Friday, December 9, 2011

FOCACCIA



Assalamualaikum dan selamat tengahari. Sedap rasa roti focaccia ini. Topping atasnya macam-macam boleh letak, ikut selera masing-masing. Lagi sedap jika focaccia ini dilenyek nipis dan dibakar lama sedikit sebab teksturnya akan lebih rangup.
Untuk topping boleh buatkan seperti topping pizza, atau hanya letakkan hirisan tomato, bawang besar ataupun hirisan sosej.
Resepi saya ambil dari blog orang putih. Jom kita kongsikan di sini...

Bahan-bahannya:

1 sb gula
10 gm yis kering
80 ml air suam - saya tambah lagi
450 gm tepung gandum
2 sb minyak zaitun
secubit garam laut
keju parut dan gula - untuk topping

Cara-caranya:

1. Larutkan gula dalam air suam kemudian larutkan yis pula. Rehatkan hingga larutan yis naik dan berbuih-buih.
2. Dalam mangkuk besar, masukkan tepung gandum, garam laut dan minyak zaitun. Gaul sebati.
3. Tambahkan air suam sedikit demi sedikit dan mulalah menguli hingga menjadi doh. Saya tambahkan air lagi sebab kuantiti 80 ml tidak mencukupi. Biarkan doh sedikit melekit.
4. Ambil mangkuk besar lain dan sapukan dengan minyak zaitun. Letakkan doh tadi dan tutup dengan tuala lembab. Rehatkan selama lebih kurang 30 minit atau lebih hingga doh naik 2 kali ganda.
5. Uli lagi sekali dan lenyek atau tekankan dalam dulang pembakar yang telah dilenserkan dengan minyak zaitun terlebih dahulu. Sapu permukaan roti dengan minyak zaitun dan tabur gula diikuti parutan keju.
6. Bakar dalam ketuhar selama 20 - 30 minit bergantung pada ketebalan dan kerangupan yang dikehendakki dengan kepanasan 205C.

SCONE



Assalamualaikum semua. Lama sungguh saya tidak menjenguk blog dan membuat entri terbaru sedangkan setiap hari dapur saya berasap hingga kadang-kadang berkepul-kepul naik ke atas. Hehe...
Semalam buat scone. Resepi ambil dari blog orang putih. Sebelum buat scone ini saya banyak kali masuk blog masak-masak dan MyRecipe juga. Rasanya resepi dari perempuan inggeris ini lagi mudah untuk diikuti oleh saya. Jom kita kongsi...

Bahan-bahannya:

2 cawan tepung all purpose ( saya guna superfine je )
1/3 cawan gula halus
2 sudu kecil serbuk penaik
1 sudu kecil garam laut
1 biji telur ( pukul manja )
1 sudu kecil vanilla
1/2 cawan mentega beku didadu kecil
1/2 cawan tairu ( saya campurkan sedikit jus limau dalam susu sebab tiada tairu )
1/2 cawan susu segar

Cara-caranya:

1. Dalam mangkuk besar gaul mesra tepung, serbuk penaik, garam laut dan gula halus hingga sebati.
2. Campurkan telur dengan vanilla dan curahkan dalam campuran tadi. Gaul sebati.
3. Masukkan mentega yang didadu dan gaul hingga menjadi seperti serbuk roti.
4. Masukkan tairu dan susu segar sedikit demi sedikit dan uli hingga menjadi doh. Saya tidak habiskan penggunaan tairu dan susu segar itu sebab letak setengah setiap satu pun sudah mencukupi.
5. Kalau doh lembik boleh simpan di dalam peti sejuk lebih kurang 10 minit.
6. Keluarkan dan gelek memanjang. Kalau melekat taburlah dengan sedikit tepung dahulu di atas permukaan doh.
7. Terap dengan acuan bulat dan sapukan atasnya dengan lebihan susu segar yang dicampur dengan kuning telur. Bakarlah dalam ketuhar dengan kepanasan 200C selama 15-20 minit atau sehingga keperangan dan agak merekah scone itu tadi.
8. Bolehlah dihidang bersama jem strawberry, jem nenas, blueberry dan yang sewaktu dengannya.:))

Sunday, November 27, 2011

RENDANG DAGING, PARU DAN HATI



Assalamualaikum. Resepi akan diupdate nanti...

Bahan-bahannya:

300 gram daging
sedikit hati lembu
sedikit paru lembu
cili kering kisar
serai kisar
lengkuas kisar
bawang kecil kisar
bawang putih kisar
ketumbar kisar
jintan kasar kisar
jintan halus kisar
kerisik secukupnya
santan pekat
daun kunyit
gula melaka
air asam jawa
garam cukup rasa

Cara-caranya:

1. Tumis bahan-bahan kisar hingga naik bau. Tambahkan air asam, garam dan gula melaka. Masukkan daging, hati dan paru. Masukkan daun kunyit yang disiat dan disimpul. Kacau sebati.
2. Tambahkan air biar daging, hati dan paru masak empuk.
3. Bila daging, hati dan paru empuk, masukkan santan pekat. Kacau sebati dan biarkan mesra.
4. Apabila kuah memekat masukkan kerisik. Kacau sebati.
5. Biarkan di dalam kuali hingga rendang benar-benar empuk dan mesra.

ROTI PISANG KISMIS BERKEJU



Assalamualaikum dan selamat malam semua. Roti ini saya buat pakai hentam sahaja. Pisang ranum banyak, kismis banyak dan keju pun ada. Tepung hongkong pun saya tak tahu hendak dibuat apa. Akhirnya semua benda itu saya satukan untuk menjadi roti. Alhamdulillah, bolehlah dimakan juga. Hehe...
Jom kita lihat resepi sempoinya...

Bahan-bahannya:

4 biji pisang berangan ranum dilenyek
4 cawan tepung hongkong
1/2 cawan gula
1 paket yis kering
3 sudu besar susu tepung
1/4 buku mentega
1/2 cawan kismis
parutan keju secukupnya
air suam untuk menguli secukupnya

Cara-caranya:

1. Larutka 1 sudu besar gula dengan air suam dan masukkan yis. Kacau larut dan biarkan naik berbuih-buih.
2. Dalam mangkuk besar masukkan pisang lenyek, tepung, gula, susu tepung, kismis, mentega dan gaul sebati.
3. Masukkan yis yang telah naik tadi dan gaul sebati.
4. Masukkan air suam sedikit demi sedikit dan mulalah menguli hingga menjadi doh yang tidak melekat di tangan dan elastik.
5. Rehatkan doh hingga naik sekali ganda dan tutup mangkuk doh dengan tuala lembab.
6. Bila doh sudah naik, tumbuk-tumbuk dan uli semula. Kemudian bahagi-bahagikan beberapa bahagian dan bulat-bulatkan.
7. Susun dalam loyang yang telah digriskan mentega terlebih dahulu. Rehatkan lagi hingga naik 3/4 loyang dan taburkan dengan gula diikuti dengan parutan kasar keju.
8. Bakar dengan kepanasan 180C hingga masak keperangan.

Saturday, November 26, 2011

RED VELVET CAKE



Assalamualaikum, selamat malam semua. Percubaan pertama saya ini. Memang teringin sangat hendak merasa kek yang di war-warkan sedap di sana sini ini. Saya pun mulalah menyalin resepi dari internet dan buat langkah demi langkah dengan berhati-hati. Memang sudah kehendak Allah kek yang saya buat ini rasanya pelik. Tidak tahu di mana silapnya. Akhirnya saya buang hampir sebuku kek ini. Mungkin pewarna serbuk yang saya beli di bakery menjadi penyebab rasanya yang ..... Anak-anak pun saya tidak izin memakannya kalau teringin hanya boleh makan topping keju sahaja. Takut termakan bersama kandungan pewarna merah tersebut. Kecewa memanglah tetapi insyaAllah saya akan cuba buat kek ini lagi tetapi gunakan pewarna yang lain. Informasi tentang pewarna yang digunakan telah saya perolehi dari SuMersing. Terima kasih banyak Su. Ada masa membaking lagi....