Friday, October 19, 2012

PARU GORENG BERLADA


Assalamualaikum dan salam pagi Jumaat semua. Salah satu menu kegemaran kedua-dua anak gadis saya ialah paru goreng berlada. Sejak tinggal di Kuching ini seingat saya ini adalah kali pertama saya masak paru. Payah hendak jumpa, tidak seperti di Kota Bharu mudah sungguh mencari paru untuk dimasak.
Paru goreng berlada ini bukan sahaja enak dimakan bersama nasi putih malahan sedap juga diratah sambil menonton. Anak-anak sayalah yang leka mengunyah. Hehehe...
Kali ini saya gunakan cili kering pula berbanding dengan masakan yang lalu sebab saya guna cili merah hidup. Di rumah ini suami dan anak-anak tidak kisah kalau saya gunakan apa-apa jenis cili pn yang penting tidak berasa pedas dan panas bila dimakan. Saya yang suka pedas ini terpaksalah mengalah. 

Bahan-bahannya:

500 gm paru 
1 senduk cili kering - dikisar kasar
1-2 biji bawang besar - kisar
2 ulas bawang putih - kisar
sedikit belacan
garam
gula 
air asam jawa 
perasa - jika suka
1 biji bawang holland - hiris bulat

Cara-caranya:

1. Perap seketika paru dengan jus limau kasturi. Cuci bersih, dan rebus agak empuk.
2. Hiris nipis paru tadi dan goreng agak garing. Toskan minyaknya. Ketepikan.
3. Panaskan minyak dalam kuali dan tumiskan bahan-bahan kisar hingga naik bau.
4. Masukkan air asam jawa, kacau sebati.
5. Bila pecah minyak masukkan garam, gula dan perasa secukup rasa. Kacau lagi.
6. Masukkan paru yang sudah digoreng tadi dan gaul dengan sambal lada secara merata.
7. Masak hingga mesra dan masukkan bawang holland hiris. Kacau rata, biar seketika dan bolehlah dihidangkan.

Tuesday, October 16, 2012

FOCACCIA PIZZA


Assalamualaikum dan selamat malam semua. Entri saya kali ini pizza pula. Makanan kegemaran saya dan anak-anak. Suami pula paling tidak suka. Hehehe... Kali ini saya menggunakan kulit roti foccacia pula. Resepinya boleh dilihat di sini.

Untuk toppingnya macam biasa saya gunakan keju parut mozarela, ada hirisan nenas, ada hirisan cendawan, ada hirisan smoke sosej dan sosnya saya gunakan sos tradisi prego.

Untuk resepi toppingnya boleh rujuk di sini. Lebih kurang sahaja tetapi kali ini saya lebihkan toppingnya 2 kali ganda dan kaya dengan taburan parutan keju.



Jom makan pizza, lempeng Itali...

UDANG PEPAI

Assalamualaikum dan salam mesra dari saya buat semua. Pernah dengar udang pepai? Saya pun tidak pernah dengar apatah lagi merasa semasa sebelum berkahwin dulu. Di kampung saya tidak pernah ada penjual ikan yang menjual udang halus atau geragau. Biasa yang saya lihat hanyalah udang-udang laut yang bersaiz sederhana besar sahaja dijual. Udang galah pelbagai saiz pula saya dapat kenal dan merasa kerana bapa saya memang rajin turun ke sungai mengail atau menjalanya.
Namun setelah mendirikan rumahtangga barulah saya tahu ada menu udang pepai yang mertua jadikan juadah untuk dimakan bersama nasi, atau pun jika suka hanya boleh diratah begitu sahaja. Sedap. Lebih kurang seperti cucur udang sahaja ramuannya.





Udang yang saya gunakan untuk membuat udang pepai ini bukanlah udang geragau sebab di pasar memang tiada dijual. Rata-rata sudah diborong oleh tauke membuat belacan. Terpandang udang halus ini saya pun beli dalam setengah kilogram. Pulang ke rumah menelefon mertua di Johor Bahru lantas memastikan resepinya yang saya ingat-ingat lupa. Jom kita lihat resepinya...

Bahan-bahannya:

500 gram udang halus - buang kepala, cuci bersih dan toskan
3 cawan tepung gandum
1 inci halia - tumbuk lumat
3 ulas bawang putih - tumbuk lumat
1/2 sk serbuk kunyit
1 biji telur - pukul sebati
3 tangkai daun sup - hiris halus
3 tangkai daun bawang - hiris halus (saya tambah)
1/2 sk serbuk penaik - (saya tambah)
1/2 sk soda bicarbonate (saya tambah)
garam secukup rasa 
air secukupnya
Cara-caranya:
1. Dalam mangkuk, masukkan tepung, halia, bawang putih, serbuk kunyit, serbuk penaik, soda bicarbonate dan garam. Gaul sebati.
2. Masukkan udang halus, gaul diikuti oleh telur. Kacau lagi. Kemudian masukkan air sedikit demi sedikit sambil digaul sehingga adunan tidak terlalu pekat dan tidak terlalu cair.
3. Masukkan daun sup dan daun bawang dan gaul sebati.
4. Panaskan minyak dan goreng sesudu hingga sesudu hingga garing keperangan.
5. Sedia dihidangkan bersama nasi panas ataupun dimakan begitu sahaja. Boleh juga dicicah dengan sos kegemaran.

Sunday, October 14, 2012

MAKARONI KEJU


Assalamualaikum dan salam sayang buat semua pengunjung yang sudi bertandang ke dapur alam maya saya. Mac cheese dan yang sewaktu dengannya ini kegemaran anak sulung saya. Agaknya darah belanda yang mengalir dalam tubuh salah seorang moyang saya sebelah bapa tempias sedikit tetapi pada selera anak dara saya ini sebab kalau ikut rupa dan warna kulit memang tiada. Hehehe...

Resepi saya ambil di sini . Cuma saya tidak masukkan sos mustard tetapi saya tambahkan pula dengan smoked sausages.


Bahan-bahannya:

4 genggam makaroni - rebus hingga empuk dan toskan
2 sudu besar mentega
2 sudu besar tepung gandum
3 batang smoke sosej - hiris ikut suka
3 tangkai daun sup - hiris
sedikit bread crumb
1 cawan keju cheddar parut
250 krim keju
lada hitam kisar secukupnya
2 cawan susu segar
secubit garam

Cara-caranya:

1. Panaskan mentega hingga cair. Masukkan tepung dan kacau sebati. Masukkan lada hitam kisar dan gaul.
2. Tambahkan susu segar dan masak hingga pekat.
3. Masukkan krim keju dan kacau lagi.
4. Masukkan makaroni dan keju parut, gaul sebati.
5. Sediakan bekas dan griskan dengan mentega. Masukkan makaroni. Tabur permukaan makaroni dengan bread crumb dan daun sup.
6. Bakar pada suhu 180C selama 15-20 minit.

CHILLED CHEESE CAKE

Assalamualaikum dan selamat petang semua. Lama sudah saya menyimpan angan-angan hendak membuat cheese cake ini. Bila terlihat gambar di facebook Kama Azura bertambah-tambahlah teringin tetapi terpaksalah dipendamkan dahulu keinginan itu. Ada masa senggang lebih baik saya merehatkan diri, maklumlah badan sudah berusia 43 tahun, 2 kali bedah dengan sejarah kandungan luar rahim dan apendik yang sudah pecah. Sistem imun pun kian merudum. Syukur Allah masih mahu meminjamkan umur...

Berbalik pada cheese cake ini rasanya memang la sedap tetapi sepatah kata Kak Su Mersing kena makan sikit-sikit nanti muak. Hehehe... Cheese cake saya tidak berapa cantik dan berderai asas keknya (kes malas menimbang la ni. hehehe,,,) begitu juga dengan rupanya yang nipis namun semalam Kak Nor dari Secubit Garam telah sudi kongsi dan ajarkan saya tips yang berguna agar basic cake tidak pecah dan rupa kek lebih cantik dan tebal. Hehehe...


Resepi saya ambil dari Dunia Dapur Kama, terima kasih Cik Puan Kama Azura.

CHILLED CHEESE CAKE
 @
 Kek Cheese Oreo (unbake)
Sumber : Suriani Othman


Dasar Kek
200gm biskut oreo(buang krimnye) - Saya guna biskut marie

80gm butter cair

*campurkan butter & biskut yg telah dihancurkan,tekan dlm loyang
ratakan & buh dlm peti ais selama 20 minit.

Bahan Kek
250 cream cheese
200gm non dairy whiping krim
1 sudu kecil lemon jus (x letak pun xpe)
1 1/2 sudu besar gelatin + 100ml air panas
60gm gula halus
biskut oreo 1 paket..hancurkan 3 suku..buang krimnye.. - saya tak letak biskut oreo
yg lebih leh wat deco2..

Cara-caranya:-

1.Putarkan whipping krim hingga jadi krim..ketepikan
2.Putarkan cheese, gula hingga kembang, masukkan gelatin, lemon jus putar sebati..
3.Campurkan whipping krim, kaup balik perlahan2..dan campurkan oreo hancur td, boh dlm loyang yg ade dasar kek td..dan sejukkan dlm peti ais selama 4 jam...leh deco ikut suka...

Saturday, October 13, 2012

DAGING MASAK HITAM MADU


Assalamualaikum dan salam sejahtera semua. Menjadi kebiasaan saya setiap kali memasak, hanya menu-menu yang disukai anak-anak dan terutamanya suami sahaja saya akan masak dengan kerap. Begitu juga dengan menu daging masak hitam ini. Cuma kali ini saya bagi kelainan dengan menambahkan madu di dalam masakannya.


Resepinya saya sisipkan di bawah jika ada sesiapa yang teringin dan sudi hendak mencubanya. Daging masak hitam ini adalah lauk kesukaan puteri saya yang nombor 2.

Bahan-bahannya:

500 gm daging hiris nipis n gaul dgn 1 sb madu, 1sb gula melaka n 2-3 sb kicap pekat karamel. ketepikan.
blend bawang merah 7 biji, bawang putih 1-2 ulas, halia 1 inci, 1/2 sk jintan kasar n 1/2 sk jintan halus dgn lada kering dlm 15 tangkai. ketepikan.
1 sb lada hitam - tumbuk agak halus
kicap masin secukupnya
titik 2 btg serai
1 sk pati asam jawa
Cara-caranya:

panaskan minyak n tumis bahan2 blend, lada hitam, serai yg dititik hingga pecah minyak.
masukkan pati asam jawa n kacau sebati
masukkan daging yang diperap n kacau lagi
tambahkan kicap masin secukupnya dan gaul sebati
tutup kuali n perlahankan api
kacau sekejap2
renehkan hingga daging empuk
kalau tak cukup manis tambahkan gula melaka/manisan/madu lg - ikut suka



KEK BATIK BISKUT JEJARI

 

Assalamualaikum dan selamat malam semua. Kali ini saya kongsikan pula kek batik biskut jejari. Hasilnya tidak berapa cantik dan memuaskan namun saya buat postnya sebagai kenangan dan rujukkan buat saya dan anak-anak pada masa akan datang. 

 
Bahan-bahannya:

>< 500 gm biskut jejari
200 gm mentega
3 biji telur saiz besar
11/2 cawan milo
1/3 cawan koko van houten
1 tin susu pekat manis

Cara-caranya:

1. Masukkan mentega dalam periuk dan panaskan hingga cair di atas api.
2. Masukkan juga milo, koko dan susu pekat manis. Kacau sebati.
3. Pecahkan telur dalam mangkuk kecil dan kacau sekadar telur kuning pecah dan sebati.
4. Masukkan telur tadi dalam periuk mentega dan kacau rata.
5. Masukkan biskut jejari dan gaul secara merata dengan campuran mentega, koko, milo dan susu pekat manis.
6. Griskan loyang dan masukkan adunan tadi di dalamnya. Tekan-tekan biar padat. Masukkan dalam peti sejuk. Pastikan kek batik telah benar-benar sejuk barulah dipotong.



Friday, October 12, 2012

SOTONG GORENG TEPUNG



Assalamualaikum dan selamat petang semua. Hari ini saya hendak kongsikan resepi sotong goreng tepung yang rangup dan kenyal bila dimakan panas-panas. Ratah begitu sahaja pun enak. Bila sudah sejuk, tepung itu akan jadi lembut teksturnya. Sotong macam biasalah tetap kenyal-kenyal. Resepi seperti di bawah...

Bahan-bahannya:

4 ekor sotong saiz besar - potong bulat, cuci bersih dan toskan
5 sudu besar - tepung naik sendiri
1 sudu besar - tepung jagung
3 tangkai daun sup - hiris halus
sedikit halia muda - tumbuk lumat
3 ulas bawang putih - tumbuk lumat
garam secukup rasa 
1/2 sudu kecil serbuk knorr - klu suka
1 biji telur - kacau sedikit
air secukupnya
minyak masak secukupnya

Cara-caranya:

1. Gaulkan bersama tepung naik sendiri, tepung jagung, halia muda, bawang putih, telur dan air secukupnya.
2. Adunan tepung hendaklah jangan terlalu pekat atau cair, lebih kurang tekstur adunan tepung untuk menggoreng pisang.
3. Masukkan garam dan serbuk sedap knorr. Kacau sebati. Akhir sekali masukkan hirisan halus daun sup dan gaul rata.
4. Panaskan minyak dalam kuantiti yang banyak, celup sotong dalam tepung dan goreng.
5. Balik-balikkan sotong tadi hingga tepung garing dan bila minyak mulai meletup tandanya sotong telah masak. Berhati-hati ya.
6. Goreng sotong sebaik-baiknya satu-satu dan paling banyak pun 3 potong sotong dalam satu masa.
7. Angkat sotong dan toskan minyaknya dengan tisu dapur. Buat langkah 4 hingga sotong habis.
8. Hidangkan panas-panas....

Friday, October 5, 2012

KICAP SOTONG MUDAH



Assalamualaikum dan selamat petang semua. Masakan yang paling mudah dan cepat untuk disediakan. Cuma kali ini saya tambahkan sedikit serbuk cukup rasa Knorr bagi menambah rasanya. Sesuai untuk sesiapa yang baru belajar masak, kaum hawa yang sentiasa sibuk dan bekerjaya bagi mencuba resepi ini. 

Bahan-bahannya:

500++ gram sotong - siang dan buang pundi2 hitamnya
1 biji bawang besar - hiris bulat
3 biji cili merah - hiris serong
2 biji cili hijau - hiris serong
Sedikit air asam jawa
Sedikit garam
Sedikit serbuk kunyit
1/2 sk serbuk cukup rasa Knorr
 Kicap masin secukupnya
Gula secukup rasa

Cara-caranya:

1. Gaul sotong bersama sedikit garam, serbuk cukup rasa Knorr dan serbuk kunyit secara merata.
2. Panaskan sedikit minyak dan tumis sotong tadi.
3. Tutup kuali dan biarkan air sotong kering. Hati-hati jangan sampai kering hangus pula.
4. Bila air sotong sudah kering, masukkan air asam jawa. Kacau sebati, diikuti gula dan kicap masin secukupnya. Kacau sebati.
5. Masukkan hirisan lada hijau dan lada merah dan bawang besar (kalau guna bawang holland lagi nyaman). Kacau lagi.
6. Perlahankan api, tutup semula kuali dan bila lada dan bawang mula layu barulah boleh dihidangkan.

Selamat mencuba, insyaAllah sedap.:D

SAMBAL TUMIS TELUR PUYUH


Assalamualaikum dan selamat petang semua. Menu saya kongsikan kali ini hanyalah masakan kampung sahaja. Sambal tumis telur puyuh. Masakan yang sangat disukai oleh suami, selain telur puyuh saya juga gemar menggunakan telur ayam kampung dalam masakan tradisi ini. Suami suka bila tekstur telur sudah mengeras, bertukar warna dan sebati rasanya bersama sambal tumis.
Biasanya saya akan masak telur ini berjam-jam lamanya bersama sambal tumis dengan menggunakan api yang kecil. Seakan mereneh stew daging caranya. Hehehe... Sambil itu sambal tumis dan telur puyuh hendaklah dikacau sekejap sekejap agar tidak berkerak di bawah kuali. Jika sudah berkerak pastilah rasanya kurang enak.

Bahan-bahannya:

30 tangkai cili kering - kisar
3 biji bawang besar - kisar
1 biji bawang holland - hiris bulat
1-2 ulas bawang putih - kisar
1 inci belacan
sedikit air asam jawa
segenggam ikan bilis halus
garam, gula secukupnya
secubit perasa
3 tray telur puyuh ( lebihkurang 45 biji )

Cara-caranya:

1. Tumiskan bahan-bahan kisar bersama belacan hingga naik bau. Masukkan sedikit air asam jawa. Kacau sebati.
2. Masukkan gula dan perasa. Kacau lagi.
3. Masukkan telur puyuh dan gaulkan secara merata dengan sambal tadi. Masukkan pula ikan bilis halus dan kacau mesra.
4. Akhir sekali barulah rasakan dengan garam dan masukkan hirisan bawang holland.
5. Biarkan seketika di atas api dan bolehlah dihidangkan.

*telur puyuh hendaklah dicuci dahulu kemudian barulah direbus hingga masak, kupas kulit telur puyuh dengan cermat agar rupanya licin dan cantik.:D