribuan terima kasih kakak ucapkan.

Bahan-bahan: (hidangan untuk 10 orang)

3 cawan beras Basmathi- basuh dan toskan
1 sudu besar minyak sapi
3 sudu besar minyak masak
1 labu bawang besar- hiris halus dan dadu kecil
2 ulas bawang putih dicincang
1 inci halia dihiris halus
1 batang kulit kayu manis, 2 kuntum bunga lawang, 3 kuntum bunga cengkih, 5 biji buah pelaga
5 cawan air rebusan ayam- *** sediakan dengan merebus beberapa ketul ayam - bahagian peha atau kepak dengan 6 cawan air- didihkan lebih kurang 10 minit.
2 sudu teh garam
2 helai daun pandan dicarik dan disimpul

sedikit pewarna merah, kuning dan hijau
kismis, bawang goreng dan gajus

Cara membuatnya:

1. Panaskan minyak sapi dan minyak masak di dalam periuk nasi di atas dapur. Tumis rempah ratus (4 serangkai) bawang besar, bawang putih dan halia hingga wangi.

2. Masukkan beras dan goreng 1 minit. Kacau sebati. Alihkan periuk ke dalam periuk elektrik. Masukkan air rebusan, garam dan daun pandan ke dalam periuk nasi. Masak nasi seperti biasa.

3. Apabila nasi masak , celupkan lidi sate ke dalam pewarna merah dan cucukkan ke beberapa tempat di dalam nasi. Ulang proses sama untuk warna hijau dan kuning. Jangan kacau nasi. Biar 5 minit. selepas 5 minit..Taburkan bawang goreng, gajus dan kismis. Kacau nasi agar warna
sekata bagi keseluruhan periuk.

4. Sedia dihidang bersama lauk-pauk lain.


Thursday, January 20, 2011

NASI GORENG SOTONG


Assalamualaikum dan selamat petang teman blogger semua. Hari ini saya hanya masak nasi goreng sotong untuk makan tengahari buat saya dan anak-anak. Suami outstation lagi dan lagi. Minggu ini hanya semalam sahaja di rumah. Anak-anak sejak sekolah hanya makan sekali sehari itupun perlu disuruh. Malam ini kami beli burger sahajalah untuk mengalas perut. Jom kita kongsi resepi lagi....



Bahan-bahannya:

4 cawan nasi - saya guna basmati
500 gm sotong saiz kecil
2 biji telur
2 biji cili merah
3 biji cili api
5 biji bawang merah
2 biji bawang putih
sedikit belacan
sedikit udang kering
1 sudu kecil serbuk cukup rasa
1 sudu besar kicap masin
1 sudu besar sos tiram
secubit garam

Cara-caranya:

1. Kisar kasar cili merah, cili api, bawang merah, bawang putih, belacan dan udang kering.
2. Panaskan sedikit minyak dan tumis sotong hingga airnya kering.
3. Panaskan minyak dan tumis bahan-bahan kisar hingga naik bau. Pecahkan telur dan kacau sebati.
4. Tambahkan dengan sos tiram, kicap masin, serbuk cukup rasa dan garam. Kacau sebati.
5. Masukkan nasi diikuti dengan sotong. Gaul hingga nasi dan sotong mesra dengan bahan-bahan kisar yang ditumis tadi dan bahan-bahan lain.
6. Kalau suka boleh tambah sayuran sebab saya memang tiada stok sayuran di rumah jadi masak apa yang ada sahaja.

Monday, August 9, 2010

NASI LEMAK SEMPOI


Assalamualaikum dan selamat malam semua. Jumaat dan Sabtu lepas ada tetamu suami datang dari Johor. Saya pula tidak sempat ke pasar jadi untuk pagi Sabtu hari itu saya hanya masakkan nasi lemak yang amat sempoi sekali. Cukuplah sekadar mengalas perut, yang penting sedap dan kenyang.

nasi lemak, telur rebus, sambal sotong dan hirisan timun

Sunday, May 23, 2010

NASI LEMAK



Assalamualaikum dan selamat petang semua. Hari ini saya masak nasi lemak untuk makan tengahari. Membawa ke malamlah nampaknya sebab anak-anak dan suami sekembalinya dari sekolah dan kerja belum sempat hendak makan. Untuk lauk sampingan nasi lemak ini saya sediakan sambal tumis telur puyuh, ayam goreng berempah pedas, kacang tanah goreng dan ulam timun. Jom kita kongsi resepi nasi lemak mudah saya...

Nasi lemak
Bahan-bahannya:
3 cawan beras basmathi
1 cawan santan pekat
3 helai daun pandan disimpul
1/2 inci halia dihiris nipis
1 biji bawang besar dihiris
sedikit garam

Cara-caranya:
-Masukkan semua bahan-bahan dalam periuk dan tambahkan air secukupnya. Kacau rata dan masak menggunakan periuk elektrik sepertimana kita memasak nasi biasa.

Sambal tumis telur puyuh
Bahan-bahannya:
30 biji telur puyuh direbus hingga masak dan dikupas kulitnya
20-30 tangkai cili kering dikisar
5 biji bawang merah dikisar
2 biji bawang putih dikisar
sedikit belacan dikisar
air asam secukupnya untuk mengisar
segenggam ikan bilis halus
garam, gula dan perasa secukupnya

Cara-caranya:
-Tumiskan bahan-bahan kisar hingga naik bau dan terbit minyak. Tambahkan dengan garam, gula dan perasa secukupnya. Gaul sebati.
- Masukkan telur puyuh dan tambahkan sedikit air, kacau dan masak lagi. Tambahkan dengan ikan bilis halus. Kacau, biarkan di atas api seketika dan bolehlah dihidangkan.

Ayam goreng berempah pedas
Bahan-bahannya:
8 ketul ayam dicuci bersih
2 biji bawang merah ditumbuk
3 biji bawang putih ditumbuk
1/2 inci halia ditumbuk
1/2 inci kunyit hidup ditumbuk
1 sudu besar ketumbar kisar
1 sudu besar 'cukup rasa'
1 sudu kecil serbuk cili

Cara-caranya:
-Gaul ayam dengan semua bahan-bahan kisar dan tumbuk. Perap seketika dan goreng dalam minyak terendam dengan api sederhana hingga masak.

Monday, May 17, 2010

NASI MENTEGA



Assalamualaikum dan selamat petang semua. Hari ini saya masak menu baru nasi mentega. Resepi saya ambil dari rumah adik blogger "epok-epok pusing". Terima kasih ya. Beberapa hari lalu ada bertanya suami kalau saya masak nasi mentega boleh tak. Boleh katanya tetapi dengan syarat masakkan nasi dan lauk yang lain untuk beliau. Jadi saya ambil kesempatan beliau outstation ini untuk masak menu baru. Sedap dan simple. Memang tidak rugi mencuba. Jom kongsi resepi adik kita ini (saya masak separuh dari sukatan di bawah)....

4 cawan beras
11/2 inci tebal mentega
2 biji bawang merah dimayang halus
1 helai daun pandan (saya gantikan dengan rempah tumis 4 sekawan)
2 kiub pati ayam
1/2 cawan kismis

Cara-caranya:

1. Basuh basmathi dan toskan airnya.
2. Panaskan mentega dan tumis bawang, diikuti rempah tumis hingga layu dan naik bau.
3. Masukkan beras tadi dan kacau rata.
4. Tambahkan air secukupnya.
5. Masukkan daun pandan, kiub pati ayam dan kismis. Kacau rata.
6. Masak hingga nasi hingga masak seperti biasa.

Thursday, March 11, 2010

NASI AYAM PANGGANG




Assalamualaikum dan selamat malam Jumaat semua. Nasi ayam panggang paling simple saya buat. Nasi yang saya gunakan adalah beras siam kampit cap pisang, bukan siam yang banyak kanji tetapi lebih kurang rasanya macam beras herba ponni. Sejak tinggal di Kelantan ini, tekak pun mengada-ngada hendak makan beras cap serindit, pisang, angsa emas dan lainnya. Sudah tidak mahu menelan beras berkanji AAA seperti lagenda sewaktu tinggal di Pahang dan Johor. Esok-esok pindah ke tempat lain kena import beras dari Kelantanlah nampaknya. Hehe.. Suami dan anak-anak memang gemar makan nasi ayam. Menurut anak sulung, nasi ayam emak lagi sedap dari nasi ayam Radix. Hehe...

Bahan-bahan untuk nasi:

3 cawan kecil beras
4 gelas air rebusan ayam
1 sudu besar hirisan halia muda

Cara-caranya:

1. Masuk semua bahan di dalam periuk dan masak nasi macam biasa.

Bahan-bahan untuk air rebusan:

1.3 kg ayam organik HPA
3 biji bawang besar dipotong berbaji
3 biji bawang putih dititik
5 batang serai dititik
1 inci halia dititik
5 kuntum bunga cengkih
3 biji buah pelaga
3 kuntum bunga lawang
2 batang kulit kayu manis
garam secukupnya

Cara-caranya:

1. Masuk semua bahan dalam periuk, tambahkan air secukupnya dan rebus hingga mendidih.

Bahan-bahan untuk ayam:

Ayam yang telah direbus tadi.
1 inci halia ditumbuk
3 biji bawang putih ditumbuk
sedikit kicap pekat
sedikit sos tiram

Cara-caranya:

1. Gaulkan bahan-bahan yang ditumbuk dengan sos tiram dan kicap pekat.
2. Lumurkan bahan-bahan tadi pada ayam dan perap seketika.
3. Panaskan ketuhar 190C dan bakar ayam tadi 30 minit dengan api atas, iaitu 15 minit setiap bahagian ayam.

Untuk sos hitam, bahan-bahannya:

3 biji bawang putih ditumbuk
air rebusan ayam secukupnya
sedikit kicap pekat

Cara-caranya:

1. Tumis bawang putih yang ditumbuk tadi, masukkan air rebusan ayam dan kicap pekat. Kacau sebati. Biar di atas api hingga mendidih.

Untuk sos lada, bahan-bahannya:

5 biji cili merah dikisar
3 biji bawang putih dikisar
3 biji limau kasturi diambil airnya
garam, gula dan perasa secukupnya

Cara-caranya:

1. Masukkan semua bahan dalam periuk. Tambah air secukupnya. Kacau sebati. Masak dengan api sederhana hingga mendidih.

Untuk sup:

Air rebusan ayam ( boleh tambah air untuk lebihkan kuah )
hirisan daun bawang dan daun sup
garam dan perasa secukupnya

Cara-caranya:

1. Masukkan lebihan air rebusan ayam tadi ( saya suka gunakan air yang banyak ketika merebus ayam )
2. Tambahkan garam dan serbuk perasa dan masak hingga mendidih.
3. Ketika menghidang, tabur kuah sup dengan hirisan daun bawang dan daun sup.