Thursday, February 4, 2010

PUYUH GORENG BEREMPAH




Assalamualaikum dan selamat petang semua. Hari ini saya masak burung puyuh pula. Tempoh hari ketika ke Pasar Basah Wakaf Che Yeh saya beli burung puyuh ini. Harganya RM7, untuk 5 ekor saiz standard. Macam hangus pula kelihatan dalam gambar, walhal tidak. Hehe... Ketika digoreng bau harum rempah memenuhi ruang dapur. Kalau hendak kongsi resepi jomlah..

Bahan-bahannya:

5 ekor burung puyuh dibelah tengah
3 biji bawang merah *
3 biji bawang putih *
1 inci halia *
1 inci kunyit hidup *
1 sudu kecil serbuk ketumbar #
1/2 sudu kecil jintan halus #
1/2 sudu kecil jintan kasar #
2 batang serai *
1/2 inci lengkuas *

Cara-caranya:

1. Tumbuk lumat bahan-bahan bertanda *.
2. Bahan-bahan bertanda # dicuci bersih, ditos, digoreng sangrai dan dikisar halus.
3. Bahan-bahan yang ditumbuk dan dikisar halus digaul sebati . Tambah sedikit garam di dalamnya. Lumurkan burung puyuh dan perap seberapa lama yang disukai.
4. Goreng burung puyuh tadi hingga garing.

Wednesday, February 3, 2010

DORAYAKI LAGI....



Assalamualaikum semua. Petang tadi saya buat dorayaki lagi untuk anak-anak. Sayangnya hodoh betul dorayaki saya. Hua hua hua... Kali ini saya buat memang tidak pakai sukatan sepertimana yang lepas. Minyak sayuran saya gantikan dengan mentega cair sebab terlupa. Sudah alang-alang mencairkan mentega saya guna sahajalah. Gula pula saya kurangkan sukatannya. Air saya gantikan dengan susu segar. Rasanya masih tidak lari tetapi bila di atas kuali tidak dapat membulat dengan cantik dan nampak hangus tetapi tidak. Teksturnya tetap lembut bila dikunyah. Petang tadi sewaktu suami sampai ke rumah dan melihat saya sedang mengisi inti kacang merah di antara dua dorayaki ini suami bersuara, lemah tengok kuih. Hehe.. Suami hanya minat karipap sardin, cucur bilis ( entah bilalah dapat buat ikut resepi Sheila ), dan kuih-kuih tradisional yang lain. Insyaallah saya pasti buatkan untuk suami. Walaubagaimanapun syukur alhamdulillah anak-anak suka dan berselera mengunyahnya. Budak-budak biasalah...

SOTONG MASAK HITAM



Assalamualaikum dan selamat petang semua yang sudi mengunjungi blog saya. Hari ini saya masak sotong masak hitam pula. Teringin pula hendak makan. Minggu lepas sudah masak sambal tumis. Arwah emak dulu tidak pernah masak sotong seperti ini sebab arwah geli dengan pundi-pundi hitam sotong itu. Selalunya arwah masak kunyit, tumis asam dan sambal tumis sahaja. Bila saya berumahtangga dan menjadi ahli keluarga baru, barulah saya mengenali masakan yang simple tetapi sedap ini.

Bahan-bahannya:

500 gm sotong ( disiang dan diambil pundi hitamnya, cuci bersih )
5 biji bawang merah *
1 biji bawang putih *
1/2 inci kunyit hidup *
1/2 inci halia *
1 biji bawang besar di hiris nipis-nipis
9 cili api hijau biar sebiji-sebiji
1 kuib pati ikan bilis
air asam secukupnya
garam dan gula secukupnya

Cara-caranya:

1. Kisar bahan bertanda * dengan air asam
2. Gaul bahan kisar bersama garam dan gula dan perap sebentar.
3. Panaskan sedikit minyak dan tumis sotong yang telah diperap dengan bahan-bahan kisar.
4. Masukkan kiub ikan bilis dan gaul sebati, masukkan cili api dan hirisan bawang besar.
5. Biarkan sotong di atas api hingga air sotong hampir kering.

Tuesday, February 2, 2010

PUDING ROTI MENTEGA BERSOS KASTARD




Assalamualaikum semua. Saya sudah berjanji hendak membuat entri tentang puding roti bersos kastard ini dengan biras saya. Malangnya tidak sempat, tadi petang beliau menelepon bertanyakan post tentang puding ini lagi. Kasihan pula saya padanya, sudahlah tinggal berseorangan. Mudah-mudahan Allah memberi kekuatan kepada beliau dan dimudahkan segala urusannya di dunia dan akhirat. Berbalik pada puding ini, syukur sangat-sangat sebab ianya mendapat sambutan hangat daripada anak-anak, suami langsung tidak menjamah sebab memang tidak berminat. Petang saya buat, malamnya juga selesai. Jom kongsi resepi...

Bahan-bahannya:

12 keping roti gardenia
3 cawan susu segar
6 sudu besar gula
1/4 buku dari 250gm butter ( dicairkan )
2 sudu besar tepung jagung
6 sudu besar kismis
2 biji telur
1 sudu teh esen vanilla

Cara-caranya:

1. Siat-siatkan roti dan rendam dengan susu segar hingga lembut.
2. Masukkan gula, butter cair, tepung jagung, kismis, telur dan esen vanilla dalam bekas. Gaul sebati.
3. Masukkan adunan ini ke dalam adunan roti yang direndam, gaul dan kacau sebati.
4. Lenserkan acuan dengan margerin dan masukkan adunan tadi.
5. Bakar hingga masak.
6. Setelah puding agak sejuk, masukkan dalam peti sejuk.

Untuk membuat sosnya pula:

1 tin susu cair
2 sudu tepung kastard bancuh dengan 1 cawan air
gula secukupnya

Cara-caranya:

1. Masukan semua bahan dalam periuk, panaskan dan kacau sos hingga mendidih dan biarkan sejuk.

Cara-cara penyediaannya:

Potong puding roti mentega yang telah sejuk dan tuangkan sos kastard di atasnya.

TALAPIA GORENG BERLADA LAGI...



Assalamualaikum dan selamat malam semua. Hari ini masak goreng berlada lagi tetapi menggunakan ikan talapia pula. Talapia kali ini agak besar saiznya dan banyak daging pula, rasanya sudah seakan-akan ikan siakap, ikan yang suami kurang gemar makan. Syuhadah pun nampaknya kurang berminat. Sedih betul, hanya Hamimah yang bersungguh-sungguh makan ikan talapia yang digoreng dan dimasak goreng berlada. Lain kali kalau ke pasar kena beli ikan jenis lain pulalah. Di rumah ini antara ikan yang tidak laku ialah bawal, tenggiri, siakap dan ikan-ikan yang banyak daging dan lembut isinya. Saya pula alhamdulillah, setakat ini tidak cerewet sangat pasal makan. Jom tengok gambar...