Wednesday, March 17, 2010

SOTONG MASAK PRUNE



Assalamualaikum dan selamat malam. Hidangan untuk tengahari tadi. Sepatutnya daging yang dimasak prune ini tetapi saya sahaja hendak tukar selera. Resepi saya ambil dari internet. Tidak silap saya blogger itu namanya dayangkek. Kalau beliau ada terbaca entri saya ini saya ucapkan ribuan terima kasih. Suami kata sedap tetapi tidak kena dengan selera beliau. Suami kecewa sebab bila lihat lauk ini suami ingat sotong masak hitam tetapi bila dimakan lain pula rasanya. Maaflah ya bang. Lain kali saya masak lauk sotong kegemaran abang tu. Biasalah saya ini kalau hari-hari masak menu yang sama tiada semangat hendak ke dapur, sesekali hendak kelainan juga. Jom tengok resepi...

Bahan-bahannya:

600 gram sotong
10 biji cili kering*
7 biji bawang merah*
2 biji bawang putih*
1/2 inci halia*
3 batang serai*
rempah tumis 4 sekawan
sos tiram
kicap manis
1/2 cawan prune dikisar
garam, gula dan serbuk perasa secukupnya

Cara-caranya:

1. Kisar bahan-bahan bertanda* dan tumis bahan-bahan kisar tadi bersama rempah tumis hingga naik bau.
2. Masukkan prune yang dikisar tadi dan kacau sebati.
3. Masukkan sos tiram dan kicap manis. Yang ini saya tidak sukat dan pakai agak-agak sahaja.
Kacau lagi.
4. Rasakan masin, lemak dan manisnya. Prune sudah sedia masam.
5. Masukkan sotong, gaul sebati dan biar seketika di atas api. Sotong tidak perlu masa yang lama untuk masak dan ianya mengeluarkan air sendiri jadi dapatlah kuah yang pekat.

ASAM PEDAS AYAM



Assalamualaikum dan selamat malam semua. Asam pedas ayam ini lauk semalam tetapi baru hari ini ada kesempatan buat entri. Cara-cara dan bahan-bahan membuatnya sama macam asam pedas biasa cuma kuahnya saya masak pekat sedikit. Kononnya cuba meniru asam pedas yang ada di Restoren Mamak Spicy yang menjadi kegemaran suami. Alhamdulillah, suami kata sedap dan suka makan. Jom jamu mata....

AWARD DARI INNA DARI SUDUT JANELAKU


Assalamualaikum dan selamat petang semua. Award ini saya terima dari kakak saya Inna dari blog 'dari sudut janelaku'. Terima kasih Ne. Beliau merupakan anak ke 6 dan saya pula anak ke 7 dari 9 adik beradik. Ini adalah award ke dua yang saya terima setelah menyertai dunia berblog ini. Blog saya ini juga adalah hasil kreativiti beliau. Saya tinggal letak entri sahaja. Noor Syuhadah, anak saya yang sulung juga rajin membantu dan mengajar saya. Alhamdulillah dengan adanya blog ini, masa senggang saya terisi. Sahabat alam maya bertambah ramai dan ilmu memasak pun berkembang juga. Terima kasih buat Inna, Amar dan Wardah yang amat saya sayangi. Walau jauh di mata tetapi tetap sentiasa di hati...

Monday, March 15, 2010

KUIH BAKAR @ BINGKA PISANG



Assalamualaikum dan selamat malam semua. Pertama kali buat kuih bakar pisang, alhamdulillah rasanya memang sedap. Resepinya saya ambil dari blog MamaHawa, Singapura yang masakannya memang marvellous. Kebetulan pisang emas pun ada, saya pun ambil kesempatan lah. Balik kerja suami kata, asyik kuih pisang je. Huhu... Beliau pun rasa secubit sahaja. Hamimah pun tidak gemar, hanya saya dengan Syuhadah yang suka makan. Terima kasih ya Mama, saya minta izin letakkan resepinya di sini....

Bahan-bahannya:

1o-13 biji pisang emas dilenyek
1 cawan tepung gandum*
3/4 cawan gula pasir*
1 cawan santan*
1 cawan susu cair ( saya guna susu segar )*
1 biji telur*
2 sudu besar mentega ( saya guna minyak jagung )*
2 sudu besar tepung jagung ( saya tambah )*
1 sudu kecil esen vanilla ( saya tambah sebab takut hanyir telur )*

Cara-caranya:

1. Kisar bahan-bahan bertanda * hingga hancur.
2. Masukkan bahan-bahan kisar tadi ke dalam pisang lenyek. Kacau sebati.
3. Lenser loyang dengan mentega dan masukkan adunan kuih bakar tadi.
4. Bakar kuih tadi selama 1 jam atau lebih di dalam oven dengan kepanasan 180C.


Sunday, March 14, 2010

IKAN MASAK TAUCHU


Assalamualaikum dan selamat petang semua. Moga sentiasa berbahagia dan dalam rahmat Allah SWT. Menu ringkas saya semalam. Ikan kembong masak tauchu kegemaran suami. Saya setakat masak sahaja dan memang tidak gemar lauk ini. Ke pasar semalam pun rata-rata peniaga menjual ikan kembong yang berbagai jenis jadi beli sahajalah. Semalam saya dan Syuhadah hanya makan nasi berlauk sambal tumis ikan bilis, ikan gelama masin HPA dan berulamkan timun. Hamimah macam biasa cukup dengan nasi bersama kicap manis dan ikan goreng. Jom kita tengok resepi...

Bahan-bahannya:

3 ekor ikan kembong sederhana besar
5 biji lada hijau dihiris
1 biji bawang besar dihiris
1 biji bawang putih dihiris
3 sudu besar tauchu dibilas dengan air dan ditoskan
air asam jawa secukupnya
gula dan serbuk perasa secukupnya

Cara-caranya:

1. Lumurkan ikan dengan garam kunyit, goreng garing dan ketepikan.
2. Tumiskan bahan-bahan hiris hingga layu dan masukkan tauchu yang telah ditoskan tadi. Kacau lagi.
3. Masukkan air asam jawa secukupnya. Biar mendidih, masukkan gula dan serbuk perasa.
4. Masukkan ikan kembong goreng tadi dan balik-balikkan. Biar seketika atas api.