Friday, October 12, 2012

SOTONG GORENG TEPUNG



Assalamualaikum dan selamat petang semua. Hari ini saya hendak kongsikan resepi sotong goreng tepung yang rangup dan kenyal bila dimakan panas-panas. Ratah begitu sahaja pun enak. Bila sudah sejuk, tepung itu akan jadi lembut teksturnya. Sotong macam biasalah tetap kenyal-kenyal. Resepi seperti di bawah...

Bahan-bahannya:

4 ekor sotong saiz besar - potong bulat, cuci bersih dan toskan
5 sudu besar - tepung naik sendiri
1 sudu besar - tepung jagung
3 tangkai daun sup - hiris halus
sedikit halia muda - tumbuk lumat
3 ulas bawang putih - tumbuk lumat
garam secukup rasa 
1/2 sudu kecil serbuk knorr - klu suka
1 biji telur - kacau sedikit
air secukupnya
minyak masak secukupnya

Cara-caranya:

1. Gaulkan bersama tepung naik sendiri, tepung jagung, halia muda, bawang putih, telur dan air secukupnya.
2. Adunan tepung hendaklah jangan terlalu pekat atau cair, lebih kurang tekstur adunan tepung untuk menggoreng pisang.
3. Masukkan garam dan serbuk sedap knorr. Kacau sebati. Akhir sekali masukkan hirisan halus daun sup dan gaul rata.
4. Panaskan minyak dalam kuantiti yang banyak, celup sotong dalam tepung dan goreng.
5. Balik-balikkan sotong tadi hingga tepung garing dan bila minyak mulai meletup tandanya sotong telah masak. Berhati-hati ya.
6. Goreng sotong sebaik-baiknya satu-satu dan paling banyak pun 3 potong sotong dalam satu masa.
7. Angkat sotong dan toskan minyaknya dengan tisu dapur. Buat langkah 4 hingga sotong habis.
8. Hidangkan panas-panas....

No comments:

Post a Comment