Monday, October 31, 2011

MUFFIN PISANG TERLEBIH COKLAT URAI. HEHE...



Assalamualaikum dan selamat petang semua. Muffin pisang yang saya buat ini terlebih sukatan coklat urai di dalamnya. Hentam sajalah labu daripada coklat urai itu menganggur terlalu lama, di campur dalam muffin pisang ini adalah juga manfaatnya.
Resepi asal muffin pisang chip coklat saya ambil dari blog seorang guru yang tinggal di Taman Puteri Wangsa iaitu Cikgu Faizah. Terima kasih ya cikgu, maaflah akak ni tak pandai nak 'link' blog cikgu di sini. Belajar dengan anak pun asyik terlupa saja.
Untuk resepinya saya salin dan letakkan di sini terus dari blog yang empunya resepi.

Bahan-bahannya :

Bahan A :
1 3/4 cwn tepung gandum
1 sudu (k) baking powder
1 sudu (k) soda bikarbonat

Bahan B :
3/4 cwn gula castor
4 biji pisang emas

Bahan C :
1 biji telur
1 cwn susu UHT
1/3 cwn minyak masak ( sy guna minyak daisy soft blend-muffin lbh lembut mcm kat bread talk tu)
1 sudu (k) esen vanilla
1 sudu (k) esen pisang
secubit garam

Cara caranya:

1. Panaskan oven 180 c.
2. Campurkan semua bahan A ke dalam mangkuk dan ayakkannya, ketepikan.
3. Di dalam bekas lain, lenyekkan pisang dan gaulkan dengan gula castor. (bahan B)
4. Di dalam bekas lain juga, pukul telur sebati dan masukkan semua bahan c.
5. Curahkan bahan C ke dalam bahan A, gaul sebati menggunakan whisk.
6. Setelah sebati, gunakan senduk kayu dan masukkan bahan B tadi, gaul rata.
7. Masukkan adunan lebih sedikit daripada 1/2 cup muffin.
8. Akhir sekali taburkan coklat cip dan bakar lebih kurang 20 hingga 25 minit.

Friday, October 28, 2011

RENDANG MINANG UDANG GALAH



Assalamualaikum dan selamat petang semua. Udang lagi, sebenarnya saya bukanlah peminat udang. Udang merupakan pilihan terakhir saya dalam banyak-banyak makanan tetapi bila terpandang udang yang dijual di pasar hati pasti teringat anak-anak dan suami yang gemar makan berlaukkan udang jadi saya belilah. Kemudian masak dan hidangkan untuk suami dan anak-anak.
Saya pun sudah kering idea hendak masak udang ini dengan menu apa. Saya cubalah masak rendang minang, rasanya alhamdulillah tidak mengecewakan. Jom kita lihat resepinya.

Bahan-bahannya:
1/2 kilogram udang galah
5 sudu besar cili kering kisar
9 batang cili api kisar
3 batang serai kisar
5 biji bawang merah kisar
1 ulas bawang putih kisar
sedikit halia kisar
sedikit lengkuas kisar
2 helai daun limau purut - saya tambah
sedikit air asam jawa
sedikit gula melaka
garam secukup rasa
1/2 cawan pati santan
2-3 sudu besar kerisik

Cara-caranya:

1. Panaskan minyak dan goreng udang galah sederhana masak dan ketepikan.
2. Dengan lebihan minyak tadi tumiskan bahan-bahan kisar dengan daun limau purut hingga naik bau.
3. Masukkan air asam, kacau sebati. Diikuti garam dan gula melaka. Kacau lagi. Bila pecah minyak masukkan pati santan. Kacau lagi.
4. Masukkan udang yang telah digoreng dan kacau lagi.
5. Masukkan kerisik dan kacau lagi.
6. Masak dengan api sederhana supaya udang mesra dengan bahan-bahan lain. Kacau sekali sekala.

JEMPUT-JEMPUT PISANG BERSUSU



Assalamualaikum dan selamat petang semua. Jemput-jemput pisang ini saya buat menggunakan resepi kenalan di internet. Saya hanya tambahkan secubit garam dan susu tepung di dalam adunannya. yang lain-lain saya ikut resepi tersebut cuma untuk adunan jemput-jemput pisang ini saya tidak menggunakan sukatan yang tertentu. Pakai campak-campak saja.

Bahan-bahan yang diperlukan sudah tentulah pisang yang dilenyek, sedikit gula, secubit garam, sedikit serbuk penaik, sedikit baking soda, tepung gandum secukupnya dan yang pasti saya masukkan susu tepung untuk rasa yang lebih sedap.

Cara-cara menyediakannya ialah masukkan semua bahan dalam mangkuk kecuali tepung. Kacau sebati dan masukkan tepung sedikit demi sedikit hingga adunan agak pekat dan kental. Goreng dengan api sederhana panas sesudu demi sesudu hingga gelap keperangan. Sesuai untuk minum petang.

Thursday, October 27, 2011

SAMBAL TUMIS BILIS TAHI MINYAK


Assalamualaikum dan selamat pagi semua. Sambal tumis ikan bilis bercampur tahi minyak ini pertama kali saya rasa masa tinggal di asrama. Teman sebilik, sekampung dibekalkan oleh arwah emaknya setiap kali pulang dari bercuti sekolah. Sambal tumis nostalgia ini akan dimasukkan ke dalam bekas botol nescafe sederhana besar dan tahan hampir seminggu lamanya. Rasanya memang sedap hingga saya menyimpan keinginan hendak membuatnya.



Cara penyediaan sambal tumis ikan bilis ini sama seperti sambal tumis biasa cuma yang membezakan adalah tambahan tahi minyak untuk menyedapkan rasa dan menambah aroma dalam sambal ini. Susah saya hendak gambarkan wanginya sambal ini. Hehe... Sambal ini juga mampu bertahan hampir seminggu tanpa dimasukkan dalam peti sejuk.



Inilah rupa tahi minyak yang telah saya tapis dari minyak kelapanya. Cara menyediakan tahi minyak ini adalah dengan memasak lebih kurang 2 hingga 3 cawan santan pekat hingga mengeluarkan minyaknya. Tahi minyak ini akan mendak di bawah periuk. Perlulah dimasak dan dikacau agar tidak hangus. Gunakan api sederhana. Kemudian setelah warna tahi minyak seperti di atas hendaklah diasingkan minyak kelapa dan mendapannya dengan cara menapis.
Masukkanlah tahi minyak tadi ke dalam sambal tumis ikan bilis sebelum ditutup api, kacau mesra. Tahi minyak ini hendaklah disediakan lebih awal sebab memakan masa yang agak lama hendak membuatnya.:))

Friday, October 21, 2011

SUP TULANG RESEPI 11



Assalamualaikum dan selamat petang semua. Entri tertunda lagi oleh sebab kehilangan mood hendak berblogging. Sup tulang saya ini hanya masak rebus-rebus sahaja untuk mengelakkan kuahnya tambah berminyak dan berlemak. Menyediakannya juga cukup senang dan rasanya juga alhamdulillah kena pada selera suami dan anak-anak. Jom kita kongsi resepi lagi...

Bahan-bahan:

500 gram tulang lembu berdaging
1 biji bawang besar kisar
7 biji bawang kecil kisar
3 ulas bawang putih kisar
2 inci halia diketuk
1 sudu besar rempah sup
1 sudu besar rempah kurma'
1 batang lobak merah dipotong
3 biji kentang belah 8
3 batang celery dihiris
daun sup dihiris
daun bawang dihiris
garam secukup rasa
air untuk merebus secukupnya

Cara-caranya:

1. Rebus tulang dengan halia hingga mendidih dan daging empuk. Masukkan bahan-bahan yang dikisar.
2. Campurkan rempah sup dan rempah kurma' dan bancuh dengan sedikit air. Masukkan bancuhan ini ke dalam kuah rebusan tulang tadi.
3. Apabila mendidih masukkan lobak merah, kentang dan batang celery. Kemudian masukkan tomato.
4. Apabila kentang empuk barulah masukkan garam secukup rasa. Kalau suka kuah yang banyak bolehlah tambahkan air lagi.
5. Masak lagi hingga kentang benar-benar empuk, lembik dan kuah menjadi pekat.
6. Hidangkan bersama hirisan daun sup dan daun bawang.