Sunday, August 29, 2010

PANKEK MAYONIS



Assalamualaikum dan salam tengahari semua. Pankek mayonis ini juga merupakan edisi tertunda. Melihat anak-anak bersungguh-sungguh makan pankek yang saya buat tempoh hari membuatkan saya bersemangat membuat pankek lagi tetapi kali ini saya gunakan mayonis dalam pembuatannya. Resepi saya ambil dari dapur Yatie US. Terima kasih banyak Yatie. Sebenarnya resepi ini telah lama berada dalam simpanan saya dan ini merupakan kali ke dua saya mencubanya.

Bahan-bahannya:

11/2 cawan tepung naik sendiri *
1 sudu teh baking powder * - diayak bersama
3 sudu besar gula castor
secubit garam
60 gram butter cair - saya guna minyak jagung
1 cawan susu segar
2 biji telur
2 sudu besar mayonis

Cara-caranya:

1. Pukul telur, gula dan garam hingga sebati.
2. Tambahkan mayonis dan kacau lagi hingga sebati.
3. Masukkan susu segar berselang seli dengan tepung dan gaullah hingga adunan menjadi tidak bergentel-gentel.
4. Panaskan kuali non stik dan masukkan 1/3 cawan adunan pankek. Biarkan hingga timbul lubang-lubang kecil udara di atasnya dan terbalikkan. Buat hingga habis.
5. Sedap dihidangkan bersama madu dan mentega atau mengikut cita rasa masing-masing.


ROTI JALA DAN KARI DAGING BERKENTANG


Assalamualaikum dan selamat tengahari semua. Jumaat dan Sabtu saya ke dapur hanya untuk masak nasi dan menyediakan minuman untuk berbuka. Hujung minggu ini jadual agak padat sebab sibuk membeli persiapan hari raya untuk anak-anak jadi saya tidak sempat memasak. Di mana-mana pasaraya dan jalan-jalan raya di Kota Bharu sesak dengan orang dan kereta. Gambaran biasa sewaktu Ramadhan hampir ke penghujungnya. Hendak atau tidak semuanya sudah menjadi hukum adat. Yang amat menyedihkan hati saya ini adalah Ramadhan yang terakhir saya dan keluarga di bumi Kota Bharu ini sebab suami akan bertukar kerja ke tempat lain selepas Syawal...

Roti jala dan kari daging ini merupakan hidangan berbuka kami minggu lepas. Biasalah kesibukkan membuat saya tidak berkesempatan membuat entri baru. Jom kita kongsi resepi roti jala...

Bahan-bahannya:

2 cawan tepung
11/2 - 2 cawan air
1 cawan santan pekat
secubit garam
1 biji telur
beberapa titik pewarna kuning

Cara-caranya:

1. Masukkan semua bahan dalam mangkuk dan gaul sebati.
2. Masukkan ke dalam pengisar dan kisar hingga halus.
3. Panaskan kuali non stik dan gunakan acuan roti jala untuk mengirai adunan tadi. Buat hingga habis.



Kari daging berkentang ini saya buat lagi tanpa santan. Bahan-bahan dan cara-caranya saya buat sepertimana resepi kari daging kambing tanpa kentang. Sesiapa yang sudi dan berhajat mencuba resepi ini bolehlah merujuk entri saya yang terdahulu di bawah label lauk pauk.

Thursday, August 26, 2010

ASAM PEDAS LAGI...


Assalamualaikum dan selamat tengahari semua. Saya tidak berkesempatan hendak membuat entri tentang asam pedas ini semalam. Semalam dan hari ini tekak sudah mula rasa perit dan bersin-bersin. Telefon ke kampung menurut bapak, beliau bersama adik dan makcik pun baru sembuh dari demam dan selsema. Begitu juga dengan adik perempuan saya di Nitar 2, khabarnya anak beranak kena virus yang sama. Kelmarin kakak sulung telefon pun selsema, demam dan batuk satu keluarga. Harap-harap sakit saya cepat sembuh dan anak-anak terus sihat. Ameen.



Ikan tongkol@aya ini pada mulanya hendak saya masak singgang sahaja. Namun bila dibelek-belek ikan tongkol ini isinya lembut seperti tenggiri jadi saya masakkan asam pedas kesukaan suami. Suami pula lebih suka ikan tongkol yang isinya keras berbanding yang lembut. Saya pula tidak kisah pasal makanan, apa yang ada saya makan sahaja janji halal. Hehe... Sesiapa yang berminat dan sudi mencuba masakan asam pedas ikan tongkol saya, bolehlah rujuk entri terdahulu saya tentang asam pedas di bawah label lauk pauk.

Tuesday, August 24, 2010

ROTI GORENG


Assalamualaikum dan selamat petang semua. Semalam saya buat roti goreng ala-ala cakui ini. Tepung roti banyak lagi dan kalau disimpan lama-lama takut keluar ulat tepung pula. Resepi campak-campak saja. Buat pun di akhir-akhir hendak masuk waktu berbuka. Anak-anak makan dengan madu dan kalau suka bolehlah ditabur gula icing di atasnya.



Bahan-bahannya:

21/2 cawan tepung roti
1 sudu besar yis kering
1 sudu besar susu tepung
secubit garam
2 sudu besar gula
1/2 sudu kecil soda bicarbonat
1/2 sudu kecil bread improver
2 sudu besar minyak jagung
air suam secukupnya untuk menguli

Cara-caranya:
1. Masukkan bahan-bahan di dalam mangkuk besar kecuali air. Gaul rata hingga berderai.
2. Masukkan air sedikit demi sedikit dan uli tepung hingga menjadi doh yang licin.
3. Rehatkan sebentar lebih kurang 30 minit. Canai doh tadi dan potong memanjang. Hiris atas permukanan roti tadi tapi jangan putus.
4. Panaskan minyak dan goreng garimg dengan api sederhana.

Monday, August 23, 2010

MEE GORENG GARING DAN CUCUR DURIAN


Assalamualaikum dan selamat petang semua. Semalam saya goreng mee sebagai hidangan sampingan untuk anak-anak dan suami berbuka. Saya ikut style goreng char kuetiaw. Hehe... Jom kita kongsi resepi lagi...

Bahan-bahannya:

500 gram mee kuning - cuci dan toskan
250 gram udang
1 cawan hirisan daging ayam
1 mangkuk kecil hirisan bebola ikan
5 tangkai cili kering kisar
5 biji bawang kecil kisar
1 biji bawang putih kisar
4 sudu besar kicap char kuetiaw - buat sendiri
1 ikat sawi dipotong ikut suka
secubit garam
2 biji telur

Cara-cara:

1. Tumiskan bahan-bahan kisar hingga naik bau. Masukkan kicap char kuetiaw dan kacau sebati.
2. Tambahkan secubit garam dan kacau lagi. Masukkan daging ayam dan udang. Kacau lagi.
3. Bila udang dan ayam hampir masak masukkan bebola ikan pula. Kacau lagi dan tambahkan dengan mee. Gaul sebati dan masukkan potongan sawi.
4. Tambahkan sedikit air, ketepikan mee dan masukkan telur. Gaul telur dan mee tadi secara merata. Biarkan garing sambil dikacau rata. Tutup api dan bolehlah dihidangkan.



Cucur durian ini pula bila saya makan macam rasa lempuk pun ada. Anak-anak tidak berapa suka tetapi suami gemar pula mengunyahnya. Durian dari Melur ini diberi oleh seorang rakan kepada suami. Hari Sabtu lepas kami ke Melur. Sepatutnya kami diajak berbuka nasi kerabu tetapi kami terpaksa menolak sebab Adham tidak betah di rumah orang, malu pun ada.
Seronoknya kampung ini sekeliling rumah ditanam pokok buah-buahan. Ada durian, manggis, rambutan dan dukong. Ada reban ayam, angsa, burung puyuh dan ayam belanda. Rajin betul mertua rakan suami ini. Sewaktu kami datang angsa berbunyi riuh rendah sebab tidak kenal akan kami. Hehe...
Jomlah kita kongsi resepi cucur durian ini...

Bahan-bahannya:

12 ulas isi durian dihancurkan
1-2 cawan tepung
11/2 sudu teh baking powder
secubit garam
( isi durian ini sudah cukup manis jadi saya tidak masukkan gula dalam adunannya )

Cara-caranya:

1. Gaul bahan-bahan di atas hingga sebati.
2. Panaskan minyak dan goreng aduan sesudu demi sesudu hingga habis. Kadar kegaringan ikut suka. Gunakan sudu kecil supaya cucur terbentuk comel-comel.