Friday, February 25, 2011

SAMBAL GORENG MAK MERTUA



Assalamualaikum dan selamat petang semua. Semalam saya hendak membuat entri tentang sambal goreng ini tetapi badan kurang sihat. Hidung asyik berair dan kadang-kadang berdarah di samping rasa panas dalam badan. Bibir dan mulut pun rasa kering semacam. Hari ini alhamdulillah, sudah berasa ringan sedikit sakitnya.
Sambal goreng saya ini bahan-bahan mentahnya terhad. Saya masak apa yang ada dalam peti sejuk saja asalkan jadi. Yang penting tempe mesti ada. Tempe yang dibuat oleh komuniti jawa dan dijual di Pasar Satok memang sedap rasanya walaupun hanya dibungkus dengan plastik. Yang dibungkus dengan daun pisang pun ada. Sambal goreng versi kicap ini warisan dari emak mertua. Hidangan wajib tiap kali hari raya tetapi bukanlah terhad begini isinya. Biasanya dicampur dengan hirisan paru, daging dan babat.
Resepi berkenaan sambal goreng ini ada saya titipkan di entri saya yang terdahulu. Sesiapa yang ingin mencuba bolehlah mencari entri mengenainya pada label lauk pauk. Jom jamu mata....

Wednesday, February 23, 2011

MUFFIN LABU



Assalamualaikum dan selamat pagi semua. Menu dari labu lagi. Stok labu kuning terlebih sudah. Hehehe... Ada yang diberi jiran sebelah, ada yang dibeli saya sendiri. Agaknya memang musim labu kuning sebab rata-rata peniaga di Pasar Satok menjual labu kuning yang amat menggiurkan kesegarannya.
Kali ini saya menggunakan resepi Yani dari MyR. Saya terpaksa ubah sedikit resepi yang ada mengikut stok bahan mentah yang saya ada. Ramai rakan blogger yang membuat muffin labu ini dalam versi kukus, tetapi yang saya buat versi bakar. Kurang cantik sedikit sebab muffin ini naiknya merata sahaja. Apapun rasanya tetap sedap, apatah lagi jika dimakan panas-panas. Jika tidak suka manis bolehlah dikurangkan sukatan gulanya.

Bahan-bahannya:

150 gm mentega
150 gm gula halus
200 gm tepung gandum#
2 sudu kecil serbuk penaik#
130 ml susu cair
200 gram labu*
15 gram mentega*
20 gram mentega*
2 biji telur gred A

Cara-caranya:

1. Ayak bahan-bahan bertanda # 2 kali dan ketepikan.
2. Rebus labu hingga empuk dan toskan. Lenyekkan labu bersama bahan-bahan bertanda * hingga hancur dan sebati.
3. Pukul mentega dan gula halus hingga agak kembang. Masukkan telur sebiji demi sebiji dan kacau sebati.
4. Masukkan sebatian labu yang dilenyek tadi dan kacau sebati.
5. Masukkan tepung dengan susu cair secara berselang-seli dan gaul adunan tadi hingga sebati.
6. Masukkan adunan muffin tadi ke dalam cawan kertas dan bakar selama 30 - 40 minit dengan kepanasan 190C mengikut jenis ketuhar masing-masing.


Tuesday, February 22, 2011

BINGKA LABU MaDiHaA




Assalamualaikum dan selamat petang semua. Hari ini kita berkongsi pula resepi bingka labu dari MaDiHaA. Hasilnya bukan sahaja sedap mata memandang tetapi sedap juga lidah merasa. Teksturnya yang lembut dan gebu masih terasa hingga keesokkan harinya. Buat MaDiHaA yang memang rajin dan pakar memasak, kakak ucapkan ribuan terima kasih kerana bermurah hati berkongsi resepi yang enak ini. Izinkan kakak 'copy dan paste' di dapur kecil kakak pula ya.


Bahan2
1 biji labu kuning saiz sederhana ~ kopek, dadu, rebus & tos
240 gm gula pasir
250 gm tepung gandum
3 biji telur (A)
1 cawan santan pekat
125 gm marjerin ~ cairkan

Cara Menyediakan
1. Blend labu rebus, gula, telur dan santan hingga halus.
2. Masukkan bahan blend ke dalam mangkuk besar.
3. Masukkan tepung sikit demi sedikit dan kacau rata.
4. Masukkan marjerin yang dicairkan dan kacau. Jika adunan berketul2.. boleh ditapis atau diblend sekali lagi.
5. Panaskan ketuhar 175C.
6. Lenserkan acuan dengan marjerin/butter.
7. Masukkan adunan ke dalam acuan dan bakar selama 40 minit atau hingga masak bergantung saiz loyang & saiz oven anda.

Nota: Cara menguji kuih.. cucuk kuih dengan lidi penguji jika lidi keluar bersih.. bermakna kuih sudah masak.. jika lidi penguji masih bersalut dengan kuih teruskan membakar dengan menurunkan suhu ke 160C utk mengelakkan kuih dari hangus.

DAGING GORENG SIMPLE


Assalamualaikum dan selamat petang semua. Menu saya semalam sangat mudah menyediakannya. Pakai campak-campak saja. Alhamdulillah licin, kalau dimasak rendang atau masakan yang bersantan yang lain alamatnya memang terbuanglah. Kalau suka boleh juga dimasukkan potongan kentang berbaji yang digoreng empuk terlebih dahulu ke dalam masakan ini. Harga daging di Pasar Satok mahal sungguh, untuk daging batang pinang harganya mencecah RM50. Jadi saya beli setengah kilo sahaja. Hehe... Jom kita tengok resepi campak-campak saya ini....



Bahan-bahannya:

500 gm daging batang pinang
1 biji bawang besar - hiris bulat
1 biji lada hijau - hiris
2 biji lada merah - hiris
1/2 sudu kecil serbuk kunyit
sedikit garam
sedikit air asam jawa
secubit gula dan serbuk perasa
air

Cara-caranya:

1. Gaulkan daging yang dihiris dengan serbuk kunyit dan garam secara merata.
2. Panaskan minyak dan tumis daging tadi hingga airnya kering. Tambahkan sedikit air lagi dan biar empuk.
3. Apabila kuah mula pekat tambahkan air asam jawa dan gaul sebati. Diikuti gula dan serbuk perasa. Kacau lagi.
4. Masukkan hirisan lada hijau, lada merah dan bawang besar. Kacau dan biarkan seketika di atas api hingga bahan-bahan hiris tadi agak layu.
5. Sedia dihidangkan bersama nasi panas.

Monday, February 21, 2011

LEMAK PUTIH LABU DENGAN UDANG


Assalamualaikum semua. Dari sehari ke sehari saya hendak membuat entri tentang menu ringkas ini tetapi kerap kali juga tertunda. Gambar sudah lama tersimpan di dalam kamera. Hari ini saya curi-curi masa mengadap pc. Awalnya tadi saya leka melayan drama korea. Sampai basah mata dibuatnya. Huhu... Jom kita kongsi resepi mudah ini dan rasanya masak lemak apa pun kacang sahaja untuk menyediakannya...



Bahan-bahannya:

1/4 biji labu manis - dikupas kulit, dibuang biji dan dipotong ikut suka
350 gm udang saiz sederhana - dikupas kulit dan tinggalkan ekor sahaja
3-5 biji bawang merah
1 biji bawang putih
udang kering - banyak ikut suka
1 cawan santan
air
garam

Cara-caranya:

1. Tumbuk bawang merah, bawang putih dan udang kering hingga agak lumat.
2. Masukkan bahan-bahan tadi ke dalam periuk bersama labu manis dan air paras-paras labu tadi. Rebus hingga labu agak empuk.
3. Tambahkan santan dan kacau sebati.
4. Apabila kuah sudah mendidih masukkan udang dan rasakan dengan garam. Kacau lagi.
5. Biarkan seketika di atas api dan sedia untuk dihidangkan.

Saturday, February 12, 2011

DAGING MASAK MERAH


Assalamualaikum dan selamat petang semua. Resepi daging masak merah ini diajarkan secara lisan oleh staff suami iaitu Azizah Awang dari Kelantan. Saya biasa memanggil beliau dengan panggilan mesra Kak Zah. Orangnya cukup manis, keibuan dan pandai memasak. Suami paling suka masakan sambal tumis ikan bilis hasil air tangan beliau. Memang sedap pun. Hehe...



Bahan-bahannya:

500 gram daging - direbus bersama pewarna merah hingga empuk
beberapa titik pewarna merah
3 biji cili hijau - dihiris
2 biji cili merah- dihiris
1 biji bawang bombay - dihiris
3 biji bawang putih - dititik
sos tiram
sos tomato
secubit garam
2 biji tomato - dibelah 4

Cara-caranya:

1. Toskan daging yang telah direbus tadi dan potong nipis ikut suka.
2. Panaskan sedikit minyak dan tumiskan bahan-bahan hiris bersama bawang putih yang dititik. Kacau hingga agak layu.
3. Tambahkan sos tiram dan sos tomato. Tiada sukatan sebab saya pakai masuk saja. Kacau lagi.
4. Masukkan daging bersama tomato dan gaul sebati.
5. Biar seketika di atas api, bolehlah dihidangkan.

Thursday, February 10, 2011

AYAM SAMBAL ASAM - ZARINA IBRAHIM


Assalamualaikum dan selamat pagi semua. Para surirumah seperti saya tentunya sudah ke dapur dan berkira-kira hendak menyediakan juadah makan tengahari apa untuk keluarga tercinta. Saya pula curi-curi masa mengadap pc untuk berkongsi masakan ayam sambal asam ini. Menurut penyumbang resepi masakan ini berasal dari Indonesia. Jom kita kongsi resepi lagi...




Bahan-bahannya:

1.5 kg ayam - dibuang kulit dan dipotong
15 tangkai cili kering dikisar
1 biji bawang besar dikisar - saya guna bawang kecil dan bawang besar
1 batang serai dikisar - saya guna 3 batang
halia kisar
1 sudu kecil asam jawa diambil airnya} - saya lebihkan sukatan asamnya
1/4 cawan air}
1 sudu kecil gula
garam secukup rasa

Cara-caranya:

1. Panaskan minyak dan tumiskan bahan-bahan kisar hingga naik bau. Masukkan air asam, gula dan garam. Kacau sebati dan masak hingga kuah memekat.
2. Masukkan ayam dan gaul merata dengan bahan-bahan tumis tadi. Tutup periuk dan masak atas api sederhana hingga masak. Kacau sekali sekala supaya masakan tidak hangus.

* resepi yang ringkas dan sedap, saya dan anak-anak sukakannya. *

Wednesday, February 9, 2011

AYAM GORENG BEREMPAH - RAIDAH


Assalamualaikum semua dan apa khabar? Agak lama juga blog masakan sempoi saya ini tidak bernafas. Ya Allah, hati saya tidak digerakkan olehNya untuk terus bersiaran seperti dulu-dulu. Ada masa, ada ilham dariNya juga saya menulis untuk entri kali ini. Resepi saya ambil dari blog yang empunya Raidah jadi saya tulislah ayam goreng berempah Raidah semanisnya. Terima kasih Raidah dan izinkan saya panjang-panjangkan resepi yang hasilnya enak ini di sini pula.



Bahan-bahannya:

1 ekor ayam sederhana besar dipotong kecil
3 biji bawang merah
5 biji bawang putih
halia
1 sudu kecil serbuk kunyit
1 sudu besar ketumbar kisar
1 sudu kecil jintan halus kisar
1 sudu besar serbuk kari
1 biji telur
3 sudu besar tepung jagung
sedikit garam halus

Cara-caranya:

1. Tumbuk lumat bawang putih, bawang merah dan halia.
2. Campurkan bahan-bahan tumbuk tadi dengan serbuk kunyit, ketumbar kisar, jintan halus kisar, serbuk kari, telur, tepung jagung dan sedikit garam halus.
3. Lumurkan bahan-bahan tersebut secara merata pada ayam dan peraplah ayam tadi selama yang disukai.
4. Goreng ayam tadi dengan minyak panas secara terendam hingga garing mengikut citarasa masing-masing.

*sukatan yang saya gunakan adalah mengikut citarasa saya*