Sunday, January 31, 2010

IKAN CENCARU GORENG BERLADA



Assalamualaikum dan selamat malam semua. Semalam saya membeli 4 ekor ikan cencaru yang bersaiz sederhana. Ikan-ikan ini telah siap disiang dan dibelah belakang oleh kakak yang menjualnya. 2 ekor saya bakar dan 2 ekor lagi saya masak goreng berlada yang merupakan favourite anak yang ke 2. Kalau masak lauk ini banyaklah nasi yang dimakannya selain gemar meratah ikan tersebut. Syuhadah pula gemar ikan yang dibakar. Suami suka jika dimasak kerutup, saya tidak kisah masak apa-apa pun boleh, cuma kali ini teringin benar hendak membakarnya. Hehe... Mari kita lihat resepinya pula..

Bahan-bahannya:

2 ekor ikan cencaru saiz sederhana besar
1 senduk cili kering dikisar
3 biji cili merah saiz besar *
5 biji bawang merah *
1 biji bawang putih *
1/2 inci halia *
sedikit belacan *
air asam jawa secukupnya *
garam, perasa, dan gula secukupnya


Cara-caranya:
1. Ikan cencaru disiang, dibelah belakang dan dicuci bersih. Lumurkan dengan garam kunyit dan goreng garing.
2. Kisar bahan-bahan bertanda * dengan air asam jawa secukupnya.
3. Tumiskan cili kering kisar diikuti dengan bahan-bahan lain yang dikisar hingga masak dan terbit minyak.
4. Masukkan garam, gula dan sebuk perasa secukupnya.
5. Setelah sebati, gaulkan dengan ikan yang digoreng tadi dan biarkan seketika di atas api.

IKAN CENCARU BAKAR CICAH BUDU


Ikan bakar saya ini tidak secantik ikan bakar air tangan Mamahawa. Hehe...


Assalamualaikum dan selamat petang. Tempohari saya menziarahi blog Mamahawa dengan entri ikan cencaru bakar dan budu, punyalah kecur. Jadi hari ini dapatlah saya memenuhi selera hendak menikmati hidangan yang simple ini. Ikan cencaru ini saya lumurkan dengan asam jawa dan garam, kemudian saya bakar di atas kuali non-stik. Selalunya saya balut dengan aluminium foil tetapi kali ini rasa malas pula. Hehe... Budu cap Ketereh ( buah gajus ) saya potong-potongkan cili api dan perahkan jus limau sambal. Sedap sungguh, jom jamu mata...

UBI KAYU GORENG



Assalamualaikum dan selamat petang. Ubi kayu goreng ini saya sediakan untuk minum petang. Banyak jugalah yang saya goreng dan mendapat sambutan hangat dari suami dan anak-anak. Selepas menggoreng saya tinggalkan untuk menunaikan solat, selesai solat ubi goreng pun 'selesai' juga. Hehe... Ubi ini saya tumbukkan kunyit hidup, bawang putih dan sedikit garam. Kemudian saya gaulkan bahan-bahan tumbuk ini dengan ubi sehingga sebati dan goreng garing. Memang sedap dan lemak, rasanya seakan-akan kentang goreng pula.

Friday, January 29, 2010

KENTANG MASAK KICAP BERUDANG



Assalamualaikum dan selamat malam. Ini juga merupakan salah satu lauk yang amat simple yang saya masak ketika darurat. Esok rasanya baru dapat ke pasar. Sebelum berkahwin saya tidak pernah makan lauk kicap kentang dan rasa macam pelik sahaja. Namun bagi keluarga suami ini merupakan hidangan biasa dan saya pula meneruskan tradisi ini sebab suami pula suka memakannya. Selalunya emak mertua tumiskan bilis sahaja tetapi kali ini saya gantikan dengan udang pula. Resepinya sepertimana kita masak kicap biasa sahaja. Jom jamu mata...

MEE GORENG SEMPOI



Assalamualaikum dan selamat malam semua. Mee goreng ini merupakan hidangan untuk sarapan pagi tadi. Tidak banyak bahan-bahan tambahan di dalamnya sebab tidak sempat ke pasar. Jadi saya masak dan gunakan apa yang ada dalam stok sahaja iaitu hirisan daging ayam, udang dan kobis. Meenya pula suami beli dari HPA dalam bentuk kering dan perlu dicelur selama 3 minit sebelum memasaknya. Rasanya seakan-akan yee mee. Anak-anak kurang gemar pula. Saya lebih suka mee kuning jenama Ehsan yang diusahakan oleh Ustaz Abdullah dari Pondok Tal Tujuh. Ambil berkat dari orang-orang alim dan warak selain rasanya yang memang sedap.

Thursday, January 28, 2010

AYAM MASAK RENDANG SANTAN



Assalamualaikum dan selamat malam semua. Terima kasih kepada yang sudi singgah dan memanjangkan silaturrahim dengan saya. Kali ini saya buat entri tentang ayam masak rendang santan. Nampak pelikkan namanya. Saya dapat resepi ini dari internet dan dilebel 5 bintang, sumbernya dari majalah Perempuan edisi Jun 1994. Itu yang menjadikan saya teruja hendak membuatnya. Resepi ini saya ubah sikit-sikit mengikut kesesuaian selera saya dan keluarga. Hasilnya memang sedap, lebih-lebih lagi jika dilawankan dengan ketupat nasi, ketupat daun palas atau lemang. Saya makan dengan nasi sahaja. Di bawah ini saya letak resepi yang original, mana tahu ada rakan-rakan yang teringin hendak mencubanya.

Bahan-bahan yang diperlukan:
1 ekor ayam ( dikerat ikut suka )
50 biji cili kering *
1 inci kunyit hidup *
2 inci halia *
1/2 inci lengkuas *
8 ulas bawang merah *
8 ulas bawang putih sebesar telur ayam ( saya pun confuse )*
sedikit belacan *
3 batang serai *
1/2 sudu besar gula
1/2 cawan kopi minyak masak
1 sudu teh serbuk perasa
3 helai daun pandan
garam secukupnya

Cara-caranya:

1. Kisar lumat bahan-bahan bertanda *.
2. Panaskan minyak, masukkan daun pandan sampai hangus keluarkan.
3. Tumis bahan-bahan kisar dan ayam.
4. Masukkan santan ( tidak dinyatakan berapa banyak, saya letak 200 ml pati santan ), serai yang dititik dan 3 cawan air.
5. Didihkan dan masukkan garam, gula dan serbuk perasa secukupnya. ( saya renehkan dengan api perlahan hingga kuah pekat ).

Saya gantikan serbuk perasa dengan kiub ayam seketul, gula dengan manisan. Santan pula saya gunakan santan kotak ayam brands warna biru. Sementara daun pandan saya biarkan dimasak bersama bahan-bahan yang lain.

Wednesday, January 27, 2010

IKAN KEMBONG MASAK PERCIK



Assalamualaikum dan selamat malam. Ikan kembong masak percik ini merupakan hidangan untuk makan tengahari merangkap makan malam sekali. Masak 5 ekor ikan yang bersaiz sederhana ini pun masih ada berbaki. Ini merupakan kali ke 3 saya menyediakan masakan ini. Sebenarnya sewaktu hendak memasak tadi puas juga berfikir hendak masak apa, dan akhirnya inilah. Hehe...

Bahan-bahannya:

5 ekor ikan kembong saiz sederhana
7 biji bawang merah *
2 biji bawang putih *
15 bji cili kering *
3 batang serai *
1/2 inci halia *
1/2 inci kunyit hidup *
1/2 inci lengkuas *
200 ml pati santan
11/2 cawan air
1 kiub pati ikan bilis ( saya suka-suka letak)
1 sudu besar tepung beras ( dibancuh dengan air, untuk memekatkan kuah )
garam, asam keping dan manisan secukupnya.

Cara-caranya:

1. Kisar bahan-bahan bertanda *. Masukkan ke dalam periuk, diikuti dengan santan, air, garam, gula dan manisan.
2. Panaskan di atas periuk hingga mendidih dan sebati dengan api sederhana sambil dikacau sekejap-sekejap.
3. Ikan kembong dikelar dan dilumur dengan garam kunyit.
4. Panaskan pembakar. Lapik loyang dengan aluminium foil, susun ikan di atasnya dan bakar.
5. Sementara kuah yang mendidih tadi masukkan kiub ikan bilis dan bancuhan air tepung beras di atasnya. Kacau sebati.
6. Lumurkan kuah tadi di atas ikan yang dibakar dan balikkan ikan dan lumur lagi. Bakar hingga ikan masak dan kuah menyerap rasanya ke atas ikan.

APAM BERAS



Assalamualaikum dan selamat petang semua. Inilah apam beras atau apam salju hasil dari melayari blog am, florakitchen dan yatie, yatiememories. Sedap sungguh, anak-anak pun suka. Jika mahu mencuba resepi ini bolehlah jenguk-jenguk blog am dan yatie ya. Akak nak ucapkan berbanyak terima kasih kepada adik-adik berdua kerana telah memberi inspirasi untuk mencuba apam yang sedap ini. Bila diwarna-warnakan lagi cantik dan menyelerakan. Hamimah asyik senyum sahaja sambil mengunyah apam beras ini. Anak ke dua saya ini memang teramat gemar makan apam. Hehe... Sampai makan malam pun diabai sebab kekenyangan mengunyahnya. Tidak mengapalah sebab apam ini pun dari nasi juga. Jom jamu mata...

Atas permintaan kakzie songketenun dan mamahawa saya letakkan resepi apam beras@apam salju di sini.

Bahan-bahannya:

2 cawan nasi
21/2 cawan air
1 cawan gula perang
3/4 cawan gula pasir
2 cawan tepung gandum
2 cawan tepung beras
1 sudu teh yis kering

Cara-caranya:

1. Masukkan nasi, air, gula perang dan gula pasir dalam pengisar dan kisar hingga halus. Ketepikan.
2. Dalam mangkuk besar, campurkan tepung gandum, tepung beras dan yis kering. Gaul mesra.
3. Masukkan bahan-bahan yang dikisar ke dalam mangkuk berisi campuran tepung tadi dan kacau hingga sebati serta tidak bergentel.
4. Bahagikan kepada 4 bahagian dan warnakan setiap bahagian dengan pewarna merah, hijau, kuning dan original.
5. Rehatkan selama 3 jam. Sapu minyak masak pada acuan, tuang adunan dan kukus selama lebih kurang 15 minit di dalam kukusan yang telah siap dipanaskan.

RESEPI ASAM PEDAS DAGING

Assalamualaikum dan selamat petang semua. Buat pengetahuan semua yang tanya tentang resepi asam pedas daging, bahan-bahan yang saya gunakan sama macam saya masak asam pedas ikan dan ayam. Sesetengah orang menambah lada hitam, serai dan lengkuas tetapi saya tidak letak sebab takut hilang keaslian rasa asam pedas itu. Selalunya saya masak mengikut selera suami. Hehe... Malu juga bila ramai yang bertanya sebab saya bukan pandai sangat masak. Hehe...

Bahan-bahannya:

500 gram daging lembu ( selalunya saya beli daging khas untuk masak gulai )
3 senduk cili kering ( direbus, dicuci, ditos dan dikisar )
5 biji bawang merah sederhana besar *
2 biji bawang putih *
1 inci halia *
1 inci kunyit hidup *
sedikit belacan
air asam jawa secukupnya
3 keping asam keping
secekak daun kesum
gula dan garamsecukup rasa

Cara-caranya:

1. Daging dihiris sederhana nipis ketepikan.
2. Kisar bahan bertanda * hingga lumat.
3. Panaskan minyak, tumiskan cili kering kisar dan diikuti bahan-bahan yang lain hingga naik minyak.
4. Masukkan daging, gaul mesra. Perlahankan api dan tutup periuk. Biarkan air dari daging kering. Kacau sekejap-sekejap.
5. Bila air daging telah kering, masukkan air secukupnya dan biar mendidih.
6. Bila mendidih masukkan air asam jawa, kacau dan masak lagi.
7. Bila daging empuk, masukkan garam dan gula secukupnya. Akhir sekali masukkan daun kesum yang telah dilurut dari tangkai, direndam dan dicuci bersih.
8. Biarkan seketika atas api dan siap untuk dihidang.

Tuesday, January 26, 2010

DAGING MASAK ASAM PEDAS



Assalamualaikum dan selamat malam semua. Dari malam semalam bumi Kota Bharu dibasahi hujan. Syukur saya ucapkan sebab beberapa minggu ini cuaca terasa amat panas walaupun kadang-kala redup, bahang tetap terasa. Namun belas juga melihat kesulitan anak-anak pergi dan pulang dari sekolah. Hari ini saya masak asam pedas daging. Menu asam pedas merupakan masakan yang boleh dikatakan setiap minggu saya menyediakannya. Antara lauk kegemaran suami juga. Tidak kiralah apa yang dimasak. Ikan ke, ayam ke atau daging, insyaAllah pasti mendapat sambutan. Kadang-kadang suami akan makan roti bakar cicah kuah asam pedas juga. Hehe.. Pastinya semua rakan-rakan telah mahir menyediakan masakan asam pedas ini, jom jamu mata...

Monday, January 25, 2010

PAU KARI AYAM DAN KENTANG



Assalamualaikum dan selamat malam semua. Kuih pau ini saya buat untuk minum petang tadi. Intinya kari ayam dan kentang. Suami suruh buat inti kacang merah pula, insyaAllah akan saya buat nanti. Untuk doh pau ini saya campurkan sedikit cuka di dalam adunannya mengikut resepi Kak Ina KL. Yang lain-lain ikut resepi saya sendiri dan menggunakan bahan mentah yang ada sahaja. Saya belajar membuat pau ini dari adik saya Noni, beliau bukan sahaja rajin di dapur tetapi bercucuk tanam juga. Senang kata kalau setakat cili, kangkung, ubi kayu, bendi dan tomato tidak payahlah beliau keluar membeli di pasar. Bunga-bungaan pun banyak ditanamnya. Cuma saya belum lagi berkesempatan menziarahi beliau setelah beliau berpindah ke Nitar 2, mengikut suaminya.

Sunday, January 24, 2010

SAMBAL TUMIS SOTONG



Ikan tenggiri pekasam ini sepatutnya sayan gorengkan hirisan bawang merah dan cili api garing. Kemudian perahkan asam limau tetapi suami tidak berapa gemar jadi goreng solo sahaja. Masinnya...


Assalamualaikum dan selamat petang. Sambal tumis sotong merupakan menu saya sekeluarga hari ini. Sudah lama rasanya tidak masak sotong. Sedap juga sesekali makan dilawankan dengan ikan pekasam goreng dan hirisan timun segar. Jom layan lagi pun sambal tumis semua orang pandai masakkan...



Saturday, January 23, 2010

PUTERA BONGSUKU 5 TAHUN



Assalamualaikum dan selamat malam semua. Hari ini agak sibuk. Seawal pagi ke dapur menyiapkan sarapan dan bekalan anak-anak ke sekolah kerana cuti ganti CNY. Kemudian membereskan basuhan yang agak banyak sebab suami baru balik dari outstation semalam. Sebahagian basuhan saya jemur dan sebahagian lagi saya masukkan dalam dryer. Kemudian ke pasar dan petangnya asyik menonton tv, menyaksikan upacara permakaman almarhum Sultan Johor. Raja yang menaungi tanah tempat kelahiran saya, suami serta 2 anak perempuan. Petangnya baru sempat keluar untuk mencarikan kek harijadi untuk Adham. Ini kali kedua kami meraikan harijadinya. Kali pertama 12 Zulhijjah tahun lalu di Terengganu. Kek yang dipilih kecil sahaja sebab ada gambar BEN 10. Watak kartun yang paling Adham minati. Doa saya, suami dan anak-anak sentiasa mengiringi Adham, permata hati kami.

Friday, January 22, 2010

IKAN GELAMA MASAK KICAP



Assalamualaikum dan selamat malam semua. Ikan gelama masak kicap ini merupakan hidangan makan malam tadi. Masakan yang ringkas sahaja dan pastinya rakan blogger yang lain mahir membuatnya. Jom jamu mata...

KUIH BAKAR ROTI



Assalamualaikum dan selamat pagi semua. Hari ini entri saya tentang kuih bakar roti pula. Sudah lama saya berkira-kira untuk membuat kuih bakar roti ini. Memandangkan roti masih banyak dan menghampiri tarikh luput saya pun cubalah membuatnya. Malam tadi selepas solat isya' saya terus ke dapur dan menyediakannya. Tawakkal sahajalah sebab memang belum pernah buat. Tadi selepas solat subuh saya cuba mengeluarkan kuih bakar roti dari acuan, alhamdulillah mudah juga dan setelah dirasa, syukur. InsyaAllah cukup rasa... Jom kita kongsi resepi lagi.

Bahan-bahannya:

7 keping roti ( saya guna roti gardenia )
200 ml pati santan (saya guna santan kotak ayam brands biru )
2 cawan air
11/2 cawan gula ( boleh dikurangkan kalau suka )
11/2 cawan tepung gandum ( diayak supaya bila dibancuh tidak berketul-ketul )
1 biji telur
1/2 sudu teh esen vanilla ( sebab saya takut kuih bau hanyir telur )
sedikit pewarna hijau ( ikut suka )

Cara-caranya:

1. Siat-siat roti dan rendam dengan 2 cawan air. Bila telah lembut lenyek-lenyekkan supaya hancur. Saya kisar sahaja. Hehe...
2. Di dalam mangkuk besar lain, pukul telur dan gula hingga sebati.
3. Masukkan pati santan, esen vanilla dan pewarna hijau. Gaul sebati.
4. Masukkan tepung gandum dan kacau lagi.
5. Akhir sekali masukkan sebatian roti tadi dan digaul sebati. Masukkan dalam acuan yang telah disapu minyak dan bakar hingga masak.

Thursday, January 21, 2010

SAMBAL SARDIN



Assalamualaikum dan selamat malam. Hari ini saya masak sambal sardin ringkas sahaja. Saya lebih suka jika sardin ini masak tumis kering letak cili api banyak-banyak tetapi anak-anak tidak berapa suka. Lagi pun sama seperti suami, anak-anak tidak tahan pedas. Sambal sahajalah yang laku nampaknya.

Bahan-bahannya:

1 tin besar sardin ( ditoskan sosnya )
3 sudu besar cili kering dikisar
7 biji cili api hijau *
5 biji bawang merah *
2 biji bawang putih *
sedikit belacan *
5 keping asam keping ( sebab saya guna saiz kecil )
garam secukup rasa.

Cara-caranya:

1. Tumbuk agak-agak lumat bahan-bahan bertanda *
2. Tumiskan cili kering kisar, diikuti dengan bahan yang ditumbuk. Kacau dan masak hingga terbit minyak.
3. Masukkan asam keping dan garam secukup rasa.
4. Akhir sekali masukkan sardin yang telah ditoskan sosnya tadi dan kacau sebati. Biarkan sebentar di atas api.

DORAYAKI



Assalamualaikum dan selamat petang semua. Ini adalah rupa dorayaki hasil percubaan pertama saya. Macam kurang inti sahaja. Hehe... Sebenarnya bila melihat rakan-rakan blogger menghasilkan dorayaki ini saya pun teringin sama tetapi hati rasa cuak boleh ke saya membuatnya. Jadi malam semalam setelah menyalin resepi dari internet saya pun cuba buatlah. Pada hal badan masih demam lagi. Hehe... Alhamdulillah menjadi juga walaupun tidak berapa cantik. Anak-anak gadis saya tersenyum memakannya.

Bahan-bahannya:

3/4 cawan tepung gandum ( saya guna tepung kek )
1/4 cawan gula castor
1 sudu besar minyak sayuran ( saya guna minyak jagung )
2 biji telur
1/2 sudu teh esen vanilla
1/2 sudu teh baking soda

Bahan-bahan untuk inti saya gunakan:

1 tin kacang merah ditoskan airnya. Masukkan dalam pengisar dan dikisar hingga halus. Kalau susah hendak dikisar, tambah sedikit air. Masukkan bahan kisar dalam periuk bersama gula pasir mengikut citarasa. Masak hingga pekat sambil dikacau perlahan.

Cara-caranya:

1. Pukul telur dan gula castor hingga kembang.
2. Masukkan madu, esen vanilla dan minyak jagung, pukul lagi hingga sebati.
3. Campurkan tepung dengan baking soda, gaul dan diayak bersama.
4. Masukkan tepung ke dalam adunan telur tadi dan kacau sebati. Tambah sedikit air jika adunan pekat.
5. Panaskan kuali non-stik. Masukkan adunan 1/4 cawan dan bentukkan bulat. Bila lapisan bawah telah masak terbalikkan .
6. Buat hingga habis kemudian ambil sekeping pancake tadi, bubuh inti kacang di tengahnya dan lapiskan dengan sekeping pancake lagi. Tekan supaya inti rata. Buat hingga habis.

Wednesday, January 20, 2010

UDANG MASAK SEMPOI



Assalamualaikum dan selamat malam semua. Hari ini saya masak simple sahaja. Suami pun tiada. Udang ini saya kupas semua kulitnya biar anak-anak mudah makan. Kemudian saya gaulkan dengan garam kunyit siap ( banyak jual di Kota Bharu, melayu buat ). Saya tumiskan hirisan bawang besar dan cili merah. Bila hampir-hampir layu saya masukkan udang tadi, perahkan 2 biji limau kasturi dan tambah sedikit kicap manis di dalamnya. Kacau seketika dan angkat. Rasa masam, manis, masin dan lemak semua ada. Berbaloi juga. Hehe...

AYAM MASAK UNGKEP



Assalamualaikum dan selamat pagi semua. Kelmarin hingga hari ini saya dan anak-anak seorang demi seorang dijangkiti selsema, dan sakit tekak. Anak yang sulung ditambah batuk-batuk pula. Ubat klinik telah dimakan dan alhamdulillah beransur pulih. Sebenarnya anak yang sulung terjangkit kawannya di sekolah. Tekak dan hidung saya pula masih kurang selesa. Suami kena menghadiri mesyuarat di Port Dickson dan hanya akan pulang pada malam Sabtu nanti. Resepi simple ini saya sediakan untuk hidangan makan tengahari semalam. Dalam pengaruh ubat selsema saya gagahkan diri juga memasak untuk anak-anak tersayang...

Bahan-bahannya:

1/2 ekor ayam
7 biji bawang merah *
1 biji bawang putih *
1/2 inci halia *
1/2 inci kunyit *
1/2 inci lengkuas*
2 sudu kecil ketumbar ( dibasuh, tos, disangan dan dikisar halus )
3/4 sudu kecil jintan kasar ( sama seperti di atas )
3/4 sudu kecil jintan halus ( sama seperti di atas )
5 batang serai dititik
air asam jawa secukupnya
garam, gula dan serbuk perasa secukupnya

Cara-caranya:

1. Kisar bahan-bahan bertanda * dengan air asam jawa hingga lumat. Orang dulu-dulu bahan-bahan ini ditumbuk, lagi sedap..
2. Masukkan ayam ke dalam mangkuk besar. Masukkan bahan kisar, ketumbar, jintan kasar, jintan halus, serai, garam, gula dan serbuk perasa. Gaul sebati dan perap seketika. Orang dulu-dulu asam jawa tidak diperah airnya tetapi digaul terus bersama ayam dan bahan-bahan lain.
3. Panaskan sedikit minyak di dalam kuali. Masukkan ayam yang telah sebati diperap. Kacau seketika. Masukkan sedikit air dan tutup kuali tadi. Masak hingga ayam masak dan kuah menjadi pekat. Kalau kuah kering lagi sedap tetapi api kenalah sentiasa dijaga. Sementara menanti kuah pekat dan agak kering, kita hendaklah mengacau sekejap-sekejap untuk mengelakkan ungkep ayam ini hangus.


Masakan ini mudah dan tidak pedas. Ada sesetengah orang menambah santan pekat dalam hidangan ini tetapi saya tidak letak. Ringkas begini pun insyaAllah sedap. Saya masak berkuah sebab anak-anak suka. Paling saya tidak lupa rasa masakan ungkep arwah emak, walaupun tidak menggunakan rempah dan santan tetap sedap sangat...

Monday, January 18, 2010

PUDING COKLAT



Di makan bersama aiskrim vanilla pun sedap juga.


Assalamualaikum dan selamat pagi semua. Inilah puding coklat hasil dari tergoda melihat entri blog maria, salam dari borneo. Selepas melayari blog beliau keinginan membuak-buak untuk menyediakan puding ini sehingga pergi ke pasaraya Salamku untuk membeli acuan biku-biku. Hehe... Kelakar betul, selalunya guna loyang sahaja. Anak-anak dan anak-anak jiran pun suka. Cuma saya gunakan agar-agar biasa sebab sudah terbiasa dan belum pernah mencuba agar-agar serbuk. Jom kita kongsi resepi mudah ini...

Bahan-bahan:

30 gm agar-agar
1 tin susu pekat manis (sebab ini saja yang ada)
1 senduk gula pasir ( ikut suka )
6-7 cawan air
1 cawan koko ( larutkan terlebih dulu dengan air panas )

Cara-caranya:

1. Cuci agar-agar dan toskan airnya.
2. Rebus agar-agar dengan air hingga larut dan mendidih.
3. Masukkan susu pekat, larutan koko dan gula. Kacau sebati.
4. Perlahankan api dan kacau sekejap-sekejap hingga mendidih.
5. Tapis dan tuangkan ke dalam acuan yang dibasahkan ( petua maria ) agar puding tadi mudah dikeluarkan dari acuan.
6. Sejukkan dalam peti sejuk. Kalau puding tidak ditambah gula, sedap dimakan dengan aiskrim vanilla.

Friday, January 15, 2010

PENCUK DAN SAMBAL TUMIS TELUR

Arwah emak panggil acar ini pencuk. Begitu juga dengan orang kampung saya.


Telur dan sambal yang dimasak bersama berjam lamanya dengan api kecil.


Telur dan sambal yang telah dimasak semalaman tetapi kadang-kadang belum tentu mencapai piawaian selera suami. Hehe...


Assalamualaikum dan selamat petang semua. Pencuk atau acar jelatah ini semua orang sudah tahu cara membuatnya. Memandangkan ada nenas lebih selepas memasak asam rebus, ada pula timun dan bahan-bahan mentah yang lain, saya pun buatlah. Manakala sambal tumis telur ini pula resepi ringkas kegemaran suami. Dulu-dulu arwah mak kalau masak mesti bahan bumbunya ditumbuk, tidak pernah pakai blender. Saya paling suka makan sambal tumis telur arwah emak. Arwah pula tidak lupa menyediakan juadah ini setiap hujung minggu bila saya pulang ke rumah. Suami pula agak cerewet jika minta saya menyediakan sambal telur ini. Sambal dan telur mesti dimasak lama dengan api kecil supaya rasa sambal menyerap ke telur dan telur menjadi keras. Kadang-kadang terpaksa dibiarkan semalaman. Dulu, semasa beliau bekerja di Pusat Profesional JB, suami selalu makan di kedai Gelombang Biru kepunyaan Hj Hanifah, seorang pesara tentera laut. Beliaulah yang memperkenalkan juadah ini. Kami sama-sama berjiran ketika tinggal di Bkt Saujana. Menurut beliau sambal telur yang dijual telah dimasak semalaman, namun ada juga pelanggan yang tidak gemar memakannya sebab keras. Suami saya pula suka. Hehe.. Macam-macam...

Wednesday, January 13, 2010

ROTI NAAN



Assalamualaikum dan selamat petang. Pertama kali mencuba, alhamdulillah menjadi juga roti naan saya walaupun kekurangan bahan-bahan mentah. Apa yang ada sahaja saya gunakan. Lembut sampai ke malam. Anak-anak suka, sedap kata mereka. Saya buat pun sebab rendang udang semalam hanya suku yang luak dimakan. Jadi roti naan ini bolehlah dicicah dengan kuah rendang. Lagipun ketika makan malam semalam suami ada bersuara kalau makan roti naan dengan rendang ini alangkah sedapnya. Saya pun cubalah, bukan susah sangat pun. Hehe... Jom kongsi resepi...

Bahan-bahannya:

300 gram tepung gandum
200 gram tepung naik sendiri
2 sudu besar gula
secubit garam
2 sudu besar tairu (saya gunakan susu cair + jus limau kasturi, hentam sajalah...)
1 paket mauripan
2 sudu besar mentega/margerin
air secukupnya untuk menguli

Cara-caranya:

1. Masukkan semua bahan-bahan kecuali air ke dalam mangkuk besar. Gaul sebati.
2. Masukkan air sedikit demi sedikit, uli adunan tadi hingga menjadi doh.
3. Rehatkan adunan hingga naik sekali ganda. Tumbuk-tumbuk dan uli semula.
4. Bulat-bulatkan mengikut saiz yang dikehendaki.
5. Canai doh dan bakar di atas kuali non-stick.

Tuesday, January 12, 2010

RENDANG UDANG



Assalamualaikum semua dan selamat malam. Rendang udang yang saya buat mengikut resepi dari internet ini tidak cukup bahan bumbunya. Kerisik tiada dalam stok tetapi menurut suami rasanya sedap. Anak yang sulung kurang suka sebab tidak gemar dengan rasa daun kari yang saya letak di dalam kuah pekatnya. Selain dimakan bersama nasi rendang kari ini sedap juga dicicah dengan roti bakar dan yang sewaktu dengannya. Memasaknya juga begitu mudah dan cepat.

Monday, January 11, 2010

KUIH SIPUT

Di tengah keletihan menguruskan rumahtangga tadi, teringinlah pula hendak buat kuih siput. Lagi pula anak-anak pun suka. Bolehlah dikunyah ketika menonton tv, jika tidak pun sewaktu anak-anak buat kerja sekolah atau mengulangkaji pelajaran. Ramuannya saya buat ikut resepi sendiri.

APAM DAN BUBUR ASYURA KG TELIPOT, LUNDANG

Apam tepung ringkas untuk sarapan pagi. Kelapa parut memang tak letak sebab anak-anak tak suka makan. Kegemaran Hamimah...


Inilah rupa bubur asyura yang dimasak dari awal pagi hingga ke petang oleh kariah Masjid Al Mustaqim. Rasanya manis dan berempah, macam kuih kole pun ada dan kadang-kadang macam rasa majun. Hanya saya dan Syuhadah sahaja yang suka makan. Suami dan Hamimah tidak minat. Hehe...