Monday, July 25, 2011

AGAR-AGAR BANDUNG ROS



Assalamualaikum. Agar-agar ini sesuai dimakan sewaktu musim panas dan masa berbuka. Maklumlah hanya tinggal beberapa hari sahaja kita akan menyambut bulan Ramadhan. Sekarang ini pun rasanya ramai yang berpuasa sunat mahupun menghabiskan hutang berpuasa yang lalu. Cara penyediaannya sangat mudah dan yang paling penting 'nyaman' kata orang Sarawak. Hehe... Jom sama-sama kita intai-intai resepinya...

Bahan-bahannya:

20 gm agar-agar tali
1 cawan gula pasir
5 cawan air
1 tin susu cair
beberapa titik pewarna merah
beberapan titik esen ros

Cara-caranya:

1. Rendam agar-agar sejam atau lebih. Cuci bersih, toskan dan masukkan dalam periuk.
2. Tambahkan 5 cawan air dan masak agar-agar tadi hingga hancur.
3. Masukkan gula dan masak lagi hingga gula hancur. Gunakan api sederhana.
4. Masukkan susu cair, pewarna merah dan esen ros. Kacau sebati.
5. Biarkan hingga mendidih dan tuangkan ke dalam acuan yang disukai.
6. Sejuk bekukan sebelum dimakan. Selamat mencuba...


Sunday, July 24, 2011

ASAM PEDAS KERISI BESAR DGN NENAS



Assalamualaikum dan selamat pagi semua. Seminggu lebih tiada cerita baru, hari ini saya masukkan entri tentang menu lama yang diulang. Suka-suka sahajakan. Hehe... Apatah lagi setiap minggu saya pasti akan masak lauk asam pedas kegemaran suami. Selera suami mestilah diutamakan, tidak lupa juga anak-anak saya yang sudah semakin membesar. Anak-anak biasanya apa yang ayah mereka suka makan itulah yang mereka makan sama. Jom kita lihat resepinya pula...

Bahan-bahannya:

1 ekor ikan kerisi saiz besar - dipotong ikut suka
cili kering kisar secukupnya
bawang merah kisar
bawang putih kisar
sedikit halia kisar
sedikit kunyit hidup kisar
sedikit belacan kisar
air asam jawa secukupnya
air secukupnya
garam, gula dan perasa
1 mangkuk kecil potongan nenas

Cara-caranya:

1. Panaskan sedikit minyak dan tumis bahan-bahan kisar hingga masak.
2. Masukkan garam, gula dan perasa secukupnya. Kacau sebati.
3. Masukkan potongan ikan dan gaul dengan bahan-bahan tumis tadi. Tambahkan air separa ikan dan biarkan kuah mendidih barulah masukkan air asam jawa secukupnya.
4. Biar kuih mendidih sekali lagi baru masukkan potongan nenas. Tunggu hingga kuah mendidih sekejap barulah dimatikan api dan boleh dihidangkan.


Wednesday, July 13, 2011

AMERICAN PANCAKE - YATIE MEMORIES



Assalamualaikum dan selamat sejahtera semua. Pankek yang sangat gebu dari blogger Yatie Memories. Sebenarnya kalau tidak silap dari tahun lepas saya sudah menyalin resepi pankek ini. Namun baru beberapa hari lepas saya membuatnya untuk anak-anak. Memang sedap dan mudah hendak menyediakannya. Masukkan semua bahan dalam mangkuk dan gaul sebati. Terima kasih buat Yatie. Izinkan akak salin dan sisipkan di sini resepinya ya.

Bahan-bahan:

11/2 cawan tepung gandum
1 biji telur
1 cawan buttermilk ( campuran 1 cawan susu segar dgn 1 sb jus lemon )
1/2 cawan gula castor
1 sk soda bicarbonat
1 sk baking powder
1/2 cawan minyak jagung

Cara-caranya:

1. Dalam mangkuk besar, gaul semua bahan hingga sebati.
2. Rehatkan selama 20 minit.
3. Panaskan kuali non stik dan tuangkan adunan 1/4 cawan, bila permukaan pankek tadi mulai berlubang-lubang terbalikkan.
4. Buat langkah 3 hingga habis.
5. Enak dihidangkan bersama mentega, madu dan apa-apa jenis jem pun.

* Untuk satu adunan ini saya mendapat 15 keping pankek. Banyak tu, anak-anak sampai tak larat nak abiskan. Hehe...


AWARD DAN TAG - KAK ILAHJY


Assalamualaikum dan selamat pagi semua. Award dan tag ini saya terima dari blogger Kak Ilah, 'RESEPI SUMBANGAN JY'. Terima kasih Kak Ilah. Saya akan cuba siapkan tag yang diberi semampu boleh. 7 perkara yang belum diketahui tentang diri saya, saya sisipkan di bawah jawapannya seringkas boleh.

1. Saya anak ke 7 dari 9 orang adik beradik. 2 lelaki dan 7 perempuan. Kakak-kakak kata semasa saya kecil saya kelihatan seperti anak mat salleh, putih kemerah-merahan dan berambut keperangan. Hehe...

2. Semasa kecil saya adalah seorang kanak-kanak yang pendiam dan mudah jatuh sakit. Saya jarang ikut serta dalam acaran suka sekolah, memang kalau boleh hendak mengelak sahaja. Hehe...

3. Meningkat remaja saya menjadi seorang anak gadis yang sangat pemalu. Berbual dengan rakan lelaki yang sekelas pun boleh dihitung dengan jari. Ikut keperluan. Hehe... Tingkatan 3, saya baru pandai menanak nasi, maklumlah selama ini ada kakak-kakak yang menolong arwah emak memasak dan saya pula bukan pemakan orangnya.

4. Masa sekolah menengah dahulu, saya cukup fobia bila mendengar bunyi hon motosikal postman. Bimbang dapat surat dari budak lelaki yang hendak berkenalan sebab ramai sangat. Popular gitu, walhal saya ini selekeh aje budaknya. Kalau dapat surat memanglah kena marah dan bebel dengan arwah mak tetapi bukan salah saya. Bila kena marah saya mengunci mulut tidak berani membela diri, paling tidak menangis sahajalah.

5. Meniti alam gadis lagi saya disunting oleh suami yang 4 tahun lebih tua dari saya. Bila dia masuk meminang bapa terima sahaja. Kami sekadar kenal muka, tidak pernah berbual dan membina hubungan serta cinta seusai menikah. Memanglah tersangat payahnya di awal-awal perkahwinan tetapi alhamdulillah berkat sabar dan tolak ansur kekal hingga ke hari ini dan moga hingga ke syurga. Jadilah saya ketua bidadarinya di sana kelak. Amin....

6. Seperti Kak Ilah, saya juga ada mengalami masaalah kesihatan. Saya pernah dibedah sebanyak 2 kali iaitu yang pertama kerana mengandung luar rahim dan yang ke dua pembedahan apendik. Kedua-duanya telah pecah, namun alhamdulillah Allah masih panjangkan umur saya. Kalau nyawa saya hendak diambil pun biarlah anak-anak sudah besar, soleh dan solehah dan berjaya hidup di dunia dan akhirat. Amin... Suami saya tidak bimbang sebab beliau memang ramai peminat. Kalau saya tiada biarlah dia beristeri lagi secepatnya... Kalau saya tiadalah.:))

7. Meniti usia 40an ini memang terasa sudah tua. Biarlah di pandangan orang saya tidak setua itu tetapi di hati sentiasa mengingatkan usia yang semakin meningkat ini. Saya ingin menjadi anak, menantu, isteri dan emak yang sesabar dan seikhlas mungkin. Redha dengan segala apa yang berlaku. Zuriat yang boleh dibanggakan di dunia dan akhirat serta rumahtangga yang bahagia tanpa sebarang gangguan perasaan dari saya, suami atau pihak lain. Amin...

Ini sahajalah Kak Ilah yang dapat saya titipkan. Harap sedikit sebanyak Kak Ilah suka dan menjadi lebih rapat dengan saya. Hehe...

Harus dipanjangkan kepada 5 orang blogger yang belum dikenali. Siapa ya. Nanti-nantilah saya fikirkan sebab bahagian ini memang buntu hendak memikirkannya. Sesetengah blogger tidak suka di tag dan ada yang suami tidak izinkan menjawab sebarang tag. Saya tahu sebab saya pernah kena. Ini pun kita mesti faham dan hormati pendirian mereka. InsyaAllah Kak Ilah, akan diselesaikan secepat mungkin. Hehe....


Monday, July 11, 2011

GULAI IKAN BERNENAS



Assalamualaikum dan selamat pagi semua. Curi-curi masa untuk membuat entri kali ini. Pastikan jika memasak menu ini jangan menggunakan nenas yang terlalu masam sebab ianya akan merosakkan rasa gulai ini. Selain itu penggunaan ikan masin dalam masakan ini adalah lebih sedap berbanding ikan basah. Saya masak apa yang ada di dalam stok sahaja. Jom, sudi-sudikan melihat resepinya.

Bahan-bahannya:

3 potong isi ikan
9 tangkai cili kering dikisar
5 biji bawang merah dikisar
1 ulas bawang putih dikisar
sedikit halia dikisar
2 sb serbuk kari ikan
garam secukup rasa
air
santan pekat secukupnya
1 mangkuk kecil potongan nenas

Cara-caranya:

1. Campurkan bahan-bahan kisar dan serbuk kari untuk dijadikan pes.
2. Panaskan minyak dan tumis bahan-bahan tadi hingga pecah minyak.
3. Masukkan potongan ikan dan gaul sebati.
4. Masukkan air dan biar kuah mendidih.
5. Masukkan santan pekat dan kacau sebati. Perlahankan api sambil dikacau kuahnya sekali sekala.
6. Bila kuah mulai mendidih, masukkan potongan nenas pula, bila kuah sudah menggelegak masukkan garam dan secubit gula jika suka.

Saturday, July 9, 2011

TUMIS UDANG DAN KENTANG BERKICAP



Assalamualaikum dan selamat petang semua. Dua tiga hari ini agak sibuk hendak berkongsi cerita. Macam-macam hal berlaku. Sudah dinamakan kehidupan begitulah, ada pasang dan surutnya. Redha sahajalah semampu yang boleh.
Menu yang mudah lagi dari saya. Sama-sama kita lihat dan kongsikan resepinya. Sesiapa yang berminat dipersilakan mencuba, kalau tidak sekadar mencuci mata. I'm sorry, kata Amir dari Maharaja Lawak. Hehe...

Bahan-bahannya:

500 gram udang - dikupas kulit dan tinggalkan bahagian ekornya, kulit dan kepala udang direbus dan diambil air rebusannya
3 biji kentang - potong ikut suka, digoreng agak garing
3 batang cili merah dihiris
11 batang cili api
1 biji bawang besar dihiris
1 ulas bawang putih dihiris
kicap masin secukupnya
secubit gula
sedikit air asam jawa

Cara-caranya:

1. Panaskan minyak dan tumis bahan-bahan hiris dan cili api hingga layu.
2. Masukkan udang, kacau rata hingga warna udang bertukar merah.
3. Tambahkan kicap masin, air asam jawa, air rebusan udang dan secubit gula. Kacau sebati.
4. Bila kuah mulai mendidih, masukkan kentang dan kacau lagi.
5. Biarkan seketika di atas api hingga masakan mesra bolehlah dihidangkan.

*pastikan udang dicuci bersih terlebih dahulu, ditoskan air cuciannya barulah dikupas kulitnya.

Thursday, July 7, 2011

AYAM GORENG REMPAH, ASAM REBUS NENAS IKAN KEMBONG



Assalamualaikum dan selamat petang semua. Ayam goreng rempah lagi. Sedap dimakan panas-panas sama ada dengan nasi atau pun dicicah dengan sos cili. Bahagian luarnya rangup sementara bahagian dalamnya pula lembut. Resepi saya ambil dari blog Raidah. Walaubagaimanapun kuantiti tiap-tiap bahan yang saya gunakan ikut kesesuaian. Terima kasih buat Raidah.

Bahan-bahannya:

3 bahagian peha ayam - potong ikut suka
5 biji bawang merah ditumbuk
5 ulas bawang putih ditumbuk
sedikit halia ditumbuk
sedikit kunyit hidup ditumbuk
garam secukupnya
11/2 sudu besar serbuk ketumbar
1 sudu kecil serbuk jintan halus
2 sudu besar tepung jagung
1 biji telur

Cara-caranya:

1. Dalam mangkuk besar gaulkan semua bahan hingga sebati.
2. Perap 3 jam atau lebih dan goreng garing dengan minyak terendam.

*biji ketumbar dan jintan halus dicuci bersih, ditos, digoreng tanpa minyak dan dikisar halus.



Asam rebus ikan kembong bersama nenas ini memang sedap dimakan sewaktu cuaca panas. Hehe... Menyediakannya amatlah mudah dan menjimatkan masa. Jom kita lihat resepinya.

Bahan-bahannya:
500 gm ikan kembong saiz kecil
1 mangkuk kecil potongan nenas
5 biji cili merah dikisar
5 biji bawang merah dikisar
1 ulas bawang putih dikisar
sedikit belacan dikisar
sedikit kunyit hidup dikisar
sedikit halia dikisar
air asam jawa secukupnya
garam, gula dan perasa jika suka

Cara-caranya:

1. Dalam periuk masukkan semua bahan-bahan kisar bersama ikan.
2. Masukkan garam, gula, serbuk perasa, air asam jawa dan air secukupnya.
3. Jerang atas api hingga kuah mendidih. Masukkan potongan nenas. Biar kuah mendidih sekali lagi dan angkat.


Tuesday, July 5, 2011

KERUTUP AYAM KELANTAN



Assalamualaikum dan selamat pagi semua. Sudah lama rasanya tidak merasai kelazatan masakan kerutup, sejak meninggalkan bumi Kota Bharu. Di Kuching, lain pula masakannya... Alhamdulillah, rempah kerutup masih ada lagi dalam stok dan cukup untuk sekali masak lagi. Semasa di Kota Bharu saya pernah mencuba daging masak kerutup, kini saya masak pula ayam. Resepi masak kerutup ini kakak penjual rempah yang ajarkan. Jom kita panjang-panjangkan pahala beliau.


Bahan-bahannya:

1 ekor ayam saiz sederhana dipotong ikut suka
2 sudu besar rempah kerutup (saya guna brand selising)
kerisik dari RM1 kelapa parut
1/2 cawan santan pekat
sedikit air asam jawa
10-15 biji cili kering dikisar
7 biji bawang merah dikisar
2 biji bawang putih dikisar
sedikit halia dikisar
sedikit lengkuas dikisar
5 batang serai dititik
2 sudu besar ketumbar
sedikit gula melaka/manisan
rempah tumis secukupnya
garam

Cara-caranya:

1. Campurkan bahan-bahan yang dikisar bersama ketumbar dan rempah kerutup untuk dijadikan pes.
2. Panaskan minyak dan tumiskan rempah tumis, pes kerutup dan serai yang dititik. Gaul sebati.
3. Bila bahan tumisan telah pecah minyak dan naik bau, masukkan ayam. Kacau sebati dan tambahkan sedikit air. Masak hingga ayam empuk.
4. Setelah ayam empuk masukkan air asam jawa, garam dan manisan secukupnya. Kacau sebati.
5. Tambahkan dengan santan pekat dan kerisik. Gaul lagi hingga mesra. Angkat bila kuah memekat dan ayam benar-benar empuk.

Friday, July 1, 2011

TELUR MASAK KICAP



Assalamualaikum semua. Petang ini baru dapat update blog. Pagi lepas hantar anak lelaki ke tadika, jiran berziarah ke rumah. Bila jiran balik sahaja saya mulalah bersilat, masukkan baju dalam mesin basuh, menyapu sampah keliling rumah, mengemas, membasuh pinggan mangkuk dan mula memasak. Hari Jumaat biasanya suami akan balik ke rumah, menikmati hidangan tengahari dan bersolat Jumaat di masjid yang memang hampir dengan rumah kami.
Menu yang mudah sahaja, masak ayam dan ikan pun asyik bersisa dan terbuang. Jom kita kongsi resepi telur masak kicap stail saya.

Bahan-bahannya:

5 biji telur ayam - digoreng mata lembu
10 biji cili api - biar sebiji-sebiji
1 biji tomato - dibelah 4
1/2 batang carrot - dihiris kecil memanjang
3 batang lada merah - dipotong 4
1 biji bawang besar - dihiris
1 ulas bawang putih - dihiris
air asam jawa secukupnya
gula secukup rasa
kicap masin secukupnya

Cara-caranya:

1. Panaskan sedikit minyak dan tumiskan bawang besar, bawang kecil dan cili merah hingga layu.
2. Masukkan kicap, air asam jawa dan gula. Kacau sebati.
3. Masukkan telur diikuti cili api dan carrot. Kacau lagi.
4. Masukkan tomato, kacau sebati. Biarkan seketika di atas api, bolehlah dihidangkan. Sedap dimakan panas.