Friday, October 21, 2011

SUP TULANG RESEPI 11



Assalamualaikum dan selamat petang semua. Entri tertunda lagi oleh sebab kehilangan mood hendak berblogging. Sup tulang saya ini hanya masak rebus-rebus sahaja untuk mengelakkan kuahnya tambah berminyak dan berlemak. Menyediakannya juga cukup senang dan rasanya juga alhamdulillah kena pada selera suami dan anak-anak. Jom kita kongsi resepi lagi...

Bahan-bahan:

500 gram tulang lembu berdaging
1 biji bawang besar kisar
7 biji bawang kecil kisar
3 ulas bawang putih kisar
2 inci halia diketuk
1 sudu besar rempah sup
1 sudu besar rempah kurma'
1 batang lobak merah dipotong
3 biji kentang belah 8
3 batang celery dihiris
daun sup dihiris
daun bawang dihiris
garam secukup rasa
air untuk merebus secukupnya

Cara-caranya:

1. Rebus tulang dengan halia hingga mendidih dan daging empuk. Masukkan bahan-bahan yang dikisar.
2. Campurkan rempah sup dan rempah kurma' dan bancuh dengan sedikit air. Masukkan bancuhan ini ke dalam kuah rebusan tulang tadi.
3. Apabila mendidih masukkan lobak merah, kentang dan batang celery. Kemudian masukkan tomato.
4. Apabila kentang empuk barulah masukkan garam secukup rasa. Kalau suka kuah yang banyak bolehlah tambahkan air lagi.
5. Masak lagi hingga kentang benar-benar empuk, lembik dan kuah menjadi pekat.
6. Hidangkan bersama hirisan daun sup dan daun bawang.

Wednesday, October 19, 2011

UDANG GORENG MENTEGA



Assalamualaikum dan selamat petang semua. Masakan yang asal boleh saja ini. Lepas masak rasa tidak lalu hendak makan sebab terbau-bau hanyir telur. Hehe... Anak-anak pula siap bertanya "udangnya ini aje ke mak?". Selera betul anak-anak makan nasi waktu ini. Jom kita lihat resepinya.

Bahan-bahan:

500 gram udang harimau - siang, belah belakang, cuci bersih, toskan
4 biji telur saiz kecil
1/2 cawan susu segar
1 pokok daun ketumbar - hiris
7 biji cili api - hiris
secubit garam
sedikit mentega
sedikit minyak masak

Cara-caranya:

1. Goreng udang hingga bertukar warna dan ketepikan. Pukul telur dengan susu segar, ketepikan.
2. Lebihan minyak tadi tambahkan dengan mentega.
3. Bila mentega mencair dan panas, tumiskan cili api dan daun ketumbar. Sepatutnya daun kari ya tapi sebab anak-anak tak suka daun kari saya tukar dengan daun ketumbar.
4. Masukkan udang, kacau sebati dan masukkan pula campuran telur dan susu. Kacau sebati.
5. Biarkan seketika di atas api dan bolehlah dihidangkan.


Tuesday, October 18, 2011

LAUK TUMIS KERING



Assalamualaikum dan selamat pagi semua. Tak tahu nama beri nama apa lauk di atas. Hentam sajalah. Sedap diratah dan sedap juga dimakan bersama nasi panas. Senang dan cepat menyediakannya. Pokoknya, insyaAllah berbaloilah.
Siapa di antara teman-teman di sini yang tahu nama kekacang di atas? Rasanya En Daun dari blog Dedaun Alam tahu kot. Mertua saya kata kacang koro. Betulkah? Macam pelik saja kedengarannya. Hehe... Apa-apa pun jom jenguk resepi mudahnya.

Bahan-bahannya:

udang basah - kupas kulit
tempe - dipotong kecil, goreng lembab
kacang ? - hiris 2
lada merah - hiris
bawang besar - hiris
bawang putih - hiris
sedikit belacan
garam ikut masin
sedikit perasa kalau suka

Cara-caranya:

1. Panaskan minyak, tumis bahan-bahan hiris hingga agak layu. Masukkan garam dan perasa secukupnya. Kacau sebati.
2. Masukkan udang basah, kacau. Bila udang bertukar warna masukkan tempe dan kacang ?. Kacau sebati.

*resepi campak-campak jadi tiada sukatan yang tertentu, semua ikut suka tetapi memasak mestilah dimulai dengan bismillah...*

KEK KLASIK DULU2

bahagian tengahnya memang saya biarkan lembab sedikit sebab saya suka, hehehe...



Assalamualaikum dan selamat pagi semua. Terasa malas hendak membuat entri baru. Sudah banyak kali saya buka blog tetapi bila rasa malas dan tiada mood menguasai, satu apa pun tidak jadi. Kali ini saya buat jugalah dengan separuh hati.
Kek di atas saya buat menggunakan resepi lama arwah emak kawan group memasak di facebook. Sebenarnya sudah lama saya hendak membuatnya tetapi terlupa resepi sedangkan kek beginilah saban kali saya buat bila ada rewang majlis perkahwinan di kampung semasa zaman gadis dulu. Biasanya arwah emak akan meminta saya buat 3 buku sekaligus untuk diberi pada jiran yang empunya majlis.
Jom kita tengok resepinya...

Bahan-bahannya:

1 cawan margarine
1 cawan gula castor
3 biji telur saiz A
13/4 - 2 cawan tepung gandum}
1 st serbuk penaik} ayak bersama
1 st esen vanilla
sedikit serbuk koko

Cara-caranya:

1. Pukul margarine dengan gula castor hingga kembang.
2. Masukkan telur sebiji, sebiji dan pukul lagi hingga sebati.
3. Masukkan esen vanilla dan kacau lagi.
4. Masukkan tepung dan gaul rata dengan gerakkan sederhana.
5. Bahagikan 2 bahagian, sebahagian diwarnakan kuning dan sebahagian dicampur dengan serbuk koko dan digaul sebati.
6. Masukkan adunan warna kuning sesudu, diikuti dengan adunan koko sesudu dalam acuan kek yang telah disapu margarine terlebih dahulu.
7. Bakar dalam oven pada suhu 180C yang telah dipanaskan terlebih dahulu selama 30 minit atau sehingga masak.

Monday, October 3, 2011

The Versatile Blogger Award - ila_cheqSue


Assalamualaikum dan selamat tengahari semua. Lama dah saya ambil award ini dari blog masak-masak Ila tetapi belum sempat hendak menyiapkan tag yang diberi. Terlebih dahulu terima kasih buat Ila yang teringat nak bagi akak award di atas. Hehe... Tak layak rasanya sebab akak ni hanya blogger suam-suam kuku je. Update blog bila ada kesempatan dan kalau boleh memang tak mahu terikat sangat dengan laptop ni. Leka jadinya. Huhu...

Ni dia homework yang diberi:

1. Thank and link back the person who gave you this award.
Awal-awal dah ucapkan terima kasih. Hehe...

2. Share 7 things about yourself on the post.

1. Akak ni seorang surirumah sepenuh masa. Dulu bekerja tetapi suami tak suka isteri yang bekerja jadi ikutlah kata suami.

2. Akak suka mencuba resepi baru tapi baru-baru ini akak terpaksa hentikan minat ini sebab bila asyik memasak tak banyak sedikit akak akan makan dan kadang-kadang bila lihat makanan banyak bersisa akak rasa sedih dan sedaya upaya hendak abiskan. Hahaha. Umur dah meningkat jadi kesihatan kena jaga Ila. Lagi satu kurniaan Allah SWT akak ini mudah membulat. Suami pulak tak suka akak mengembang. Huhu... Tolong...

3. Akak seorang yang simple dari segi pakaian dan penampilan. Apa-apa function pun akak akan mengenakan baju kurung tanpa secalit pun solekkan. Biasanya bedak baby johnsonlah yang menjadi teman setia. Kadang-kadang tu teringin juga hendak sapu lipstik di bibir tetapi suami sound tabaruj, tabaruj. Huhu... Akak syukur dalam umur akak yang dah melewati 40an ini tiada bintik-bintik hitam yang menumpang di pipi. Hehe... Mungkin salah satu sebab akak tidak pernah bermakeup kecuali masa majlis perkahwinan 17 tahun dulu.

4. Akak juga seorang yang sensitif dan mudah menangis. Kalau tengok cerita-cerita sedih atau baca cerita-cerita sedih cepat sangat air mata nak mengalir tapi akak coverlah sebab malu dengan anak-anak-anak dan suami. Hehe...

5. Akak ini orangnya tidak memilih makanan asalkan ianya halal dan dapat mengalas perut cukuplah. Nasi hangat, kicap manis, telur mata lembu bersama cili api sudah cukup memenuhi selera akak. Akak tak suka kuih muih yang manis dan akak suka minum air putih. Tapi kenapa badan akak gemuk juga ya. Hehehe....

6. Akak rindu sangat dengan arwah emak. 27 Syawal yang lalu genap arwah emak akak pergi menemui Allah. Akak paling suka makan sambal tumis telur rebus arwah emak. Memang sedap sebab arwah gunakan lesung batu bukan blender. Asli rasanya. Arwah memang pakar dalam membuat kuih muih basah. Tanpa sukatan, pakai campak-campak dan mengadun hanya menggunakan tangan tetapi hasilnya lemak, manis dan sangat sedap.... Moga Allah sentiasa mencucuri rahmat kepada arwah emak akak. Aaminn...

7. Akhir sekali akak sangat berharap dan berdoa agar akak hidup dalam iman dan mati pun dalam iman. Itulah doa akak di setiap sujud akhir ketika solat. Akak berharap agar anak-anak akak menjadi insan yang berjaya hidupnya di dunia dan akhirat kelak. Anak-anak dan suami adalah harta yang paling berharga dalam hidup akak di samping arwah emak, bapak dan adik-beradik yang lain.

Sesiapa yang berkunjung di blog akak dan tertarik dengan award ini dan tugasannya dengan sekecil tapak tangan masjid negeri Sarawak akak tadahkan. Sila-silakan ambil ya. Terima kasih...