Thursday, August 12, 2010

SAMBAL NENAS IKAN TONGKOL


Assalamualaikum dan selamat malam semua. Sambal nenas ikan tongkol ini merupakan edisi tertunda ya. Malam tadi sudah diupload gambarnya tetapi saya tidak empat hendak kongsi cerita. Hehe... Sesekali makan sambal nenas ikan tongkol ini sedap juga. Ada rasa pedas, masam, masin dan manis. Teringat arwah emak ada memasaknya tetapi saya ingat-ingat lupa cara-cara memasaknya jadi saya bantai sajalah.



Bahan-bahannya:

5 batang cili merah *
9 batang cili api *
5 biji bawang kecil *
1 biji bawang putih *
sedikit belacan *
air asam jawa
1 mangkuk nenas - potong ikut suka
4 ketul ikan tongkol - digaram kunyit dan digoreng
garam, gula dan perasa secukupnya

Cara-caranya:

1. Kisarkan bahan-bahan bertanda * dengan air asam.
2. Panaskan minyak dan tumis bahan-bahan kisar hingga naik bau. Lagi lama lagi sedap.
3. Tambahkan perasa, garam dan gula secukupnya. Kacau sebati.
4. Masukkan ikan tongkol goreng dan nenas yang dipotong dan gaul sebati.
5. Biarkan seketika di atas api dan bolehlah dihidangkan.

TAUCHU IKAN


Assalamualaikum dan selamat malam semua. Lauk tauchu ikan ini saya masak hanya untuk suami sebab saya dan anak-anak memang tidak menyukainya. Menu yang mudah tetapi berjaya menambat selera suami, alhamdulillah.



Bahan-bahannya:

2 ekor ikan - digaram kunyit dan digoreng hampir masak
5 biji lada merah dihiris
1 biji bawang besar dihiris
1 biji bawang putih dihiris
2 sudu besar tauchu - dibilas dan ditoskan
air asam jawa
gula dan perasa secukupnya

Cara-caranya:

1. Panaskan minyak dan tumiskan bahan-bahan yang dihiris hingga hampir layu. Masukkan tauchu yang telah dibilas dan ditos tadi. Kacau sebati.
2. Masukkan gula dan perasa. Kacau lagi.
3. Masukkan air asam jawa dan sedikit air biasa.
4. Bila kuah sudah menggelegak, masukkan ikan yang digoreng tadi. balik-balikkan. Biarkan seketika di atas api dan bolehlah dihidangkan.

Tuesday, August 10, 2010

SALAM RAMADHAN, MAAF ZAHIR DAN BATIN


Assalamualaikum dan selamat malam semua. Di kesempatan ini saya mengambil kesempatan untuk mengucapkan selamat menyambut bulan Ramadhan, selamat mengerjakan solat tarawih dan selamat berpuasa. Mudah-mudahan kita akan terus beristiqamah melakukan ibadah dan amalan-amalan yang lain. Moga Allah permudahkan urusan kita dan menerima amal ibadah kita sepanjang bulan yang berkat ini. AMIN...

Monday, August 9, 2010

BIHUN GORENG PUTIH


Assalamualaikum dan selamat malam semua. Kita sambung lagi bercerita tentang menu edisi tertunda yang baru sempat malam ini saya kongsikan. Bihun goreng putih ini suami saya yang berikan namanya. Saya hidangkan untuk tetamu suami yang kurang pemakan orangnya dan hanya makan nasi sehari sekali dan itu pun dalam kuantiti yang suku dari suami.



Cuma tumiskan beberapa bawang putih yang dititik. Tambahkan daging ayam, udang, dan sotong. Gaul sebati, diikuti garam dan perasa secukupnya. Masukkan bihun dan kacau rata, diikuti hirisan kobis, lobak merah dan sawi. Akhir sekali tambahkan sayur beku iaitu biji jagung, kacang pis dan lobak merah.



Karipap initi sardin ini pula saya hidangkan untuk minum petang. Saya buat dalam kuantiti 2 cawan tepung dan dapat lebih kurang 20 biji karipap. Memang licin sebab di samping tetamu yang makan, anak-anak dan suami pun amat menggemarinya.

NASI LEMAK SEMPOI


Assalamualaikum dan selamat malam semua. Jumaat dan Sabtu lepas ada tetamu suami datang dari Johor. Saya pula tidak sempat ke pasar jadi untuk pagi Sabtu hari itu saya hanya masakkan nasi lemak yang amat sempoi sekali. Cukuplah sekadar mengalas perut, yang penting sedap dan kenyang.

nasi lemak, telur rebus, sambal sotong dan hirisan timun