Wednesday, March 23, 2011

SAMBAL TUMIS UDANG+SOTONG KECIL



Bahan-bahannya:

500 gm udang saiz sederhana
500 gm sotong saiz kecil
3 senduk cili kisar
3 biji bawang besar kisar
2 ulas bawang putih kisar
1 inci belacan kisar
air asam jawa
garam dan gula
1 biji bawang besar kuning dipotong bulat

Cara-caranya:

1. Kupas kulit udang dan tinggalkan hanya bahagian ekornya sahaja. Rebus kulit udang tadi dan toskan air rebusannya.
2. Dalam periuk masak sotong hingga airnya kering.
3. Untuk mengisar bahan-bahan kisar, gunakan sebahagian air rebusan udang dan ramaslah asam jawa. Gunakan air tersebut untuk mengisar bahan-bahan tadi.
4. Dalam kuali, tumiskan bahan-bahan kisar hingga pecah minyak dan naik bau. Tambahkan garam dan gula secukupnya. Masukkan sotong dan udang. Gaul sebati. Sekiranya sambal terlalu pekat bolehlah masukkan lebihan air rebusan udang tadi. Masukkan bawang besar yang dipotong bulat dan kacau lagi.
5. Biarkan seketika di atas api atau hingga udang masak. Hidangkan.

KARI AYAM+KENTANG TANPA SANTAN



Assalamualaikum dan selamat pagi semua. Biasanya saya masak kari ayam sewaktu suami bekerja luar daerah sebab beliau sudah awal-awal berpesan agar ayam jangan dimasak kari. Alasannya tidak suka. Hehe... Anak-anak suka jadi saya masakan untuk mereka. Saya pula memang jarang menggunakan santan jika memasak kari sebab selain tahan lama ianya juga tidak cepat muak dimakan.

Bahan-bahannya:

500 gm ayam dibuang kulit dan dipotong ikut suka
3 biji kentang dikupas kulit dan dipotong 4
1 senduk cili kisar
3 biji bawang besar kisar
1 inci halia kisar
3 ulas bawang putih kisar
1 paket rempah kari daging FAIZA
1 batang kayu manis
5 kuntum bunga cengkih
3 biji buah pelaga
2 kuntum bunga lawang
7 biji bawang merah dimayang halus
sedikit air asam jawa
garam dan gula secukup rasa
air

Cara-caranya:

1. Campurkan bahan-bahan kisar bersama air asam jawa dan serbuk kari. Gaul sebati dan jadikan pes. Ketepikan.
2. Dalam periuk tumiskan bawang kecil yang dimayang bersama kulit kayu manis, bunga cengkih, buah pelaga dan bunga lawang hingga pecah minyak dan naik bau.
3. Masukkan pes kari tadi dan kacau sebati. Setelah pes tadi agak garing, masukkan potongan ayam dan kacau sebati.
4. Tambahkan air paras-paras ayam dan masak hingga kuah pekat dan ayam 3/4 empuk barulah tambahkan kentang dan sedikit air lagi. Kacau sebati.
5. Bila kentang mulai empuk masukkan garam dan gula secukup rasa.
6. Bila kuah menggelegak tutup api dan sedia untuk dihidangkan.

Tuesday, March 22, 2011

CENDERAHATI DARI SABAH...





Assalamualaikum semua. Suami yang baru pulang dari taklimat di Kota Kinabalu membelikan kami kaum hawa yang di rumah rantai leher, rantai tangan dan kerongsang dari Sabah. Cantik dan berkilau-kilau. Alhamdulillah dan terima kasih buat beliau.

Saturday, March 19, 2011

TAT KEJU BLUEBERRY


tat yang agak hangsus sebab sewaktu saya bakar kali ke 2 saya lupa nak set timer sebab leka menyuapkan anak makan. hehe....

Assalamualaikum semua. Entri membersihkan sawang blog saya yang ke dua adalah tat keju blueberry. Inilah kali pertama saya mencubanya. Anak-anak memang suka. Biasanya kalau terasa hendak makan saya hanya beli di kedai kek sahaja. Saya memang tidak yakin hendak mencubanya. Ada perasaan macam tidak menjadi sahaja jika saya membuatnya. Keinginan tersebut saya pendam dari sejak menetap di Kota Bharu dulu. Hehe...
Alhamdulillah percubaan saya berhasil juga. Resepinya saya ambil dari blog Pn Azita Zain yang saya rasa memang ikhlas dan tidak lokek berkongsi ilmunya. Moga beliau sentiasa dirahmati Allah dan dilimpahkan rezeki yang berkat. Terima kasih juga buat Yusa Sari kerana beliaulah pencetus keberanian saya mencuba tat yang saya rasa amat sukar untuk menyediakannya ini.

MEE GORENG BASAH



Bahan-bahan:

500 gm mee kuning
350 gm udang basah
1/2 cawan hirisan daging ayam
1 keping kek ikan
1 ikat sawi
air rebusan kulit udang
3 biji lada merah kisar
5 biji bawang merah kisar
2 ulas bawang putih kisar
sedikit kicap kuetiaw
sedikit kicap pekat
sedikit garam

Cara-caranya:

1. Kupas udang dan tinggalkan hanya bahagian ekornya. Rebus kulit udang tadi.
2. Tapis air rebusan udang untuk dibahagikan bagi mengisar dan selebihnya diketepikan.
3. Tumis bahan-bahan kisar hingga naik bau. Masukkan udang, hirisan daging ayam dan kek ikan (kek ikan ini saiznya agak besar jadi cukup hanya sekeping digunakan).
4. Apabila bahan-bahan tadi hampir masak, masukkan garam, kicap kuetiaw dan kicap pekat. Kacau sebati.
5. Masukkan sawi yang telah dipotong. Kacau seketika dan tambahkan mee kuning. Kacau sebati.
6. Masukkan lebihan air rebusan kulit udang tadi dan kacau lagi. Biarkan seketika di atas api dan kacau sekali sekala dan bolehlah dihidangkan.