Tuesday, November 10, 2009

TELUR DADAR IKAN BUDU



Assalamualaikum kepada yang sudi menziarahi blog suka-suka saya. Alhamdulillah, sudah 3 hari ini bandar Kota Bharu cerah cuacanya. Kadang-kadang sahaja mendung dan hujan menjelma. Buat surirumah yang ramai anak kecil tentu tersenyum lebar dan amat bersyukur sebab pastinya jemuran kain yang banyak akan kering dan memudahkan lagi kerja. Hari ini saya mencuba resepi telur dadar ikan budu atau lebih dikenali dengan ikan pekasam. Ikan budu ini selalu timbul tatkala musim hujan begini. Sebelum ini pun ada ternampak ikan budu ini tetapi kali ini suami tergerak untuk mencuba. Lebih-lebih lagi ada seorang pelanggan yang bersungguh-sungguh mempromosikannya. Memang sedap walau digoreng begitu sahaja. Kali ini saya cuba buat telur dadar pula sebab saya pernah menikmati juadah ini. Kakak jiran sebelah yang bagi sebelum beliau berpindah. Cara-cara membuatnya juga Kak Yah yang ajarkan tetapi saya ingat-ingat lupa sebab sudah lama. Mula-mula ikan budu digoreng garing. Ketepikan dan disiat-siat menggunakan garpu. Lebihan minyak tadi digunakan untuk menumis hirisan bawang dan lada merah. Kalau suka pedas gunalah cili padi. Gaulkan ikan budu tadi dengan 3 biji telur yang telah dipukul dan tuangkan dalam tumisan bahan-bahan hiris yang agak garing. Goreng sampai telur masak. Sedap dimakan dengan nasi panas. Namun sesiapa yang menghidap penyakit darah tinggi beringatlah ketika makan ikan budu ini takut memudaratkan kesihatan.

No comments:

Post a Comment