Sunday, August 29, 2010

PANKEK MAYONIS



Assalamualaikum dan salam tengahari semua. Pankek mayonis ini juga merupakan edisi tertunda. Melihat anak-anak bersungguh-sungguh makan pankek yang saya buat tempoh hari membuatkan saya bersemangat membuat pankek lagi tetapi kali ini saya gunakan mayonis dalam pembuatannya. Resepi saya ambil dari dapur Yatie US. Terima kasih banyak Yatie. Sebenarnya resepi ini telah lama berada dalam simpanan saya dan ini merupakan kali ke dua saya mencubanya.

Bahan-bahannya:

11/2 cawan tepung naik sendiri *
1 sudu teh baking powder * - diayak bersama
3 sudu besar gula castor
secubit garam
60 gram butter cair - saya guna minyak jagung
1 cawan susu segar
2 biji telur
2 sudu besar mayonis

Cara-caranya:

1. Pukul telur, gula dan garam hingga sebati.
2. Tambahkan mayonis dan kacau lagi hingga sebati.
3. Masukkan susu segar berselang seli dengan tepung dan gaullah hingga adunan menjadi tidak bergentel-gentel.
4. Panaskan kuali non stik dan masukkan 1/3 cawan adunan pankek. Biarkan hingga timbul lubang-lubang kecil udara di atasnya dan terbalikkan. Buat hingga habis.
5. Sedap dihidangkan bersama madu dan mentega atau mengikut cita rasa masing-masing.


ROTI JALA DAN KARI DAGING BERKENTANG


Assalamualaikum dan selamat tengahari semua. Jumaat dan Sabtu saya ke dapur hanya untuk masak nasi dan menyediakan minuman untuk berbuka. Hujung minggu ini jadual agak padat sebab sibuk membeli persiapan hari raya untuk anak-anak jadi saya tidak sempat memasak. Di mana-mana pasaraya dan jalan-jalan raya di Kota Bharu sesak dengan orang dan kereta. Gambaran biasa sewaktu Ramadhan hampir ke penghujungnya. Hendak atau tidak semuanya sudah menjadi hukum adat. Yang amat menyedihkan hati saya ini adalah Ramadhan yang terakhir saya dan keluarga di bumi Kota Bharu ini sebab suami akan bertukar kerja ke tempat lain selepas Syawal...

Roti jala dan kari daging ini merupakan hidangan berbuka kami minggu lepas. Biasalah kesibukkan membuat saya tidak berkesempatan membuat entri baru. Jom kita kongsi resepi roti jala...

Bahan-bahannya:

2 cawan tepung
11/2 - 2 cawan air
1 cawan santan pekat
secubit garam
1 biji telur
beberapa titik pewarna kuning

Cara-caranya:

1. Masukkan semua bahan dalam mangkuk dan gaul sebati.
2. Masukkan ke dalam pengisar dan kisar hingga halus.
3. Panaskan kuali non stik dan gunakan acuan roti jala untuk mengirai adunan tadi. Buat hingga habis.



Kari daging berkentang ini saya buat lagi tanpa santan. Bahan-bahan dan cara-caranya saya buat sepertimana resepi kari daging kambing tanpa kentang. Sesiapa yang sudi dan berhajat mencuba resepi ini bolehlah merujuk entri saya yang terdahulu di bawah label lauk pauk.

Thursday, August 26, 2010

ASAM PEDAS LAGI...


Assalamualaikum dan selamat tengahari semua. Saya tidak berkesempatan hendak membuat entri tentang asam pedas ini semalam. Semalam dan hari ini tekak sudah mula rasa perit dan bersin-bersin. Telefon ke kampung menurut bapak, beliau bersama adik dan makcik pun baru sembuh dari demam dan selsema. Begitu juga dengan adik perempuan saya di Nitar 2, khabarnya anak beranak kena virus yang sama. Kelmarin kakak sulung telefon pun selsema, demam dan batuk satu keluarga. Harap-harap sakit saya cepat sembuh dan anak-anak terus sihat. Ameen.



Ikan tongkol@aya ini pada mulanya hendak saya masak singgang sahaja. Namun bila dibelek-belek ikan tongkol ini isinya lembut seperti tenggiri jadi saya masakkan asam pedas kesukaan suami. Suami pula lebih suka ikan tongkol yang isinya keras berbanding yang lembut. Saya pula tidak kisah pasal makanan, apa yang ada saya makan sahaja janji halal. Hehe... Sesiapa yang berminat dan sudi mencuba masakan asam pedas ikan tongkol saya, bolehlah rujuk entri terdahulu saya tentang asam pedas di bawah label lauk pauk.

Tuesday, August 24, 2010

ROTI GORENG


Assalamualaikum dan selamat petang semua. Semalam saya buat roti goreng ala-ala cakui ini. Tepung roti banyak lagi dan kalau disimpan lama-lama takut keluar ulat tepung pula. Resepi campak-campak saja. Buat pun di akhir-akhir hendak masuk waktu berbuka. Anak-anak makan dengan madu dan kalau suka bolehlah ditabur gula icing di atasnya.



Bahan-bahannya:

21/2 cawan tepung roti
1 sudu besar yis kering
1 sudu besar susu tepung
secubit garam
2 sudu besar gula
1/2 sudu kecil soda bicarbonat
1/2 sudu kecil bread improver
2 sudu besar minyak jagung
air suam secukupnya untuk menguli

Cara-caranya:
1. Masukkan bahan-bahan di dalam mangkuk besar kecuali air. Gaul rata hingga berderai.
2. Masukkan air sedikit demi sedikit dan uli tepung hingga menjadi doh yang licin.
3. Rehatkan sebentar lebih kurang 30 minit. Canai doh tadi dan potong memanjang. Hiris atas permukanan roti tadi tapi jangan putus.
4. Panaskan minyak dan goreng garimg dengan api sederhana.

Monday, August 23, 2010

MEE GORENG GARING DAN CUCUR DURIAN


Assalamualaikum dan selamat petang semua. Semalam saya goreng mee sebagai hidangan sampingan untuk anak-anak dan suami berbuka. Saya ikut style goreng char kuetiaw. Hehe... Jom kita kongsi resepi lagi...

Bahan-bahannya:

500 gram mee kuning - cuci dan toskan
250 gram udang
1 cawan hirisan daging ayam
1 mangkuk kecil hirisan bebola ikan
5 tangkai cili kering kisar
5 biji bawang kecil kisar
1 biji bawang putih kisar
4 sudu besar kicap char kuetiaw - buat sendiri
1 ikat sawi dipotong ikut suka
secubit garam
2 biji telur

Cara-cara:

1. Tumiskan bahan-bahan kisar hingga naik bau. Masukkan kicap char kuetiaw dan kacau sebati.
2. Tambahkan secubit garam dan kacau lagi. Masukkan daging ayam dan udang. Kacau lagi.
3. Bila udang dan ayam hampir masak masukkan bebola ikan pula. Kacau lagi dan tambahkan dengan mee. Gaul sebati dan masukkan potongan sawi.
4. Tambahkan sedikit air, ketepikan mee dan masukkan telur. Gaul telur dan mee tadi secara merata. Biarkan garing sambil dikacau rata. Tutup api dan bolehlah dihidangkan.



Cucur durian ini pula bila saya makan macam rasa lempuk pun ada. Anak-anak tidak berapa suka tetapi suami gemar pula mengunyahnya. Durian dari Melur ini diberi oleh seorang rakan kepada suami. Hari Sabtu lepas kami ke Melur. Sepatutnya kami diajak berbuka nasi kerabu tetapi kami terpaksa menolak sebab Adham tidak betah di rumah orang, malu pun ada.
Seronoknya kampung ini sekeliling rumah ditanam pokok buah-buahan. Ada durian, manggis, rambutan dan dukong. Ada reban ayam, angsa, burung puyuh dan ayam belanda. Rajin betul mertua rakan suami ini. Sewaktu kami datang angsa berbunyi riuh rendah sebab tidak kenal akan kami. Hehe...
Jomlah kita kongsi resepi cucur durian ini...

Bahan-bahannya:

12 ulas isi durian dihancurkan
1-2 cawan tepung
11/2 sudu teh baking powder
secubit garam
( isi durian ini sudah cukup manis jadi saya tidak masukkan gula dalam adunannya )

Cara-caranya:

1. Gaul bahan-bahan di atas hingga sebati.
2. Panaskan minyak dan goreng aduan sesudu demi sesudu hingga habis. Kadar kegaringan ikut suka. Gunakan sudu kecil supaya cucur terbentuk comel-comel.

Sunday, August 22, 2010

SOTONG MASAK HITAM


Assalamualaikum dan selamat petang semua. Sudah masuk 11 hari kita berpuasa, sedih juga rasanya. Cepat betul masa berlalu. Sayang rasanya bulan Ramadhan ini. Subhanallah... Sebenarnya menu ulang tayang ini tetapi tidak mengapalah sekadar menceriakan dapur kecil saya. Masakan yang ringkas dan cepat disediakan, sesuai untuk perempuan yang punya anak kecil dan berkerja.



Ada bermacam-macam versi orang menyediakan masakan sotong masak hitam ini dan saya menggunakan versi yang paling ringkas tetapi insyaAllah dapat membuka selera sesiapa yang memakannya. Hehe... Jom kita kongsi resepi lagi...

Bahan-bahannya:

500 gram sotong saiz kecil
5 biji bawang merah kisar
2 biji bawang putih kisar
sedikit halia kisar
sedikit kunyit hidup kisar
air asam secukupnya - untuk mengisar
11 biji cili api
1 biji bawang besar dihiris bulat
garam, gula dan perasa secukupnya

Cara-caranya:

1. Sotong dicuci tanpa dibuang pundi hitamnya dan ditoskan airnya.
2. Masukkan sotong dalam mangkuk dan masukkan bahan-bahan kisar bersama garam, gula dan perasa secukupnya. Gaul sebati dan perap seketika.
3. Panaskan minyak dan masukkan sotong bersama bahan-bahan kisar tadi. Kacau sebati. Tutup kuali.
4. Bila air sotong hampir kering,masukkan bawang besar hiris dan cili api tadi. Kacau sebati. Biarkan seketika di atas api sambil dikacau sekejap-sekejap dan bolehlah dihidangkan.

Friday, August 20, 2010

SAMBAL GORENG JAWA YANG SEMPOI


Assalamualaikum dan selamat petang semua. Saya curi-curi masa untuk buat entri baru ini. Hehe... Sambal goreng jawa saya ini cuma ada bahan-bahan asas saja. Udang, tempe dan kentang. Lebih sedap jika ada perut lembu, pelempong dan tetel. Saya masak apa yang ada dalam peti sejuk sahaja. Bagi saya, suami dan anak-anak, alhamdulillah ini pun sudah mencukupi tetapi kalau hendak dibuat hidangan hari raya lebih elok sekiranya bahan-bahan basah yang lain ada sebab rasanya lebih meriah.



Dalam entri-entri terdahulu telah saya sisipkan resepi ini bersama tetapi tidak mengapalah sekiranya ada sesiapa yang sudi hendak mencuba resepi ini saya dengan senang hati menitipkan kembali di sini.

Bahan-bahannya:

500 gram udang
1 keping tempe - dipotong dan digoreng
2 biji kentang - dipotong dan digoreng
5 biji bawang merah kisar
1 biji bawang putih kisar
2 batang serai kisar
sedikit lengkuas kisar
air asam untuk mengisar
2 batang cili hijau hiris
3 batang cili merah hiris
5 biji bawang merah dimayang
kicap masin dan gula secukup rasa

Cara-caranya:

1. Panaskan minyak dan tumiskan lada serta bawang yang dimayang hingga layu dan keperangan.
2. Masukkan bahan-bahan kisar, kacau sebati dan biar hingga naik bau.
3. Tambahkan dengan gula dan kicap masin secukup rasa. Kacau lagi.
4. Masukkan udang, kacau. Bila udang menjadi kemerahan, masukkan pula tempe dan kentang yang digoreng lembap tadi.
5. Kacau sebati dan biarkan kesemua bahan-bahan tadi mesra, bolehlah dihidangkan.

Wednesday, August 18, 2010

PANCAKE


Assalamualaikum dan selamat tengahari. Semalam saya buatkan pankek untuk anak-anak sebagai hidangan sampingan untuk berbuka. Saya masih belum lulus buat pankek, kena ambil kursus dengan Yatie yang pankek dari hasil air tangannya cantik dilihat. Apa pun selepas anak-anak berterawih dan baca yasin, pankek yang tinggi susunannya tinggal 4 keping berbaki. Alhamdulillah.



Anak-anak gemar makan pankek bersama madu asli HPA. Suami memang tidak menyentuh langsung pankek ini sebab beliau memang tidak gemar makanan-makanan 'mat saleh' ini, seleranya lebih kepada kuih-kuih melayu lama.



Jom kita panjang-panjangkan resepi pankek yang sudah ada lama dalam simpanan saya. Sumber tentulah dari Yatie, terima kasih banyak ya Yatie. Izinkan kakak salin semula di sini.

Bahan-bahannya:

11/2 cawan tepung gandum *
1 sudu teh baking powder *
1 sudu teh soda bicarbonat * - bahan-bahan ini diayak
1 biji telur gred A
1/2 cawan gula
1/2 cawan minyak - saya guna minyak jagung
1 cawan susu segar

Cara-caranya:

1. Pukul telur dan gula hingga sebati. Masukkan minyak masak. Pukul lagi hingga mesra.
2. Tambahkan adunan tadi dengan tepung yang diayak berselang seli dengan susu segar. Kacau rata dan buat hingga habis bahan-bahan tadi.
3. Rehatkan selama 20 minit.
4. Panaskan kuali non stik dan masukkan sesenduk adunan pankek tadi. Bila timbul rongga-rongga udara di permukaan atas pankek tadi barulah diterbalikkan.
5. Buat langkah 4 hingga habis. Bolehlah dihidangkan pankek ini bersama mentega dan madu.

Tuesday, August 17, 2010

PUDING COKLAT LAGI...


Assalamualaikum dan selamat petang. Puding coklat sebagai pencuci mulut untuk suami dan anak-anak berbuka. Mula-mula berniat hendak buat puding laici atau puding buah-buahan koktail tetapi awal-awal Hamimah menolaknya.



Mula-mula masukkan cairan puding ke dalam acuan ini tetapi bakinya masih ada jadi saya masukkan pula ke dalam acuan kecil-kecil yang biasanya saya gunakan untuk mengukus apam. Kemudian masukkan pula dalam peti sejuk. Bila sudah beku dan sejuk memang sedap dimakan. Teksturnya sangat lembut menurut saya la. Hehe... Kita kongsi pula resepi mudahnya...



Bahan-bahannya:

30 gram agar-agar tali - saya lebih mesra menggunakannya
3 senduk gula pasir
1 tin susu cair
11/2 kole air
1 cawan koko - 1/4 daripadanya milo, dibancuh dengan sedikit air panas

Cara-caranya:

1. Cuci agar-agar dan toskan airnya. Masak agar-agar dengan air hingga larut.
2. Tambahkan gula dan kacau hingga larut. Tambahkan dengan susu cair dan larutan kokomilo tadi. Kacau sebati.
3. Masak hingga adunan agar-agar mendidih dan kelihatan berkilat.
4. Masukkan dalam acuan dan bekukan.

Monday, August 16, 2010

SUP AYAM ORGANIK BEREMPAH


Assalamualaikum dan selamat petang semua. Surirumah seperti saya tentu ada yang sedang pening kepala memikirkan apakah juadah yang hendak dihidang kepada suami dan anak-anak untuk berbuka puasa nanti. Hehe... Juadah berbuka semalam sup ayam organik berempah , sambal kicap limau kasturi dan ayam goreng perap. Pemanis mulutnya saya buat puding coklat@koko lagi.



Jom kita kongsi resepi sup ayam organik berempah yang sempoi ini. Ayam organik ini saya beli di kedai HPA.

Bahan-bahannya:

1/2 ekor ayam organik bahagian dada - dipotong ikut suka
3 biji bawang besar kisar
1 inci halia kisar
1/2 inci lengkuas kisar - ikut suka
2 batang serai dititik - ikut suka
5 biji bawang merah dimayang halus
sedikit ketumbar *
sedikit jintan halus *
sedikit jintan kasar * - dibasuh, ditos, disangai dan dikisar
rempah tumis 4 sekawan
1 batang lobak merah dikerat-kerat
2 biji tomato dipotong 4
2 biji kentang dipotong 4
hirisan daun sup
sedikit bawang goreng

Cara-caranya:

1. Campurkan bahan-bahan kisar dengan ketumbar, jintan kasar dan jintan halus ketepikan.
2. Panaskan minyak dan tumiskan bawang merah dan rempah tumis hingga layu dan naik bau.
3. Masukkan campuran bahan-bahan kisar diikuti dengan serai dan kacau sebati.
4. Masukkan ayam bila bahan-bahan kisar tadi telah naik bau. Kacau dan tambahkan air.
5. Bila ayam empuk dan kuah mulai menggelegak masukkan pula kentang dan lobak merah.
6. Biar hingga kentang dan lobak merah empuk baru tambahkan garam dan perasa secukupnya.
7. Akhir sekali masukkan potongan tomato tadi. Tutup api dan hidangkan dengan bawang goreng dan daun sup.



Yang ini ayam goreng perap. Senang sahaja hendak menyediakannya cuma tumbukkan 3 biji bawang merah dan 5 biji bawang putih hingga lumat. Tambahkan dengan sos tiram dan kicap pekat secukupnya dan lumurkan pada ayam. Perap seberapa lama yang disukai dan goreng ikut suka. Kegemaran suami dan anak-anak ini. Hehe....

Sunday, August 15, 2010

KARI DAGING KAMBING BERKENTANG TANPA SANTAN


Assalamualaikum semua. Dua tiga hari ini saya agak sibuk hendak menjenguk blog, apatah lagi hendak mengupdatenya. Begitu juga hendak berziarah ke blog rakan-rakan. Masakan ini saya masak Jumaat lepas untuk berbuka. Sejak akhir-akhir ini entah kenapa suami lebih gemar saya masak daging kambing berbanding daging lembu seperti biasa. Sebagai isteri saya mengikut sahajalah, anak-anak pun suka. Selain makan nasi berlaukkan kari daging kambing ini, dua beradik ini juga turut mencicahnya dengan roti canai. Sedap kata mereka, alhamdulillah. Saya yang masak ini pula terasa loya apabila memakannya. Hehe...



Kentang ini saya dan suami saja yang suka memakannya. Daging kambing ini cepat empuk dimasak dan lembut teksturnya. Kalau di Pasar Berek 12, sekilogram harganya RM23.00 dan kalau di Pasaraya Mydin tidak silap saya RM24/25.50 sekilogram. Biasanya saya beli setengah kilogram saja, itu pun banyak kali dihidang baru habis. Hehe...



Bahan-bahannya:

1/2 kilogram daging kambing
7 tangkai cili kering dikisar
3 biji bawang besar dikisar
1 biji bawang putih dikisar
1 inci halia dikisar
sedikit air asam jawa untuk mengisar
1 paket rempah kari daging }
1-2 sudu besar rempah kari ikan } dicampur dengan bahan kisar untuk dijadikan pes
7 biji bawang kecil dimayang
3 biji kentang dipotong 4
2 batang kayu manis
3 kuntum bunga lawang
5 biji buah pelaga
5 kuntum bunga cengkih
garam, gula dan perasa secukupnya

Cara-caranya:

1. Panaskan minyak dan tumiskan bawang kecil yang dimayang hingga layu dan keperangan. Masukkan kulit kayu manis, bunga lawang, buah pelaga dan bunga cengkih. Kacau sebati.
2. Tambahkan pes kari tadi dan kacau lagi. Masak hingga bahan-bahan naik bau dan pecah minyak. Tambahkan dengan gula dan perasa secukupnya. Kacau lagi.
3. Masukkan potongan daging kambing dan gaul sebati dengan rempah yang ditumis tadi. Tambahkan air secukupnya, banyak ikut citarasa kuah masing-masing. Tutup periuk. Renehkan dengan api kecil sehingga daging empuk.
4. Masukkan potongan kentang dan bila kentang hampir empuk barulah tambahkan garam secukup rasa. Kacau lagi. Sekiranya kuah pekat bolehlah tambah sedikit air lagi.
5. Tutup api bila daging kambing dan kentang benar-benar empuk.

Thursday, August 12, 2010

SAMBAL NENAS IKAN TONGKOL


Assalamualaikum dan selamat malam semua. Sambal nenas ikan tongkol ini merupakan edisi tertunda ya. Malam tadi sudah diupload gambarnya tetapi saya tidak empat hendak kongsi cerita. Hehe... Sesekali makan sambal nenas ikan tongkol ini sedap juga. Ada rasa pedas, masam, masin dan manis. Teringat arwah emak ada memasaknya tetapi saya ingat-ingat lupa cara-cara memasaknya jadi saya bantai sajalah.



Bahan-bahannya:

5 batang cili merah *
9 batang cili api *
5 biji bawang kecil *
1 biji bawang putih *
sedikit belacan *
air asam jawa
1 mangkuk nenas - potong ikut suka
4 ketul ikan tongkol - digaram kunyit dan digoreng
garam, gula dan perasa secukupnya

Cara-caranya:

1. Kisarkan bahan-bahan bertanda * dengan air asam.
2. Panaskan minyak dan tumis bahan-bahan kisar hingga naik bau. Lagi lama lagi sedap.
3. Tambahkan perasa, garam dan gula secukupnya. Kacau sebati.
4. Masukkan ikan tongkol goreng dan nenas yang dipotong dan gaul sebati.
5. Biarkan seketika di atas api dan bolehlah dihidangkan.

TAUCHU IKAN


Assalamualaikum dan selamat malam semua. Lauk tauchu ikan ini saya masak hanya untuk suami sebab saya dan anak-anak memang tidak menyukainya. Menu yang mudah tetapi berjaya menambat selera suami, alhamdulillah.



Bahan-bahannya:

2 ekor ikan - digaram kunyit dan digoreng hampir masak
5 biji lada merah dihiris
1 biji bawang besar dihiris
1 biji bawang putih dihiris
2 sudu besar tauchu - dibilas dan ditoskan
air asam jawa
gula dan perasa secukupnya

Cara-caranya:

1. Panaskan minyak dan tumiskan bahan-bahan yang dihiris hingga hampir layu. Masukkan tauchu yang telah dibilas dan ditos tadi. Kacau sebati.
2. Masukkan gula dan perasa. Kacau lagi.
3. Masukkan air asam jawa dan sedikit air biasa.
4. Bila kuah sudah menggelegak, masukkan ikan yang digoreng tadi. balik-balikkan. Biarkan seketika di atas api dan bolehlah dihidangkan.

Tuesday, August 10, 2010

SALAM RAMADHAN, MAAF ZAHIR DAN BATIN


Assalamualaikum dan selamat malam semua. Di kesempatan ini saya mengambil kesempatan untuk mengucapkan selamat menyambut bulan Ramadhan, selamat mengerjakan solat tarawih dan selamat berpuasa. Mudah-mudahan kita akan terus beristiqamah melakukan ibadah dan amalan-amalan yang lain. Moga Allah permudahkan urusan kita dan menerima amal ibadah kita sepanjang bulan yang berkat ini. AMIN...

Monday, August 9, 2010

BIHUN GORENG PUTIH


Assalamualaikum dan selamat malam semua. Kita sambung lagi bercerita tentang menu edisi tertunda yang baru sempat malam ini saya kongsikan. Bihun goreng putih ini suami saya yang berikan namanya. Saya hidangkan untuk tetamu suami yang kurang pemakan orangnya dan hanya makan nasi sehari sekali dan itu pun dalam kuantiti yang suku dari suami.



Cuma tumiskan beberapa bawang putih yang dititik. Tambahkan daging ayam, udang, dan sotong. Gaul sebati, diikuti garam dan perasa secukupnya. Masukkan bihun dan kacau rata, diikuti hirisan kobis, lobak merah dan sawi. Akhir sekali tambahkan sayur beku iaitu biji jagung, kacang pis dan lobak merah.



Karipap initi sardin ini pula saya hidangkan untuk minum petang. Saya buat dalam kuantiti 2 cawan tepung dan dapat lebih kurang 20 biji karipap. Memang licin sebab di samping tetamu yang makan, anak-anak dan suami pun amat menggemarinya.

NASI LEMAK SEMPOI


Assalamualaikum dan selamat malam semua. Jumaat dan Sabtu lepas ada tetamu suami datang dari Johor. Saya pula tidak sempat ke pasar jadi untuk pagi Sabtu hari itu saya hanya masakkan nasi lemak yang amat sempoi sekali. Cukuplah sekadar mengalas perut, yang penting sedap dan kenyang.

nasi lemak, telur rebus, sambal sotong dan hirisan timun

GULAI UDANG DENGAN NENAS


Assalamualaikum dan selamat malam. Sudah agak lama rasanya saya tidak menjenguk dan mengupdate blog. Hari ini saya dapat buat entri baru dengan serba ringkas. Mari kita kongsikan resepi gulai udang dengan nenas ini. Selamat mencuba pada yang sudi...



Bahan-bahannya:

500 gram udang sederhana besar - bersih dan rapikan rupanya. Hehe...
1 mangkuk kecil nenas dipotong
13 biji cili padi dikisar
5 biji bawang merah dikisar
1 ulas bawang putih dikisar
sedikit halia dikisar
sedikit kunyit hidup dikisar
sedikit belacan dikisar
air asam jawa (digunakan untuk mengisar) - boleh guna asam keping
5 batang serai dititik
1/2 cawan pati santan
air secukupnya
garam, gula

Cara-caranya:

1. Panaskan sedikit minyak dan tumis bahan-bahan kisar yang telah dikisar bersama air asam jawa tadi bersama serai yang dititik hingga naik bau.
2. Tambahkan dengan air (ikut suka bergantung pada banyak kuah yang diingini) diikuti dengan pati santan tadi. Kacau selalu agar santan tidak bergentel.
3. Apabila kuah telah menggelegak, masukkan potongan nenas dan udang. Kacau sebati.
4. Rasakan masin dan manisnya. Biarkan di atas api seketika dan bolehlah dihidangkan.

Friday, August 6, 2010

MENU SEMALAM

cencaru goreng bersambal


Assalamualaikum dan selamat pagi semua. Hari ini tengok gambar sahajalah ya. Semua ini menu saya semalam. Alhamdulillah sedap dan menyelerakan. Jom jamu mata...


sayur campur masak lemak, macam-macam ada...


hati lembu goreng kunyit

Thursday, August 5, 2010

BUAH KEMBANG SEMANGKUK


Assalamualaikum dan selamat pagi semua. Entri kali ini bukan tentang masak-masak dan keluarga dan kehidupan tetapi entri khas untuk blogger Dedaun Alam, En Daun. Inilah rupa buah kembang semangkuk yang belum direndam dan kembang. Biasanya kita jumpa buah yang sudah kembang ini di dalam minuman lai chi kang. Di antara khasiatnya boleh meredakan panas badan dan batuk-batuk yang tidak mahu sembuh walaupun sudah menelan berbotol-botol ubat. Hehe... Kalau hati panas pula kenalah berwudhuk untuk menyejukkannya.
Buah kembang semangkuk ini kecil sahaja saiznya, lebih kurang saiz syiling 5 sen. Biasanya kalau di Johor banyak di jual di kedai-kedai sinseh atau kedai ubat cina. Biasanya buah-buah ini akan dicuci bersih, ditoskan dan direndam semalaman dengan air panas mendidih. Untuk lebih menyedapkan lagi rasanya sesetengah orang akan mencampurkan air rendaman bersama buah kembang semangkuk ini dengan sedikit gula atau gula batu.

Tuesday, August 3, 2010

ROTI BENGGALI @ BAI VERSI BUN


Assalamualaikum dan selamat petang semua. Semalam saya menguli tepung lagi untuk membuat roti. Maklumlah masa buat minggu lepas Syuhadah tidak merasa kerana berada di Langkawi. Kali ini saya ubah sedikit resepi yang lalu dan jadikan bun pula.



Lihatlah hasilnya, alhamdulillah memang seronok saya tengok. Gebu dan putih. Hamimah sahaja yang mengeluh sebab saya taburkan dengan bijan di atas bunnya. Suami saya yang tidak rajin merasa roti buatan saya pun teruja mencicah bun ini dengan air kopi o panas. Sedap pujinya dan boleh dijual. Jangan lupa resepi yang awak gunakan, pesannya lagi. Bukan senang En Hairul kita hendak memuji, biasanya kutuk yang lebih. Hehe...



Syuhadah kata besar dan bulatnya roti emak buat kali ini. Hehe... Hilang rindu dengan Syuhadah. Hari itu sewaktu menjemput dia pulang dari rombongan di sekolah, saya cium pipinya yang berisi itu, hehe... Rindu sungguh. Jom kita kongsi resepi lagi...

Bahan-bahannya:

400 gram tepung roti
1 biji kuning telur - gred A
13/4 sudu besar minyak jagung
2 sudu besar gula
2 sudu besar susu tepung
secubit garam
1/2 sudu kecil bread improver
1 sudu besar gula *
1 sudu besar yis kering *
1/2 cawan air suam*
air suam secukupnya untuk menguli
1 biji putih telur + sedikit air - untuk glaze
sedikit bijan
sedikit margerin

Cara-caranya:

1. Larutkan bahan-bahan bertanda * dan rehatkan sehingga yis kembang.
2. Sementara itu dalam mangkuk besar masukkan gula, susu tepung, minyak jagung, kuning telur, tepung roti , bread improver dan secubit garam halus. Gaul sebati.
3. Bila yis telah kembang, masukkan ke dalam campuran tepung tadi dan gaul sebati.
4. Masukkan air suam sedikit demi sedikit dan mulalah menguli tepung hingga menjadi doh yang licin.
5. Rehatkan doh ini hingga naik sekali ganda dan tumbuk-tumbuk doh tersebut. Uli dengan lembut sekali lagi dan bahagikan kepada 8 bahagian.
6. Bulat-bulatkan setiap bahagian dan susun di dalam loyang yang telah digriskan dengan margerin terlebih dahulu.
7. Rehatkan sebentar biar doh tadi naik 3/4 loyang. Sapu putih telur secara merata dan tabur bijan di atasnya.
8. Bakar dengan suhu 190C selama lebih kurang 30 minit atau sehingga masak.
10. Setelah masak sapukan sedikit margerin di atas bun tersebut.

Monday, August 2, 2010

AYAM MASAK KICAP BERSERAI DENGAN KENTANG


Assalamualaikum dan selamat petang rakan masak-masak semua. Lauk untuk makan tengahari tadi. Serai banyak sangat dalam stok jadi tambah-tambahkan dalam lauk kicap ayam ini. Hehe... Rasanya alhamdulillah, sedap juga. Macam rasa lauk kicap ayam biasa cuma ada bau aroma serai sahaja penambah selera.



Jom kita kongsikan resepi ayam masak kicap berserai dengan kentang yang serba ringkas ini. Kalau hendakkan kelainan boleh juga ditambah sedikit santan dan kerisik. Tambahkan juga ketumbar, jintan kasar dan jintan halus yang digoreng tanpa minyak dan dikisar. Bertambah sedaplah rasa ayam masak kicap ini...

Bahan-bahannya:

1 ekor ayam - saya potong 12 bahagian digaul dengan garam kunyit dan digoreng lembab
7 tangkai cili kering dikisar
3 biji bawang sederhana besar dikisar
sedikit halia dikisar
1 biji bawang putih dikisar
3 batang serai dititik
5 kuntum bunga cengkih
3 biji buah pelaga
3 kuntum bunga lawang
2 batang kayu manis - sepanjang 1/2 inci tiap 1
sedikit air asam jawa
kicap pekat secukupnya
kicap masin secukupnya
gula secukupnya
3 biji kentang - dipotong 4 dan direbus sederhana empuk
1 biji bawang besar - dipotong bulat
5 batang lada merah - dibelah 2

Cara-caranya:

1. Panaskan minyak dan tumis kulit kayu manis, bunga cengkih, bunga lawang dan buah pelaga hingga naik bau. Tambahkan bahan-bahan yang dikisar bersama serai yang dititik. Kacau sebati. Biar hingga pecah minyak.
2. Masukkan kicap pekat dan kicap masin secukupnya. Tambahkan dengan sedikit gula dan air asam jawa. Biar ada rasa masam, manis dan masin ikut selera masing-masing.
3. Masukkan sedikit air, biar mendidih sekejap dan masukkan ayam. Gaul sebati.
4. Tambahkan dengan kentang, kacau lagi.
5. Apabila ayam dan kentang telah mula sebati dengan kuah kicap tadi masukkan pula hirisan bawang besar dan lada merah. Kacau sebati.
6. Tutup kuali seketika, kacau lagi, matikan api dan bolehlah dihidangkan.