Sunday, February 26, 2012

DANISH BUTTER COOKIES



DANISH BUTTER COOKIES
Bahan-bahan:
250 gram butter
90 gram gula icing / powdered sugar
270 gram tepung gandum
2 sudu kecil esen vanilla
1 sudu kecil baking powder (optional)

Cara Membuatnya:
Pukul butter dan gula hingga kembang.
Masukkan esen vanila, pukul rata.
Kemudian masukkan tepung dan baking powder yang telah di ayak.
Kacau rata dengan senduk kayu.
Masukkan adunan ke dalam piping beg dengan 'star tip'.
Paipkan membentuk bulatan atau apa-apa bentuk yang disukai.
Bakar dalam oven dengan suhu 160 darjah celcius selama 15 minit atau sehingga biskut keperangan.
Sejukkan di atas redai dan simpan di dalam bekas kedap udara. Selamat mencuba dari Lovely Kitchen.
Note :
Adunan agak sukar untuk di paip...boleh masukkan sebentar ke dalam microwave untuk melembutkan doh..tapi awas jangan sampai cair. (E-na terus paipkan doh tanpa masukan ke dalam microwave, tp kena guna tenaga lebih sket...)

Thursday, February 23, 2012

DAGING MASAK LADA HITAM@BLACK PEPPER



Assalamualaikum dan selamat petang semua. Kali ini kita berkongsi resepi daging masak lada hitam Sarawak pula. Biasanya jika suami ada di rumah saya akan masak ungkep, sate goreng, asam pedas, pelbagai jenis masakan kicap dan sambal daging ini. Hehe... Rupa-rupanya anak-anak dara saya kesedapan makan nasi berlaukkan daging masak lada hitam ini. Bahkan diratah begitu saja pun sedap. Syukur alhamdulillah. Yang sulung minta saya masakkan lagi menu ini. Mari kita lihat resepinya....

Bahan-bahannya:

600 gm daging - hiris nipis
1 sudu besar lada hitam - ditumbuk (halus/kasar ikut suka)
2 biji tomato - potong baji
1 biji bawang holland - potong baji
2 biji capsicum saiz kecil - potong dadu
2 sudu besar kicap cair
2-3 sudu besar kicap manis
2 sudu besar sos tiram
1 sudu kecil tepung jagung - bancuh dengan sedikit air
3 + 1 cawan air
minyak masak

Cara-caranya:

1. Panaskan sedikit minyak dan tumis lada hitam yang ditumbuk hingga wangi. Masukkan daging, kacau rata. Tambahkan 3 cawan air, kacau dan tutup kuali. Perlahankan api. Masak hingga daging empuk.
2. Bila daging mulai empuk dan kering tambahkan 1 cawan air dan kacau. Masukkan kicap cair, kicap manis dan sos tiram. Gaul mesra. Sebaik-baiknya gunakan air panas.
3. Bila kuah sudah mendidih masukkan capsicum, bawang holland dan tomato. Kacau lagi.
4. Bila bahan-bahan tadi hampir layu masukkan pula bancuhan tepung jagung. Kacau hingga kuah pekat dan likat, bolehlah dihidangkan.

*kuantiti untuk kicap cair, kicap manis dan sos tiram bolehlah ditambah mengikut kesesuaian rasa masing-masing*



Wednesday, February 22, 2012

UDANG TUMIS BAWANG PUTIH BERSOS PEDAS



Assalamualaikum dan pagi semua. Di tempat saya hari ini cuaca agak gelap dan hujan sedang turun renyai-renyai. Saya tangguhkan dahulu menjemur kain untuk menulis entri terbaru. Menu dari udang lagi. Udang tumis bawang putih bersos pedas. Resepi yang mudah dan sedap pada saya. Sesekali bertukar selera, lari sekejap dari masakan sambal tumis udang yang boleh dikatakan setiap minggu saya masak untuk suami.
Jom kita kongsikan resepinya pula...

Bahan-bahannya:

500++gm udang saiz besar
sedikit serbuk kunyit
sedikit garam
5 biji bawang putih
11 biji cili api merah
sedikit lada putih kisar
sos tomato*
sos cili*
sos tiram*
kicap masin*
kicap manis*

Cara-caranya:

1. Siang udang, belah belakang, cuci dan toskan. Lumurkan sedikit serbuk kunyit dan garam. Ketepikan.
2. Panaskan minyak, goreng udang hingga bertukar warna kulitnya. Angkat dan toskan minyaknya.
3. Dengan lebihan minyak tadi tumiskan bawang putih yang telah diketuk dan diracik halus bersama lada putih hingga naik bau. Hati-hati sebab bawang putih mudah hangus. Api jangan kuat.
4. Masukkan cili api yang telah dihiris 2 dan kacau sebati.
5. Bila cili api agak layu masukkan bahan-bahan bertanda * secukup rasa, sukatan ikut citarasa tukang masak ya. Kacau lagi.
6. Masukkan udang yang telah digoreng tadi dan gaul secara merata dengan bahan-bahan tumis bersos tadi. Biar seketika di atas api dan bolehlah dihidangkan.

Sunday, February 19, 2012

ROTI NAIK MANIS TABUR KEJU




Assalamualaikum dan selamat petang semua. Hujung minggu ini saya dan anak-anak hanya bersantai di rumah. Masak pun santai-santai juga janji perut terisi. Suami pula sibuk mengikuti lawatan Dato' Ismail Sabri ke Kuching sebagai sebahagian dari tugas beliau. Namanya pun 'goverment servant'. Makan tengahari, minum petang dan makan malam semua sudah tersedia untuk beliau jadi yang di rumah ini pun makan ringkas saja. Hehe...
Roti ini roti naik manis biasa yang saya buat cuma saya taburkan atasnya dengan parutan keju sahaja. Resepi seperti di bawah...

Bahan-bahannya:

500 gram tepung
1/2 cawan gula
secubit garam
1/4 buku butter
3 sudu makan susu tepung
1 paket ibu roti
2 sudu besar gula
air suam secukupnya
3 sudu besar water roux

Cara-caranya:

1. Dalam mangkuk besar, satukan tepung, gula, mentega, garam, susu tepung dan water roux. Gaul sebati.
2. Larutkan 2 sudu besar gula dengan air panas, kemudian campurkan sedikit air sejuk dan masukkan ibu roti. Kacau larut dan biar naik berbuih.
3. Bila larutan ibu roti sudah naik masukkan ke dalam campuran tepung tadi. Gaul sebati.
4. Masukkan air suam sedikit demi sedikit sambil menguli hingga menjadi doh yang cantik dan tidak melekat pada jejari tangan.
5. Rehatkan doh hingga naik sekali ganda, tutup doh tadi dengan tuala dapur lembab.
6. Bila doh telah naik, tumbuk-tumbuk dan uli semula dengan lembut.
7. Bahagikan beberapa bahagian dan bulat-bulatkan cantik. Susun di atas acuan loyang yang telah dilenserkan terlebih dahulu dengan butter.
8. Apabila doh telah naik sekali ganda bakar dalam oven pada suhu 190C selama 45 minit atau hingga masak.
9. Apabila roti telah masak sapu dengan butter dan tabur dengan gula halus di atas permukaannya.

*untuk roti ini saya sapukan di atas permukaannya dengan telur, kemudian tabur gula dan parutan keju sejurus sebelum dibakar*

Thursday, February 16, 2012

DAGING MASAK HITAM ALA SARAWAK



Assalamualaikum dan selamat pagi semua. Curi-curi masa menulis entri kali ini. Serba ringkas dan cepat. Sejak tinggal di Sarawak ini saya selalu dihidangkan dengan masakan daging cara ini tatkala menghadiri majlis makan-makan. Lebih kurang masakan kicap daging kalau kita di semenanjung cuma dalam masakan ini ditambah kerisik, kismis hitam, gula apong dan lainnya. Rasanya unik sedikit bila ditambah bahan-bahan ini.
Resepi saya ambil dari blog masakan kepunyaan Mynoraza iaitu 'Ariff Bonda'. Terima kasih diucapkan. Sesetengah bahan mentah dan sukatannya ada yang saya tukar ikut kesesuaian dan tidak mengikut sepenuhnya resepi ini.
Resepi akan saya letakkan bila ada masa nanti sebab saya kena berhenti untuk melunaskan kerja-kerja rumah. Jumpa lagi nanti, insyaAllah...

Bahan-bahan perap:

500 gram daging - hiris
2 sudu besar kicap pekat karamel
3 sudu besar gula apong (boleh kurangkan)

Bahan-bahan kisar:

3 batang serai
sedikit lengkuas
1 biji bawang besar
7 biji bawang merah
1 ulas bawang putih
15 tangkai lada kering
1/3 cawan prune@kismis hitam

Bahan-bahan tumis:

Rempah tumis 4 sekawan - banyak ikut suka
5 biji bawang merah - dimayang
>< 1-2 sudu besar rempah kurma
2 sudu besar kerisik
minyak masak secukupnya

sedikit air asam jawa
garam secukup rasa

Cara-caranya:

1. Gaul daging bersama kicap pekat dan gula apong secara merata hingga sebati. Perap seketika.
2. Panaskan minyak dan tumis rempah tumis 4 sekawan dan bawang yang dimayang. Bila bawang sudah agak garing (jangan sampai hangus) masukkan bahan-bahan yang dikisar. Kacau sebati.
3. Masukkan rempah kurma dan kacau lagi. Biarkan hingga pecah minyak dan naik bau.
4. Masukkan sedikit air asam dan kacau lagi.
5. Masukkan daging yang diperap tadi dan kacau sebati. Kalau daging sukar empuk tambahkan sedikit air, tutup kuali dan reneh dengan api kecil. Kacau sekali sekala supaya tidak hangus.
6. Masukkan kismis hitam@ prune yang telah dikisar ke dalamnya. Kacau lagi biar mesra.
7. Masukkan kerisik dan gaul sebati. Rasakan masinnya. Masak hingga kuah pekat dan daging benar-benar empuk.

Sedia untuk dihidangkan bersama nasi panas, ketupat nasi, lemang, ketupat daun palas dan juga boleh juga dimakan bersama roti.




Tuesday, February 14, 2012

SOTONG BAKAR BERSAMBAL



Assalamualaikum dan selamat malam semua. Kali ini kita berkongsi resepi sotong bakar bersambal pula. Setelah menikmati keenakan hidangan ini di restoran makanan laut teringinlah pula hendak mencubanya di rumah. Hehehe... Memang sedap menikmati masakan ini bersama nasi panas. Pedas, masam, manis, lemak dan masin semua ada. Jom kita cuba...

Bahan-bahannya:

15 tangkai cili kering - celur dan kisar
3 biji lada merah - dikisar
1 biji bawang besar - dikisar
3 biji bawang merah - dikisar
1 ulas bawang putih - dikisar
3 batang serai - dikisar
sedikit lengkuas - dikisar
sedikit halia - dikisar
sedikit belacan - dikisar
sedikit air asam jawa
garam, gula dan perasa secukupnya
500 gram sotong saiz sederhana besar - potong bulat
aluminium foil
limau kasturi

Cara-caranya:

1. Panaskan minyak dan tumis bahan-bahan kisar hingga naik bau. Tambahkan sedikit air asam jawa sekadar buat rasa-rasa saja.
2. Masukkan garam, gula dan perasa secukupnya. Masak sambal hingga benar-benar mesra. Sedikit lama dengan api perlahan. Keraplah dikacau agar tidak hangus. Sejukkan.
3. Sediakan aluminium foil dan letakkan sotong dan masukkan sambal yang telah siap dimasak tadi. Bungkus rapi.
4. Panaskan pembakar dan bakar selama lebih kurang 15 ke 20 minit.
5. Hidangkan bersama perahan jus limau kasturi.
6. Jika sambal ini lebih bolehlah disimpan di dalam bekas kedap udara dan simpan dalam peti sejuk. Sambal ini bukan saja boleh digunakan untuk membakar sotong, malahan udang dan ikan juga.

KEK COKLAT KUKUS




Assalamualaikum dan selamat malam semua. Mari kita berkongsi resepi kek coklat kukus yang enak rasanya, cepat dan mudah cara penyediaannya. Resepi saya cedok dari Saji Online. Rasanya sudah 3, 4 kali saya membuat kek coklat kukus ini memandangkan anak-anak suka memakannya.


Bahan-bahannya:

1 cawan koko
1 cawan gula
1 cawan margerin cair (saya guna mentega)
1 cawan susu cair
1/2 cawan susu pekat
11/4 tepung
1 sudu kecil serbuk penaik
1 sudu kecil baking soda
3 biji telur (dipukul)

Cara-caranya:

1. Ayak tepung bersama baking powder dan baking soda. Ketepikan.
2. Dalam periuk, masak koko, gula, margerin, susu cair dan susu pekat hingga cair dengan api sederhana. Jangan sampai hangus.
3. Sejukkan.
4. Masukkan telur ke dalam adunan ini dan kacau sebati. Tambahkan dengan tepung dan gaul lagi hingga sebati.
5. Kukus selama 1 jam dan biar sejuk baru dipotong-potong.

Monday, February 13, 2012

UDANG MASAK MASAM MANIS



Assalamualaikum dan selamat petang semua. Menu mudah lagi dari saya, udang masak masam manis. Di Kuching ini mudah hendak mendapatkan udang segar saiz besar dengan harga yang dalam kemampuan kita. Jadi jika saya ke Pasar Satok setiap hari Sabtu udang saiz besar dan udang galah jika ada dijual saya akan membelinya. Lagi pun seminggu sekali saya belanja basah jadi saya beli lauk dan keperluan seminggu terus. Saya bukanlah peminat udang tetapi memandangkan anak-anak dan suami suka, saya pun suka membeli dan memasaknya.

Bahan-bahannya:

500 gram udang saiz besar - digunting sesungut, belah belakang dan cuci bersih
secubit garam
sedikit serbuk kunyit
15 tangkai cili kering dikisar
5 biji bawang merah dikisar
1 ulas bawang putih kisar
sos tomato secukupnya - saya tak sukat
sedikit sos cili - bagi pedas
1/2 sudu kecil pati asam jawa adabi
1 sudu kecil serbuk cukup rasa
sedikit garam dan gula

Cara-caranya:

1. Lumurkan udang bersama garam dan serbuk kunyit, ketepikan.
2. Panaskan minyak dan goreng udang tadi sekadar kulitnya bertukar warna. Angkat dan toskan minyaknya.
3. Dengan lebihan minyak tadi (kalau banyak sila kurangkan), tumis bahan-bahan kisar hingga naik bau.
4. Masukkan sos tomato, sos cili dan asam jawa. Kacau sebati.
5. Masukkan serbuk cukup rasa Knorr, kacau lagi. Rasakan masin dan manisnya barulah masukkan udang yang telah digoreng tadi.
6. Gaulkan udang dengan bahan-bahan tumis tadi hingga mesra dan siap untuk dihidangkan.

TUMIS KERING LABU KUNING



Assalamualaikum dan selamat petang semua. Entri saya kali ini hanya hendak membersihkan sawang di blog suka-suka saya ini yang rasanya agak lama saya biarkan. Sejak menjadi 'supir' anak-anak sekolah dan Adham mula naik tahun satu saya benar-benar sibuk. Hehe... Almaklumlah tuan punya blog ini bila buat kerja agak lambat sedikit.
Sebenarnya labu kuning ini saya hendak masak lemak bersama pucuk manis tetapi pucuk manis terlupa hendak beli jadi saya cuba-cuba masak tumis kering. Alhamdulillah, sedap juga sekali-sekala tukar menu ini. Lagi pun masak apa sekali pun labu ini saya seorang saja yang memakannya. Huhu...

Bahan-bahannya:

1 mangkuk labu kuning - potong dadu
1/2 genggam ikan bilis
3 biji bawang merah
seulas bawang putih
3 biji lada merah - dihiris
sedikit belacan
garam, gula dan perasa secukupnya
sedikit air
sedikit minyak masak

Cara-caranya:

1. Tumbuk bawang merah, bawang putih dan ikan bilis agak lumat ketepikan.
2. Panaskan sedikit minyak dan tumiskan bahan-bahan yang ditumbuk tadi bersama belacan. Masukkan cili merah yang telah dihiris tadi. Kacau hingga pecah minyak.
3. Tambahkan garam, gula dan perasa secukupnya. Kacau lagi.
4. Masukkan labu kuning dan sedikit air. Kacau dan tutup kuali seketika.
5. Bila labu kuning empuk bolehlah ditutup api dan sedia untuk dihidangkan.