Friday, October 5, 2012

SAMBAL TUMIS TELUR PUYUH


Assalamualaikum dan selamat petang semua. Menu saya kongsikan kali ini hanyalah masakan kampung sahaja. Sambal tumis telur puyuh. Masakan yang sangat disukai oleh suami, selain telur puyuh saya juga gemar menggunakan telur ayam kampung dalam masakan tradisi ini. Suami suka bila tekstur telur sudah mengeras, bertukar warna dan sebati rasanya bersama sambal tumis.
Biasanya saya akan masak telur ini berjam-jam lamanya bersama sambal tumis dengan menggunakan api yang kecil. Seakan mereneh stew daging caranya. Hehehe... Sambil itu sambal tumis dan telur puyuh hendaklah dikacau sekejap sekejap agar tidak berkerak di bawah kuali. Jika sudah berkerak pastilah rasanya kurang enak.

Bahan-bahannya:

30 tangkai cili kering - kisar
3 biji bawang besar - kisar
1 biji bawang holland - hiris bulat
1-2 ulas bawang putih - kisar
1 inci belacan
sedikit air asam jawa
segenggam ikan bilis halus
garam, gula secukupnya
secubit perasa
3 tray telur puyuh ( lebihkurang 45 biji )

Cara-caranya:

1. Tumiskan bahan-bahan kisar bersama belacan hingga naik bau. Masukkan sedikit air asam jawa. Kacau sebati.
2. Masukkan gula dan perasa. Kacau lagi.
3. Masukkan telur puyuh dan gaulkan secara merata dengan sambal tadi. Masukkan pula ikan bilis halus dan kacau mesra.
4. Akhir sekali barulah rasakan dengan garam dan masukkan hirisan bawang holland.
5. Biarkan seketika di atas api dan bolehlah dihidangkan.

*telur puyuh hendaklah dicuci dahulu kemudian barulah direbus hingga masak, kupas kulit telur puyuh dengan cermat agar rupanya licin dan cantik.:D

No comments:

Post a Comment