Sunday, August 29, 2010

ROTI JALA DAN KARI DAGING BERKENTANG


Assalamualaikum dan selamat tengahari semua. Jumaat dan Sabtu saya ke dapur hanya untuk masak nasi dan menyediakan minuman untuk berbuka. Hujung minggu ini jadual agak padat sebab sibuk membeli persiapan hari raya untuk anak-anak jadi saya tidak sempat memasak. Di mana-mana pasaraya dan jalan-jalan raya di Kota Bharu sesak dengan orang dan kereta. Gambaran biasa sewaktu Ramadhan hampir ke penghujungnya. Hendak atau tidak semuanya sudah menjadi hukum adat. Yang amat menyedihkan hati saya ini adalah Ramadhan yang terakhir saya dan keluarga di bumi Kota Bharu ini sebab suami akan bertukar kerja ke tempat lain selepas Syawal...

Roti jala dan kari daging ini merupakan hidangan berbuka kami minggu lepas. Biasalah kesibukkan membuat saya tidak berkesempatan membuat entri baru. Jom kita kongsi resepi roti jala...

Bahan-bahannya:

2 cawan tepung
11/2 - 2 cawan air
1 cawan santan pekat
secubit garam
1 biji telur
beberapa titik pewarna kuning

Cara-caranya:

1. Masukkan semua bahan dalam mangkuk dan gaul sebati.
2. Masukkan ke dalam pengisar dan kisar hingga halus.
3. Panaskan kuali non stik dan gunakan acuan roti jala untuk mengirai adunan tadi. Buat hingga habis.



Kari daging berkentang ini saya buat lagi tanpa santan. Bahan-bahan dan cara-caranya saya buat sepertimana resepi kari daging kambing tanpa kentang. Sesiapa yang sudi dan berhajat mencuba resepi ini bolehlah merujuk entri saya yang terdahulu di bawah label lauk pauk.

No comments:

Post a Comment