Monday, November 30, 2009

GAMBAR-GAMBAR KENANGAN

Adham dan Hamimah bergambar di lobi hotel.

Pemandangan bandar Kuala Terengganu dari tingkap bilik kami di tingkat 12.

Dalam perjalanan pulang kami singgah di Pantai Rhu untuk mengalas perut. Gerai makanan di atas merupakan gerai yang menjual ikan segar dan sotong segar yang digoreng bersalutkan tepung. Turut sama dijual bihun goreng. Sedap sungguh sotong dan ikan goreng salut tepung. Besar-besar pula.

Bergambar di lobi hotel lagi tetapi berlatarkan receptionist. Bukan apa saya berkenan dengan bunga-bungaan segar dalam pasu hitam itu.

Gambar dalam bilik air. Suka-suka snap.


Pili air yang memudahkan kami mengambil wudhu' yang tidak dapat kami temui di mana-mana hotel walaupun bertaraf 5 bintang yang pernah kami duduki. Tidak tahulah kalau di mana-mana hotel lain ada.

Tempat beradu dan merehatkan badan. Kemas dan yang penting bersih.

Adham ketawa riang bermain gelongsor dengan ayahnya. Kalau sudah main tidak tahu hendak berhenti. Kalau tidak menangis bukan Adham namanya. Hehe...


Sunday, November 29, 2009

12 ZULHIJJAH, ADHAM 5 TAHUN...

Assalamualaikum semua. Masuk hari ke 3 kita meraikan Aidil Adha. Ketika ini 5 tahun lalu saya selamat melahirkan bayi lelaki di Kuantan Medical Center. Bayi itu saya namakan Muhammad Adham. Pelik sungguh kerana nama ini turut dicadangkan ayah saya yang nun berada di Bukit Ramun sedangkan kami tinggal di Kuantan. Padahal suami tidak pernah pun menyebutnya kepada sesiapa. Adham merupakan cucu lelaki ke 13 dalam keluarga saya sementara dalam keluarga suami buah hati saya ini merupakan cucu lelaki tunggal setakat ini. Sebagai surirumah , Adhamlah peneman setia dan penghibur hati tatkala suami bekerja dan kakak-kakaknya bersekolah... Alhamdulillah, saya amat bersyukur kepada Allah SWT di atas kurniaan ini. Doa saya yang utama mudah-mudahan Adham menjadi anak yang soleh dan menjadi hamba Allah yang berjaya di dunia dan akhirat. Moga diberi kelancaran lidah untuk bercakap dan berbual, sentiasa sihat tubuh badan dan minda serta terbuka hatinya hendak makan nasi dan makanan berkhasiat yang lain (sebab Adham sampai kini tidak mahu langsung menjamah nasi dan sewaktu dengannya). AMIN AMIN YA ALLAH....

Saturday, November 28, 2009

SELAMAT MENYAMBUT HARI RAYA KORBAN

Berlatarkan jeti Jabatan Laut Malaysia yang bersebelahan dengan hotel.

Di Pantai Batu Burok ketika senja. Layang-layang gambar Ben 10 itu akhirnya jadi milik Adham.

Makan malam di Killeney. Menu pilihan suami. Mee rebus tetapi menurut suami kuahnya manis...

Thai style fish with rice menjadi pilihan saya. Lauknya juga manis. Hehe...

Menu pilihan anak-anak. Fish and chips. Memang sedap. Suami tertanya-tanya mengapa anak-anak suka makan makanan barat. Padahal kami orang kampung dan suami pula memang tidak menggemarinya. Saya tidak kisah makan apa-apa pun boleh. Janji halal dan menepati selera.

Salam semua dan Salam Aidil Adha. Raya Korban datang lagi dan termasuk kali ini sudah 7 tahun saya meraikan Aidil Adha di perantauan. 3 kali di Kuantan, Pahang dan selebihnya di Kota Bharu, Kelantan. Pada tahun ini saya tidak masak-masak seperti biasa, kalau tidak di pagi raya telah terhidang ketupat segera, rendang daging siat, kari ayam dan sambal goreng jawa. Tahun ini suami mengambil cuti 2 hari lebih awal dari Ramadhan. Cadangan awal kami hendak ke Kuala Lumpur tetapi terbatal di saat-saat akhir kerana suami ada tugas yang perlu diselesaikan. Akhirnya pada pagi tadi setelah suami selesai menunaikan solat sunat Aidil Adha, kami pun bertolak ke Kuala Terengganu. Rungut anak-anak, asyik Terengganu sahaja, boringlah. Apa hendak buat Kuala Terengganu merupakan destinasi percutian yang paling dekat dengan Kota Bharu. 3 jam sudah sampai, kalau ke Kuala Lumpur perjalanan 3 jam baru tiba di Gua Musang. Kali ini kami menginap di Felda Residence Hotel. Saya memang teringin hendak tinggal bermalam di sini apatah lagi saya pun anak felda. Iklan dan promosi tentang hotel ini telah saya dengar dari KelantanFM. Akhirnya impian saya terlaksana juga. Terima kasih banyak kepada suami saya. Anak-anak pun selesa dan gembira, maklumlah hotel baru. Hehe..

TELUR MASAK KICAP



Salam semua. Ini lagi satu lauk yang saya akan masak di saat kritikal. Selalunya saya masak simple sahaja tetapi kali ini saya terlebih rajin pula.

Bahan-bahannya:

5 biji telur gred A ( lebih pun takpe )
10 biji cili kering }
5 biji bawang merah } dikisar
1 biji bawang putih }
1 cm halia }
1 batang kulit kayu manis
2 biji buah pelaga
3 biji bunga cengkih
2 kuntum bunga lawang
3 - 5 biji cili merah ( dihiris menyerong )
1 biji bawang besar ( dihiris ikut suka )
1/4 cawan kicap pekat jenama Tamin
1 ketul kiub ikan bilis
gula secukup rasa
sedikit asam jawa
air

Cara-caranya:

1. Rebus telur hingga masak dan dikupas kulitnya
2. Tumis bahan kisar hingga naik bau. Masukkan kulit kayu manis, bunga cengkih, bunga lawang
dan buah pelaga.
3. Selepas bahan yang ditumis mesra, masukkan sedikit air asam jawa, kicap, gula dan kiub ikan
bilis. Gaul hingga sebati.
4. Masukkan telur yang dikupas dan air hingga tenggelam telur tadi. Kecilkan api dan masak
dengan api sederhana. Ketika kuah menjadi hampir pekat masukkan cili merah dan bawang besar yang di hiris tadi.
5. Masak lagi hingga bahan-bahan hiris menjadi agak layu dan kuah pekat.

Salah satu sebab kenapa saya masak dengan cara ini ialah kerana suami suka makan telur yang betul-betul telah menyerap rasa kicapnya dan bila dimakan rasa kenyal. Jika saya menggunakan telur yang digoreng, masakan saya ringkas sahaja.

Thursday, November 26, 2009

SARDIN MASAK SAMBAL



Assalamualaikum. Salam Aidil Adha buat semua yang akan menyambutnya pada hari esok. Alhamdulilah cuaca semalam dan hari ini di Kota Bharu cerah. Banjir yang melanda Kelantan juga mula surut dan banyak pusat perpindahan banjir telah ditutup. Mudah-mudahan keadaan ini berterusan. Amin. Entri saya kali ini tidak ada kena mengena dengan juadah hari raya tetapi lauk yang saya masak di saat kritikal sewaktu kehabisan bahan mentah untuk memasak. Hehe... Simple sahaja tetapi tetap sedap kalau kena dengan gayanya. Saya hanya kisarkan lada kering, bawang putih, bawang merah dan belacan (bahan wajib sebab suami memang suka) bersama sedikit air asam. Tumiskan bahan-bahan yang dikisar hingga pecah minyak dan masukkan sardin yang telah ditoskan. Kacau dan biarkan hingga mesra.

Wednesday, November 25, 2009

AMERICAN CHOCOLATE CAKE




Salam semua. Pagi ini mendung lagi, syukurlah sebab hujan tidak turun berterusan. Hari ini saya hendak buat entri tentang kek coklat yang saya buat petang semalam. Resepi ini saya ambil dari blog Kak Ummi, Kuantan ( berbanyak terima kasih kak) dan sudah lama saya salin tetapi saya baru mencubanya. Salah satu sebab suami tidak gemar makan kek. Namun bila cuti sekolah ini, ditambah dengan cuaca sejuk sebab hujan berpanjangan saya buatlah untuk anak-anak. Anak-anak pula tidak sabar-sabar untuk menikmatinya. Selesai masak untuk tengahari saya terus membuat kek ini.

Bahan-bahan:

2 cawan tepung*
2 cawan gula caster
3 suku cawan serbuk koko*
2 sudu teh serbuk penaik*
2 sudu teh baking soda*
2 biji telur
1 cawan susu segar
1 cawan minyak jagung
1 sudu teh esen vanilla
1 sudu teh garam#
1 sudu teh nescafe#
1 cawan air panas#

Cara-cara membuatnya:

1. Ayak bahan-bahan bertanda *
2. Campurkan bahan-bahan bertanda # dan larutkan
3. Campurkan minyak masak, telur dan gula. Pukul sebati.
4. Masukkan bahan yang diayak, diikuti bahan #, susu dan digaul dengan senduk kayu.
5. Bakar pada kepanasan 170, selama 45 minit.

Untuk topping saya gunakan:

1/2 cawan koko
1/2 cawan susu pekat
1/2 cawan mentega

Cara-caranya:

1. Masak semua bahan hingga larut dan sebati.

Alhamdullilah, anak-anak kata sedap. Separuh dari kek ini saya bagi jiran sebelah dan feedbacknya sekejap sahaja dah licin. Hehe...

Tuesday, November 24, 2009

AYAM GORENG BEREMPAH



Alamak, kecilnya ayam ini. Semalam beli tidak perasan pula. Macamana hendak dibahagi untuk 2 jenis lauk yang berlainan. Dalam perkiraan separuh hendak goreng ayam berempah dan separuh lagi hendak masak rendang padang (resepi kak ummi). Akhirnya saya sms dekat suami mengatakan ayam ini terpaksalah digoreng semua sebab saiznya agak kecil. Suami kata ok, leganya.. Jadi inilah hasil gorengan ayam itu. Cara membuatnya seperti di bawah.

Bahan-bahan:

1 ekor ayam (dibersihkan, dipotong 12 atau lebih ikut sukalah)
3 biji bawang merah
5 biji bawang putih
1 sudu makan ketumbar }
1 sudu teh jintan kasar } dibasuh, ditos,digoreng sangan dan dikisar halus
1 sudu teh jintan halus }
1 inci kunyit hidup
halia sebesar ibu jari
1 sudu makan serbuk lada (saya guna jenama faiza)
3 batang serai
1 inci lengkuas
sedikit garam
sedikit gula
sedikit perasa

Cara-caranya:

1. Tumbuk bawang putih, bawang merah, halia, kunyit, lengkuas dan serai hingga lumat.
2. Gaulkan bahan tumbuk dengan rempah yang dikisar, serbuk lada, garam, gula dan perasa
hingga sebati.
3. Lumurkan pada ayam dan perap selama mungkin.
4. Goreng dengan api sederhana hingga garing.

Suami dan anak-anak saya memang suka makan ayam yang digoreng garing tetapi tidaklah sampai hangus sebab ketika menggoreng saya sentiasa membalik-balikkan ayam itu dan memantau apinya. Ayam goreng berempah ini bukan sahaja sesuai dimakan dengan apa-apa jenis nasi tetapi sedap juga diratah atau dimakan begitu sahaja. Baunya juga harum dan aromanya memenuhi ruang dapur...

Monday, November 23, 2009

PERJALANAN PULANG KE KOTA BHARU

Sewaktu makan tengahari. Adham kalau berposing nombor wahid bila bersama kami tetapi bila ada orang lain pemalu bukan main.

Lebuhraya Timur Barat yang dilitupi kabus. Semasa perjalanan pergi cantik betul pemandangan di sini sebab cuaca cerah berkabus. Malangnya tidak dapat mengambil gambar sebab memangku Adham yang lena. Anak-anak gadis berdua itu pun nyenyak tidur...


Hujan sudah mula turun agak lebat. Pemandangan dari dalam kereta, atas jambatan merentangi Tasik Banding dekat dengan Hutan Belum. Waktu ini sudah menghampiri senja. Jam lebih kurang 6.3o petang. Suasana kian gelap ditambah dengan awan yang berwajah suram..

Sabtu lalu selesai makan tengahari di resort kami menuju ke jeti untuk menaiki feri ke Lumut. Hujan turun sekejap lebat dan sekejap renyai. Sesampai di Lumut 30 minit kemudian, alhamdullilah cuaca redup sahaja. Selesai membeli ikan bilis, udang kering, makanan laut ringan dan lainnya, kami pun bertolak ke Kota Bharu. Sepanjang jalan cuaca mendung dan kadang-kadang hujan renyai-renyai. Kami melalui Beruas dan jalan kampung. Di tepi-tepi jalan ada menjual longgokan buah rambutan merah, rambutan gading, rambai, manggis dan durian. Musim buah rupanya. Suami membeli seikat rambutan merah sebab yang makan hanya saya dan beliau. Kami berhenti di stesyen R&R Perah sekitar jam 5.30 pm. Setelah solat dan mengisi perut , kami meneruskan perjalanan. Menyusuri lebuhraya timur barat yang jalannya bengkang bengkok, berkabus, banyak selekoh tajam dan kawasan kemalangan dalam keadaan cuaca yang tidak baik membimbangkan saya. Mulut tidak henti berselawat dan hati sentiasa merintih dengan Allah... Kasihan juga pada suami yang memandu. Alhamdulillah, kebanyakkan pemandu memandu dengan berhemah pada masa itu. Sesampai di Jeli hujan turun dengan lebat. Malam gelap pekat. Mencabar jugalah. Kami terpaksa melalui Tanah Merah kerana jalan Rantau Panjang telah dinaiki air. Untuk berhenti solat Maghrib pun susah kerana hujan sangat lebat jadi kami jamakkan dengan solat isya' sahaja. Alhamdulillah, kami sampai di rumah jam 10.30 pm. Itu pun setelah menghantar pakaian kotor ke dobi di Kubang Kerian dan membeli makanan tapau. Sesampai di rumah Adham terus minta makan dan menghadap ps2 Mr Beannya. Hehe...

MALAM TERAKHIR DI TELUK DALAM RESORT

Syuhadah dan Hamimah sempat berposing sewaktu hendak mengambil makanan.

Adham tertidur di pangkuan saya kerana bosan menanti kami makan. Adham memang kurang gemar dengan acara makan-makan ni. Hehe

Sahabat baik suami dari Terengganu bersama anak gadisnya yang manis. Lemah lembut dan bersopan santun budaknya. Sejuk mata memandang...

Malam terakhir di Teluk Dalam kami dan para peserta kursus dijemput ke majlis barbeque. Dalam hujan renyai-renyai kami keluar dari chalet menuju ke dewan makan. Banyak betul makanan yang terhidang, saya makan sekadar untuk mengalas perut sahaja. Suami biasalah sotong, udang, ketam dan kambing panggang yang menjadi pilihan tetapi setiap jenis beliau mengambil dalam kuantiti yang sedikit. Sambil menjamu selera kami dihiburkan dengan dendangan lagu-lagu semasa dan evergreen. Merdu juga suara penyanyinya...

Thursday, November 19, 2009

TELUR LEMAK CILI API DAN KARIPAP SARDIN




Selasa lepas setelah berkira-kira hendak memasak apa untuk keluarga akhirnya jadilah telur lemak cili api dan ayam goreng cina. Ayam goreng cina telah saya buat entrinya dahulu. Sewaktu saya tinggal di Kuantan dulu, ramai peniaga kedai makan dan restoren menyediakan hidangan ini tetapi saya takut hendak mencubanya sebab difikiran saya telur itik mesti hanyir. Jangan tidak tahu dari saya kecil hinggalah tua begini saya memang tidak gemar makan kuning telur kerana tidak tahan dengan rasa hanyirnya. Kecualilah kalau telur kuning dari telur pindang barulah saya berani hendak memakannya. Hehehe.... Yang mengikut saya, anak yang sulunglah. Suami pula sebaliknya, tidak suka putih telur tetapi gemar kuningnya dan sekiranya hendak makan putih telur dari telur pindanglah. Yang mengikut selera suami anak yang ke dua pula. Sebenarnya keinginan memasak resepi ini timbul selepas melayari blog Kak Ummi. Terima kasih banyak ya. Cuma saya tidak menggunakan telur itik sebaliknya telur ayam gred A. Besarlah juga. Bahan-bahan yang saya gunakan ialah 5 biji telur ayam gred A, 9 biji cili api, 5 biji bawang merah, 3 biji bawang putih, sedikit kunyit hidup, sedikit belacan, 2 batang serai yang dititik, 200 ml pati santan, garam, gula dan asam keping. Tumbuk lumat cili api, bawang putih, bawang merah, belacan dan kunyit hidup. Masukkan bahan yang ditumbuk, serai, asam keping dan pati santan dalam periuk. Tambahkan sedikit air agar kuah tidak terlalu pekat. Masak dengan api sederhana. Bila hampir mendidih pecahkan telur satu persatu, pastikan kuning telur tidak pecah. Kuah hendaklah sentiasa dikacau perlahan agar santan tidak pecah minyak. Bila sudah mendidih dan masak rasakan masin dan manisnya. Kalau suka boleh tambah serbuk perasa. Karipap sardin pula saya sediakan hendak minum petang. Memang makanan kegemaran keluarga.

MENGINAP DI TELUK DALAM RESORT, PANGKOR







Salam semua, sewaktu saya menaip di blog ini hujan sedang turun agak lebat. Pada ketika ini saya berada di Teluk Dalam Resort di Pulau Pangkor kerana menemani suami berkursus di sini. Semalam sewaktu saya sampai di Teluk Dalam ini cuaca amat mendamaikan sebab redup sahaja. Tetapi disebabkan keletihan berada di dalam kereta selama hampir 6 jam (sepanjang perjalanan di Kelantan menuju ke Grik hujan) dan lebih kurang setengah jam di dalam feri, saya dan anak-anak berehat sahaja di dalam chalet. Pagi tadi sempat juga menemani Hamimah dan Adham mandi di kolam renang. Walaupun mendung, bahang dari laut tetap terasa. Hamimah yang mandi tidak sampai satu jam sudah bertukar kulit menjadi gelap. Alhamdulillah, kali ini Adham tidak mahu berlama-lama mandi. Selalunya bergelut dengan beliau semasa menarik naik dari dalam kolam. Mak, nak makan katanya. Hehehe.... Syukur juga kali ini makan tidak menjadi masalah kerana ada kakitangan resort yang sanggup menolong membelikan makanan di Teluk Batik yang mengambil masa lebih kurang 30 minit untuk sampai. Bukan apa pengalaman lalu semasa mengikut suami meeting di Pangkor Beach Resort, saya pernah membayar hampir RM75 hanya untuk sepinggan nasi goreng dan sepinggan mee goreng. Mahalnya bagi seorang pegawai dapur seperti saya. Tetapi PBR memang lebih canggih penginapannya dari TDR. Kini, 2 pinggan nasi goreng kampung, sepinggan kuetiaw goreng dan sepinggan mee goreng hanya RM18 sahaja. Untuk makanan ringan pihak resort ada menyediakan kedai cenderamata yang turut menjualnya. Sabtu ini selepas jam 1 petang, kami akan pulang kembali ke sarang.

Tuesday, November 17, 2009

KUIH SIPUT



Salam semua. Hari ini saya hendak bercerita sikit tentang kuih siput. Sebenarnya sudah lama saya teringin hendak membuat kuih siput ini tetapi kurang arif bagaimana cara hendak menghasilkannya. Bila saya cari di internet, banyak versi rupanya. Alamak, keliru la pulak nak ikut resepi yang mana satu. Kemudian hello mak dara@mak mertua (actually mak yok, saja je panggil mak dara, glamer sikit). Hehe.... Lagi le tak meyakinkan cos macam dah ingat-ingat lupa. Saya ingat di awal perkahwinan (3 tahun saya tinggal bersama keluarga suami) beliau ada menguli dohnya sementara saya dan suami melenyek atas papan kuih siput tu. Asyik kena sound je, terbesarlah, nanti goreng tak cantiklah, bla bla bla... ikut macam nuar (suami) buat cantik comel-comel aje, macam-macamlah. Hehe... Bila time menggoreng lagi sedap. Kurang garinglah, berminyaklah, so apa-apa just refer dekat beliau sahajalah. Akhirnya saya buat ceduk mana-mana resepi yang patut bertepatan dengan bahan-bahan mentah yang saya ada iaitu tepung, telur, rempah kari, gula, garam, udang kering, marjerin dan bawang besar. Saya perhatikan anak-anak suka makan, selama ini saya beli sahaja tetapi biasalah kadang-kadang rasanya tidak kena dengan tekak mereka. Bab lenyek-melenyek ini saya bereskan dengan anak ke 2. Bukan main comel lote hasil lenyekkan beliau. Saya, hentam sahajalah. Cantik juga. Si kakak melayan adiknya yang kecil bermain ps2. Bila dah siap digoreng saya tanya, sedap tak. Sedaplah mak. Hehe... Cuti sekolah ni boleh buat lagi...

Monday, November 16, 2009

UBI REBUS DENGAN MANISAN



Beberapa hari ini badan rasa kurang sihat, kepala di sebelah kiri pula asyik berdenyut-denyut sahaja. Kadang- kadang rasa malas hendak berbuat apa-apa. Walau apa pun keadaannya tanggungjawab di dapur mesti dilunaskan sambil melayan karenah anak lelaki yang sekejap hendak begini, sekejap hendak begitu. Sabar sahajalah. Anak-anakkan amanah Allah. Ubi rebus dengan manisan ini saya buat atas permintaan suami. Mula-mula saya cadangkan hendak membuat pengat sahaja tetapi suami tidak berminat. Tidak mengapalah, daripada kita penat-penat memasak tetapi tidak dimakan... Ubi ini saya rebus terlebih dahulu sehingga empuk. Kemudian ditoskan. Di periuk yang lain pula saya cairkan 2 keping manisan, 5 sudu makan gula pasir dan secawan air bersama daun pandan. Masak hingga gula dan manisan itu hancur dan pekat. Setelah itu ditapis dan dicurahkan ke atas ubi yang telah direbus tadi. Sudah siap. Musim-musim hujan begini memang banyak penjaja menjual ubi kayu.

Saturday, November 14, 2009

DAGING MASAK MERAH



Salam semua, hari ini saya hendak buat entri tentang masakan daging masak merah. Resepi diajarkan oleh salah seorang staff suami dari Tingkat 3, Bangunan Seri Mutiara, Kota Bharu. Kak Azizah namanya. Beliau memang pandai memasak dan saya masih tidak dapat melupakan makan ketupat nasi dengan kuah lodeh dan sambal tumis bilis beliau sewaktu jamuan hari raya tahun lepas. Sedap betul, ditambah dengan sikapnya yang keibuan dan ramah tamah. Resepi ini pun saya tidak dapat mengikut sepenuhnya ajaran beliau sebab sewaktu membeli daging tempoh hari, penjual daging itu telah siap-siap menghiriskan daging ini nipis-nipis. Seeloknya biarlah daging yang belum dihiris dan direbus bersama pewarna merah. Setelah daging empuk barulah dihiris agak nipis. Kemudian di kuali lain pijarkan minyak dan tumiskan hirisan bawang besar, hirisan cili merah dan hirisan cili hijau. Sesudah agak layu masukkan hirisan daging tadi dan ditambah sos tiram, sos cili serta sos tomato sesedap rasa. Di sini saya tambahkan lobak dan juga tomato. Kacau mesra, setelah sebati tutup api. Bila saya mencuba sesuatu resepi yang baru si kakak rajin merasainya, cuma suami tidak berminat. Bila ditanya katanya saya tak minat lauk-lauk moden ni.

Friday, November 13, 2009

SOTONG GORENG TEPUNG




Sebenarnya resepi sotong goreng tepung ini blogger merahsamar cottage yang mengajarnya. Saya pernah cuba resepi dari Chef Norzailina tetapi agak liat sedikit sotongnya ketika dimakan, tetapi tepung gorengannya memang sedap. Mungkin saya terlebih goreng agaknya. Resepi kali ini mudah menyediakannya dan tidak memakan masa yang lama. Tepung gorengannya juga rangup dan sotongnya juga lembut. Untuk membuatnya cuma perlukan tepung naik sendiri, sotong yang sudah dibuang selaput, sedikit garam dan lada sulah , daun saderi yang dicincang halus serta telur. Mula-mula pukul telur dengan garam dan lada sulah, kemudian masukkan daun saderi yang dicincang halus. Kacau sebati. Gaulkan sotong yang telah dipotong bulat-bulat ke dalam telur tadi dan lumurkan dengan tepung naik sendiri. Goreng dengan api sederhana. Anak-anak saya suka makan sotong goreng tepung resepi Mak Ina ini dan mereka kata lebih sedap dari yang dulu. Bila anak-anak suka makan, bertambah semangatlah saya hendak memasak. Pernah tetamu suami datang dari Seremban dan saya hidangkan menu ini, alhamdulillah licin. Hehe...