Thursday, February 23, 2012

DAGING MASAK LADA HITAM@BLACK PEPPER



Assalamualaikum dan selamat petang semua. Kali ini kita berkongsi resepi daging masak lada hitam Sarawak pula. Biasanya jika suami ada di rumah saya akan masak ungkep, sate goreng, asam pedas, pelbagai jenis masakan kicap dan sambal daging ini. Hehe... Rupa-rupanya anak-anak dara saya kesedapan makan nasi berlaukkan daging masak lada hitam ini. Bahkan diratah begitu saja pun sedap. Syukur alhamdulillah. Yang sulung minta saya masakkan lagi menu ini. Mari kita lihat resepinya....

Bahan-bahannya:

600 gm daging - hiris nipis
1 sudu besar lada hitam - ditumbuk (halus/kasar ikut suka)
2 biji tomato - potong baji
1 biji bawang holland - potong baji
2 biji capsicum saiz kecil - potong dadu
2 sudu besar kicap cair
2-3 sudu besar kicap manis
2 sudu besar sos tiram
1 sudu kecil tepung jagung - bancuh dengan sedikit air
3 + 1 cawan air
minyak masak

Cara-caranya:

1. Panaskan sedikit minyak dan tumis lada hitam yang ditumbuk hingga wangi. Masukkan daging, kacau rata. Tambahkan 3 cawan air, kacau dan tutup kuali. Perlahankan api. Masak hingga daging empuk.
2. Bila daging mulai empuk dan kering tambahkan 1 cawan air dan kacau. Masukkan kicap cair, kicap manis dan sos tiram. Gaul mesra. Sebaik-baiknya gunakan air panas.
3. Bila kuah sudah mendidih masukkan capsicum, bawang holland dan tomato. Kacau lagi.
4. Bila bahan-bahan tadi hampir layu masukkan pula bancuhan tepung jagung. Kacau hingga kuah pekat dan likat, bolehlah dihidangkan.

*kuantiti untuk kicap cair, kicap manis dan sos tiram bolehlah ditambah mengikut kesesuaian rasa masing-masing*



No comments:

Post a Comment