Sunday, November 27, 2011

RENDANG DAGING, PARU DAN HATI



Assalamualaikum. Resepi akan diupdate nanti...

Bahan-bahannya:

300 gram daging
sedikit hati lembu
sedikit paru lembu
cili kering kisar
serai kisar
lengkuas kisar
bawang kecil kisar
bawang putih kisar
ketumbar kisar
jintan kasar kisar
jintan halus kisar
kerisik secukupnya
santan pekat
daun kunyit
gula melaka
air asam jawa
garam cukup rasa

Cara-caranya:

1. Tumis bahan-bahan kisar hingga naik bau. Tambahkan air asam, garam dan gula melaka. Masukkan daging, hati dan paru. Masukkan daun kunyit yang disiat dan disimpul. Kacau sebati.
2. Tambahkan air biar daging, hati dan paru masak empuk.
3. Bila daging, hati dan paru empuk, masukkan santan pekat. Kacau sebati dan biarkan mesra.
4. Apabila kuah memekat masukkan kerisik. Kacau sebati.
5. Biarkan di dalam kuali hingga rendang benar-benar empuk dan mesra.

ROTI PISANG KISMIS BERKEJU



Assalamualaikum dan selamat malam semua. Roti ini saya buat pakai hentam sahaja. Pisang ranum banyak, kismis banyak dan keju pun ada. Tepung hongkong pun saya tak tahu hendak dibuat apa. Akhirnya semua benda itu saya satukan untuk menjadi roti. Alhamdulillah, bolehlah dimakan juga. Hehe...
Jom kita lihat resepi sempoinya...

Bahan-bahannya:

4 biji pisang berangan ranum dilenyek
4 cawan tepung hongkong
1/2 cawan gula
1 paket yis kering
3 sudu besar susu tepung
1/4 buku mentega
1/2 cawan kismis
parutan keju secukupnya
air suam untuk menguli secukupnya

Cara-caranya:

1. Larutka 1 sudu besar gula dengan air suam dan masukkan yis. Kacau larut dan biarkan naik berbuih-buih.
2. Dalam mangkuk besar masukkan pisang lenyek, tepung, gula, susu tepung, kismis, mentega dan gaul sebati.
3. Masukkan yis yang telah naik tadi dan gaul sebati.
4. Masukkan air suam sedikit demi sedikit dan mulalah menguli hingga menjadi doh yang tidak melekat di tangan dan elastik.
5. Rehatkan doh hingga naik sekali ganda dan tutup mangkuk doh dengan tuala lembab.
6. Bila doh sudah naik, tumbuk-tumbuk dan uli semula. Kemudian bahagi-bahagikan beberapa bahagian dan bulat-bulatkan.
7. Susun dalam loyang yang telah digriskan mentega terlebih dahulu. Rehatkan lagi hingga naik 3/4 loyang dan taburkan dengan gula diikuti dengan parutan kasar keju.
8. Bakar dengan kepanasan 180C hingga masak keperangan.

Saturday, November 26, 2011

RED VELVET CAKE



Assalamualaikum, selamat malam semua. Percubaan pertama saya ini. Memang teringin sangat hendak merasa kek yang di war-warkan sedap di sana sini ini. Saya pun mulalah menyalin resepi dari internet dan buat langkah demi langkah dengan berhati-hati. Memang sudah kehendak Allah kek yang saya buat ini rasanya pelik. Tidak tahu di mana silapnya. Akhirnya saya buang hampir sebuku kek ini. Mungkin pewarna serbuk yang saya beli di bakery menjadi penyebab rasanya yang ..... Anak-anak pun saya tidak izin memakannya kalau teringin hanya boleh makan topping keju sahaja. Takut termakan bersama kandungan pewarna merah tersebut. Kecewa memanglah tetapi insyaAllah saya akan cuba buat kek ini lagi tetapi gunakan pewarna yang lain. Informasi tentang pewarna yang digunakan telah saya perolehi dari SuMersing. Terima kasih banyak Su. Ada masa membaking lagi....

MEE BAKSO



Assalamualaikum dan selamat malam semua. Mee bakso ini sudah lama saya masak tetapi baru ada kerajinan hendak membuat entri tentangnya. Resepi saya ambil dari blog masak-masak Hanamemories. Terima kasih Hana. Saya panjang-panjang pula lebih kurang di sini...

Bahan-bahannya:

Air rebusan tulang - kuantiti bergantung pada banyak kuah yang diingini
1 ketul kiub daging
3 batang celery - potong ikut suka
sedikit kicap cair
bawang putih diketuk
lada putih ditumbuk sederhana hancur
bakso@bebola daging - saya beli dah siap, muslim buat
Garam
Sedikit daun bawang - potong anggaran 1cm
Sedikit mee kuning - celur sekejap dengan air mendidih dan cucurkan air sejuk, toskan.
Sedikit bihun- dicelur terlebih dulu


Cara-caranya:

1. Panaskan sedikit minyak dan tumis bawang putih dan lada putih hingga naik bau. Masukkan air rebusan tulang daging secukupnya.
2. Bila mendidih masukkan pula kiub daging dan biarkan larut.
3. Masukkan kicap cair.
4. Tambahkan batang celery dan bebola daging@bakso di dalamnya dan biar mendidih.
5. Rasakan masinnya.

Cara menghidang:
- Masukkan sedikit mee dan bihun ke dalam mangkuk. Tuang kuah bersama bakso panas-panas dan taburkan dengan daun bawang.
- Tambahkan juga sambal kicap jika suka.

Untuk sambal kicap:
1. Celurkan 11 tangkai cili api merah, 1-2 ulas bawang putih ke dalam kuah bakso.
2. Bila sudah layu tapis dan masukkan dalam lesung batu bersama sedikit gula. Tumbuk lumat.
3. Tambahkan kicap masin secukupnya dan perahkan jus limau sambal di dalamnya. Gaul sebati.


Tuesday, November 1, 2011

UNGKEP AYAM


Assalamualaikum dan selamat pagi semua. Setiap hari terfikir dan tercari-cari idea hendak masak apa untuk santapan suami dan anak-anak. Kadang kala buntu juga jadinya. Hendak masak menu yang sama menjadikan langkah saya makin memberat ke dapur. Jemu, hendak cuba yang baru bimbang suami tidak suka pula. Bukan sekali dua percubaan saya mempelbagaikan menu mendapat teguran suami. Kalau kena dengan selera beliau, alhamdulillah dan jika tidak 'ku pendam sebuah duka'lah. Hehehe...
Apa pun resepi ungkep ini tiada kena mengena dengan kenyataan yang di atas sebab emak mertua selalu juga memasaknya. Suami ingat saya masak lauk ayam masak sate sebab rasanya seakan-akan sate. Biasalah, sebab rempah yang ada pada ungkep ini digunakan juga dalam penyediaan sate. Yang seronoknya suami makan berselera sungguh dan anak-anak pula saya gorengkan ayam perap ala cina. Memang licin.



Ini bukanlah kali pertama saya membuat entri tentang ungkep ayam ini. Rasanya selain ayam saya juga pernah juga membuat entri hati masak ungkep. Resepi tetap sama cuma saya tambah dengan 1 ketul kiub ayam dan gula apong di dalamnya. Di semenanjung, gula apong ini lebih kurang seperti manisan dan gula melaka.

Bahan-bahannya:

1/2 ekor ayam dipotong
bawang besar kisar
bawang merah kisar
bawang putih kisar
sedikit halia kisar
sedikit kunyit hidup kisar
serai dititik
sedikit air asam jawa
sedikit gula apong
kiub ayam
sedikit ketumbar, jintan halus dan jintan kasar kisar
garam secukupnya
1 biji kentang potong baji
cili api sebiji-sebiji

Cara-caranya:

1. Gaulkan ayam dengan semua bahan-bahan di atas kecuali kiub ayam. Perap seketika.
2. Panaskan sedikit minyak dan tumis ayam yang diperap tadi. Kacau rata. Tambahkan sedikit air hanya paras-paras ayam. Kacau lagi.
3. Tutup kuali dan sederhanakan api. Bila kuah mendidih masukkan kiub ayam.
4. Bila kiub ayam sudah larut dalam kuah, kacau sebati dan masukkan kentang yang dipotong baji tadi. Kacau dan tutup semula kuali.
5. Kacau sekali sekala dan masukkan pula cili api. Apabila cili mulai layu, tutup api dan bolehlah dihidangkan.

*kuantiti bahan-bahan yang diperlukan bergantung pada saiz ayam yang hendak dimasak, sebab itu saya hanya tuliskan begitu sahaja kecuali kentang*