Wednesday, December 30, 2009

RUMAHKU MASUK PAPER DAN BERITA TV3


Kediaman saya yang di sebelah kiri dan terpasang lampu tu.


Assalamualaikum semua. Entri yang saya hendak buat hari ini saya tegaskan tiada berkaitan dengan sesiapa dan hanya untuk berkongsi dengan rakan blogger yang lain. Bukan juga untuk bergossip ya. Begini sekitar waktu Zohor Isnin lepas saya terdengar jiran sebelah baru pulang dari membeli-belah keperluan 4 anak-anak yang akan mula naik sekolah. Saya kenal rapat budak-budak ini dan yang paling kecil menjadi kesayangan saya dan anak-anak perempuan. Cute dan cerdik budaknya. Manakan tidak berdarah campuran Melayu-Cina di sebelah ummi dan Melayu- India di sebelah babah. Tiba-tiba saya terdengar ada lelaki meninggikan suara macam gedebe lagaknya dan pintu grill ditutup. Gementar juga saya dan anak-anak, hero yang ada pun baru hendak masuk 5 tahun. Saya memberanikan diri membuka pintu, hendak tengok juga siapa yang marah-marah ni. Rupanya 'tetamu' jiran sebelah. Oklah, saya tutup pintu. Tidak lama kemudian, 5-6 buah kereta termasuk kenderaan pacuan 4 roda berhenti dan parking di perkarangan kediaman kami. Saya hanya mengintip dari celah-celah tingkap. Sebenarnya saya tahu juga cerita jadi saya bimbang macamanalah kalau jiran saya ini dikeroyok oleh lebih kurang 20 orang 'tetamu'nya termasuk ayah mertua barunya. Saya telefon suami di opis dan memaklumkan keadaan kepada isteri pertama yang waktu itu berada di Kuala Lumpur. Azan Asar pun berkumandang, rumah kami dekat dengan masjid. Seusai solat Asar, jemaah masjid pun datang melihat keadaan.Makin ramai le orang, saya dan anak-anak memang tidak keluar-keluar. Tidak lama orang press dan TV3 pun datang. Anggota polis pun ada sama. Kecoh tapi masih terkawal sebab masing-masing rasional. Hampir Maghrib suami pulang dari kerja tetapi tidak dapat masuk perkarangan rumah sebab jalan dah kena block dengan kereta-kereta lain. Keadaan berlanjutan hinggalah menjelang Maghrib dan Isya'. Malam dalam pukul 10 lebih saya, anak-anak dan suami keluar hendak membuang sampah dan minum-minum di Kopitiam Kemamaan, pulang ada 4 kenderaan lagi yang diletak di sekitar kediaman saya. Hampir pukul 3 pagi baru saya dapat melelapkan mata. Suami kata buat khemah aje le senang (merujuk pada kaki-kaki yang mengawasi itulah). Malam tu suami ada juga bercakap di telefon dengan si suami dan saya pula dengan anak mereka yang sulung. Bukan apa saya bimbang dengan budak-budak 6 orang tu. Dah makan ke belum sebab terkurung dari Zohor. Bayangkanlah. Saya hendak pergi sebelah pun takut. Alhamdulillah semuanya ok, mama baru pun baik. Mereka berkawal sampai pagi. Subuh-subuh sudah tercegat press dan orang TV3. Susah juga kerja mereka mencari berita ni. Saya memang tidak keluar rumah kecuali ketika menghantar suami ke pintu pagar semasa beliau hendak kerja. Yang lain-lain bolehlah baca kat paper ya. Kosmo, Berita Harian, Utusan Malaysian, Harian Metro dan Sinar Harian pun ada cuma mungkin apa yang dilaporkan ada benar dan tidak benarnya.. Saya cukup kasihan dengan isteri pertama, beliau bukan calang-calang perempuan. Selain cantik, beliau juga berkelulusan ijazah perakaunan dari UK. Melihat anak-anak yang tidak berdosa... Mudah-mudah Allah SWT sentiasa memberi kekuatan dan ketabahan pada beliau. Buat si suami dan isteri barunya ( mereka menikah semula di sempadan jadi sah perkahwinan itu dan tinggal didaftarkan) mudah-mudahan berjumpa dengan kebahagiaan yang dicari. Siapalah saya hendak menilai dan menghukum... Perjalanan hidup saya pun mungkin masih jauh lagi... Nauzubillah...

Monday, December 28, 2009

SAMBAL UDANG TEMPOYAK



Assalamualaikum semua. Mudah-mudahan berbahagia hendaknya. Sambal udang tempoyak ini sudah lama saya teringin membuatnya tetapi bimbang tiada sambutan. Jadi untuk menu seterusnya saya sediakan juga lauk ikan pari masak asam pedas buat suami. Sambal udang tempoyak ini hanya saya dan anak sulung sahaja yang makan. Sedap dimakan bersama nasi panas dan berulamkan timun. Resepinya saya ambil dari internet juga cuma lain kali jika saya masak menu yang sama saya akan kurangkan minyak untuk menumisnya. Seperti biasa resepi sedia ada saya olah sedikit mengikut selera.

Bahan-bahannya:

400 gram udang sederhana besar dibuang kulit
9 biji cili api
1 biji cili merah
3 biji bawang merah
1 biji bawang putih
2-3 sudu besar tempoyak
3 keping asam keping
sedikit garam
sedikit gula
minyak secukupnya untuk menumis

Cara-cara membuatnya:

1. Tumbuk cili api, cili merah, bawang merah dan bawang putih hingga lumat.
2. Panaskan minyak dan tumiskan bahan tumbuk tadi hingga masak. Masukkan asam keping.
3. Masukkan tempoyak, garam dan gula. Kacau sebati.
4. Akhir sekali masukkan udang, gaul dengan tumisan tempoyak dan angkat. Kalau suka boleh tambah sedikit air.

Sunday, December 27, 2009

KARI DAGING DAN ROTI JALA





Assalamualaikum semua. Sudah lama saya tidak mengemaskini blog, sekembali dari bercuti badan terasa letih benar dan mood hendak menaip pun tiada. Malas rasanya, sampaikan suami pun bertanya bila hendak buat entri baru. Hehe.. Lagi pun saya tengah melayan telenovela Korea 'All About Eve'. Ada ke lelaki sesempurna hero dalam cerita ini? Apa pun yang menarik hati saya menonton drama ini ialah heroinnya Chae Rim. Comel dan manis sekali. Berbalik pada kari daging dan roti jala yang saya baru hendak buat entrinya, walhal sudah lama gambarnya menghuni kamera saya. Roti jala ini resepinya saya ambil dari internet, saya pun sudah lupa dari sumber mana. Rasanya sedap dan tetap lembut sampai ke malam. Kari daging ini semua orang boleh masak. Kacang sahaja, cuma kadang-kadang ikut nasib sedap tidak sedapnya...

Tuesday, December 22, 2009

MEE GORENG



Hidangan makan malam tadi, mee goreng sahaja. Masak lebih sebab ingatkan hendak bagi jiran sebelah tetapi rupa-rupanya jiran dan anak-anak pergi Kuala Lumpur. Hehe... Banyak lebih ni, siapa nak? Hehe...

PERJALANAN PULANG KE KOTA BHARU

Pantai Rhu Sepuluh yang sangat indah. Angin bertiup kencang, ombak besar menghempas pantai. Maha Suci Allah dalam alam ciptaanNya.


Sotong segar goreng tepung dan cendol pulut. Nyum nyum...

Deretan bot-bot nelayan dan taman permainan serta tempat untuk bersantai.

Di Mydin Mall.

Assalamualaikum semua. Alhamdullilah, semalam petang kami selamat sampai ke Kota Bharu. Kami check out awal dari Ri-Yaz, kononnya hendak ke perpustakaan lagi sebab novel yang dibeli untuk Syuhadah semalam telah habis beliau baca tetapi akhirnya tidak jadi. Kami hanya singgah di Pusat Dagangan Terengganu kononnya hendak melihat karnival batik tetapi malangnya karnival tersebut telah tamat semalamnya. Kami menuju ke Mydin Mall, sekadar suka-suka. Ramainya orang, pusing-pusing baru dapat tempat untuk meletak kereta, itu pun agak jauh. Tidak lama kami di situ setelah membelikan baju Ben 10 untuk Adham kami pun meneruskan perjalanan pulang. Kami singgah lagi di Pantai Rhu Sepuluh untuk menikmati sotong goreng tepung segar. Sambil makan badan terasa segar ditiup angin. Ada taman permainan kanak-kanak, Adham merengek-rengek hendak bermain tetapi kami tidak dapat memenuhi permintaannya sebab Adham kalau sudah main tidak mahu berhenti. Ada juga dereten bot-bot nelayan di sini. Cuma yang tidak syoknya banyak tahi lembu dan ada yang sudah kering dan dilenyek tayar kenderaan, kalau tidak berhati-hati kita pun boleh terpijak sama. Menulis pasal lembu ini saya ingin berkongsi cerita lucu di mana pada malam pertama di Kuala Terengganu kami nampak sekumpulan kecil lembu masuk ke dalam kawasan membelibelah Giant. Lembu pun hendak shopping juga. Hehehe... Saya dan anak-anak tergelak macam hendak pecah perut. Astaghfirullah. Kami singgah solat di Masjid Besut. Cantik dan bersih masjidnya. Sebelum pulang ke rumah kami singgah di Taman Perbadanan Tengku Anis untuk mengajak Adham bermain gelongsor. Kasihan pula padanya. Kami selamat sampai di rumah pada jam 6 petang.

Sunday, December 20, 2009

MENGINAP DI RI-YAZ HERITAGE, PULAU DUYONG


Di serambi chalet pada waktu malam. Nyaman dan menenangkan.




Anak-anak gadis saya yang manis...



Adham dan Hamimah riang bermain gelongsor. Membelakangkan kolam renang yang luas dan membiru.


Syuhadah leka membaca novel yang baru saya beli tengahari tadi.

Pohon-pohon bergoyang dan daunnya terbuai-buai ditiup angin agak kuat. Seronoknya...

Bergambar di Muzium Negeri Terengganu
.
Naik semput mendaki tangga masuk ke muzium, ini baru tangga belum keluasan dan cabang-cabangnya lagi serta tangga-tangga yang perlu ditapak dari satu tingkat ke tingkat yang lainnya.



Dari dalam tren.



Adham kata pohon krismas Mr Bean. Sukanya dia.
.

Breakfast di MacDonald Wakaf Che Yeh sebelum meneruskan perjalanan.

Assalamualaikum semua.Pagi Sabtu lepas saya dan keluarga bertolak ke RI-YAZ Hertitage di Pulau Duyong selama 3 hari 2 malam. Dalam perjalanan kami singgah ke restoran MacDonald di Wakaf Che Yeh yang baru dibuka untuk bersarapan. Gembira sungguh anak-anak dapat makan di sini, Adham pula seronok bermain gelongsor di playground yang disediakan. Kami memang jarang-jarang menjamu selera di sini sebab makanannya tidak sesuai dengan selera suami. Lagi pun Kelantan lebih popular dengan nasi berlauknya yang dijual dari awal pagi hingga ke tengahmalam. Lauknya pula lauk kampung, yang menjadi kegemaran suami. Sampai di Pulau Duyong hampir pukul 2 petang. Lepas check-in kami pun lepak di chalet. Cantik dan bersih benar tempat ini. Angin pula bertiup kencang membuatkan terasa amat nyaman. Cuaca pula alhamdulillah, tidak panas dan redup sentiasa. Tadi seusai sarapan pagi kami melawat Muzium Negeri yang tidak sempat kami kunjungi ketika bercuti di sini. Luas benar kawasan muzium ini dan bertangga pula. Rasa tidak larat hendak mendaki tangga dan meneroka setiap sudut muzium tetapi mengenangkan anak-anak saya gagahkan juga untuk menapak. Maklumlah bila sudah berumur ini, stamina sudah kurang. Berbunga rasa hati melihat Adham dan kakak-kakaknya gembira dan teruja melihat bahan-bahan serta tinggalan sejarah yang dipamerkan. Syuhadah sempat sms guru Sejarahnya Cikgu Iman tentang lawatan ini. Menurut Cikgu Iman muzium ini merupakan muzium yang terbesar di Asia Tenggara, patutlah... Kami juga sempat menaiki tren mengelilingi kawasan luar muzium. Pulang dari muzium kami singgah pula di Perpustakaan Negeri dan sempat membeli novel untuk anak-anak dan t.shirt Upin dan Ipin untuk Adham. Tidak sabar-sabar Adham hendak mencubanya. Hehe... Sampai ke chalet saya dan suami terus melelapkan mata sementara anak-anak menunaikan solat jamak takdim. Kami solat jamak takhir sahaja sebab keletihan. Hehe.. Petangnya saya dan anak-anak menemani Adham bermain gelongsor lagi. Nampaknya Adham sudah tidak teruja lagi melihat kolam renang. Syukur sebab bila Adham sudah masuk ke kolam renang memang payah untuk memujuk dia naik. Esok kami akan bertolak pulang. Ingin rasanya hendak ke sini semula sebab suasananya amat mendamaikan dan rata-rata tetamunya orang kita dan berkeluarga. Mandi di kolam pun masih sopan berpakaian. Tidak seperti di Pulau Perhentian dan Villa Danilla, Tok Bali. Pakaian mandi mengalahkan orang bukan Islam. Bukan sahaja sakit mata, hati pun sakit melihatnya. Suami kata insyaallah bila ada masa lapang dan waktu anak-anak bercuti.

MAJLIS MAKAN MALAM DI RESTORAN SHAM BUNGAMAS











Assalamualaikum semua. Malam Sabtu lalu saya dan keluarga menghadiri majlis makan malam dan kesyukuran yang dianjurkan oleh pejabat suami. Lebih kurang seramai 30 keluarga yang memeriahkan majlis ini di samping persembahan dikir barat dan acara cabutan bertuah serta dari hati ke hati. Makanan yang dihidangkan juga sedap-sedap dan memenuhi selera. Acara bermula jam 8 malam dan berakhir hampir jam 11 malam.

Friday, December 18, 2009

SELAMAT MENYAMBUT MAAL HIJRAH DAN ROTI NAIK





Assalamualaikum dan selamat menyambut awal Muharram buat semua. Mudah-mudahan dengan kehadiran tahun baru ini membawa rahmat kepada kita semua. Roti naik ini merupakan hidangan minum petang buat kami sekeluarga. Resepinya hasil dari gabungan resepi mak usu sebelah suami dan adik saya Noni. Alhamdulillah hasilnya tidak mengecewakan dan sudah banyak kali saya membuatnya. Anak-anak pun gemar makan roti naik versi saya ini. Kelembutan roti ini tetap terasa walaupun dimakan keesokkan harinya.

Bahan-bahannya:
500 gm tepung gandum
1 paket mauripan
1/2 cawan gula pasir
4 sudu besar susu tepung
1/4 buku mentega
air secukupnya untuk menguli

Cara-caranya:
1. Masukkan tepung, gula pasir , mentega dan susu tepung di dalam bekas. Gaul sebati.
2. Bancuh 1 sudu besar gula dengan setengah cawan air suam hingga larut. Kemudian masukkan ibu roti mauripan, kacau hingga larut. Rehatkan ibu roti tadi hingga naik sekali ganda.
3. Buat lubang di tengah-tengah campuran tepung tadi dan curahkan ibu roti di dalamnya. Gaul sebati.
4. Masukkan air sedikit demi sedikit dan uli adunan tadi hingga menjadi doh. Tutup dengan tuala lembab dan rehatkan.
5. Bila adunan naik sekali ganda tumbuk-tumbuk dan uli sekali lagi. Rehatkan semula dan bila naik adunan tadi, tumbuk-tumbuk kemudian uli dan bulat-bulatkan dan susun dalam loyang dan rehatkan semula.
6. Bila adunan naik sekali ganda, bakar dalam kepanasan 190 celcius selama 35 minit.
7. Bila roti telah masak, keluarkan dan sapu di atasnya dengan mentega dan gula.