Sunday, February 19, 2012

ROTI NAIK MANIS TABUR KEJU




Assalamualaikum dan selamat petang semua. Hujung minggu ini saya dan anak-anak hanya bersantai di rumah. Masak pun santai-santai juga janji perut terisi. Suami pula sibuk mengikuti lawatan Dato' Ismail Sabri ke Kuching sebagai sebahagian dari tugas beliau. Namanya pun 'goverment servant'. Makan tengahari, minum petang dan makan malam semua sudah tersedia untuk beliau jadi yang di rumah ini pun makan ringkas saja. Hehe...
Roti ini roti naik manis biasa yang saya buat cuma saya taburkan atasnya dengan parutan keju sahaja. Resepi seperti di bawah...

Bahan-bahannya:

500 gram tepung
1/2 cawan gula
secubit garam
1/4 buku butter
3 sudu makan susu tepung
1 paket ibu roti
2 sudu besar gula
air suam secukupnya
3 sudu besar water roux

Cara-caranya:

1. Dalam mangkuk besar, satukan tepung, gula, mentega, garam, susu tepung dan water roux. Gaul sebati.
2. Larutkan 2 sudu besar gula dengan air panas, kemudian campurkan sedikit air sejuk dan masukkan ibu roti. Kacau larut dan biar naik berbuih.
3. Bila larutan ibu roti sudah naik masukkan ke dalam campuran tepung tadi. Gaul sebati.
4. Masukkan air suam sedikit demi sedikit sambil menguli hingga menjadi doh yang cantik dan tidak melekat pada jejari tangan.
5. Rehatkan doh hingga naik sekali ganda, tutup doh tadi dengan tuala dapur lembab.
6. Bila doh telah naik, tumbuk-tumbuk dan uli semula dengan lembut.
7. Bahagikan beberapa bahagian dan bulat-bulatkan cantik. Susun di atas acuan loyang yang telah dilenserkan terlebih dahulu dengan butter.
8. Apabila doh telah naik sekali ganda bakar dalam oven pada suhu 190C selama 45 minit atau hingga masak.
9. Apabila roti telah masak sapu dengan butter dan tabur dengan gula halus di atas permukaannya.

*untuk roti ini saya sapukan di atas permukaannya dengan telur, kemudian tabur gula dan parutan keju sejurus sebelum dibakar*

No comments:

Post a Comment