Friday, September 4, 2009

KARIPAP SARDIN LAGI


Nampaknya karipap inti sardin buatan saya sudah menjadi hidangan wajib setiap kali berbuka puasa. Melihat anak-anak dan suami menggemarinya memberi semangat kepada saya untuk terus menyediakannya setiap hari mungkin hingga Ramadhan berakhir. Selalunya kalau hujung minggu sahaja saya bercuti ke dapur jadi tidak dapatlah saya membuatnya. Mudah sahaja membuat karipap ini jika intinya telah kita sediakan terlebih dahulu. Selalunya untuk 2 tin kecil sardin saya boleh menyediakan sekurang-kurangnya 40 biji karipap comel. Saya tidaklah mengoreng semua karipap ini, selalunya saya bahagikan 2 ke 3 hari. Suami saya pula tidak suka gorengan karipap yang perang, beliau lebih suka yang ke arah hangus. He he... Bukan setakat karipap sahaja, kalau hendak membeli apa-apa kuih pun mesti yang kelihatan agak hangus. Ketika ke bazar Ramadhan tempoh hari beliau siap berpesan pada penjual kuih akok supaya carikan kuih yang hitam-hitam. Makcik itu pun macam hendak tergelak, ialah mungkin selama ini pelanggan beliau lebih memilih kuih akok yang dibakar cantik. Begitu juga sekiranya hendak membeli pisang goreng, yang gelap lah pilihannya. Saya selalu memperli beliau cari isteri hendak putih melepak pulak. He he.. Di Kota Bharu ini saya menemui berbagai spesis kuih yang tidak pernah saya jumpa sepanjang tinggal di Johor dan Pahang. Kuih-kuihnya sedap-sedap belaka dan banyak berasaskan pulut. Manis memang sinonim dengan kuih muih di sini. Oleh kerana itu bila suami beli karipap di sini intinya mesti manis. He he... Jadi kurang berseleralah dia. Hari ini saya juga menyediakan juadah ikan bakar yang saya balut dengan aluminium foil serta udang masak serai. Resepi udang ini saya pernah buat sebelum bulan puasa dahulu dan suami kata sedap jadi saya buat lagilah. Pada mulanya saya hendak masak sambal goreng sahaja tetapi sayang pula sebab saiz udang itu agak besar jadi menu pun ditukar. Anak gadis saya yang sulung tidak sukar memenuhi seleranya tetapi anak gadis saya yang kedua, dari hari pertama berpuasa kicap manis menjadi hidangan utama. Makan sayur lemak pun dengan kicap. Mudahnya anak ke dua saya ini kalau terasa hendak makan apa-apa, beliau akan bersuara sementara si kakak, ikut emaklah, ikut ayahlah, ikut adiklah. He he... Kadang-kadang kita pun pening memikirkan kehendak beliau.

No comments:

Post a Comment