Friday, October 12, 2012

SOTONG GORENG TEPUNG



Assalamualaikum dan selamat petang semua. Hari ini saya hendak kongsikan resepi sotong goreng tepung yang rangup dan kenyal bila dimakan panas-panas. Ratah begitu sahaja pun enak. Bila sudah sejuk, tepung itu akan jadi lembut teksturnya. Sotong macam biasalah tetap kenyal-kenyal. Resepi seperti di bawah...

Bahan-bahannya:

4 ekor sotong saiz besar - potong bulat, cuci bersih dan toskan
5 sudu besar - tepung naik sendiri
1 sudu besar - tepung jagung
3 tangkai daun sup - hiris halus
sedikit halia muda - tumbuk lumat
3 ulas bawang putih - tumbuk lumat
garam secukup rasa 
1/2 sudu kecil serbuk knorr - klu suka
1 biji telur - kacau sedikit
air secukupnya
minyak masak secukupnya

Cara-caranya:

1. Gaulkan bersama tepung naik sendiri, tepung jagung, halia muda, bawang putih, telur dan air secukupnya.
2. Adunan tepung hendaklah jangan terlalu pekat atau cair, lebih kurang tekstur adunan tepung untuk menggoreng pisang.
3. Masukkan garam dan serbuk sedap knorr. Kacau sebati. Akhir sekali masukkan hirisan halus daun sup dan gaul rata.
4. Panaskan minyak dalam kuantiti yang banyak, celup sotong dalam tepung dan goreng.
5. Balik-balikkan sotong tadi hingga tepung garing dan bila minyak mulai meletup tandanya sotong telah masak. Berhati-hati ya.
6. Goreng sotong sebaik-baiknya satu-satu dan paling banyak pun 3 potong sotong dalam satu masa.
7. Angkat sotong dan toskan minyaknya dengan tisu dapur. Buat langkah 4 hingga sotong habis.
8. Hidangkan panas-panas....

Friday, October 5, 2012

KICAP SOTONG MUDAH



Assalamualaikum dan selamat petang semua. Masakan yang paling mudah dan cepat untuk disediakan. Cuma kali ini saya tambahkan sedikit serbuk cukup rasa Knorr bagi menambah rasanya. Sesuai untuk sesiapa yang baru belajar masak, kaum hawa yang sentiasa sibuk dan bekerjaya bagi mencuba resepi ini. 

Bahan-bahannya:

500++ gram sotong - siang dan buang pundi2 hitamnya
1 biji bawang besar - hiris bulat
3 biji cili merah - hiris serong
2 biji cili hijau - hiris serong
Sedikit air asam jawa
Sedikit garam
Sedikit serbuk kunyit
1/2 sk serbuk cukup rasa Knorr
 Kicap masin secukupnya
Gula secukup rasa

Cara-caranya:

1. Gaul sotong bersama sedikit garam, serbuk cukup rasa Knorr dan serbuk kunyit secara merata.
2. Panaskan sedikit minyak dan tumis sotong tadi.
3. Tutup kuali dan biarkan air sotong kering. Hati-hati jangan sampai kering hangus pula.
4. Bila air sotong sudah kering, masukkan air asam jawa. Kacau sebati, diikuti gula dan kicap masin secukupnya. Kacau sebati.
5. Masukkan hirisan lada hijau dan lada merah dan bawang besar (kalau guna bawang holland lagi nyaman). Kacau lagi.
6. Perlahankan api, tutup semula kuali dan bila lada dan bawang mula layu barulah boleh dihidangkan.

Selamat mencuba, insyaAllah sedap.:D

SAMBAL TUMIS TELUR PUYUH


Assalamualaikum dan selamat petang semua. Menu saya kongsikan kali ini hanyalah masakan kampung sahaja. Sambal tumis telur puyuh. Masakan yang sangat disukai oleh suami, selain telur puyuh saya juga gemar menggunakan telur ayam kampung dalam masakan tradisi ini. Suami suka bila tekstur telur sudah mengeras, bertukar warna dan sebati rasanya bersama sambal tumis.
Biasanya saya akan masak telur ini berjam-jam lamanya bersama sambal tumis dengan menggunakan api yang kecil. Seakan mereneh stew daging caranya. Hehehe... Sambil itu sambal tumis dan telur puyuh hendaklah dikacau sekejap sekejap agar tidak berkerak di bawah kuali. Jika sudah berkerak pastilah rasanya kurang enak.

Bahan-bahannya:

30 tangkai cili kering - kisar
3 biji bawang besar - kisar
1 biji bawang holland - hiris bulat
1-2 ulas bawang putih - kisar
1 inci belacan
sedikit air asam jawa
segenggam ikan bilis halus
garam, gula secukupnya
secubit perasa
3 tray telur puyuh ( lebihkurang 45 biji )

Cara-caranya:

1. Tumiskan bahan-bahan kisar bersama belacan hingga naik bau. Masukkan sedikit air asam jawa. Kacau sebati.
2. Masukkan gula dan perasa. Kacau lagi.
3. Masukkan telur puyuh dan gaulkan secara merata dengan sambal tadi. Masukkan pula ikan bilis halus dan kacau mesra.
4. Akhir sekali barulah rasakan dengan garam dan masukkan hirisan bawang holland.
5. Biarkan seketika di atas api dan bolehlah dihidangkan.

*telur puyuh hendaklah dicuci dahulu kemudian barulah direbus hingga masak, kupas kulit telur puyuh dengan cermat agar rupanya licin dan cantik.:D

Friday, September 28, 2012

PUDING ROTI KARAMEL




Assalamualaikum dan salam sejahtera semua ini. Di kesempatan ini saya hendak kongsikan pula pencuci mulut yang memang sudah ramai rakan blogger membuatnya. Saya pula barulah hendak mencubanya. InsyaAllah rasanya memang sedap. Lebih-lebih lagi bila dimakan waktu cuaca panas.

Resepinya saya ambil dari blog Yatie. Terima kasih Yatie. Puding ini pun sebenarnya sudah lama saya tetapi oleh kerana kekangan masa hendak menulis di blog saya simpan dahulu dalam kad memori kamera.
Resepinya saya terus salin dan tampal dari blog Yatie.:))


Bahan-bahan
  • 3 sudu besar gula untuk dijadikan gula hangus
  • 4 keping roti gardenia
  • 3 biji telur A @ 4 biji gred B - di pukul manja dan di tapis
  • 1 cawan air suam
  • 1 cawan susu cair
  • 1/2 cawan susu pekat - Yatie letak 3/4 cawan susu pekat
  • 1 sudu kecil esen vanilla
Cara-cara
  1. Cara membuat gula hangus , masukkan gula ke dalam kuali, masak hingga gula jd perang (guna api kecil takut hangit). Kemudian masukkan 1 sudu besar air panas, (berhati2 gula panas). kacau hingga sebati dan matikan api. Tuang terus dalam loyang. Ketepikan.
  2. Panaskan pengukus.Carik2kan roti kemudian blender bersama air suam dan susu.
  3. Selepas itu masukkan telur yang sudah ditapis itu dan masukkan esen vanilla. Blend sekejap agar sebati. Tuang adunan tadi kedalam loyang gula hangus dan kukus sehingga masak.(40min-1jam) - Yatie kukus 30minit je.
  4. Sejukkan dahulu barulah di potong dan hidangkan.

GRATIN MACARONI



Assalamualaikum dan selamat petang semua. Lama betul dapur alam maya saya ini tidak berasap. Entri kali ini pun gambarnya sudah lama tersimpan dalam kamera. Sayang pula dibiarkan tidak diguna, apa-apa pun sekiranya ada cerita pasti memudahkan saya untuk merujuk resepinya bila teringin membuatnya lagi.

Resepinya saya ambil dari kenalan group masakan di laman muka buku Noriz. Terima kasih buat Noriz. Yang pasti anak-anak amat menggemari keenakan gratin macaroni ini.

Bahan-bahannya:

4 genggam macaroni - rebus hingga lembut
15 ekor udang segar - kupas kulitnya
4 batang crabstick - dihiris
4 biji cendawan butang - dihiris
1/2 batang carrot - potong kecil memanjang
2 sk lada hitam - kisar kasar
1 biji bawang besar - didadu kecil
mentega secukupnya
100 gm parutan keju mozarela

Untuk sos putih:

21/2 cawan susu segar penuh krim
1 sudu besar tepung gandum
- gaulkan bahan-bahan ini di dalam periuk dan masak menggunakan api sederhana hingga pekat.

Cara-caranya:

1. Panaskan mentega, tumis bawang hingga agak layu dan masukkan bahan-bahan lain.
2. Masak sekejap sahaja sebab macaroni ini akan dibakar kemudiannya.
3. Gaulkan macaroni tadi dengan sos putih secara merata. Kalau pekat atau kurang susu, tambahkan lagi susu segar penuh krim tadi. Adunan mesti pekat n creamy.
4. Masukkan dalam loyang, taburkan dengan parutan keju.
5. Bakar hingga keperangan selama 15-20 minit dengan suhu 200C.

Selamat mencuba.:D