Monday, July 25, 2011

AGAR-AGAR BANDUNG ROS



Assalamualaikum. Agar-agar ini sesuai dimakan sewaktu musim panas dan masa berbuka. Maklumlah hanya tinggal beberapa hari sahaja kita akan menyambut bulan Ramadhan. Sekarang ini pun rasanya ramai yang berpuasa sunat mahupun menghabiskan hutang berpuasa yang lalu. Cara penyediaannya sangat mudah dan yang paling penting 'nyaman' kata orang Sarawak. Hehe... Jom sama-sama kita intai-intai resepinya...

Bahan-bahannya:

20 gm agar-agar tali
1 cawan gula pasir
5 cawan air
1 tin susu cair
beberapa titik pewarna merah
beberapan titik esen ros

Cara-caranya:

1. Rendam agar-agar sejam atau lebih. Cuci bersih, toskan dan masukkan dalam periuk.
2. Tambahkan 5 cawan air dan masak agar-agar tadi hingga hancur.
3. Masukkan gula dan masak lagi hingga gula hancur. Gunakan api sederhana.
4. Masukkan susu cair, pewarna merah dan esen ros. Kacau sebati.
5. Biarkan hingga mendidih dan tuangkan ke dalam acuan yang disukai.
6. Sejuk bekukan sebelum dimakan. Selamat mencuba...


Sunday, July 24, 2011

ASAM PEDAS KERISI BESAR DGN NENAS



Assalamualaikum dan selamat pagi semua. Seminggu lebih tiada cerita baru, hari ini saya masukkan entri tentang menu lama yang diulang. Suka-suka sahajakan. Hehe... Apatah lagi setiap minggu saya pasti akan masak lauk asam pedas kegemaran suami. Selera suami mestilah diutamakan, tidak lupa juga anak-anak saya yang sudah semakin membesar. Anak-anak biasanya apa yang ayah mereka suka makan itulah yang mereka makan sama. Jom kita lihat resepinya pula...

Bahan-bahannya:

1 ekor ikan kerisi saiz besar - dipotong ikut suka
cili kering kisar secukupnya
bawang merah kisar
bawang putih kisar
sedikit halia kisar
sedikit kunyit hidup kisar
sedikit belacan kisar
air asam jawa secukupnya
air secukupnya
garam, gula dan perasa
1 mangkuk kecil potongan nenas

Cara-caranya:

1. Panaskan sedikit minyak dan tumis bahan-bahan kisar hingga masak.
2. Masukkan garam, gula dan perasa secukupnya. Kacau sebati.
3. Masukkan potongan ikan dan gaul dengan bahan-bahan tumis tadi. Tambahkan air separa ikan dan biarkan kuah mendidih barulah masukkan air asam jawa secukupnya.
4. Biar kuih mendidih sekali lagi baru masukkan potongan nenas. Tunggu hingga kuah mendidih sekejap barulah dimatikan api dan boleh dihidangkan.


Wednesday, July 13, 2011

AMERICAN PANCAKE - YATIE MEMORIES



Assalamualaikum dan selamat sejahtera semua. Pankek yang sangat gebu dari blogger Yatie Memories. Sebenarnya kalau tidak silap dari tahun lepas saya sudah menyalin resepi pankek ini. Namun baru beberapa hari lepas saya membuatnya untuk anak-anak. Memang sedap dan mudah hendak menyediakannya. Masukkan semua bahan dalam mangkuk dan gaul sebati. Terima kasih buat Yatie. Izinkan akak salin dan sisipkan di sini resepinya ya.

Bahan-bahan:

11/2 cawan tepung gandum
1 biji telur
1 cawan buttermilk ( campuran 1 cawan susu segar dgn 1 sb jus lemon )
1/2 cawan gula castor
1 sk soda bicarbonat
1 sk baking powder
1/2 cawan minyak jagung

Cara-caranya:

1. Dalam mangkuk besar, gaul semua bahan hingga sebati.
2. Rehatkan selama 20 minit.
3. Panaskan kuali non stik dan tuangkan adunan 1/4 cawan, bila permukaan pankek tadi mulai berlubang-lubang terbalikkan.
4. Buat langkah 3 hingga habis.
5. Enak dihidangkan bersama mentega, madu dan apa-apa jenis jem pun.

* Untuk satu adunan ini saya mendapat 15 keping pankek. Banyak tu, anak-anak sampai tak larat nak abiskan. Hehe...


AWARD DAN TAG - KAK ILAHJY


Assalamualaikum dan selamat pagi semua. Award dan tag ini saya terima dari blogger Kak Ilah, 'RESEPI SUMBANGAN JY'. Terima kasih Kak Ilah. Saya akan cuba siapkan tag yang diberi semampu boleh. 7 perkara yang belum diketahui tentang diri saya, saya sisipkan di bawah jawapannya seringkas boleh.

1. Saya anak ke 7 dari 9 orang adik beradik. 2 lelaki dan 7 perempuan. Kakak-kakak kata semasa saya kecil saya kelihatan seperti anak mat salleh, putih kemerah-merahan dan berambut keperangan. Hehe...

2. Semasa kecil saya adalah seorang kanak-kanak yang pendiam dan mudah jatuh sakit. Saya jarang ikut serta dalam acaran suka sekolah, memang kalau boleh hendak mengelak sahaja. Hehe...

3. Meningkat remaja saya menjadi seorang anak gadis yang sangat pemalu. Berbual dengan rakan lelaki yang sekelas pun boleh dihitung dengan jari. Ikut keperluan. Hehe... Tingkatan 3, saya baru pandai menanak nasi, maklumlah selama ini ada kakak-kakak yang menolong arwah emak memasak dan saya pula bukan pemakan orangnya.

4. Masa sekolah menengah dahulu, saya cukup fobia bila mendengar bunyi hon motosikal postman. Bimbang dapat surat dari budak lelaki yang hendak berkenalan sebab ramai sangat. Popular gitu, walhal saya ini selekeh aje budaknya. Kalau dapat surat memanglah kena marah dan bebel dengan arwah mak tetapi bukan salah saya. Bila kena marah saya mengunci mulut tidak berani membela diri, paling tidak menangis sahajalah.

5. Meniti alam gadis lagi saya disunting oleh suami yang 4 tahun lebih tua dari saya. Bila dia masuk meminang bapa terima sahaja. Kami sekadar kenal muka, tidak pernah berbual dan membina hubungan serta cinta seusai menikah. Memanglah tersangat payahnya di awal-awal perkahwinan tetapi alhamdulillah berkat sabar dan tolak ansur kekal hingga ke hari ini dan moga hingga ke syurga. Jadilah saya ketua bidadarinya di sana kelak. Amin....

6. Seperti Kak Ilah, saya juga ada mengalami masaalah kesihatan. Saya pernah dibedah sebanyak 2 kali iaitu yang pertama kerana mengandung luar rahim dan yang ke dua pembedahan apendik. Kedua-duanya telah pecah, namun alhamdulillah Allah masih panjangkan umur saya. Kalau nyawa saya hendak diambil pun biarlah anak-anak sudah besar, soleh dan solehah dan berjaya hidup di dunia dan akhirat. Amin... Suami saya tidak bimbang sebab beliau memang ramai peminat. Kalau saya tiada biarlah dia beristeri lagi secepatnya... Kalau saya tiadalah.:))

7. Meniti usia 40an ini memang terasa sudah tua. Biarlah di pandangan orang saya tidak setua itu tetapi di hati sentiasa mengingatkan usia yang semakin meningkat ini. Saya ingin menjadi anak, menantu, isteri dan emak yang sesabar dan seikhlas mungkin. Redha dengan segala apa yang berlaku. Zuriat yang boleh dibanggakan di dunia dan akhirat serta rumahtangga yang bahagia tanpa sebarang gangguan perasaan dari saya, suami atau pihak lain. Amin...

Ini sahajalah Kak Ilah yang dapat saya titipkan. Harap sedikit sebanyak Kak Ilah suka dan menjadi lebih rapat dengan saya. Hehe...

Harus dipanjangkan kepada 5 orang blogger yang belum dikenali. Siapa ya. Nanti-nantilah saya fikirkan sebab bahagian ini memang buntu hendak memikirkannya. Sesetengah blogger tidak suka di tag dan ada yang suami tidak izinkan menjawab sebarang tag. Saya tahu sebab saya pernah kena. Ini pun kita mesti faham dan hormati pendirian mereka. InsyaAllah Kak Ilah, akan diselesaikan secepat mungkin. Hehe....


Monday, July 11, 2011

GULAI IKAN BERNENAS



Assalamualaikum dan selamat pagi semua. Curi-curi masa untuk membuat entri kali ini. Pastikan jika memasak menu ini jangan menggunakan nenas yang terlalu masam sebab ianya akan merosakkan rasa gulai ini. Selain itu penggunaan ikan masin dalam masakan ini adalah lebih sedap berbanding ikan basah. Saya masak apa yang ada di dalam stok sahaja. Jom, sudi-sudikan melihat resepinya.

Bahan-bahannya:

3 potong isi ikan
9 tangkai cili kering dikisar
5 biji bawang merah dikisar
1 ulas bawang putih dikisar
sedikit halia dikisar
2 sb serbuk kari ikan
garam secukup rasa
air
santan pekat secukupnya
1 mangkuk kecil potongan nenas

Cara-caranya:

1. Campurkan bahan-bahan kisar dan serbuk kari untuk dijadikan pes.
2. Panaskan minyak dan tumis bahan-bahan tadi hingga pecah minyak.
3. Masukkan potongan ikan dan gaul sebati.
4. Masukkan air dan biar kuah mendidih.
5. Masukkan santan pekat dan kacau sebati. Perlahankan api sambil dikacau kuahnya sekali sekala.
6. Bila kuah mulai mendidih, masukkan potongan nenas pula, bila kuah sudah menggelegak masukkan garam dan secubit gula jika suka.