Friday, November 2, 2012

ROTI - dari doh cinnamon pull apart bread



Assalamualaikum dan salam sejahtera buat semua. Pagi Jumaat yang serba lembab, sejuk, nyaman dan berkat. Hujan renyai-renyai dengan matahari malu-malu bersinar diliputi gelap awan. Hehehe... Ok, entri tentang roti pula. Anak-anak memang suka roti yang berserbuk kayu manis ini. Untuk dohnya saya ambil dari resepi 'cinnamon pull apart bread'. Resepi asal saya ambil di Joy the Baker.

Rasanya memang sedap dan teksturnya amat lembut dengan aroma kulit kayu manis yang sangat harum.


Bahan-bahannya:

3 cawan tepung gandum
1/4 cawan gula
2 1/4 sudu kecil yis
1/2 sudu kecil garam
4 sudu besar butter
1/3 cawan susu segar
1/4 cawan air
2 biji telur
1 sudu kecil esen vanila

Untuk inti:
1/2 cawan gula halus
2 sudu kecil serbuk kulit kayu manis

Cara-caranya:

1. Saya gunakan breadmaker jadi saya masukkan semua bahan-bahan di atas. Bahan-bahan cecair di bahagian bawah sekali, kemudian masukkan tepung, gula dan yis. Untuk garam jarakkan dari yis semasa menuangnya di dalam bekas pengadun. Tekan 'on' dan biarkan mesin membuat segala kerja hingga 'off' sendiri.
2. Keluarkan doh, gelek rata dan taburkan gula halus yang telah digaul bersama serbuk kayu manis terlebih dahulu tadi.
3. Gulung rapi dan bentukkan ikut suka. Biarkan doh naik dalam setengah jam.
4. Bakar pada suhu 180C sehingga masak.
5. Sapukan mentega pada atas roti  sejurus roti masak dan keluar dari ketuhar.
6. Biarkan suam barulah dihiris.

No comments:

Post a Comment