Friday, December 14, 2012

PUDING HORLICKS KOKTAIL



Assalamualaikum dan selamat pagi semua. Puding horlicks berkoktail ini terhasil untuk menghabiskan stok horlicks di rumah. Beli kerana teringin hendak minum tetapi bila sudah dibeli adalah sekali dua saya membancuhnya, macam kurang enak bila mengalir di anak tekak. Hendak menghabiskan segelas pun bercinta. Jadi dari terbiar menjadi luput tarikh lebih baik saya campurkan bersama puding koktail ini. Alhamdulillah, enak rasanya. Apatah lagi dimakan dalam cuaca panas seusai dikeluarkan dari peti sejuk.




Untuk resepinya saya berikan di bawah. Bolehlah dikongsikan bersama yang berminat hendak mencuba. Mudah sahaja resepinya. Memang menjadi kebiasaan saya. Saya lebih suka resepi yang mudah-mudah untuk dicuba. Yang penting menjadi dan sedap. 

Bahan-bahannya:

20 gm agar-agar tali
5 cawan air
1 cawan horlicks
1 tin susu cair
1/4 cawan tepung kastard
1/4 cawan gula - kalau suka manis boleh tambah
1 tin koktail - asingkan sirap dan buah2annya

Cara-caranya:

1. Cuci agar-agar tali. Rendam bersama 5 cawan air seketika.
2. Masak agar-agar tadi hingga larut dan mendidih. Tambahkan sirap dari buah-buahan koktail tadi.
3. Masukkan susu cair dan gula. Kacau hingga gula larut dan sebati. Perlahankan api.
4. Bancuh horlicks dengan sedikit air dan curah dalam larutan agar-agar tadi. Kacau rata.
5. Bancuh tepung kastard dengan sedikit air dan masukkan dalam adunan agar-agar tadi. Kacau sebati.
6. Basahkan acuan dengan air, taburkan buah-buahan koktail yang telah ditoskan dari sirapnya tadi dan curahkan larutan agar-agar di atasnya.
7. Masukkan dalam peti sejuk dan bila sudah membeku sejuk bolehlah dipotong-potong untuk dinikmati.


1 comment:

  1. Hey, thanks for the article post.Much thanks again. Awesome. Get 1000s of Twitter hashtags using Keyword Tool for (FREE)! Grow your Twitter followers & find trending topics. #1 BEST alternative to Twitter search!

    ReplyDelete