Monday, December 7, 2009

JALAN-JALAN DENGAN KELUARGA

Hari ini saya dan keluarga jalan-jalan cuci mata. Kebetulan suami bercuti rehat hingga Selasa. Rancangannya kami hendak ke Kuala Lumpur tetapi terpaksa dibatalkan sebab khabarnya Jalan Gua Musang ke Kuala Lumpur rosak teruk sebab banjir tempohari. Lagi pun keadaan cuaca masih tidak menentu jadi bimbang juga. Makan tengahari tadi kami di Selera Daun Pisang di Pengkalan Chepa. Nasi berlauk kerutup ayam kampung ini adalah pilihan saya.

Nasi berlauk ayam kampung goreng berempah pilihan Noor Hamimah.

Noor Syuhadah pula memilih nasi berlauk gulai daging.

Adham pula macam biasa, hanya memerhati kami makan. Untuk mengelakkan dia meragam, saya rasuah dengan mainan Ben 10 dulu. Hehe.. Yang itu tangan suami. Tidak sempat hendak mengambil gambar nasi pilihannya sebab sudah hampir licin. Rasanya kerutup ayam juga.
.
Selepas makan kami ke Muzium Perang. Anak-anak bergambar berlatarbelakangkan beca, kereta lembu, volkswagen, lanca dan lainnya. Bangunan di belakang yang kelihatan unik itulah Muzium Islam yang sedang diubahsuai tetapi tidak nampak pun kerja-kerja pengubahsuaian dijalankan. Sedih betul...

Anak-anak membelakangkan kereta kebal dan perahu yang membawa tentera Jepun mendarat di Tanah Melayu.

Berlatar belakangkan periuk api (besar betul, ngeri melihatnya) dan peluru mortar.

Plak (betul ke, tak tau le nak sebut apa) menerangkan tentang Memorial Peperangan Dunia Kedua atau Bank Kerapu. Hajat hati hendak ke Muzium Islam di sebelahnya tidak menjadi kenyataan sebab muzium tersebut sedang diubahsuai. Sudah bertahun rasanya tetapi tidak siap-siap.

Menghilangkan dahaga di Restoran Ani Sup Utara. Tempat cantik dan selesa, Adham pun suka..

Selesai minum, kami ke Pasar Buluh Kubu pula. Sementara suami dan anak-anak solat di Musolla yang disediakan, saya dan Adham mengambil kesempatan mencuci mata. Kasihan Adham sebab sudah mula bersin-bersin. Rata-rata peniaga menjual barangan berasaskan batik dan tudung bawal berbagai jenis di samping barangan lainnya. Sudah terlanjur ke sana, kami membeli kain tudung, kemeja batik, kain pelikat dan rantai tangan untuk Hamimah.

Pulangnya, saya berehat sebentar dan terus ke dapur. Inilah hidangan ringkas yang saya sediakan sebab badan sudah penat. Ikan goreng dan sup suhun, fucuk, kentang dan telur. Ada tempoyak dan sambal belacan juga. Suami ajak keluar tetapi saya menolak sebab tidak mahu tertinggal episod akhir cerita Nenek Kebaya yang tidak dapat saya ikuti pada sebelah petangnya. Hehe.. Kalau dah surirumah tu macam inilah..

No comments:

Post a Comment