Assalamualaikum dan selamat pagi Jumaat yang berkat semua. Jom kita jamu mata dengan hidangan simple saya. Masak kari ikan cencaru dicampur dengan kacang bendi yang comel-comel saiznya. Sebenarnya saya tidak pernah gunakan ikan cencaru untuk dimasak dengan menu kari tetapi bila jenuh memikirkan hendak masak apa, teringat pula semasa anak-anak gadis saya masih kecil, saya pernah menyuapkan nasi berlauk kari cencaru di rumah mak ngah suami. Apa lagi masaklah. Hehe.... Suami pun kata sedap dan meratah ikan-ikannya hingga tinggal tulang. Alhamdulillah. Masakan ini juga hanya menggunakan sedikit sahaja santan.
Bahan-bahannya:
2 ekor ikan cencaru saiz besar - dibuang kulitnya yang keras dan dipotong 2
7 tangkai cili kering dikisar
5 biji bawang merah dikisar
1 biji bawang putih dikisar
sedikit halia dikisar
air asam jawa secukupnya untuk mengisar
2 sudu besar rempah kari ikan - saya guna produk HPA
1 sudu besar rempah kari daging - saya guna jenama Babas
5 biji bawang merah dimayang
1 sudu kecil halba
15 batang kacang bendi saiz kecil
1/4 cawan santan pekat
air secukupnya
garam dan gula secukup rasa
Cara-caranya:
1. Campurkan bahan-bahan kisar bersama serbuk kari ikan dan daging hingga menjadi pes.
2. Panaskan minyak dan tumis bawang yang dimayang bersama halba hingga layu dan agak garing.
3. Tambahkan dengan pes kari tadi dan kacau sebati.
4. Apabila bahan-bahan tumisan telah pecah minyak dan naik bau, tambahkan dengan garam dan gula secukup rasa, kacau sebati dan masukkan ikan. Gaul sebati dan tambahkan sedikit air. Biar hingga mendidih.
5. Tambahkan santan pekat dan kacang bendi. Kacau rata. Biar hingga kuah menggelegak seketika bolehlah dimatikan api.