Tuesday, November 1, 2011

UNGKEP AYAM


Assalamualaikum dan selamat pagi semua. Setiap hari terfikir dan tercari-cari idea hendak masak apa untuk santapan suami dan anak-anak. Kadang kala buntu juga jadinya. Hendak masak menu yang sama menjadikan langkah saya makin memberat ke dapur. Jemu, hendak cuba yang baru bimbang suami tidak suka pula. Bukan sekali dua percubaan saya mempelbagaikan menu mendapat teguran suami. Kalau kena dengan selera beliau, alhamdulillah dan jika tidak 'ku pendam sebuah duka'lah. Hehehe...
Apa pun resepi ungkep ini tiada kena mengena dengan kenyataan yang di atas sebab emak mertua selalu juga memasaknya. Suami ingat saya masak lauk ayam masak sate sebab rasanya seakan-akan sate. Biasalah, sebab rempah yang ada pada ungkep ini digunakan juga dalam penyediaan sate. Yang seronoknya suami makan berselera sungguh dan anak-anak pula saya gorengkan ayam perap ala cina. Memang licin.



Ini bukanlah kali pertama saya membuat entri tentang ungkep ayam ini. Rasanya selain ayam saya juga pernah juga membuat entri hati masak ungkep. Resepi tetap sama cuma saya tambah dengan 1 ketul kiub ayam dan gula apong di dalamnya. Di semenanjung, gula apong ini lebih kurang seperti manisan dan gula melaka.

Bahan-bahannya:

1/2 ekor ayam dipotong
bawang besar kisar
bawang merah kisar
bawang putih kisar
sedikit halia kisar
sedikit kunyit hidup kisar
serai dititik
sedikit air asam jawa
sedikit gula apong
kiub ayam
sedikit ketumbar, jintan halus dan jintan kasar kisar
garam secukupnya
1 biji kentang potong baji
cili api sebiji-sebiji

Cara-caranya:

1. Gaulkan ayam dengan semua bahan-bahan di atas kecuali kiub ayam. Perap seketika.
2. Panaskan sedikit minyak dan tumis ayam yang diperap tadi. Kacau rata. Tambahkan sedikit air hanya paras-paras ayam. Kacau lagi.
3. Tutup kuali dan sederhanakan api. Bila kuah mendidih masukkan kiub ayam.
4. Bila kiub ayam sudah larut dalam kuah, kacau sebati dan masukkan kentang yang dipotong baji tadi. Kacau dan tutup semula kuali.
5. Kacau sekali sekala dan masukkan pula cili api. Apabila cili mulai layu, tutup api dan bolehlah dihidangkan.

*kuantiti bahan-bahan yang diperlukan bergantung pada saiz ayam yang hendak dimasak, sebab itu saya hanya tuliskan begitu sahaja kecuali kentang*


2 comments:

  1. assalam anis mesti sedap ungkep ayam ni, kalo rasa ala2 sate

    ReplyDelete
  2. sedapnya.. suka masuk sini tengok masakan anis

    ReplyDelete