Sunday, August 30, 2009

RAMADHAN... terkenang-kenang


Hari ini sudah masuk hari ke 9, kita berpuasa. Ramadhan ini banyak mengamit kenangan saya bersama arwah emak. Hampir 6 tahun emak meninggalkan kami. Bila melayari blog kak yon yang berkumpul anak beranak semasa berbuka puasa dengan hidangan yang pelbagai makin saya merindui masa-masa itu.. Arwah emak adalah orang yang paling sibuk ketika Ramadhan. Seawal 3 ke 4 pagi arwah telah bangun untuk menyediakan sahur. Tidurnya sering bertemankan lampu suluh (masa tu macam mana le tak tergerak nak gunakan jam loceng ye) sepanjang bulan puasa. Tujuannya senang hendak melihat jam kalau tersedar. Mungkin sepanjang Ramadhan arwah tidak nenyak tidur. Selalunya bila hidangan sahur sudah tersedia barulah emak mengejutkan kami untuk makan. Sewaktu kakak saya yang ke 3 belum berkahwin, beliaulah yang banyak membantu emak. Selepas kak Mas berkawin, kakak saya Ita pula yang mengambilalih tugas. Arwah pula tidak pernah menyuruh saya membantu, rasanya begitu juga dengan kakak saya Ina dan adik saya Noni. Seingat saya kalau saya terbangun awal, mesti emak suruh tidur balik. Arwah pula mesti memasak makanan baru untuk bersahur. Biasanya ada sayur, ikan goreng dan lauk lain. Saya paling suka kalau ada ikan masin goreng. Begitu juga sewaktu berbuka selain lauk pauk mesti ada hidangan pemanis mulut dan kuih muih. Emak suka membuat manisan dari sagu biji yang dicampur dengan santan dan cairan gula merah pekat. Selain itu berbagai jenis kuih bingka, kuih talam, kuih koci, serimuka, apam, epok2, lengkong (agar2), lopes ubi dan macam-macam lagi lah akan disediakan arwah secara bergilir hari. Kuih-kuih moden emak tidak berapa mahir. Emak memang suka buat sendiri apatah lagi anak-anak beliau ramai. Hasilnya walaupun beliau telah tiada, kami yang 9 beradik ini hidup akrab berkat air tangan beliau. Walau jarak memisahkan kami tetapi di hati dekat selalu. Selalunya untuk hidangan berbuka beliau masuk ke dapur seawal jam 3 ke 4 petang. Waktu ini kami pun diajak bersama. Tolong lah mana-mana yang patut. Macam-macam makanan yang tersedia, tidak termasuk dari jiran-jiran. Meriah betul. Penuh satu meja makan. Satu pekara bapak saya pula memang tidak suka masakan orang lain kecuali emak. Kalau kita anak-anak yang masak ada saje kurangnya. Kurang lemaklah, kurang garamlah bla bla bla. He he.. Sampaikan air teh yang kita buat pun tidak sama rasanya dengan emak buat. Macam emak beliau tidak makan apa juga jenis ikan air tawar tetapi sebab bapak hendak makan, beliau bertungkus lumus menyiang, mencuci dan memasak ikan tersebut. Emak memang rajin dan pandai memasak. Arwah tidak pernah cuti memasak hinggalah beliau jatuh sakit berat hingga membawa pemergiannya. Semasa beliau sakit beliau pernah mengadu pada saya dalam tangisan yang beliau cuba menjerang air tetapi terjatuh. Beliau rasa tidak selesa hanya duduk dan baring tanpa berbuat apa-apa. Emak, emak... Saya rasa bapak pun tidak dapat melupakan emak walaupun setelah beristeri baru. Emak cantik, berhidung mancung, kulitnya putih kemerah-merahan, badan berisi. Walaupun berwajah serius namun sesekali tersenyum manis sekali. Suami saya pun berkata begitu. Walaupun usia sudah 60an beliau masih berjaya mengekalkan barisan gigi yang putih dan tersusun cantik. Emak memang pembersih orangnya. Emak juga cermat dan tidak pernah menyusahkan bapak kalau teringinkan apa-apa barang. Beliau akan merialisasikan impian beliau dengan menabung. Percaya atau tidak sehari selepas beliau pergi sewaktu saya mengemas rumah dan barang-barang tinggalan beliau saya terjumpa duit beliau di celah-celah lipatan baju dan 2 tabung besar. Sayunya hati saya waktu itu tidak dapat digambarkan. Duit-duit yang anak-anak bagi semua di simpan di Tabung Haji. Saya la yang selalu tolong simpankan. Kadang-kadang duit tabung pun saya tolong simpankan dalam ASN beliau. Sedihnya duit-duit itu tidak dapat dimanfaatkan untuk diri sendiri dan setelah ketiadaan beliau, bapak bahagikan secara faraid. Arwah atuk perempuan pun dapat, menurut kata bapak menangis atuk sewaktu menerima duit itu. Itulah emak, memang Ramadhan banyak menyorot kenangan saya bersama beliau. Lebih lagi bapak sebab berpuluh tahun susah senang hidup bersama emak, mungkin yang paling bapak tidak lupa ialah emak pandai dan rajin memasak sebab pengantinya kurang kemahiran ini. He he.. Wallahualam.

Tuesday, August 25, 2009

RAMADHAN DATANG LAGI..

Sudah 3 hari Ramadhan dilalui, terasa cepat benar masa berlalu. Sebagai surirumah tentunya kepala sentiasa berfikir apakah juadah berbuka yang akan dihidangkan untuk suami dan anak-anak. Paling penting ianya mestilah memenuhi selera mereka. Jadi hari ini saya menyediakan menu asam pedas ikan pari, sotong goreng tepung (resepi ambil dari internet) dan karipap sardin (suami dan anak-anak tidak gemar inti selain sardin). Saya jarang masak sayur sebab bila masak selalu terbuang jadi rasa membazir pulak. Jadi saya gantikan sayur dengan buah-buahan saje. Kalau tidak pun cukup dengan timun sebagai ulam. Saya ni kalau memasak jarang menggunakan sukatan jadi bila ada rakan-rakan yang hendakkan resepi payah le nak mengajar. Contoh macam sotong goreng tepung tu memang saya ikut resepi chef Norzailina tapi saya tak ikut sukatan yang diberi, selagi resepi itu menjadi dan boleh dimakan syukur alhamdulillah. Seorang rakan suami minta resepi char mee. Selalu orang masak guna kuetiaw tapi saya pakai mee kuning sebab suami tak gemar makan kuetiaw, begitu juga anak saya yang kedua. Resepi ini juga saya ambil dari internet dan setelah siap saya beri sepinggan besar pada jiran sebelah. Sungguh saya tak sangka jiran sebelah sms nak minta lagi sebab tak cukup. Sedap sangat katanya. He he... Saya dengan jiran sebelah dah macam kakak dengan adik jadi tiada masalah. Untuk Sulimah di sini akak tepekkan resepi yang Su hendak tu.


Resepi Char Mee

Bahan-bahannya:
500 gm mee kuning
1-2 sudu besar cili kisar
300 gm udang ( dikupas kulitnya dan direbus)
sedikit kerang
sedikit daun kucai }
sedikit taugeh } banyak ikut suka tapi akak tak letak sebab suami fobia sayur. He he...
2 biji telur

Bahan-bahan untuk kicap mee:
Air rebusan udang
4 ulas bawang putih ditumbuk halus
6 sudu besar sos tiram
3 sudu kecil kicap pekat
3 sudu besar kicap manis
1 sudu kecil petis tapi akak tak letak
1 kiub pati ikan bilis
1 sudu kecil garam
1 sudu kecil gula
Semua bahan-bahan di atas dimasak sampai pekat.
Kicap mee ni kalau lebih simpan le dalam peti sejuk dan boleh digunakan sekiranya diperlukan.

Cara-cara membuatnya:
Tumis cili kisar sampai garing.
Masukkan 4 sudu besar kicap mee yang disediakan tadi.
Masukkan udang, kerang. Kacau sebati.
Masukkan 1/2 cawan air. Kacau lagi.
Masukkan mee kuning, daun kucai dan taugeh. Kacau rata.
Ketepikan sedikit mee, pecahkan telur dan kacau sedikit. Kemudian gaulkan telur tadi bersama mee hingga mesra. Jangan terlebih kacau nanti hancur pulak mee tu.
Akak tak tambah garam sebab kicap mee tadi dah cukup rasanya.

Ok, selamat mencuba.

Friday, August 21, 2009

NOSTALGIA 'ANGIN MALAM'

Tempohari saya meminta kakak saya menukarkan lagu bisikan hati kepada angin malam. Beliau dengan senang hati menukarkannya. Sebenarnya lagu ini mempunyai nilai sentimental dalam kehidupan kanak-kanak saya. Masih segar dalam ingatan saya sewaktu pertama kali mendengar alunan lagu ini dalam melodi yang asal. Syahdu benar rasanya bertambah-tambah dengan suara mendiang Brorey yang mendayu-dayu. Pada malam itu arwah mak dan kakak saya yang ketiga sedang berbual-bual sambil memasang radio. Waktu tu mana lah ada bekalan elektrik seperti sekarang. Yang ada hanya pelita minyak tanah dan lampu gasolin. Saya pula sedang berbaring dan bila terdengar lagu ni syoknya dengar. He he.. Dahulu di kampung saya untuk menyalakan lampu kalimantang dan menonton tv, kami menggunakan generator. Dengan adanya generator tu dapatlah menerangkan rumah-rumah di sekitar blok. Walau pun tak ada elektrik macam sekarang hidup tetap bahagia dan seronok. Cubalah bayangkan dalam samar-samar cahaya pelita dalam gelap malam mendengar lagu ini... Selepas mendengar lagu ini saya memang tidak ambil tahu langsung tentangnya hinggalah saya berkahwin dan punya anak 3 serta berpindah ke Kuantan, saya terdengar lagu ini. Saya minta suami belikan cd kompilasi lagu-lagu Brorey. Malangnya bila saya dengar melodinya tak seindah sewaktu zaman kanak-kanak saya dulu... Mendiang telah menukar sedikit tempo lagu ini. Namun melodinya masih tetap sedap didengar tambahan dengan suara gemersik mendiang...

Monday, August 17, 2009

TERENGGANU LAGI 2


Petang tadi dalam jam awal 6 petang saya selamat sampai ke rumah semula. Tugas suami berakhir sejurus hampir waktu zuhur. Suami kurang sihat, demam, batuk dan selesema. Anak ke dua saya pun terjangkit sama. Sebelum meninggalkan Kuala Terengganu kami singgah ke Noor Arfa Batik. Cantik dan luas tempatnya. Ada jualan potongan harga hingga 31 Ogos ini. Memang betul le kata kakak saya harga barang jualan di sini boleh tahan mahal. Bayangkan sepasang kurung sutera cina hampir RM100, sedangkan di Kota Bharu RM79 sahaja. Begitu juga dengan blouse batik jenama ADIK. Di butik ADIK saya beli sehelai baru RM35 tetapi di sini RM59. Lebih seronok membeli di Nordin Batik atau Hanafi Batik. Banyak pilihan dan harga berpatutan. Kalau boleh beli yang murah, cantik dan berkualiti kenapa bayar lebih, ya tak? He he... Sepanjang perjalanan cuaca panas terik. Tak sanggup benar saya. Semalam selepas zohor saya ke Pusat Konvensyen TTI lagi. Anak-anak ajak ke Taman Monumen tetapi oleh kerana cuaca panas dan membakar kulit saya terpaksa menolak cadangan anak-anak. Lagi pun kesian dekat anak lelaki kecil saya itu. Masjid kristal pun tidak menarik di siang hari. Adham pun tidak teruja seperti malamnya. Hajat hati hendak melawat ke Muzium Negeri tetapi malangnya sampai di situ dah tutup. Kecewa betul anak saya yang ke dua sampai menangis dia. Habis nak buat macam mana. Suami berkata ayah ke sini sebab bertugas bukan bercuti, kalau bercuti boleh le jalan-jalan. Kata-kata itu juga tak dapat memujuk hati kecil beliau. InsyaAllah kami akan ke sini lagi. Sayang sungguh saya tidak dapat merakam gambar untuk kenang-kenangan kerana bateri kamera memang sudah tidak boleh dicharge lagi. Hendak beli yang baru tak sempat, lain le kalau suami saya sihat. Tiba di rumah baru terasa penatnya. Anak-anak masih segar sebab sepanjang perjalanan mereka dapat tidur. Adham terus baring di tilamnya sambil tersenyum. Rindu kot. He he... Hari Khamis dan Jumaat suami kena menghadiri majlis penguatkuasa pula di Perdana Resort dan bermalam di sana. Nampaknya kena mengemas pakaian beliau lagi le.. Beliau mempelawa saya dan anak-anak turut sama tetapi macam malas aje. He he...

Saturday, August 15, 2009

TERENGGANU LAGI

Semalam saya dan keluarga selamat sampai ke Kuala Terengganu. Kali ini pemergian kami bukan untuk bercuti tetapi menemani suami bertugas selama 2 hari.Kami bertolak dalam pukul 10.40 pagi. Suami saya pula kurang sihat selepas pulang dari Putrajaya dan naik kerja hari Khamisnya. Penat barangkali.. Kali ini kami tinggal di Hotel Primula. Penginapan memang telah disediakan awal-awal oleh pihak urusetia. Biar pun kurang selesa dengan biliknya tetapi harung saje le 2 malam ini. Semalam kami tiba ketika waktu puncak solat Jumaat. Sungguh tak sangka dengan pemandangan yang saya lihat sebab di sepanjang jalan Pantai Batu Burok ramainya remaja-remaja lelaki yang siap berbaju melayu dan bermotor bersantai-santai di sekitar kawasan pantai bukannya menunaikan solat Jumaat. Sedih dan terkilan sungguh. Sayangnya anak-anak muda melayu bila dengan tidak rasa bersalah dan malu, terang-terang meninggalkan solat Jumaat. Malamnya kami ke Pusat Konvensyen Pusat Tamaddun Islam. Ada rehersal kata suami. Di sini le letaknya beberapa replika masjid-masjid di seluruh dunia dan masjid kristal. Saya pun tak sangka sampai ke tempat ini. Kalau boleh saya memang tidak mahu ke sini sebab seorang teman suami orang sini mengingatkan yang tempat ini keras. Sebelum didirikan Taman Tamadun Islam memang tempat ini tidak berpenghuni jadi menjadi tempat tinggal saka-saka yang dalam buangan. Pada awal-awal pembukaan taman ini ada pengunjung-pengunjung kecil yang 'terkena' bila datang ke sini. Tapi malam tadi alhamdulillah sepanjang saya di taman ini tidak ada apa-apa yang pelik berlaku. Yang ada cuma pemandangan indah masjid kristal yang memancarkan bermacam-macam warna. Cantik sangat. Adham pun tertarik dan gembira sungguh. Suami pun sempat menunaikan solat sunat di sini. Ada 4 ke 5 keluarga yang melawat masjid ini pada malam tadi. Malang sungguh bateri kamera saya tidak berfungsi jadi tak dapat le saya mengambil gambar. Hampir jam 11 malam kami pun pulang ke hotel semula. Sesampai di hotel suami sempat mengusik jaga-jaga nanti sampai bilik emak marah. Memang saya berbelah hati tinggal di bilik ini. He he..

Monday, August 3, 2009

PROGRAM BIJAK SIFIR.

Ahad lepas, anak perempuan ku yang ke dua pulang dari sekolah dengan tersenyum riang. Pada hari itu di sekolahnya mengadakan pogram bijak sifir. Anak gadis ku ini terpilih menyertainya. Pulangnya hari itu dengan membawa hadiah penghargaan dari pihak sekolah. Beliau juga mendapat lencana 'SAYA BIJAK SIFIR'. Alhamdulillah, bangga juga aku dengan pencapaiannya. Di sebalik keceriaan beliau sebenarnya tertekan dengan kawan-kawan sekolahnya. Tiap-tiap hari pulang dari sekolah beliau pasti mengadu perihal kawan-kawannya yang iri terhadap pencapaiannya. Yang aku pelik mak-mak budak pun tumpang sekaki membenci anak gadis ku yang berbadan kecil dan berumur 11 tahun ini. Dapat nombor 1 pun salah. Anakku dituduh macam-macam sampai ada emak yang datang menyerang beliau di sekolah. Sesampai di rumah beliau yang berbadan kecil itu terbongkok-bongkok menahan tangis dan ketakutan. Tidak cukup dengan itu ada ibu yang datang ke rumah konon menanyakan hal pada hal mulut manis di depan saje. Rupa-rupanya anakku ini didendami oleh ibu tadi dan anaknya. Sampai mengadu dengan gurubesar supaya diambil tindakan. Aku ini malas nak panjang2kan hal telefon guru kelas bertanya tentang bagaimana anak aku ketika di sekolah. Cikgu tu kata anakku tidak pernah menimbulkan masalah, kira budak baik le. Kadang-kadang aku perhati kawan-kawan anakku ini sangat tidak elok sikapnya seperti menonton sinetron Indonesia pulak. Rupa-rupanya sesetengah kisah itu ada juga dalam realiti kehidupan ini. Tiap-tiap hari balik sekolah anak gadis kecil ku ini mesti akan mengadu sikap dengki dan iri hati kawan2nya. Kadang2 naik pening kepala mendengarnya. Selalunya aku berpesan pada beliau, biarlah dik kawan2 buat macam gitu. Buat tak tahu saje. Adik belajar lagi rajin-rajin biar tambah cemerlang. Baik lah mak kata beliau tapi tiap-tiap hari beliau balik dari sekolah kenalah aku tadah telinga. He he.. Ini lah dugaan hidup di rantau orang. Sebelum ini semasa aku tinggal di Kuantan, Pahang, Alhamdulillah tidak pula berlaku hal-hal seperti ini. Bagi aku kalau iri tetapi kemudian sama-sama bersaing untuk tambah cemerlang tak apa. Ini tidak makin berdendam. Kesal sungguh aku. Mudah-mudahan anak-anak tadi yang masih putih hatinya akan berubah dan menjadi baik seperti fitrahnya.

RESEPI AYAM PERCIK ALA KELANTAN

Atas permintaan kakak saya inna, saya tepekkan di sini resepi ayam percik yang saya masak tempoh hari.

Ayam Percik Ala Kelantan
Bahan-bahan A:
1 ekor ayam sederhana besar (saya belah 8)
5 biji bawang merah
1 biji bawang putih
sedikit halia
2 batang serai

Bahan-bahan B:
2 cawan santan pekat
3 sudu besar cili kisar
5 biji bawang merah
1 biji bawang putih
3 batang serai
1 sudu kecil ketumbar kisar
1/2 sudu kecil jintan kasar
sedikit halia
3 hiris asam keping
garam
gula

Cara-caranya:

Bahan A dikisar halus dan digaul bersama ayam. Perapkan selama 1 jam. Lagi lama lagi sedap. Bahan B pula, bawang merah, bawang putih 2 batang serai dan halia dikisar halus. Campur bahan2 yang dikisar tadi dengan cili kisar, ketumbar, jintan kasar dan santan di dalam periuk. Masukkan asam keping.

Masak dengan api sederhana. Masukkan juga asam keping dan ayam serta bahan perapannya td. Masak sehingga ayam agak empuk. Rasakan masin, masam dan manisnya. Alaskan periuk serbaguna dengan aluminium foil dan panaskan di atas api sederhana. Keluarkan ayam dan susun di atas periuk. Terbalikkan dan renjis dengan kuah yang lebih tadi dengan sebatang serai yang dititik. Buat 2 hingga 3 kali sampai masak sambil direnjis dengan lebihan kuah tadi. Kuah yang lebih tadi dimasak lagi hingga pekat.

Lebih kurang macam ini lah cara masakannya. Saya ni kalau masak jarang ikut sukatan. Selalunya pakai campak-campak je. He he.. Janji sedap dan yang pasti boleh dimakan.

SAMBAL GORENG JAWA ALA MAK YOK




Hari ni antara hidangan lauk untuk makan tengahari adalah sambal goreng. Ini resepi warisan yang saya pelajari dari mak mertua saya. Kena lah belajar sebab masakan ni antara yang digemari suami saya dan anak2. Sambal goreng ni cukup mudah dibuat janji bahan2 mentahnya cukup. Lauk ini juga antara masakan wajib mak mertua saya bagi hidangan hari raya puasa. Suami saya kalau makan ketupat cukup berlaukkan sambal goreng ini. Di sini saya sertakan cara2 untuk memasaknya.

Sambal Goreng Jawa

Bahan-bahan:
1/2 kg udang sederhana besar
5 biji kentang sederhana besar
2 keping tempe saiz besar
250 gm paru
250 gm babat
3 biji cili hijau
2 biji cili merah
5 biji bawang merah
1 biji bawang putih
2 batang serai
sedikit lengkuas
air asam jawa
kicap masin
gula secukup rasa

Cara-cara:
Cili merah dan hijau dihiris halus. Ketepikan.
Bawang merah, bawang putih, serai dan lengkuas dikisar halus.
Paru dan babat direbus dan dihiris tipis.
Tumiskan cili hingga agak layu, masukkan bahan kisar. Masak hingga garing. Masukkan gula, kicap dan air asam. Bila dah mesra bahan2 yang ditumis masukkan pula udang, kacau mesra. Kemudian masukkan paru, babat, tempe dan kentang. Kacau sebati. Rasa, kalau ada apa2 yang kurang pandai2 le tambah apa yang patut bagi sedap. he he.. Dah siap boleh le makan.

Saturday, August 1, 2009

AYAM PERCIK ALA KELANTAN




Khamis lepas setelah banyak kali berkira-kira apakah hidangan lauk yang akan saya masak untuk keluarga tengahari, saya pun memutuskan hendak memasak ayam percik. Di Kelantan ni masakan ayam percik memang popular di kalangan penduduknya. Di Kota Bahru sendiri ada sebuah restoran 'Yati Ayam Percik' yang keistimewaannya menjual ayam percik di samping hidangan lain. Sekarang pun beliau sudah mampu membina sebuah bangunan yang dinamakan Wisma Yati. Hebat bukan. Ayam percik Kelantan ni berbeza dengan ayam percik Johor. Teringat saya semasa saya belum berkahwin dulu, betapa ayah yang saya panggil bapak selalu membeli ayam percik yang rutinnya dijual di pasar malam. Orang kampung saya panggil pasar lambak. He he.. Sedap dan saiznya besar juga. Harganya pun tidak semahal sekarang. Ayam percik ni lebih sedap kalau dipanggang menggunakan dapur kayu tapi saya bakar atas kuali serbaguna yang dialas dengan aluminium foil menggunakan dapur gas. Kira ok le tu. Ini le rupa ayam percik ala Kelantan masakan saya. Anak-anak menggemarinya cuma suami kurang berminat. Ada ke patut saya penat2 masak, beliau cuma makan leher ayam saje. Bila ditanya kenapa, saya tak minat le, katanya. Saya pun lebih menggemari ayam percik Johor sebab bila dimakan tidak cepat muak. He he.. Sebenarnya saya dah bosan masak ayam dengan resepi yang sama sebab itu le saya mencuba masakan ini. Ini le rupanya masakan ayam percik ala Kelantan saya.
'