Thursday, February 25, 2010

BUBUR CANDIL KELEDEK BERSAMA SAGU BIJI



Assalamualaikum dan salam pagi Khamis. Semalam saya menyediakan bubur candil ini untuk hidangan minum petang. Arwah emak dulu-dulu rajin sangat masak hidangan pemanis mulut ini. Selalunya kalau arwah emak buat, kami adik beradik perempuan akan bergotong royong mengentel bulat-bulat kecil adunan tepung ( arwah suka guna tepung gandum berbanding tepung pulut ). Seronok bila melihat gentelan tepung bulat-bulat ini akhirnya terapung di atas kuah bubur tadi Kadang-kadang arwah campurkan juga dengan potongan ubi kayu atau keledek. Masa kecil-kecil dulu saya hanya makan candilnya sahaja, ubi saya tolak tepi. Hehe... Bila saya jadi emak pula semua sedap di tekak tetapi bila makan tetap beringatlah...

Bahan-bahan:

1/5 kg keledek lenyek
2 cawan santan pekat
tepung pulut secukupnya
tepung sagu ubu 11/2 cawan
3 keping manisan sederhana besar
1 senduk gula merah
gula sekiranya kurang manis
5 helai daun pandan
secubit garam
Air secukupnya
1 genggam sagu biji dicuci dan ditos

Cara-caranya:

1. Uli keledek lenyek dengan tepung sagu dan tambah tepung pulut sedikit-sedikit hingga tidak melekat pada tangan.
2. Didihkan air dan mula gentel-gentel adunan kecil-kecil dan masukkan dalam air mendidih tadi hingga gentelan tepung tadi timbul.
3. Toskan.
4. Sementara itu masak manisan dan gula merah bersama 1 cawan air dan simpulan daun pandan hingga gula-gula itu larut. Tapiskan.
5. Di periuk lain masukkan air gula dan air secukupnya untuk kuah hingga mendidih. Masukkan santan dan garam. Sentiasa dikacau agar santan tidak berketul. Masukkan sagu biji pula.
6. Bila kuah mendidih masukkan candil yang ditoskan tadi, kacau dengan lembut dan biar di atas api seketika.

Arwah emak hanya buat bubur candil menggunakan tepung sahaja, idea mencampurkan ubi keledek lenyek ini saya dapat dari bibik indon makcik belah suami. Berbaloi juga dicuba... Sagu biji ini juga saya saja ngada-ngada hendak tambah. Hehe...

ASAM PEDAS DAGING BERSAMA NENAS



Assalamualaikum dan selamat pagi semua. Tidak lupa diucapkan selamat menyambut hari keputeraan junjungan kita Nabi Muhammad SAW pada hari esok, Jumaat yang berkat ( hari kelahiran suami dan puteri sulung saya ). Mudah-mudahan kita di antara umat yang mendapat syafaat baginda di akhirat kelak. AMIN... Semalam saya masak asam pedas daging lagi. Kali ini saya masukkan lebihan potongan nenas semasa memasak lemak ikan semalam. Salah satu petua untuk mempercepatkan daging empuk ketika dimasak ialah dengan cara memasukkan potongan nenas di dalamnya. Lagi pun bukan selalu kita bernasib baik dapat beli daging batang pinang sebab kadang-kadang sampai di pasar daging jenis berkenaan sudah habis dibeli orang. Selain mengempukkan, nenas juga dapat menambahkan lagi kesedapan rasa asam pedas kita. Tidak percaya cubalah. Hehe... Ikut selera masing-masinglah.

Wednesday, February 24, 2010

IKAN KACI MASAK LEMAK BERSAMA NENAS




Assalamualaikum dan selamat pagi. Lauk saya semalam serba ringkas tetap sedap ditekak. Kadang-kadang kepala pening bila memikirkan hendak masak apa hari ini. Setelah ditolak tambah, bahan-bahan pun ada saya pun masaklah. Selalunya belanja pasar seminggu sekali, jadi jika ada barang-barang yang terlupa beli kirim salam sahajalah. Hehe... Jom kita kongsi resepi mudah ini...

Bahan-bahannya:

600 gram ikan kaci dipotong ikut suka ( saya beli, penjual yang tolong potongkan )
1/2 biji nenas saiz sederhana dikupas dan dihiris ikut suka
9 biji cili api hijau sederhana besar dikisar
5 biji bawang merah dikisar
1 biji bawang putih dikisar
1/2 inci halia dikisar
1 inci kunyit hidup dikisar
sedikit belacan dikisar
3 keping asam gelugur ( direndam dahulu )
200 ml santan kotak biru ayam brands
5 batang serai dititik
gula dan garam secukupnya

Cara-cara memasak:

1. Tumiskan bahan-bahan kisar dan serai yang dititik hingga naik bau. Masukkan asam keping dan kacau lagi.
2. Masukkan garam dan gula secukupnya. Bila sudah sebati, masukkan pula ikan yang telah dipotong-potong tadi. Gaul mesra. Masukkan air paras-paras ikan tadi.
3. Bila kuah sudah mulai mendidih masukkan santan dan nenas.
4. Tunggu hingga mendidih sekali lagi baru tutup api. Sambil menunggu lauk mendidih, kuah hendaklah dikacau sekejap-sekejap.

DONUT KELEDEK



Assalamualaikum dan selamat pagi. Alhamdulillah, berjumpa lagi kita di pagi yang berkat ini. Semalam saya cuba membuat donut keledek ini menggunakan resepi yang saya ambil dari blogger yatiememories. Kebetulan cuti tempohari khabarnya sahabat suami yang bekerja di Terengganu hendak bercuti ke Kota Bharu dan singgah ke rumah. Saya pun siap-siapkanlah bahan-bahan untuk membuat mee jawa namun di saat akhir mereka membatalkan rancangan tersebut dan bercuti ke Pulau Kapas pula, jadi menganggurlah keledek yang saya beli ini. Bila terlihat sahaja resepi ini, mengapa tidak saya mencubakan. Rasa donut keledek ini pun tidak mengecewakan. Jom jamu mata....

Tuesday, February 23, 2010

IKAN KEMBONG GORENG BERLADA ALA MINANG



Assalamualaikum dan selamat pagi buat yang sudi menziarahi blog saya. Terima kasih diucapkan. Satu lagi resepi mudah yang saya ambil dari internet kepunyaan blogger lelaki tetapi saya sudah lupa siapa. Beliau memasak untuk isteri dan menurut blogger ini sepanjang isterinya menikmati hidangan ini tidak putus-putus si isteri memuji keenakkan masakan si suami. Beruntung sungguh punya suami rajin ke dapur. Suami saya pula kadangkala ringan tangan juga menolong saya mengemas dan melipat kain. Hehe... Masakan beliau yang pernah saya rasa nasi goreng kampung sahajalah, itu pun ketika saya terlantar sakit tidak boleh bangun. Sesekali suami masak memang sedap sehingga anak yang ke dua lebih gemar makan nasi goreng air tangan ayahnya. Ikan kembong goreng berlada ini boleh tahan sedapnya dan memasaknya cukup ringkas. Saya olah sedikit bagi memudahkan kerja dapur saya. Kepada yang empunya resepi jika terbaca entri saya ini saya ucapkan ribuan terima kasih.

Bahan-bahannya:

2 ekor ikan kembong sederhana besar dilumur garam kunyit dan digoreng garing.
7 biji cili merah dikisar
5 biji bawang merah dikisar
garam, gula, air asam dan perasa secukupnya.

Cara-caranya:

1. Panaskan minyak di dalam kuali. Tumis bahan-bahan yang dikisar hingga pecah minyak.
2. Tambahkan sedikit air asam dan kacau sebati.
3. Masukkan garam, gula dan perasa secukupnya. Kacau sebati dan bila pecah minyak, masukkan ikan yang telah digoreng tadi. Gaul sebati dan biar seketika di atas api.

BIHUN GORENG



Sambal kicap dengan hirisan lada merah, cili api, kicap manis, kicap masin dan perahan air limau kasturi sebagai penambah rasa bihun goreng versi kurang bahan. Hehe....

Assalamualaikum dan selamat pagi. Semalam saya masak bihun untuk makan tengahari bersama anak-anak. Suami outstation jadi masak ringkas-ringkas sahaja. Bihun ini versi kurang bahan sebab saya hanya letak hirisan sotong basah, isi ayam yang disiat-siat dan lobak merah. Sementara untuk bumbunya saya kisarkan cili kering, bawang merah, bawang putih dan udang kering. Semalam saya cuba menahan penjual ikan dan sayur bermotor tetapi malangnya beliau tidak mendengar panggilan saya. Jadi terpaksalah saya masak apa yang ada sebab hendak ke pasar saya tidak pandai memandu. Bila suami tiada terasa amat payah tidak pandai memandu. Tahun ini mungkin suami lebih kerap outstation. Mudah-mudahan saya berjaya mendapat lesen memandu tahun ini. AMIN...

Sunday, February 21, 2010

SOTONG MASAK HITAM ALA MELAKA



Assalamualaikum dan selamat malam semua. Hari ini saya dan anak-anak makan nasi berlauk sotong pula. Resepi ini saya ambil dari internet. Pening juga memikirkan hendak dimasak apa sotong ini jadi bila terlihat sahaja resepi ini saya terus mencubanya. Lagi pun bahan-bahan mentah yang diperlukan ada dalam stok. Anak-anak memuji sedap, bagi saya pula lauk ini berbau harum serai dan jintan manis. Tak percaya, cubalah masak. Hehe... Buat suami yang berada di Kuala Lumpur malam ini, saya sudah buat entri sotong masak hitam seperti yang diminta. Buat rakan-rakan semua, jom kongsi resepi...

Bahan-bahannya:

500 gram sotong dipotong-potong, dicuci bersih dan diambil pundi hitamnya
3 batang serai dititik
5 biji bawang merah ditumbuk
2 ulas bawang putih ditumbuk
1/2 inci halia ditumbuk
1/2 sudu kecil jintan manis dikisar
1/2 sudu teh lada hitam ditumbuk
1 biji bawang besar dihiris
1 sudu besar cili kering dikisar
2 sudu besar air asam jawa
garam, gula dan perasa secukupnya

Cara-caranya:

1. Panaskan minyak dan tumis bahan-bahan yang ditumbuk dan dikisar hingga naik bau. Tambahkan cili kisar dan tumis lagi.
2. Masukkan serai yang dititik dan hirisan bawang besar dan digaul sebati.
3. Bila naik bau, masukkan sotong diikuti dengan air asam, garam, gula dan serbuk perasa secukupnya.
4. Tutup api setelah sotong tadi masak ( sotong tidak memerlukan masa yang lama untuk masak).

MEE GORENG MAMAK



Assalamualaikum semua dan selamat pagi Ahad. Sementara menanti suami bersiap untuk ke airport Pengkalan Chepa, saya curi-curi mengadap laptop. Suami outstation lagi hingga Selasa. Anak-anak pula mula bersekolah setelah seminggu bercuti. Semalam, sekali lagi saya menemani suami pergi kenduri kahwin sebagai ahli rombongan pengantin lelaki berdekatan dengan istana lama. Kebetulan pengantin lelaki yang berasal dari Muar, adik bongsu kepada bekas CEO suami Datuk Abdul Karim Jalil. Pengantin perempuannya cantik sekali, yang lelaki pun lawa. Memang sepadan. Berbalik pada mee goreng mamak ini, resepinya saya ambil dari buku masakan tulisan Chef Hanieliza, ' Mi, Mihun & Kuetiau. Jadi ikut udang-undang saya tidak boleh menyalin balik resepi beliau di sini. Cuma yang boleh saya katakan mee goreng mamak saya ini tidak ada taugeh dan sawi, saya juga tambahkan isi kerang ( ingatkan hendak masak char mee) di dalamnya. Buku masakan tulisan beliau saya beli di Kedai Buku Popular dengan harga RM 5.50 sahaja. Berbaloi sungguh dengan resepi-resepi yang ada, cuma agak terkilan sebab suami dan Syuhadah kurang gemar rasanya, cuma Hamimah dan saya sahaja yang suka memakannya. Adatlah, lidah dan citarasa orang berbeza. Jom jamu mata...

Saturday, February 20, 2010

ASAM PEDAS IKAN PARI



Assalamualaikum dan selamat pagi. Menu saya dua hari lepas yang baru sekarang sempat dikongsi bersama. Asam pedas, asam pedas and always asam pedas. Hehe... Speaking London lah pulak. Kalau boleh semua jenis ikan, ayam, daging dan tetel ( takut hendak makan sebab banyak lemak ) hendak saya masak asam pedas. Mengapa tidak sebab suami suka dan lazimnya saya masak ikut selera suami. Kadang-kadang ikut selera anak-anak juga hingga kadang-kadang terlupa selera sendiri. Tidak mengapalah janji kami bahagia dan gembira sewaktu di meja makan. Resepinya sama seperti masakan asam pedas saya yang lain. Saya juga tidak letak lada hitam sebab lidah, tekak dan perut suami tidak tahan. Ikan pari itu saya lumurkan dahulu dengan jus limau nipis, dibiarkan seketika dan dicuci bersih jadi tidak adalah bau yang kurang enak. Jom jamu mata..

Friday, February 19, 2010

GULAI DAGING BERSAMA UMBUT PISANG



Ini pula cenderahati yang saya dapat sewaktu menghadiri majlis perkahwinan adik ipar CEO SSM di Machang. Di dalamnya ada kek coklat siap bertopping yang enak.


Assalamualaikum dan selamat malam semua. Hampir seminggu saya tidak berkesempatan mengemaskini blog. Sepanjang waktu cuti CNY ini saya agak sibuk, selain menguruskan rumahtangga saya juga menemani suami melangsaikan tugas di luar di samping memenuhi jemputan kenduri dan make gula ( perkahwinan ). Gulai daging bersama umbut ini bukan saya yang masak tetapi lauk yang saya makan ketika menghadiri jemputan kenduri staff suami iaitu Tn Hj Muhammad Mustaffa. Bila saya tanya beliau dan isteri cara membuatnya, mereka pun tidak tahu. Terbantutlah hasrat saya hendak belajar masakan yang enak dan lazat ini dan dikongsi bersama rakan-rakan semua. Sesiapa yang pernah tinggal di Kelantan tentu pernah merasa gulai ini. Menurut tuan rumah sebelum dimasukkan ke dalam kawah, daging lembu dicincang kasar dan digaul dengan garam kunyit. Itu sahaja informasi yang saya dapat. Hehe... Selain gulai daging umbut pisang ini, kami juga dijamu dengan ikan masin, sambal belacan, ayam masak pedas dan acar bersama nasi putih Memang sedap sangat. Jom jamu mata...

Saturday, February 13, 2010

SAMBAL TUMIS TELUR PINDANG


Inilah rupa telur pindang yang telah direbus dengan rempah ratus dan berbagai jenis daun selama berjam-jam.


Ini pula ayam goreng cina yang menjadi kegemaran anak-anak dan suami juga

.
Assalamualaikum. Hari ini saya masak lauk sambal tumis telur pindang dan ayam goreng cina. Telur pindang ini suami kirim melalui sahabatnya dari Selangor ketika menghadiri majlis dengan PM di Putrajaya tempoh hari. Di Kelantan memang belum pernah lagi jumpa telur pindang ini. Kalau di selatan tanahair, telur pindang biasanya dijadikan buah tangan kepada para tetamu yang menghadiri majlis perkahwinan sebagai tanda terima kasih tuan rumah. Suami sangat suka makan telur pindang, malangnya saya tidak pandai hendak membuatnya kerana memerlukan berbagai jenis daun, termasuk pucuknya dan rempah ratus. Manalah saya hendak mencari. Sesekali pulang ke kampung ada juga orang yang menjual telur pindang ini di Kampung Melayu Majidi. Alhamdulillah, dapatlah merasa juga.

Ayam goreng cina pula resepinya saya dapat dari ibu saudara sebelah suami. Ringkas sahaja cara hendak membuatnya dan merupakan lauk kegemaran anak-anak dan suami. Kadang-kadang tidak jadi lauk juga sebab sudah diratah begitu sahaja.

Bahan-bahannya:

1/2 ekor ayam dibelah ikut suka ( saya guna ayam organik HPA yang siap dibelah-belah ).
5 biji bawang putih ditumbuk
2 biji bawang merah ditumbuk
sos tiram secukupnya
kicap pekat secukupnya

Cara-caranya:

1. Lumurkan ayam dengan bahan-bahan tumbuk, sos tiram dan kicap pekat.
2. Perap seberapa lama yang disukai sebab makin lama diperap makin sedap sebab bumbunya lebih meresap.
3. Goreng dengan api sederhana hingga ayam masak.

PARU GORENG BERLADA



Assalamualaikum dan selamat malam semua. Paru goreng berlada ini saya masak dua hari lepas tetapi tidak sempat hendak dibuat entri tentangnya. Saya dan anak-anak memang gemar makan paru tidak kisahlah sama ada dicampur dalam sambal goreng, digoreng rempah ataupun goreng berlada. Kali ini saya masak dengan menggunakan cili kering kisar dan cili api yang ditumbuk. Selain itu bahan-bahan seperti bawang merah, bawang putih dan sedikit belacan juga saya tumbuk sama. Di Kota Bharu, paru juga dicampurkan dalam hidangan colek aneka. Paru ini direbus dahulu, dihiris nipis-nipis dan digoreng terlebih dahulu. Colek aneka ini rupanya lebih kurang rojak juga. Kalau ingin merasa datanglah cuti-cuti ke Kelantan. Hehe...

Friday, February 12, 2010

KARI SOTONG TANPA SANTAN



Assalamualaikum dan selamat malam semua. Hari ini setelah puas memikirkan hendak masak apa saya pun masaklah kari sotong tanpa santan. Sudah lama juga saya tidak masak lauk kari kerana suami kurang gemar memakannya. Kalau tidak habis pun kuahnya masih boleh digunakan untuk dicicah dengan roti bakar dan kalau rajin boleh boleh buat roti jala. Hehe... Alhamdulillah rasanya sedap dan sesuai dengan selera saya. Jom kita kongsi resepi.

Bahan-bahannya:

500 gm sotong saiz sederhana dicuci dan dibuang pundi hitamnya
3 biji bawang sederhana besar dikisar
1/2 inci halia dikisar
2 biji bawang putih dikisar
1-2 sudu besar cili kering dikisar
5-7 biji bawang merah dimayang
3 biji bawang putih dimayang
3 sudu besar rempah kari ikan HPA
air asam jawa
gula, garam dan perasa

Cara-caranya:

1. Bancuh bahan-bahan yang dikisar dengan serbuk kari dan air asam jawa dan jadikan pes.
2. Tumis bahan-bahan yang dimayang hingga perang dan masukkan cili kisar diikuti dengan pes kari.
3. Setelah bahan-bahan yang ditumis pecah minyak, masukkan sotong dan sedikit air (sotong mengeluarkan air sendiri ketika dimasak).
4. Setelah mendidih masukkan gula, garam dan perasa secukupnya.

Thursday, February 11, 2010

LUAHAN RASA



Assalamualaikum dan selamat malam semua. Mudah-mudahan berbahagia selalu di samping keluarga. AMIN. Bukan apa bila melihat rumahtangga keluarga dan kenalan rapat dilambung badai dan ada yang berpisah terasa amat insaf dan sedih... Bukan hendak menyalahkan lelaki tetapi dalam kedua-dua hal ini lelaki yang bersalah. Kedua-duanya menemui cinta baru dan melupakan cinta yang lama hingga lupa isteri yang dikahwini berbelas tahun lamanya adalah amanah Allah yang harus dijaga dan dipertanggungjawabkan. Jika isteri ada kekurangan dan kesalahan tegur dan nasihatilah, ini tidak bila hati sudah terpaut dengan yang lain kelemahan itu yang dijadikan alasan atas perbuatan. Anak-anak yang tidak berdosa terkena tempiasnya, kasihan sungguh.. Duhai lelaki jika berkemampuan kahwinlah lebih dari satu dan berlaku adillah di antara isteri-isteri kamu. Sekiranya tidak mampu janganlah dijadikan alasan bahawa rumahtangga yang dilayari berbelas tahun lamanya tidak bahagia dan menderita serta sanggup menceraikan isteri yang selama ini susah senang dan menjadi tulang belakang dalam hidup, umpama lilin membakar diri . Kalau menderita tidakkan sanggup si suami bertahan sebegitu lama dan tentulah badan yang segak menjadi kurus kering ibarat terkena ilmu papan sekeping. Namun siapalah saya hendak menghukum, perjalanan hidup saya pun insyaAllah masih panjang lagi. Doa saya mudah-mudahan, saya dan sahabat-sahabat alam maya semua dilindungi Allah dari ujian yang sedemikian. Moga kita menjadi isteri yang solehah, didampingi suami yang soleh dan dikurniakan anak-anak yang soleh dan solehah. AMIN.

Wednesday, February 10, 2010

DAGING MASAK KICAP



Assalamualaikum dan selamat malam. Malam ini hanya tinggal saya berempat dengan anak-anak. Suami outstation lagi. Kali ini di Putrajaya pula. Rancangan awal kami hendak ikut tetapi mengenangkan 2 hari persekolahan anak-anak perlu dikorbankan, terpaksalah lupakan sahaja. Tadi saya masak kicap daging ringkas tetapi anak-anak suka. Mula-mula hendak saya masak ungkep tetapi tidak jadi sebab tiada ketumbar kisar. Sesekali masak begini bagus juga sebab tidak berempah dan cepat muak. Minggu lepas saya masak kicap daging juga tetapi saya letak rempah tumis dan bahan-bahan kisar yang lain. Kali ini saya hanya hiris-hiris bahan-bahan tersebut tanpa rempah tumis. Jom jamu mata...

APAM COKLAT


Suami tidak minat kuih apam jadi saya buatkan beliau karipap sardin lagi. Saya bentuk bulat pula selepas melihat karipap yang dibuat oleh yatie. Nampak comel pula. Hehe...


Assalamualaikum dan selamat petang semua. Moga sentiasa bahagia di samping keluarga tersayang. Apam coklat ini saya buat semalam, tetapi baru petang ini saya dapat buat entri tentangnya. Resepinya saya ambil dari rumah kak ummi ( home sweet home ). Nampak mudah dan bahan-bahan yang digunakan simple sahaja. Terbukti telahan saya dan bukan itu sahaja, rasanya memang sedap dan makan sebiji pun, alhamdulillah sudah cukup. Saya letak resepinya di sini. Terima kasih buat kak ummi atas resepinya yang sedap ini.

Bahan-bahannya:

1 cawan tepung gandum
1/2 cawan air
1/2 cawan minyak masak
1/2 cawan gula
1/2 cawan susu pekat
2 sudu besar koko
1/2 sudu teh soda bikarbonat
1 biji telur

Cara-caranya:

1. Masukkan semua bahan dalam mangkuk dan gaul rata. Kemudian masukkan pula ke dalam jug pengisar dan kisar hingga tidak bergentel.
2. Kukus selama lebih kurang 15 minit di dalam kukusan yang telah dipanaskan terlebih dahulu.

Tuesday, February 9, 2010

SINGGANG IKAN AYA@TONGKOL


Sambal belacan ala Mak Yok ( ibu mertuaku )


Assalamualaikum dan selamat petang semua. Hari ini menu saya ringkas sahaja. Ikan aya masak singgang, sambal belacan, ikan aya goreng dan ulam timun. Masakan ini adalah permintaan suami. Semalam suami bengang sahaja saya masak soto ayam. Maaf ya bang, lain kali masak nasi berlauk sahaja. Masakan ini arwah emak yang ajar. Arwah kalau masak pindang mesti bubuh daun kunyit di dalamnya supaya 'seger' ( maaf saya tak tahu nak translate ke bahasa melayu. Hehe..) bila dihirup kuahnya dan berbau wangi. Saya tak letak sebab pasti suami tidak suka. Lagi satu arwah akan tumbuk halia, kunyit hidup dan belacan bersama. Arwah juga gunakan air asam jawa. Saya pula main hiris-hiris dan guna asam keping sahaja. Jom tengok resepi...

Bahan-bahan:

3 ekor ikan aya@tongkol saiz sederhana
5 biji bawang merah
1 ulas bawang putih
7 biji cili api ( dibiarkan sebiji-sebiji )
2 biji cili merah ( dibelah 4 )
1/2 inci kunyit hidup
1/2 inci halia
sedikit belacan
3 keping asam keping
garam, gula dan perasa secukupnya

Cara-caranya:

1. Hiris nipis bawang merah, bawang putih, halia dan kunyit hidup.
2. Masukkan ikan aya, bahan-bahan yang dihiris, belacan, asam keping, cili api dan cili merah ke dalam periuk.
3. Masukkan air secukupnya untuk kuah, masak hingga mendidih.
4. Setelah mendidih masukkan gula, garam dan perasa secukupnya.

Untuk sambal belacan ala Mak Yok pula, bahan-bahannya:

5 biji cili merah
seketul belacan
1 biji limau kasturi @ 1 biji tomato masak ranum ( saya tak letak cik abe tak suka )

Cara-caranya:

1. Bakar belacan dan lada merah hingga layu.
2. Masukkan dalam lesung batu dan tumbuk lumat.
3. Setelah lumat masukkan tomato dan lenyek lagi. Kalau tidak pakai tomato, perahkan air limau kasturi.

Arwah emak saya kalau buat sambal belacan guna cili api dan belacan bakar. Tumbuk lumat dan perahkan limau sambal. Kalau makan telinga berasap tetapi sedap sangat tak boleh nak gambarkan. Suami pula tak tahan pedas jadi saya buat ikut selera beliaulah.

Monday, February 8, 2010

SOTO AYAM






Assalamualaikum dan selamat malam rakan-rakan semua. Hari ini saya menyediakan soto ayam untuk hidangan makan malam. Teringin pula hendak makan soto ayam jadi cubalah buat sendiri. Alhamdulillah tidak menghampakan. Suami kata sedap tetapi menurut beliau, dia lebih suka makan nasi. Syuhadah pula suka makan begedil, sementara Hamimah bila ditanya sedap sahaja. Oleh kerana tiada sambutan dari suami dan anak-anak, maka inilah kali pertama dan terakhir saya buat, kecuali ada permintaan dari suami suruh buat jika ada tetamu suami yang datang. Jom kongsi resepi...

Untuk lontong saya gunakan:
4 kampit ketupat adabi direbus hingga masak. Sejukkan dan dipotong kiub kecil-kecil.

Bahan-bahan untuk kuah soto:

1.3 kg ayam direbus
15 biji bawang merah
5 biji bawang putih
1 inci halia
1 inci lengkuas
5 batang serai
1 inci halia
3 sudu kecil ketumbar
1 sudu kecil jintan kasar
1 sudu kecil jintan halus
2 kiub sup bunjut
rempah tumis 4 sekawan ( banyak ikut suka )
garam dan gula secukupnya

Cara-caranya:

1. Rebus ayam dengan air hingga ayam tenggelam. Setelah empuk keluarkan ayam dan siat-siatkan dagingnya. Ketepikan tulang ayam.
2. Kisar bawang merah, bawang putih, serai, lengkuas dan halia hingga lumat. Ketepikan.
3. Cuci ketumbar, jintan kasar dan jintan halus. Toskan, goreng sangrai dan dikisar halus. Ketepikan.
4. Tumis bahan-bahan yang dikisar dan rempah tumis empat sekawan hingga naik bau. Masukkan air rebusan ayam dan tulang-tulang ayam tadi. Tambah air jika kuah terlalu sedikit.
5. Bila mendidih masukkan kiub sup bunjut, garam dan gula secukupnya. Masak lagi hingga mendidih.

Untuk membuat begedil kentang bahan-bahannya:

1 kg kentang ( dikupas, dihiris nipis, digoreng dan ditumbuk lumat )
2 tangkai daun sup
2 tangkai daun bawang
1/2 cawan bawang goreng
serbuk lada putih
1 biji telur

Cara-caranya:

1. Hiris halus daun bawang dan daun sup.
2. Dalam mangkuk besar campurkan kentang lumat, bawang goreng, daun sup, daun bawang dan sebuk lada putih. Gaul hingga sebati. Bentukkan bulat-bulat dan dileperkan sedikit.
3. Pukul telur dengan setengah cubit garam.
4. Panaskan minyak, celup bergedil dalam telur dan goreng hingga perang.

Untuk sambal kicap bahan-bahannya:

15 biji cili api
3 biji bawang putih
1 sudu besar gula
3 biji limau kasturi
kicap masin secukupnya

Cara-caranya:

1. Celurkan cili api dan bawang putih di dalam kuah soto seketika.
2. Tumbuk cili dan bawang yang dicelur tadi bersama gula hingga lumat.
3. Masukkan kicap masin secukupnya dan jus limau kasturi.

Untuk suhun goreng.

Lalukan suhun di bawah air paip. Toskan hingga garing. Panaskan minyak dan goreng suhun tadi dengan berhati-hati sebab minyak akan memercik. Bahaya...

Cara menghidangnya:

Masukkan ketupat nasi, isi ayam yang disiat, suhun goreng, hirisan daun bawang, hirisan daun sup, bawang goreng di dalam mangkuk. Curahkan kuah soto dan tambahkan dengan begedil dan sambal kicap. Kalau suka boleh tambah dengan taugeh. Saya tidak letak sebab tiada. Hehe...


Sunday, February 7, 2010

SERAWA DURIAN DAN DADAR KIRAI




Assalamualaikum dan selamat malam semua. Petang tadi selesai menyediakan hidangan untuk makan tengahari saya sempat menyediakan dadar kirai ( nama saya bagi ) keh keh keh... untuk dicicah dengan serawa durian. Sebenarnya adunan dadar itu ada yang saya kirai dan ada yang saya dadarkan. Dari situlah lahirnya nama dadar kirai. Jangan marah ya... Saya lebih suka makan pulut kukus bersama kuah durian ini tetapi stok pulut tiada pula di rumah, kalau tepung gandum memang sentiasa ada. Jom kongsi resepi:

Bahan-bahan untuk kuah @ serawa durian:

15-20 ulas durian
200 ml santan pekat
gula perang
manisan
air
3 helai daun pandan disimpul

Cara-caranya:

1. Masukkan durian dalam periuk dan isikan air paras durian tersebut, masukkan juga simpulan daun pandan. Masak hingga mendidih.
2. Setelah mendidih, masukkan gula perang dan manisan. Yang ini saya tidak gunakan sukatan. Main campak-campak je.
3. Bila gula perang dan manisan cair, masukkan pula santan pekat. Kacau sebati. Masak hingga mendidih. Kalau serawa @ kuah durian kita ini nampak pekat boleh tambah sedikit air lagi.

Bahan-bahan untuk membuat dadar kirai:

2 cawan tepung gandum
21/2 cawan air
1 biji telur
1/2 sudu kecil esen vanilla ( takut hanyir telur)
secubit garam halus
sedikit pewarna hijau
daun pandan ( untuk melenser minyak atas kuali )

Cara-caranya:

1. Masukkan semua bahan-bahan kecuali daun pandan dalam jug pengisar.
2. Kisar hingga bahan-bahan tadi sehingga larut dengan halus.
3. Panaskan kuali non-stik, lenserkan minyak menggunakan daun pandan. Kirai dan dadarkan adunan tadi ikut suka.

Thursday, February 4, 2010

KARIPAP INTI SARDIN



Assalamualaikum dan selamat petang semuanya. Sebenarnya entri tentang karipap inti sardin ini telah saya draf dari Khamis lepas tetapi tidak sempat hendak publish sampailah ke hari ini, Ahad Februari 7. Hehe... Semalam dapur saya langsung tidak berasap kerana sibuk menemani suami melangsaikan urusannya di luar sambil mengemas rumah. Rumah saya ini terletak di tepi jalan yang agak sibuk jadi mudah berdebu. Tension betul! Malam tadi baru dapat melipat kain baju yang sudah kering dari hari Jumaat. Hehe... Suami pun tolong melipat sama. Hari ini saya masak asam pedas daun kesum ikan haruan laut. Entrinya pernah saya buat dahulu jadi tidak perlulah saya ulang semula, takut ada yang boring pula. Hehe.. Karipap inti sardin ini memang kegemaran suami. Saya pula tidak kisah inti apa-apa, janji karipap sahaja saya suka...

SAMBAL TUMIS UDANG



Tadi selain menyediakan puyuh goreng berempah saya juga menyediakan sambal tumis udang untuk hidangan makan tengahari. Sambal tumis juga antara lauk kegemaran suami. Tidak kiralah apa yang dimasak sekali pun cuma suami memang tidak gemar makan sotong kembang walaupun dimasak sambal tumis. Hehe... Jom lihat resepi dan jamu mata...

Bahan-bahannya:

500 gram udang saiz sederhana dibuang sesunggutnya
3 senduk cili kering dikisar
7 biji bawang merah
2 biji bawang putih
1 biji bawang besar dihiris bulat-bulat
sedikit belacan
air asam jawa secukupnya
garam, gula dan perasa secukupnya

Cara-caranya:

1. Kisar bawang merah, bawang putih dan belacan dengan air asam jawa.
2. Tumiskan cili kering kisar, diikuti bahan-bahan lain yang dikisar hingga garing.
3. Masukkan udang dan gaul rata.
4. Rasakan masin, manis dan lemaknya.
5. Masukkan pula hirisan bawang besar, gaul lagi dan biar seketika di atas api atau sehingga udang masak tetapi jangan biar terlalu lama.