Wednesday, September 29, 2010

UNGKEP SOTONG BERLADA


Assalamualaikum dan selamat tengahari semua. Kali ini saya masak sotong stail ungkep dan tambahkan cili kisar di dalamnya. Biasanya sotong saya masak sambal tumis, masak kicap, masak hitam dan menu-menu biasa tetapi kali ini saya mencuba kelainan pula. Hehe... Saja suka-suka sebab sudah kerap sangat masak sotong dengan resepi biasa. Kalau hendak tahu sedap atau tidak cubalah sendiri ya. Jom kita kongsi resepi lagi...



Bahan-bahannya:

500 gram sotong dicuci bersih
7 biji bawang kecil kisar
1 biji bawang putih kisar
sedikit lengkuas kisar
sedikit kunyit hidup kisar
sedikit halia kisar
3 batang serai kisar
1 sudu kecil ketumbar kisar
1/2 sudu kecil jintan manis kisar
secubit jintan kasar kisar
air asam jawa
garam dan gula ikut citarasa

Cara-caranya:

1. Gaulkan sotong dengan semua bahan kisar bersama garam dan gula secara merata dan perap 30 minit atau lebih.
2. Panaskan minyak dan tumis sotong bersama bahan-bahan kisar tadi. Kacau dan tutup kuali.
3. Masak dengan api sederhana dan hendaklah dikacau sekali sekali hingga air sotong kering.
4. Tutup api dan sedia untuk dihidangkan.

Tuesday, September 28, 2010

CENCARU GORENG BERLADA


Assalamualaikum semua. Lauk untuk keluarga semalam. Paginya saya kurang sihat, bila hari beransur petang alhamdulillah badan semakin ringan namun selesai memasak sakit mula terasa lagi. Malamnya suami hantar saya ke klinik. Hari ini alhamdulillah rasa sihat semula. Resepi ulang tayang, entah kali keberapa agaknya. Sekadar menceriakan dapur kecil saya dan berkongsi cerita dan resepi bersama kawan-kawan semua.



Bahan-bahannya:

3 ekor ikan cencaru belah belakang digaram kunyit dan digoreng
7 tangkai cili kering kisar
5 biji lada merah kisar
7 biji bawang merah kisar
1 biji bawang putih kisar
sedikit belacan kisar
air asam jawa untuk mengisar
garam, gula dan perasa secukupnya

Cara-caranya:

1. Panaskan minyak dan tumis bahan-bahan kisar hingga naik bau.
2. Tambahkan garam, gula dan perasa mengikut citarasa masing-masing, kacau sebati.
3. Biarkan sambal tadi mesra dan kacau sekejap-sekejap supaya tidak hangus.
4. Masukkan ikan cencaru yang digoreng tadi dan gaul dengan sambal secara merata.
5. Bolehlah dihidangkan panas-panas.

SAMBAL GORENG MAK NGAH



Assalamualaikum. Jam 1 pagi tadi sempat upload gambar sahaja, ada masa senggang ini bolehlah kita kongsi resepi. Resepi ini memang warisan dari mak ngah suami, jadi sewaktu menziarahi beliau Syawal lepas, saya pun mengambil kesempatan belajar daripadanya. Sambal goreng ini mudah menyediakannya dan versi bersantan. Suami dan anak-anak kurang menggemarinya dan lebih suka sambal goreng berkicap resepi mertua.




Bahan-bahannya:

500 gram udang sederhana besar - dikupas kulit dan ditinggalkan bahagian ekornya
2 keping tempe - dipotong dan digorenng
2 biji kentang saiz besar - dipotong dan digoreng
4 keping tauhu - dipotong dan digoreng
secekak suhun - direndam dan ditoskan}
secekak fucuk - direndam, dipotong dan ditoskan} saya tambah sendiri

Bahan-bahan kisar:

5 biji bawang merah
7 tangkai cili kering
3 ulas bawang putih

Bahan-bahan dimayang:

2 biji bawang besar
3 biji cili merah
3 biji cili hijau

1/2 cawan santan pekat
air asam jawa
garam, gula dan perasa secukupnya




Cara-cara menyediakannya:

1. Tumiskan bahan-bahan yang dimayang hingga naik bau dan masukkan bahan-bahan kisar. Masak hingga pecah minyak dan naik bau.
2. Tambahkan dengan garam, gula dan perasa secukupnya mengikut citarasa masing-masing. Tambahkan dengan air asam jawa dan santan pekat. Kacau sebati.
3. Bila mendidih campuran tadi masukkan udang dan kacau lagi. Bila udang kelihatan hampir masak, masukkan bahan-bahan yang telah digoreng bersama suhun dan fucuk. Kacau rata. Biarkan mesra dan sedia untuk dihidang.

p/s: lagi sedap jika ditambah dengan hirisan hati dan paru lembu.

Saturday, September 25, 2010

MENGHAMPIRI USIA EMAS...


Assalamualaikum dan selamat malam semua. Lama benar saya tidak membuat post terbaru di blog saya. Berziarah ke blog rakan-rakan pun mana yang termampu sahaja. Semalam usia saya menginjak ke 41 tahun, satu usia yang sudah dikira usia emas. Bimbang juga saya di usia yang semakin tua ini saya masih gagal memenuhi piawaian menjadi muslimah dan mukminah yang sejati. Moga Allah sentiasa merahmati, memberkati dan memakbulkan doa-doa saya sekian kalinya. Ameen...

Monday, September 6, 2010

DAGING RENDANG PEDAS DAN PUDING GULA HANGUS

daging rendang pedas


Assalamualaikum dan selamat petang semua. Entri terakhir saya sebelum menyambut lebaran rasanya. Esok pagi insyaAllah saya dan keluarga mula bertolak pulang ke kampung. Seperti 4 tahun yang lalu kami akan singgah berehat dan bermalam di Kuantan. Mudah-mudahan perjalanan kami diberkati dan dilindungi Allah hendaknya. Ameen. Doakanlah kami sekeluarga selamat dalam perjalanan yang jauh ini ya. Terima kasih diucapkan.



Sebenarnya resepi rendang ini saya ambil dari majalah 'Keluarga' keluaran Aidil Fitri. Bahan mentah yang digunakan adalah ayam dan saya gantikan dengan daging. Lecehnya resepi ini semua pakai timbangan. Jadi untuk lebih mudah saya gunakan sukatan sendiri. Sesuai untuk hidangan hari raya dan rasanya tidak muak. Jom kita kongsi resepi lagi...

Bahan-bahannya:

Untuk dikisar:
15 tangkai cili kering
7 biji bawang merah
sedikit lengkuas
sedikit kunyit hidup
5 batang serai

Untuk dihiris:
3 batang serai
sedikit lengkuas
3 helai daun kunyit
5 biji bawang merah

500 gram daging dihiris
1 cawan santan
2 sudu besar kerisik
garam dan gula secukup rasa

Cara-caranya:

1. Panaskan minyak, tumis bahan-bahan hiris diikuti bahan-bahan kisar hingga naik bau.
2. Masukkan daging dan tambah sedikit air. Kacau sebati dan masak hingga daging empuk.
3. Masukkan santan diikuti kerisik, garam dan gula secukup rasa. Kacau lagi.
4. Masak dengan api sederhana hingga rendang agak garing.
5. Sedia dihidangkan bersama nasi minyak, nasi putih, lemang, ketupat palas atau ketupat nasi.


puding gula hangus lagi




Macam biasa buatkan untuk anak-anak. Beberapa hari yang lalu saya beli di gerai FAMA, maaf memang langsung tidak sedap. Tawar dan rasa semacam. Sepotong RM2.50 atau RM3.00 kalau tidak silap. Kasihan dengan anak-anak waktu makan semasa berbuka puasa. Kali ini saya kurangkan sukatan gula hangusnya, alhamdulillah tetap manis, lemak dan berkrim cuma tidak boleh amalkan selalu pemakanan seperti ini. Jom jamu mata...

SAMBAL TUMIS SOTONG DAN TEMPE KICAP PEDAS

sambal sotong saiz kecil

Assalamualaikum dan selamat malam semua. Malam ini Kota Bharu hujan rahmat, malam 27 Ramadhan. Ramadhan yang terakhir di sini. Sedih. Lama saya tidak membuat entri terbaru, menziarahi blog kawan-kawan dan bertanya khabar. Belakangan ini saya tidak sempat hendak menjenguk blog sendiri apatah lagi rakan-rakan. Maafkanlah saya dan terima kasih diucapkan pada sesiapa sahaja yang sudi singgah dan meninggalkan pesanan.

Menu yang dipamerkan pun entah bila saya memasaknya. Sudah terlupa. Hehe... Lagi pun menu ulang tayang dan saya memasak untuk kesekian kalinya. Apa yang digemari suami dan anak-anak itulah yang saya hidangkan.


tempe tumis kicap pedas

Lauk tempe ini merupakan pembuka selera saya ketika bersahur dan berbuka. Resepi yang amat mudah dari arwah emak. Namun rasanya lebih enak jika arwah emak yang memasaknya. Ramadhan menggamit kenangan manis zaman gadis saya bersama arwah emak. Jomlah jamu mata dengan menu ringkas saya, resepi ada dalam entri terdahulu.


lemak, manis, masin dan semestinya pedas